BEPANG DAN SEJARAH KULINARI
BEPANG
PULUT : PERKEMBANGAN DI TERENGGANU DARI TAHUN 1970 HINGGA TAHUN 2000
PENGENALAN
Bepang
ialah sejenis kuih tradisonal yang berasal daripada Terengganu. Menurut
responden Zakariah Bin Ariffin bepang ini berasal daripada Kampung Surau
Panjang1.Selain itu, menurut Wikipedia, bepang pulut dapat
ditakrifkan sejenis makanan manis dan rangup yang sedap dimakan. Bepang pulut
merupakan sejenis makanan tradisional orang Melayu yang biasanya sangat popular
di sekitar Kg Surau Panjang2.
Kampung
surau panjang ini terletak kira – kira 11 kilometer dari pusat Bandar Kuala
Terengganu. Perjalanan dari pusat Bandar Kuala Terengganu ke Kampung Surau
Panjang mengambil masa kira – kira 20 minit jika menaiki kenderaan bermotor
seperti kereta, bas, teksi, dan motosikal. Kampung Surau Panjang ini terletak
di antara Kampung Kedai Buluh dan Kampung Bukit.
Asal
usul nama Kampung Surau Panjang ini mengikut cerita penduduk setempat bahawa
nama kampung tersebut adalah sempena sebuah surau yang di kira amat panjang
oleh masyarakat Terengganu suatu masa dahulu. Namun surau tersebut telah
berubah bentuk sekarang ini.Surau ini dikatakan hanya menjadi masjid pada hari
Jumaat sahaja yang mana pada hari-hari lainnya ianya digunakan sebagai
balairaya oleh penduduk setempat. Dari semenjak dahulu lagi, ianya masyur dan
menjadi tumpuan jemaah-jemaah daripada kawasan sekitarnya seperti Kedai Buloh,
Surau Haji Daud dan Tok Adis.
Di
Kampung Surau Panjang terdapat kira-kira 12 orang penduduk kampung yang telah
mengusahakan bepang ini3. Bepang telah diusahakan oleh penduduk
Kampung Surau Panjang berpuluh-puluh tahun yang lalu. Oleh itu, pengusahaan
bepang ini telah menjadi turun temurun dari satu generasi ke satu generasi4.
Hal ini telah menyebabkan berlaku banyak perubahan dari segi banyak aspek
terutamanya pembukusan dan proses membuat bepang selari dengan permodenan
negara.
Pengusaha
bepang pulut di Kampung Surau Panjang adalah sebagai mercu tanda bagi kampung
ini kepada masyarakat dari dalam dan luar Terengganu. Selain itu, perusahaan
ini juga melibatkan secara langsung penduduk kampung dalam setiap proses
pengeluaran. Dan antara anggota masyarakat yang terlibat dalam perusahaan ini
kebanyakan dalam lingkungan umur 20 tahun hingga 60 tahun.
Selain
itu, perusahaan bepang ini telah menjadi buah mulut bagi setiap lapisan
masyarakat bukan sahaja di Terengganu malahan di semenanjung Malaysia seperti
Johor, Perak, Pahang, Selangor dan sebagainya telah diperkenalkan dan menjadi
kesukaan ramai. Bukan sahaja dari dalam negara bahkan ada daripada luar negara
sanggup ke rumahnya untuk membeli dan mengetahui cara – cara pemprosesannya.
PROSES MENYIRA DGN GULA
SEJARAH BEPANG PULUT
Setiap negeri di
Malaysia ini mempunyai keunikan yang tersendiri dan mempunyai adat resam yang
melambangkan sesuatu tempat serta merupakan tarikan kepada pelancong untuk ke
negeri tersebut. Oleh itu, di Terengganu juga mempunyai keunikan yang
tersendiri. Antaranya keropok lekor, kain batik, kain songket, penyu, masjid
Kristal, bepang pulut dan banyak lagi. Keunikan ini adalah sebagai lambang
kepada Negeri Terengganu dan juga sebagai sumber ekonomi kepada rakyat
Terengganu.
Negeri Terengganu Darul Iman adalah salah sebuah negeri yang
terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Ia terletak diantara garisan
bujur 102.25 dengan 103.50 dan garisan lintang 4 hingga 5.50. Di bahagian
selatan dan barat daya pula bersempadan dengan Pahang. Keluasan negeri
Terengganu sekarang kira-kira 1,295,638.3 hektar / 1,295,512.1 hektar. Jaluran
pantainya menganjur sejauh 225 kilometer dari Utara ( Besut ) ke selatan
(Kemaman). Sebelum tahun 1947 terdapat sembilan daerah di Terengganu; Kuala
Terengganu, Kemaman, Kemasik, Paka, Dungun, Marang, Hulu Terengganu, Besut dan
Setiu.
Penyelidik telah memilih bepang pulut sebagai tajuk kajian ini. Bepang
pulut ialah sejenis kuih tradisional yang berasal dari Kuala Terengganu. Bepang
ini dapat ditakrifkan sejenis makanan manis dan rangup yang sedap di makan
bila-bila masa sahaja. Setiap perkara mempunyai cerita mengenai asal usul dan
sejarahnya yang tersendiri. Termasuklah bepang pulut ini sebagai kuih
tradisional bagi Kuala Terengganu. Bepang pulut mula wujuk kira-kira seratus
tahun dahulu iaitu awal tahun 20-an.
Menurut Zakaria Bin Ariffin atau mesra dipanggil (Pok Ya) asal
usul bepang pulut adalah daripada Kampung Surau Panjang yang terletak di daerah
Kuala Terengganu5. Beliau berkata, beliau telah mengusahakan
perniagaan bepang pulut ini bermula tahun 1979 yang diwarisi daripada ibu
mertuanya6. Di Kampung ini terdapat antara 10 hingga 15 orang yang
telah mengusahakan bepang pulut ini. Mereka meneruskan tradisi nenek moyang
mereka yang telah meninggal dunia mengusahakan bepang pulut. Ada antara mereka
yang telah mewarisi warisan nenek moyang mereka beberapa generasi termasuklah
Zakaria Bin Ariffin yang telah menyerahkan pengusaharaannya kepada cucunya yang
merupakan generasi yang ke-4.
Pada awal tahun 20-an yang lalu, menurut Tuan Aznita Binti Tuan
Abdullah, Maryam Binti Abdullah atau nama gelarannya (mek ngiyang)
adalah orang yang pertama yang telah mengusahakan bepang pulut ini7.
Kata beliau lagi, cara pembuatan bepang pulut Maryam Binti Abdullah adalah yang
paling asli8. Hal ini kerana, Maryam Binti Abdullah menggunakan
bahan-bahan yang tradisional dan asli. Beliau menggunakan manisan kelapa yamg
asli, dapur kayu dalam mengahasilkan bepang pulut dan menggunakan lesung untuk
menumbuk beras pulut. Selain itu, pada setiap hari beliau akan bagun seawal
2.00 pagi untuk mengoreng beras pulut sehingga waktu subuh. Selepas beliau
selesai menunaikan solat, beliau terus mengaulkan menisan dengan beras yang
telah digoreng ketika panas-panas. Itulah keaslian bepang pulut yang
dihasilkan.
Selepas kematian beliau, pembuatan bepang pulut diwarisi anak
beliau ( Kalsum Binti Jusoh). Namun begitu, kesihatan anak beliau tidak mengizinkan
oleh iu, Kalsum terpaksa berhenti meneruskan pengusahaan ini. Akan tetapi
mengusaharaan ini tetap diteruskan oleh saudara yang berdekatan dengan rumahnya
dan juga jiran-jirannya. Oleh itu, sehingga sekarang bepang pulut masih lagi
bertahan.
Bepang pulut ini adalah resepi turun termurun nenek moyang yang
terdahulu yang diteruskan hingga sekarang. Pada zaman dahulu makanan ini
dijadikan sebagai pemanis mulut untuk dimakan dan boleh digantikan sebagai
penganti kepada gula-gula9. Bepang ini disukai oleh setiap lapisan
masyarakat tidak kira orang tua hingga kanak-kanak kerana kemanisan dan
keranggupan yang dirasai. Bepang pulut ini kadang kala dijadikan bekal mereka
untuk ke sawah atau ke kebun untuk mencari rezeki oleh orang-orang terdahulu.
Makanan manisan dapat memberikan lebih banyak tenaga kepada mereka untuk
melakukan aktiviti berat seperti mencangkul, menebas dan sebagainya.
Menurut Zakaria, asal usul nama bepang pada kuih tradisional ini
ialah daripada batu bata yang digunakan untuk mendirikan rumah. Hal ini kerana,
di Terengganu batu bata dipanggil batu bepang. Oleh kerana bentuk bepang segi
empat yang sama dengan batu bepang maka tercetuslah nama bepang ini pada kuih
tersebut. Oleh itu, sehingga sekarang Kampung Surau Panjang terkenal dengan
bepang dan menjadi tumpuan bagi pelacong untuk datang ke kampung ini untuk
mendapatkan bepang pulut10. Keunikan nama bepang pulut ini juga
mendapat tarikan orang ramai yang tidak kenal ape itu bepang. Terutama orang
yang tinggal luar daripada Terengganu.
KEISTIMEWAAN BEPANG
Bepang mempunyai keistimewaan yang tersendiri sama seperti kuih
tradisional yang lain. Walaupun kuih tradisional ini hanya dipasarkan secara
kecil-kecilan di Kampung Surau Panjang namun bepang pulut tetap menjadi
kesukaan dan buah mulut bagi setiap lapisan masyarat pelbagai kaum terutamanya
melayu, cina, india dan bangsa-bangsa lain.
Antara keistimewaan bepang ialah rasanya yang rangup dan manis
membuatkan ramai terpegun dengan keenakannya. Hal ini menyebabkan ramai yang
suka akan bepang. Bepang ini boleh didapatkan di Pasar Payang antara salah satu
tempat yang menjadi kebiasaan orang ramai untuk mendapatkan bepang ini. Pasar
Payang ini juga adalah salah satu tempat yang terkenal di Terengganu. Pasar
Payang terletak di pusat Bandar Kuala Terengganu. Tempat ini adalah tempat
untuk penggunjung membeli belah yang di sini terdapat pelbagai jenis barang
yang menjadi kebanggaan Terengganu ada dijual di sini. Antaranya ialah kain
batik, kain songket, keropok lekor dan juga bepang. Nasriah Binti Mohd Yusof
adalah salah seorang pelanggan tetap bepang yang selalu mendapatkan bepang
apabila beliau pulang ke kampung halamannya di Kampung Surau Panjang. Menurut
beliau, beliau akan ke kilang membuat bepang untuk membeli bepang yang baru
siap dibungkus kerana rasanya manis dan lemak bepang lebih sedap11.
Selain itu, bepang ini juga boleh bertahan dalam jangka masa yang lama. Oleh
itu, pada bungkusannya tidak terdapat tarikh luput untuk dimakan.
Negeri Terengganu sebenarnya juga dikenali sebagai negeri
pelancongan. Hal ini demikian kerana, Kerajaan telah memperkenalkan negeri ini
sebagai sebuah pusat pelancongan yang baru. Keindahan dan keunikannya menjadi
penggerak utama kepada pelancongan di Terengganu. Oleh itu, pelancong-pelancong
yang datang ke Terengganu tidak akan melepaskan peluang untuk mendapatkan
bepang untuk dijadikan buah tangan untuk dibawa pulang ke tempat mereka.
Menurut Zakaria juga, ada juga pelancong yang datang ke kilangnya
untuk melihat sendiri cara pemprosesan bepang ini iaitu pelancong dari Afrika
dan Arab antaranya12.
Bepang ini juga menjadi tarikan bagi penduduk tempatan. Menurut Zaiton
Binti Mamat, pendudukan akan membuat banyak tempahan apabila tiba musim
kenduri-kendara, perayaan dan cuti sekolah13. Pada ada
kenduri-kendara tidak kiralah majlis perkahwinan, majlis kesyukuran atau majlis
aqikah penduduk tempatan akan mem buat tempahan bepang untuk dijadikan buah
tangan kepada tetamu mereka yang hadir di majlis mereka. Tidak lupa juga pada pasangan
raja sehari yang memilih bepang untuk dijadikan hantaran pada majlis
perkahwinan mereka. Selain itu, bepang juga sesuai dibawa ketika pergi
berkelah. Hal ini demikian kerana, bepang yang mengandungi beras pulut apabila
dimakan kita akan rasa kenyang disamping rasanya yang manis dan rangup.
Kata salah seorang pekerja membuat bepang di kilang bepang iaitu
Tuan Aznita Binti Tuan Abdullah, bepang ini sangat enak dimakan ketika ia masih
panas yang baru siap digoreng dengan manisan14. Ketika itu, bentuk bepang
belum lagi dibentukkan menjadi segi empat. Apabila ditarik untuk dimakan ketika
panas-panas ianya seakan terdapat gam antara nasi dengan nasi pulut itu.
Katanya lagi, seperti pizza yang diletakkan keju yang banyak dan dimakan ketika
panas15. Akan tetapi untuk merasainya, pelanggan hanya boleh
mendapatkannya ketika berkunjung ke kilang dan ketika itu proses membuat bepang
sedang giat dilakukan. Oleh itu, ia hanya dapat dirasai oleh orang tertentu
sahaja.
Kata Zakaria pula, istimewanya bepang ini adalah prosesnya yang
agak rumit akan tetapi bahan-bahannya hanyalah beras pulut, manisan dan minyak
masak. Bepang mengambil masa beberapa hari iaitu sekurang-kurangnya 3 hari
untuk disiapkan. Pada mulanya, beras pulut direndam selama semalaman kemudian dikukus
dan kemudian akan dijemur ditegah panas terik matahari selama sehari jika musim
hujan pemprosesan bepang terpaksa diberhentikan untuk seketika. Selepas beras
pulut betul-betul kering di atas tikar jemuran mulalah proses menumbuk beras
tersebut supaya menjadi hancur sebiji-sebiji. Kumudiannya, beras tadi akan
digoreng di dalam kuali dengan menggunakan minyak masak. Setelah itu, barulah
boleh disira dengan manisan yang panas di dalam kuali dan digaul hingga sebati.
Selepas itu, dipotong menjadi bentuk empat segi dan dibungkuskan16.
Oleh itu, beliau mengatakan pemprosesan bepang ini sangat lah rumit akan tetapi
bahan-bahannya hanyalah ssedikit.
Keistimewaannya pembukaan kilang-kilang pembuatan bepang di Kampung
Surau Panjang ini dapat memberi peluang
pekerjaan kepada penduduk setempat. Hal ini demikian kerana, kebanyakan
penduduk di kampung tersebut hanyalah pekerja sebagai petani. Bagi menampung
kos perbelanjaan seharian kebanyakan wanita yang ini meringankan beban suami
mereka mengambil peluang untuk bekerja di kilang bepang. Semua kilang bepang
yang terdapat di Kampung Surau Panjang hanya menggunakan kemahiran penduduk
setempat sebagai pekerja di kilangnya tanpa mengupah bekerja asing di
kilangnya. Oleh itu, pengguna tidak lagi ragu tentang kebersihan dan
keselamatan bepang ini. Disamping itu juga, 100 peratus penggusaha dan pekerja
yang membuat bepang ini adalah muslim.
INOVASI PASARAN BEPANG
Bepang yang
diusahakan oleh Zakaria Bin Ariffin atau ZQ Bepang Pulut Surau Panjang nama
kilangnya milik ini sememangnya tidak
asing lagi bagi penggemar makanan tradisi di Terengganu. Produk keluaran
Bumiputera hasil kilang dapat dibanggakan kerana telah menembusi pasaran
antarabangsa. Bepang ini telah mendapat sambutan daripada pasaran Brunie17.
Selain itu, terdapat juga pelancong daripada Afrika, Arab dan New Zealand yang
berminat dengan keenakan bepang dan telah membelinya untuk dibawa pulang. Tidak
cukup dengan itu, pelancong-pelancong asing ini sanggup pergi ke kilang bepang
itu sendiri untuk mendapatkan bepang dan untuk melihat sendiri proses membuat
bepang13.
Menurut zakaria
lagi, antara peniaga luar dan orang perseorangan yang selalu membuat tempahan
termasuk dari Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan beberapa lagi negara
lain untuk dijualkan18. Ini membuktikan bepang di Terengganu bukan
sahaja mendapat sambutan di Terengganu bahkan di seluruh negeri di Malaysia
ini. Oleh itu, pada setiap hari pekerja di kilang milik Pok Ya wajib menyediakan
sekurang-kurangnya 2,500 bungkus bepang pulut yang telah dipaketkan bagi
memenuhi permintaan pelanggan19.
Menurut Zaiton pula, hasil pembuatan bepang beliau yang sememamgnya
wajib dihantarkan di Pasar Payang Kuala Terengganu. Namun begitu, ada juga peniaga luar dan orang perseorangan yang
selalu membuat tempahan dengan untuk dijual di negeri Perlis, Pulau Pinang,
Selangor dan beberapa negeri lain lagi. Selain itu, ada juga orang perseorangan
ini mendapatkan tempahan bepang dengan beliau untuk di jual di Indonesia20.
Hal ini membuktikan bepang ini juga telah mendapat sambutan daripada masyarakat
Indonesia.
Dalam penghasilan bepang telah banyak berlaku perubahan dari segi
teknologi dan inovasi dalam pelbagai aspek. Dalam aspek pembukusan bepang, pada
awalnya menurut Zaiton, setelah selesai proses membuat bepang dan selesai
dipotong bentuk segi empat akan dimasukkan ke dalam tin dan kemudian akan
dibawa untuk dijajakan di Pasar Payang. Apabila pelanggan ini membelinya,
bepang akan dijual mengikut kepingan yang telah dipotong tadi lalu baru
dimasukkan ke dalam plastik21. Akan tetapi ini membuatkan bepang itu
cepat lemau. Kemudian berlakulah inovasi pada pembukusan bepang ini. Bepang
yang telah siap dipotong akan dimasukkan ke dalam plastik akan dikacipkan
dengan stepler. Permintaan bepang semakin hari semakin bertambah. Oleh itu,
menggunakan “stepler” masih tidak memadai dengan pemintaan yang sanggat banyak.
Kemudian berlaku lagi kemajuan teknologi pada pembukusan bepang.
Menurut Zakaria, pembukusan ini tidak lagi menggunakan stepler
tetapi menggunakan teknologi baru iaitu syiler untuk mengacip beungkusan
tersebut. Selain itu, untuk mempercepatkan lagi bungkusan bepang plastik yang
digunakan plastik biasa kemudian akan meletakkan pula kertas jenama pengusaha
di dalamnya. Kerja ini membuatkan banyak masa digunakan, oleh itu kemudahan
teknologi yang ada dimanfaatkan sebaik mungkin. Plastik biasa tadi diinovasikan
dengan mengecopkan jenama pengusaha pada plastik itu sebelum digunakan untuk
membungkus bepang22. Jenama pengusaha ini penting kerana akan
memudahkkan pelanggannya membuat tempahan bagi yang berminat.
Pada tahun 80-an, teknologi baru digunakan dalam memproses bepang
pulut. Kata Zakaria, pada mulanya, setelah selesai dijemur beras pulut. Beras
pulut akan ditumbuk menggunakan lesung23. Akan tetapi dengan kudrat
yang ada pada manusia ini penghasilannya terbatas. Oleh kerana tempahan semakin
hari, tempahan bepang semakin bertambah jumlahnya. Proses menumbuk bepang ini
digantikan dengan mesin dan tidak lagi ditumbuk dengan lesung menggunakan
tangan. Penggunaan mesin ini dapat menambahkan lagi jumlah pengeluaran bepang.
Kata beliau lagi, pada ketika dahulu penggeluaran bepangnya hanyalah 200
bungkus sehari namun dengan kemajuan teknologi yang ada ini beliau dapat menghasilkan
2,500 bungkus sehari24.
KESIMPULAN
Bepang pulut ini
dalah resepi turun temurun dari nenek moyang yang terdahulu lagi. Oleh itu,
bepang pulut ini perlu diteruskan perwarisannya supaya generasi akan datang
tahu apa itu bepang. Selain itu, harapan pengusaha-pengusaha ini adalah
pengusahaan mereka ini mendapat sambutan dari generasinya untuk meriwasi
makanan tradisi ini25.
Pada masa akan
datang diharapkan pengusaharaan bepang ini dapat diperluaskan lagi dan yang
sedia ada pada masa ini semakin memajukan penggusaharaan mereka. Disamping itu
juga, pihak kerajaan juga berperanan dalam memberi bantuan mesin atau subsisi
beras pulut kepada pengusaha bepang bagi mengurangkan kos pengeluaran mereka.
Hal ini kerana inflasi yang berlaku menyebabkan harga barang semakin meningkat.
Dengan adanya bantuan kerajaan tadi pengusaha akan dapat menambahkan lagi
jumlah keluaran mereka.
Pengusaha bepang
pulut juga berharap bepang pulut ini dapat dipasarkan dengan lebih meluas
keluar negara. Hal ini juga dapat membantu meningkatkan ekonomi negara dan
menaikkan nama Malaysia dipersadar dunia. Selain itu, diharapkan juga lebih
banyak cawangan-cawangan yang dapat dibuka di seluruh Malaysia. Hal ini bagi
memudahkan penggemar bepang mendapatkan bepang pulut ini.
Telah banyak
kejayaan bepang pulut ini yang menyebabkan bepang dapat menembusi pasaran
Brunai. Selain merupakan lambang kepada negeri Terengganu yang menrik peminat
pelancong-pelancong untuk datang ke Terengganu.
Pada keseluruhannya, penyelidik dapat mengetahui dan dapat memahami
dengan sebaiknya cara memproses bepang ini. Oleh itu, penyelidik berharap pengusahaan
bepang ini dapat diteruskan oleh generasi-generasi akan datang supaya ia tidak
dilupakan begitu sahaja. Selain itu, keaslian bepang pulut dapat dikekalkan
supaya keenakkan bepang dapat dikekalkan.
BIBLIOGRAFI
https://www.youtube.com/watch?v=-1FLPDxmrA4
Majalah Suara
Kita, keluaran 6, Mac 2015.
Nariyah Binti Mamat, di Kampung Tok Dir, 14
Febuari 2016, 9.30 pagi.
Tuan Aznita
Binti Tuan Abdullah, di Kampung Surau Panjang, 13 Febuari
2016, 11.00 pagi. Rosni Binti Abdullah, di Kampung Surau Panjang, 13 Febuari
2016, 11.30 pagi
Zaiton Binti
Mamat, di Kampung Surau Panjang, 13 Febuari 2016, 10.30 pagi
Zakaria Bin Ariffin ,di Kampung Surau Panjang,
23 Januari 2016, 5.30 petang.
Numpang promo ya Admin^^
BalasHapusayo segera bergabung dengan kami di ionqq^^com
dengan minimal deposit hanya 20.000
add Whatshapp : +85515373217 ^_~