PULAU DUYUNG ADALAH LIDAH NEGERI TERENGGANU



   
                 
ASAL USUL KAMPUNG PULAU DUYUNG DAN PERKEMBANGANNYA DARI TAHUN 1800 HINGGA 2000


LATAR BELAKANG AWAL

           Pulau Duyung adalah dua buah pulau daripada beberapa buah pulau dalam sungai di Kuala Terengganu iaitu Duyung Besar yang luasnya 62.0 hektar dan duyung kecil, luasnya 3.9 hektar. Asal nama pulau ini ialah Pulau Peria.1 Mengikut cerita orang-orang tua, oleh sebab disuatu masa dahulu didapati dua ekor ikan Duyung terdampar di pantai pulau ini, maka kemudian daripada itu pulau ini dinamakan Pulau Duyung.2
           Pulau Duyung terletak di muara Sungai Terengganu. Deretan pulau-pulau kecil sepanjang 1.7 kilometer menganjur masuk dari muara ke dada sungai yang terbentang luas . Pulau ini dipercayai mula dihuni sebagai perkampungan nelayan, dan pintu masuk ke Bandar Kuala Terengganu melalui jalan laut oleh para pedagang dan pelaut. Antara pulau-pulau yang termasuk dalam gugusan Pulau Duyung ialah Pulau Duyung Besar, Pulau Duyung Kecil, Pulau Ketam, Pulau Kelab Aya dan Pulau Duyung Sekolah.3
            Perhubungan antara pulau-pulau tersebut bergantung kepada pengangkutan air seperti bot, perahu sekoci ataupun  penambang. Kedudukan Pulau Duyung yang strategik menjadikan pulau tersebut terkenal dan mudah dihubungi. Pulau tersebut dihimpit oleh perkampungan nelayan Seberang Takir dan Bandar Kuala Terengganu menyebabkan Pulau Duyung menjadi tempat yang terbaik sebagai pusat pembinaan  bot-bot tradisional sehingga kini.4
               Selain itu, Pulau Duyung juga dikenali sebagai lidah Negeri Terengganu. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat seorang guru agama dari Pattani yang membuka pondok iaitu tempat memepelajari ilmu agama di Pulau Duyung Kecil.5 Pulau Duyung juga terdapat sebuah kota lama yang berseni yang berperanan penting dalam pembentukan identiti Negeri Terengganu sehingga mendapat jolokan  sebagai Terengganu Darul Iman.6

 PULAU DUYUNG MENDAPAT NAMA
                 Pada masa dahulu, Pulau Duyung dikenali sebagai Pulau Peria kerana dipercayai penduduknya ada menanam buah peria. Selain itu, ada pihak yang berpendapat nama Pulau Peria ini adalah besempena bentuknya seperti buah peria.7  Kemudiannya, pulau ini diganti namanya sebagai Pulau Duyung selepas terjadinya peristiwa dua ekor ikan duyung, iaitu ibu dan anak telah mendarat di pulau ini.8
                Menurut cerita lisan yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi  kononnya beratus-ratus tahun lampau penduduk kampung terkejut apabila mereka didatangi dua ekor ikan duyung yang seekornya bersaiz besar manakala seekor lagi agak kecil.9  Ikan duyung berkenaan dikatakan muncul kerana asalnya seorang wanita yang cantik telah disumpah. Dek kerana sumpahan tersebut, sebahagian anggotanya iaitu daripada paras pinggan hingga ke kaki bertukar menjadi ikan. Duyung menjadikan pulau ini sebagai tumpuan kerana ia kawasan pelaut dan nelayan utama di Terengganu pada ketika itu.   Ikan duyung ini dikatakan selalu menggoda para pelaut yang lalai, bagaimanapun sesiapa yang tergoda akan menemui ajalnya.10  
                     Penemuan yang mengejutkan penduduk kampung ini disebarkan kepada seluruh penduduk kampung dan beberapa hari kemudian mereka mula merancang menukar nama kampung daripada Pulau Peria kepada Pulau Duyung. Hal ini kerana, sesetengah penduduk memberitahu bahawa mereka belum pernah melihat pohon peria yang tumbuh di kawasan mereka.11  Oleh kerana tergemparnya berita berkaitan ikan duyung pada waktu itu, maka ramai bercadang untuk menukarnya.  Tanpa banyak tentangan , akhirnya penduduk kampung bersetuju memanggil perkampungan mereka sebagai Pulau Duyung dan berkat pertukaran nama tersebut, mereka dikatakan memperolehi kemakmuran dan ketenangan.12
                       Pulau Duyung terbahagi kepada beberapa bahagian antaranya merupakan Pulau Duyung Kecil dan Pulau Duyung Besar. Pulau Duyung Kecil merupakan sebuah pulau yang terpisah dari Pulau Duyung Besar oleh sebatang sungai, iaitu Sungai Terengganu.13  Namun demikian, pulau-pulau ini telah disatukan melalui proses penambakan yang dilakukan pada tahun 1990. Sesungguhnya jalan penghubung antara Pulau Duyung Kecil dengan Pulau Duyung Besar pada masa dahulu adalah melalui jalan air dengan menggunakan sampan dan kemudiannya telah dibangunkan sebuah jambatan kayu untuk kemudahan turun-naik.14   Menurut fakta sejarah, ia telah diteroka oleh seorang ilmuan Islam yang terkenal di Terengganu, iaitu Wan Abdullah atau lebih dikenali sebagai Tok Syeikh Duyung.15   Oleh itu, Pulau Duyung Besar dan Pulau Duyung Kecil merupakan pengkalan utama iaitu bagi tujuan memunggah dan mengangkut barangan serta hasil tempatan.16
                 Dianggarkan gugusan Pulau Duyung dihuni oleh penduduk seramai 5000 orang. Asal-usul penduduk dikatakan dari rumpun Melayu Timur Laut dan kesemuanya beragama Islam.17 Dalam pulau ini juga terdapat 730 buah rumah. Bilangan  penduduknya mengikut bancian tahun 1991 berjumlah seramai 3772 orang.  Lelaki seramai 1947 orang dan perempuan berjumlah 1825 orang. Semua penduduk di pulau ini terdiri daripada orang Melayu.18
               Menurut catatan Hugh Clifford seperti yang dikutip oleh Tan Sri Mubin Sheppard, hamper keseluruh penduduk Pulau Duyung bekerja sebagai nelayan (abad ke-19). Sewaktu di luar musim monsoon, pendapatan negara ialah :
                     …….their average monthly earning during the open season
                From  March to November was eight dollars, and that of a
                Working boat-owner who steered his own craft nearly double
                 Amount. Several thousand piculs of fish were dried in the
                Villages along the coast, seven eights of which were exported
                 To Singapore.19
           Penduduk Pulau Duyung pada waktu lapang, mereka akan berkumpul di wakaf atau di surau. Kadang-kadang mereka bersama-sama bergotong royong mengusung rumah (berpindah tapak rumah) atau menolak perahu ke sungai. Majlis-majlis perkahwinan, bercukur, persembahan marhaban, rodat dan silat gayung sering diadakan secara berkumpulan dan saling bekerjasama. Meskipun mereka tidak mempunyai kemewahan material, sopan santun dan budi pekerti terus terpelihara.20
 AKTIVITI HARIAN PENDUDUK PUALAU DUYUNG
                  Aktiviti penangkapan ikan di sekitar gugusan Pulau Duyung sering dijalankan bagi menampung pendapatan mereka. Penangkapan ikan laut dalam mengambil masa yang agak panjang dan menggunakan kelengkapan yang lebih canggih berbanding pesisir pantai. Nelayan pesisir pantai memulakan aktiviti penangkapan ikan seawal pagi dan pulang di sebelah petang dengan menggunakan bot-bot kecil.
                Nelayan laut dalam mengambil masa yang panjang, adakalanya memakan masa beberapa hari dan menggunakan bot-bot yang lebih besar seperti Perahu Kolek dan Perahu Payang serta lengkap dengan pelbagai keperluan termasuk sonar, alat perhubungan dan bekalan air batu untuk menyimpan ikan.21  Kebiasaanya mereka menggunakan pukat tangkul, pukat hanyut, pukat dalam, pukat cerut, dan pukat tarik untuk menangkap ikan di laut dalam.22
                  Kegiatan harian penduduk  Pulau Duyung selain meneruskan tradisinya sebagai nelayan, ada juga yang bekerja sebagai peniaga ataupun usahawan yang tidak kurang yang berulang-alik ke Bandar Kuala Terengganu setiap hari dalam pelbagai profesyen.  Pada zaman dahulu, terdapat juga peniaga yang berniaga keluar negeri dengan menggunakan perahu besar iaitu ke Siam (Thailand), Indo-China dan Pulau-pulau Melayu iaitu Riau, Lingga, Jawa, Sumatera, Pulau Selibis (Bugis) dan juga hingga ke Ceylon.23                           
                 Dalam perniagaan, barang-barang perniagaan yang sering dibawa keluar adalah seperti kelapa kering, pinang kering, dammar, rotan, ikan kering, bilis kering, getah taban, getah Jelotong, gambir, kain-kain tenunan Terengganu dan lain-lain. Selepas berniaga, peniaga akan dibawa balik barang-barang perniagaan seperti beras, garam, barang-barang tembikar, barang-barang daripada tanah iaitu pasu, tempayan, buyong, periuk, belanga, kain-kain dan lain-lain.24
                  Terdapat lima buah kedai yang beroperasi untuk menjual keperluan harian seperti barangan dapur, makanan ringan, dan sebagainya.    Perniagaan tersebut dijalankan secara kecil-kecilan dan kedudukannya adalah berdekatan antara satu sama lain. Di samping itu, terdapat ‘pasar minggu’ yang diadakan di tempat letak kereta  balai raya. Barang-barang yang diperniagakan dihantar oleh pemborong dari Bandar dan ada juga yang dibuat sendiri oleh penduduk setempat.
                          Oleh kerana penduduk Terengganu berniaga  ke luar negeri, maka terjalinlah hubungan antara pedagang-pedagang dari luar negeri dengan penduduk negeri Terengganu. Dengan ini, ramai pedagang-pedagang luar negeri datang membawa dagangan dari negerinya ke Terengganu.  Kapal-kapal dari Singapura seperti Kapal Hong Ho, Buribat, Asdan dan Tongsong sentiasa penuh dan sesak dan dan menyebabkan sungai Terengganu menjadi Bandar pelabuhan yang besar. Dari China pula banyak tongkang china yang besar datang berlabuh di Sungai Terengganu.  Perahu-perahu dan kapal-kapal dari luar negeri berakhir dalam tahun1960-an.
                       Setelah siapnya jambatan baru yang merentasi sungai Terengganu dari Pulau Kambing melalui Pulau Duyung ke Seberang Bukit Tumbuh terus ke Kelantan, maka penduduk Pulau Duyung telah dapat menggunakan kenderaan darat. Mana-mana mereka yang ada kereta telah dapat dibawa ke rumah masing-masing.  Jambatan ini dinamakan Jambatan Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah pada 11 Mac 1990.
                  Sebahagian kecil penduduk Pulau Duyung meraih rezeki sebagai tukang perahu. Hal ini kerana perkhidmatan air seperti berikut sangat penting bagi penduduk pulau itu bagi menjalankan kegiatan harian mereka.  Antara perahu-perahu yang digunakan untuk kegiatan harian mereka adalah seperti  Perahu Sekoci, Perahu Setak, Perahu Jalur dan Perahu Bedar. Selain itu, perahu-perahu yang digunakan untuk menangkap ikan iaitu Sekoci, Kolek Kuel, Kolek dan Payang. Perahu Penambang dikenali sebagai Bedar Besar yang menyerupai Kapal Layar dan Anak Bedar.
                   Sejak beberapa abad lalu, perusahaan membuat bot menggunakan kayu cengal dan dibuat secara tradisi masih menjadi sebutan hingga masa kini. Berbekalkan kemahiran yang tinggi dan ketekunan para tukang, permintaan dan tempahan terhadap bot-bot tradisi telah datang dari pelbagai pelosok dunia, dan ada juga pihak yang menempahnya sanggup tinggal bersama-sama untuk melihat kerja-kerja pertukangan itu dilakukan meskipun mengambil masa lebih setahun lamanya.
                    Pulau Duyung Besar dan Pulau Duyung Sekolah merupakan dua kawasan yang menjadi tumpuan para  penggemar dan pembeli bot tradisi membuat tempahan. Pelbagai jenis bot diusahakan bergantung kepada tempahan yang diterima. Ketukangan secara tradisi ini tidak pula bemakna reka bentuk dan hiasannya tidak menampakkan unsur-unsur moden.  Beberapa alat moden digunakan terutamanya semasa mencantumkan kepingan kayu untuk dijadikan badan bot, menggunakan gam bagi menimbuskan ruang-ruang antara kayu, peralatan untuk melicinkan kayu dan sebagainya. Tempoh membuat sesebuah perabot adalah bergantung kepada jenis dan saiz yang dikehendaki.
           
KEGIATAN LAIN
                  Perusahaan batik juga merupakan sumber pendapatan bagi penduduk Pulau Duyung selain bekerja sebagai penambang. Hasilnya akan dipasarkan ke pasaran tempatan dan luar negeri. Terdapat dua jenis batik yang dihasilkan iaitu batik tulis dan batik cop. Batik tulis agak mahal dan mempunyai mutu yang tinggi. Kerja batik selalunya dilakukan oleh lelaki dan segelintir sahaja perempuan yang turut terlibat.
                        Sesetengah penduduk pulau ini juga merupakan tukang rumah yang handal. Mereka membuat berbagai jenis rumah antaranya ialah Rumah Bujang, Bujang Berpeleh, Limas Bungkus dan Limas Belanda. Selain itu, sebahagian kecil penduduk yang lain meraih rezeki sebagai juragan, pemandu bot penumpang (penambang) dan pemandu bot pelancong. Tidak kurang juga yang bekerja sebagai pengangkut pasir atau pemungut kelapa, menjadi tukang simen, tukang emas, dan seumpamanya.

PULAU DUYUNG SEBAGAI LIDAH NEGERI TERENGGANU
                  Pulau Duyung dijadikan lidah negeri Terengganu kerana suatu ketika dahulu, Pulau Duyung sangat terkenal sebagai salah satu pusat pengembangan dan pendidikan Islam utama di Terengganu. Hal ini disebabkan datangnya seorang guru agama dari Pattani, Wan Abdullah Wan Amin, telah bermastautin dan membuka pondok di Pulau Duyung Kecil.  Beliau mengajar mengenai pendidikan Islam bukan sahaja kepada penduduk Pulau Duyung malah melampaui penduduk Negeri Terengganu.
                    Selain itu, peristiwa pada zaman kegemilangan Pulau Duyung yang terus diterokai oleh keluarga Tok Syeikh Duyung dengan menjemput tukang-tukang kayu yang mahir untuk membina rumah dan kapal layar berukir.  Semenjak itu, Pulau Duyung menjadi terkenal mengenai pertukangan kayu untuk binaan rumah dan kapal layar yang bermutu tinggi tetapi usaha itu semakin malap kerana golongan muda tidak bersedia untuk mewarisi kemahiran tersebut.
               Usaha membina perahu layar perlahan-lahan diganti dengan pembinaan bot nelayan. Peristiwa ini berlaku selepas Perang Dunia Kedua. Selepas kemasukkan jentera moden, kemudahan pengangkutan air telah digantikan dengan kenderaan darat yang lebih cepat dan mudah. 
Pengangkutan air menghadapi cabaran dan semakin dilupakan. Walau bagaimanapun, seni
pertukangan perahu layar dihidupkan kembali pada tahun 1970-an oleh para peminat kapal layar Eropah. Ketika itu, mereka berhasrat menjadikan perahu layar sebagai yachts.  Beberapa tukang perahu layar tempatan sanggup menerima cabaran ini dan dalam masa yang singkat seni bina perahu layar di Pulau Duyung kembali bersinar dan menampakkan tanda-tanda mengembalikan kegemilangannya.
                
KOTA LAMA DUYUNG
                Dari sudut sejarah, Kota Lama Duyung adalah bukti  pengaruh segolongn masyarakat Melayu dipanggil sejarahwan moden ‘ The Threngganu Ruling Class’ iaitu Kelas Pemimpin di Threngganu  diawal abad ke-20 ini.  Kota Lama Duyung memainkan peranan penting dalam pembentukan identiti negeri Terengganu sehingga mendapat jolokan sebagai negeri Iman atau Terengganu Darul Iman.  Di samping itu, kota tersebut turut berperanan dalam pembentukan watak anak negeri yang terkenal dengan sifat lemah-lembut tetapi tekun bekerja, mahir dalam bidang pertukangan tradisional dan arif mengenai pelayaran.
                Berdasarkan rekod-rekod yang tersimpan dan cerita lisan penduduk setempat, Kota Lama Duyung pada zaman kegemilangannya merupakan sebuah institusi yang tidak hanya terhad kepada perkembangan Islam, bahkan turut menjadi pusat perbincangan hal ehwal perundangan dan perdagangan negeri. Malah, Pulau Duyung Kecil sendiri sebelum dan sesudah pembinaan kota berkenaan pada tahun 1920, turut menjadi pusat rujukan hal-hal pentadbiran dan pemerintahan Terengganu kerana di situlah lahirnya beberapa ulama terbilang yang kemudian dilantik sebagai mufti dan hakim negeri.  Kota Lama Duyung mempunyai Sembilan buah bumbung yang menutupi beberapa bahagian yang bersambung dengan dapur, bilik mandi, sarung, beranda dan titian. Reka bentuknya mirip Istana Kecil Raja Melayu tetapi diperkayakan dengan memasukkan unsur-unsur seni bina asing seperti Corinthian atau Mesir.  Tiang dan dinding batunya memperlihatkan bentuk rumah tradisional Melayu Terengganu, iaitu Bujang Berepeleh, Lima Bungkas dan Potong Belanda dengan dihias ukiran sobek di sekeliling beranda. Kota ini dibina oleh Datuk Biji Sura (1890-1955) Nik Mohamad Hitam yang merupakan cicit kepada Wan Abdullah bin Wan Amin (di sebelah ibu) ataupun lebih dikenali sebagai Tok Syeikh Duyung.
                  Di sebelah ayah, Datuk Biji Sura adalah sepupu Menteri Besar Terengganu yang pertama Datuk Amar di Raja.   Semasa kecil anak jeragan Encik Hitam itu hanya menumpang belajar dengan ahli keluarga terdekat Tok Syeikh Duyung tetapi beliau dapat mengatasi pelajar lain sehingga dijolok sebagai otak besi berani oleh orang tuanya. Datuk Biji Sura memulakan kerjaya sebagai kerani di Mahkamah dan akhirnya memegang jawatan: Ahli Majlis diraja, Ahli Mesyurat Menteri, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama dan Hakim Besar-besar di Mahkamah Syariah. Kadang-kadang tugas-tugas itu terpaksa berjalan serentak.  Nama beliau dicatat sebagai salah seorang dari Pengarang Perlembangaan Negeri Terengganu yang pertama (1911).

KESIMPULAN
                    Kesimpulannya  boleh diketengahkan berdasarkan kajian yang menyentuh tentang Perkembangan Asal-usul Pulau Duyung antara tahun 1800 sehingga 2000. Antaranya ialah tentang sejarah nama Pulau Duyung, dengan dua peristiwa yang menarik iaitu tentang Buah Peria dan Dua Ekor Ikan Duyung telah menciptakan nama perkampungan tersebut sehingga ke hari ini. Selain itu, dalam jangka masa 30 tahun yang bermula dari awal 1990 hingga tahun 2000, kita lihat Kampung Pulau Duyung telah mengalami pelbagai perubahan ke arah perkembangan yang berbagai aneka sama ada dari segi ekonomi mahupun sosial. Pada 30-an, kita lihat cara hidup penduduknya sangat berpegang pada tradisi sebagai contoh, kebanyakkan kaum lelaki yang mencari rezeki dan perempuan hanya menjadi suri rumah. Ini mungkin disebabkan oleh pengaruh ekonomi yang belum begitu menjalar dengam meluasnya. Semangat bantu-membantu antara penduduk adalah satu-satunya kebanggaan kepada penduduk di sini. Mereka tidak dipaksa untuk melakukan pekerjaan bersama-sama tetapi kerana kesedaran mereka yang hidup penuh kesukaran membuatkan mereka saling hidup dalam suasana ynag harmonis. Kampung ini berbeza dengan kampung-kampung Melayu di Terengganu kerana banyak peristiwa-peristiwa yang melukis sejarah tentang pulau tersebut antaranya ialah merupakan tempat penyebaran ilmu agama melalui alim ulama’ dalam negeri ini dengan secara langsung ada hubungkaitnya dengan pemerintah. Demikian itu, Pulau Duyung juga penuh dengan kegiatan ekonomi yang boleh menambah pendapatan negara dengan banyak terutamanya dalam membina perahu-perahu yang tradisi sehingga menular ke luar negeri.
                 Walaupun keadaan berubah dengan masuknya unsur-unsur material yang begitu cepat dalam masyarakat di rantau ini, tetapi masih ada sesetengah penduduk pulau ini yang masih lagi dapat memelihara identiti awalnya sampai sekarang.
Bibliografi
1 - Esei Ilmiah ditulis oleh Haji Othman bin Haji Ali, halaman 1
2 – Metro, 24 Disember 2005, halaman E7.
3 - Dato’ Wan Hisham Wan Salleh, Wan Ramli Wan Muhammad, Buku Tamadun Baru Bermula
     Disini, halaman  10



                                           

Komentar


  1. Izin promo ya Admin^^
    bosan tidak ada yang mau di kerjakan, mau di rumah saja suntuk,
    mau keluar tidak tahu mesti kemana, dari pada bingung
    mari bergabung dengan kami di ionqq^^com, permainan yang menarik dan menguras emosi
    ayo ditunggu apa lagi.. segera bergabung ya dengan kami...
    add Whatshapp : +85515373217 ^_~

    BalasHapus

Posting Komentar

Postingan populer dari blog ini

P2 bab 3

BEPANG DAN SEJARAH KULINARI