TINJUAN AWAL KG PASIR SIMPUL



             
 




Kampung Pasir Simpul,Kuala Berang,Terengganu  (1962-2000) tinjuan awal pensejarahan


 Kampung Pasir Simpul adalah salah sebuah kampung yang berada di bawah Mukim Hulu Telemong yang ditadbir oleh penghulu mukim dan di bawah Dun Telemong yang ditadbir oleh YB Rozi bin Mamat serta kampung ini terletak di Kuala Berang. Kampung Pasir Simpul juga terletak di laluan ke Tasik Kenyir. Jarak dengan pekan Kuala Berang lebih kurang 28 km dan dari bandar utama pula iaitu bandar Kuala Terengganu ialah 62 km. Kampung yang paling hampir dengan kampung ini ialah Kampung Chapu, Kampung Tok Lawit, Kampung Kuala Ping dan Kampung Tengkawang.
             Kampung Pasir Simpul merupakan sebuah perkampungan yang kecil yang dihuni oleh 154 orang dan sebilangan besarnya adalah penduduk asal kampung. Kini, ramai penduduk dari pelbagai negeri berhijrah ke mari atas beberapa faktor. Salah satu faktornya adalah melalui perkahwinan dimana mengikut suami ataupun isteri menetap di kampung tersebut. Melalui bancian yang telah dibuat pada tahun 2014, terdapat sebanyak 40 buah rumah yang dibina di Kampung Pasir Simpul. Kebanyakkan rumah yang dibina diperbuat daripada kayu dan ada juga yang membina rumah daripada batu.
              Walaupun Kampung Pasir Simpul merupakan sebuah perkampungan yang kecil, namun kampung ini mempunyai pelbagai kemudahan  yang disediakan. Antaranya kemudahan yang disediakan ialah jalan raya bertar sepanjang 1.5 km manakala jalan kampung tanah sepanjang 0.7 km serta jalan batu kerikir sepanjang 5 km. Seterusnya, bekalan air bersih juga disediakan iaitu air paip kerajaan sebanyak 42 buah dan juga bekalan elektrik sebanyak 42 buah. Selain itu, kampung ini juga mempunyai kemudahan infrastruktur seperti terdapat satu buah buah masjid, balai raya dan juga beberapa kedai makan.
             Kegiatan utama penduduk Kampung Pasir Simpul kebanyakannya bekerja sebagai petani. Hal ini demikian kerana, kegiatan pertanian merupakan kegiatan utama penduduk kampung sejak dari dulu kala lagi sehinggalah ke hari ini. Antara kegiatan pertanian yang dilakukan ialah menanam padi dan juga getah. Namun begitu, boleh dikatakan sebanyak 16% yang berkerja dalam sektor swasta manakala 8% bekerja dalam sektor kerajaan dan ada juga yang bekerja sendiri. Pekerjaan yang dilakukan adalah untuk menambahkan pendapatan keluarga.

                Kampung Pasir Simpul telah wujud pada awal tahun 1920 dan merupakan sebuah perkampungan tradisional. Mula diduduki oleh keluarga orang dagang yang berasal dari negeri Pahang yang dikenali sebagai Hj. Kiai. Beliau sekeluarga telah mengembara sambil berdagang  Kemudiannya satu keluarga dari gunung Lawit juga telah berhijrah ke kampung ini. Menurut cerita-cerita orang tua dahulu, mengatakan bahawa nama kampung ini diambil sempena nama pokok. Nama kampung ini wujud semasa sebuah keluarga orang dagang berkenaan mandi si sungai lalu terpandang akan pokok simpul yang besar tumbuh di tengah-tengah pasir lalu mereka bersepakat menamakan kampung ini Kampung Pasir Simpul.1

Perkembangan Kampung Pasir Simpul dari segi Ekonomi

               Orang-orang tua kampung dahulu kebanyakkannya bertani untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga. Kegiatan yang dilakukan oleh penduduk pada waktu itu adalah bercucuk tanam. Kampung tersebut bertuah kerana mempunyai bentuk muka bumi yang baik serta mempunyai aliran sungai yang baik dan sesuai untuk melakukan aktiviti pertanian. Semua penduduk pada ketika itu bekerja sebagai petani. Antara tanaman yang diusahakan ialah padi dan getah. Pada masa dahulu, mereka mengunakan kerbau untuk membajak sawah agar lebih mudah mereka menanam anak benih padi. Kegiatan ini juga telah menambahkan pendapatan ekonomi mereka. Pertanian ini juga dijalankan di seluruh kampung. Selain menanam padi dan pokok getah, mereka juga menanam pokok buah-buahan seperti pokok duku, langsat dan durian. Kegiatan ini masih dilakukan dan masih berkekalan sehingga hari ini.2
                Tanaman yang paling banyak diusahakan pada masa itu adalah padi yang berkeluasan 25 ekar.Tanaman padi merupakan kegiatan ekonomi yang paling lama sekali diusahakan penduduk kampung tersebut. Pada masa yang sama, mula-mula kampung ini dibuka, penduduk-penduduk kampung mencari kawasan yang sesuai untuk kegiatan bercucuk tanam dan pelbagai jenis bekalan makanan lagi. Lagipun, beras merupakan makanan ruji rakyat pada ketika itu. Hasil daripada pertanian tersebut, mereka menjualnya kepada orang ramai termasuklah daripada kampung lain.3
                Selain itu, penternakan juga dilakukan oleh penduduk kampung yang  bermula 50-an. Mereka menternak pelbagai jenis binatang seperti lembu, kerbau iaitu kuantitinya sebanyak 12 ekor , ayam yang kuatitinya dalam lingkungan 130 ekor dan sebagainya menurut seorang penduduk kampung. Penternakan di kampung ini membawa keuntungan kepada penduduk kampung ini. Pada masa yang sama, mereka menjadikan penternakan ini sebagai sumber makanan ketika mengadakan pelbagai majlis.5 Kebanyakan mereka lebih cenderung melakukan penternakan dan ada juga haiwan-haiwan yang diternak dijadikan sumber makanan yang dijadikan lauk-pauk ketika dalam majlis seperti majlis perkahwinan dan lain-lain.
                Seterusnya, pada zaman dahulu juga, anggaran tahun 60- an juga, mereka mula menjinakkan diri dalam aktiviti jual beli secara kecil-kecilan. Mereka ke Kuala Berang untuk melakukan aktiviti berjual beli dan antara barang-barang yang dijual adalah hasil pertanian yang diusahakan dan penternakan yang dilakukan. Pada waktu itu juga harga sangat murah dan mampu dibeli oleh penduduk kampung. Menurut cerita orang-orang tua dahulu, betapa susahnya mereka hendak ke pekan Kuala berang. Hal ini demikian kerana, mereka terpaksa mendayung sampan untuk sampai ke sana melalui sungai Hulu Telemong dan ada juga yang terpaksa berjalan kaki kerana tidak mempunyai sampan. Menurut orang kampung juga, mereka membina rakit daripada buluh dan diikat dengan rotan-rotan. Pengakutan ini juga digunakan untuk mengangkut barang selain sampan. Mereka mengambil masa yang berjam-jam untuk sampai ke pekan tersebut dan ada juga mengambil masa berhari-hari. Mereka bangun seawal pukul 5.00 pagi untuk bertolak untuk melakukan kegiatan jual beli. Pada ketika itu juga, sayur-sayuran dijual dengan harga yang murah iaitu berharga RM0.50 sahaja.6 Masalah kebuluran pada ketika itu dapat diatasi oleh penduduk kampung dan mereka mampu menjalani kehidupan dengan baik
                 Menurut seorang nenek, pada ketika dahulu, kaum perempuan akan pergi ke sungai untuk mencuci pakaian yang kotor dan juga mengambil sumber bekalan air.  Setiap hari mereka terpaksa berulang-alik ke sungai. Hal ini kerana, bekalan air paip pada masa itu tidak ada lagi.7

Perkembangan Infrastruktur di Kampung Pasir Simpul

             Menurut penduduk kampung ini, keadaan kampung ini amat teruk dan banyak kesusahan yang dihadapi oleh penduduk kampung ini pada ketika itu. Hal ini demikian kerana, keadan jalan dahulu yang berpaya dan menyusahkan penduduk kampung. Mereka berjalan kaki untuk sampai ke satu tempat ke tempat yang lain kerana pada masa itu kenderaan seperti motorsikal, kereta   masih tidak diperkenalkan lagi. Namun begitu, basikal hanya wujud dengan bilangan yang sedikit dan jika adapun tidak mampu dibeli oleh penduduk kampung.7 Orang kampung juga hanya mengunakan pelita di waktu gelap dan hanya berpandukan cahaya bulan.
                Selain daripada itu, menurut orang kampung, Hj. Kiai merupakan orang penting yang telah membuka dan memajukan kampung ini dengan mendirikan sebuah surau di tepi sungai yang diberi nama Sungai Telemong. Surau ini juga dijadikan kelas agama bagi penduduk kampung tidak kira umur. Surau ini merupakan surau yang pertama dibina di kampung ini. Surau ini dibina menggunakan kayu-kayu yang disumbangkan oleh penduduk-penduduk kampung. Surau ini dapat dibina dengan kerjasama penduduk Kampung Pasir Simpul. Pada awal tahun 1978, surau itu telah dipindahkan  di tapak yang baru yang ada sekarang. Justeru itu, Surau itu juga telah ditukarkan menjadi masjid. Mereka memindahkan surau itu adalah untuk keselamatan penduduk kampung kerana surau itu terletak berhampiran dengan sungai. Dengan langkah berjaga-jaga, mereka bersepakat memindahkan surau itu ke tempat yang baru.15 Surau itu telah diubahsuai menjadi masjid dan dibina sepenuhnya daripada kayu. Masjid baru itu mempunyai keluasan 200 200 kaki persegi. Jemaahnya pula terdiri daripada penduduk kampung tersebut dan juga penduduk Kampung Chapu dan Kampung Tok Lawit.8
               Infrastruktur rumah zaman dahulu juga sangat usang. Kebanyakan rumah diperbuat daripada kayu-kayu dan atap daripada daun-daun pokok. Rumah yang dibina seperti bangsal-bangsal atau pondok. Hanya itu sahaja yang mampu dibina oleh penduduk kampung pada masa itu. Namun, keadaan rumah-rumah yang dibina tidak berada dalam keadaan selesa kerana hanya beratapkan daun-daun pokok dan berlantaikan kayu-kayu.19 Orang kampung juga hanya mengunakan pelita di waktu gelap dan hanya berpandukan cahaya bulan.

Perkembangan  Kampung Pasir Simpul dari segi sosial
                Kampung ini juga merupakan sebuah kampung yang dihuni oleh semua penduduk yang berbangsa Melayu dan majoritinya penduduk ini merupakan beragama Islam.
                 Dari segi pendidikan pula, pendidikan merupakan salah satu asas kepada sebuah kejayaan. Walaupun kampung ini tidak mempunyai sekolah, penduduk kampung ini tidak menjadi ketiadaan sekolah sebagai halangan untuk menghantar anak-anak mereka menuntut ilmu. Mereka berusaha menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang berada di Kampung Tok Lawit. Namun sekolah itu diberi nama Sekolah Kebangsaan Kuala Ping yang terletak di Kampung Tok Lawit. Pada asalnya sekolah itu dibina di Kampung Kuala Ping, namun sebahagian kampung tersebut diambil alih oleh Kampung Tok Lawit. Sekolah ini menyediakan pembelajaran kepada anak-anak yang berumur antara tujuh hingga 12 tahun.Sekolah yang dibina itu keseluruhannya diperbuat daripada kayu. Pada masa itu, sekolah kelihatan sangat uzur. Namun begitu, sekolah itu menjadi sebuah tempat menuntut ilmu untuk anak-anak penduduk kampung. Menurut seorang pak cik juga, dahulu anak-anak kecil hanya berpakaian lusuh ke sekolah dan ada juga yang tidak memakai kasut mahupun selipar. Yang paling menyedihkan, sekolah itu sering ditimpa musibah banjir setiap kali musim tengkujuh. Menurut ceritanya lagi, sekolah itu hanya mempunyai 3 orang guru  dan mempunyai 70 orang pelajar sahaja. Pelajar itu terdiri daripada Kampung Pasir Simpul, Tok Lawit dan juga Kuala Ping.10 Banyak peralatan-peralatan sekolah musnah kerana ditenggelami oleh  banjir. Namun kini, sekolah itu telah banyak berubah menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Sekolah itu masih berdiri megah.

               Tambahan pula  menurut orang kampung,kampung ini juga terkenal dengan permainan tradisional. Galah panjang merupakan salah satu permainan tradisional yang terkenal dalam kalangan kanak-kanak. Kebiasaannya, mereka bermain permainan ini pada waktu petang bagi meluangkan masa lapang. Galah panjang merupakan sebuah permainan yang dilakar di atas tanah ataupun pasir menggunakan ranting-ranting kayu. Permainan ini dimainkan seramai 10 orang. Gelanggang dilakar dengan membuat lajur dibahagian hadapan, tengah dan belakang dan beberapa petak mengikut bilangan permain. Permainan ini menunjukkan bagaimana seorang ketua membuat strategi bersama ahli-ahlinya supaya pasukan lawan tidak dapat melepasi halangan mereka. Manakala pasukan lawan pula perlu bijak mengawal pergerakkan supaya dapat melepasi pihak lawan. Hal ini demikian kerana, jika pihak lawan dapat menyentuh anak buah dikira gagal dan akan dikeluarkan daripada gelanggang. Namun begitu, permainan ini semakin tenggelam di telan zaman ekoran peredaran masa mengikut arus pemodenan.11
               Menurut seorang mak cik,Puan Zakiah, selain daripada galah panjang, permainan congkak juga merupakaan salah satu permainan yang sering digemari oleh kanak-kanak mahupun dewasa. Permainan ini lazimnya dimainkan dalam papan kayu yang dibuat lubang ditengah-tengahnya sebanyak 16 lubang dimana terdiri daripada 14 lubang kecil dan 2 lubang besar. Dimana permainan ini diisi dengan biji getah yang dikutip. Permainan ini hanya boleh dimainkan seramai 2 orang sahaja. Syarat permaianan ini ialah, jika salah seorang meletakkan biji getah di tempat yang kosong dikira kalah. Permainan ini masih dimainkan sehingga kini.1

Keistimewaan Kampung Pasir Simpul              
              Dalam mencapai ke arah kemajuan kampung, kampung ini telah banyak menyertai pelbagai pertandingan yang diadakan. Pada masa yang sama, kampung ini juga seringkali mendapat tempat dalam acara yang dipertandingkan. Antaranya ialah mengambil bahagian dalam aktiviti gotong-royong kebersihan peringkat negeri Terengganu. Penyertaan ini telah menaikkan nama Kampung Pasir Simpul.  Selain itu, dengan menyertai program ini, penduduk kampung ini telah banyak belajar dalam menjaga kebersihan kawasan kampung.
              Pada masa yang sama, dalam meniti arus kemodenan ini, jalan-jalan yang berselut serta berlumpur yang juga dipenuhi dengan semak-samun telah dibaik pulih dan diganti dengan jalan raya yang bertar sepanjang kampung. Beberapa bangunan telah banyak didirikan antaranya kedai-kedai makan, kedai runcit dan banyak lagi.
              Kampung ini juga mempunyai sebuah padang untuk pelbagai aktiviti sukan. Kebiasaanya padang ini akan dipenuhi dengan remaja-remaja yang ingin bermain bola sepak. Maklumlah, sukan bola sepak merupakan sukan yang digemari oleh orang ramai dalam pelbagai lingkungan umur. Biasanya, mereka akan bermain pada waktu petang. Selain padang, kampung ini juga telah membina sebuah gelanggang sepak takraw untuk anak-anak muda bermain. Hal ini demikian kerana, kampung ini telah banyak mengalami perubahan ke arah kemajuan kampung.
              Walaupun Kampung Pasir Simpul merupakan sebuah perkampungan yang kecil dan tidak terkenal, namun penduduk di kampung ini mempunyai semangat yang tinggi yang telah mendorong mereka untuk terus memajukan kampung ini. Penduduk di kampung ini mempunyai sikap tolong-menolong antara satu sama lain. Kebiasaannya, penduduk ini sentiasa bekerjasama dalam melakukan sesuatu perkara. Menurut ketua kampung, hal ini dapat dilihat melalui program yang dianjurkan seperti gotong-royong membersihkan kawasan kampung, masjid, kubur dan lain-lain. Mereka menunjukkan sikap yang positif. Menurutnya lagi, gotong royong ini biasanya dilakukan oleh kaum lelaki manakala kaum wanita pula menyediakan makanan untuk mereka. Penduduk kampung ini terkenal dengan sikap bersatu padu dan tolong menolong dan amat baik jikalau menjalankan sesuatu program keindahan dan keceriaan kampung.14
              Menurut ketua kampung, awal 90-an, sistem saluran parit telah dibina untuk kemudahan kampung terutamanya kepada aktiviti penanaman padi. Rumah Pam (JPS) telah ditubuhkan di Kampung Pasir Simpul. Melalui rumah pam ini, air sungai tersebut dapat mengalir dengan baik ke sawah padi daripada sungai Telemong melalui saliran parit-parit yang dibina. Menurut seorang nenek, parit ini memudahkan penyuburan tanaman padi. Menurutnya lagi, kampung ini mempunyai kawasan pertanian yang agak luas yang dipenuhi dengan penanaman padi.15
            Setelah kampung ini mencapai kemajuan, pada tahun 2000, sebuah balai raya berjaya dibina hasil daripada sumbangan yang diberikan. Dahulunya, tapak balai raya merupakan sebuah hutan yang penuh dengan pokok-pokok dan semak-samun. Gotong-royong telah dilakukan dalam membina balai raya. Namun kini, tapak itu telah dibina sebuah bangunan iaitu balai raya. Balai raya ini juga menjadi tempat untuk jawatankuasa kampung mengadakan mesyuarat disamping aktiviti-aktiviti lain yang dianjurkan oleh penduduk kampung.16
             Pada tahun tesebut juga, penduduk kampung dapat melahirkan anak-anak yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPTA. Seramai 19 orang anak-anak kepada penduduk ini yang telah bejaya melanjutkan pelajaran universiti. Perkara ini telah membuktikan bahawa kampung ini mampu melahirkan anak-anak yang cemerlang dalam menuju wawasan 2020. Kejayaan ini memberi kenangan manis kepada penduduk kampung tersebut.17
     

Kesimpulan
  
          Dalam jangka masa yang lama bermula dari awal penubuhannya hinggalah tahun 2000, telah banyak perubahan yang berlaku ke arah kemajuan dan perkembangan yang dapat dilihat di Kampung Pasir Simpul. Pada zaman dahulu, penduduk kampung mementingkan ekonomi kerana merupakan salah satu pendapatan dalam melangsungkan kelangsungan hidup. Kegiatan pertanian masih kekal sehingga ke hari ini. Di samping itu, mereka dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain melalui pelbagai majlis yang diadakan di kampung tersebut. Daripada itu, mereka lebih mengenali antara satu sama lain dan saling menolong.
           Bermulanya pelbagai perubahan ke arah kemajuan dan pembangunan kampung. Hal ini dibuktikan dengan adanya jalan raya, balai raya, rumah pam, masjid dan sebagainya hasil bantuan dan sumbangan penduduk kampung dan juga jabatan daerah. Malah, bukan itu sahaja, kampung ini juga dapat melahirkan anak-anak yang cemerlang yang dapat melanjutkan pelajaran kearah yang lebih tinggi.
           Akhir sekali, dengan melakukan kajian ini, pengkaji dapat mengetahui dengan lebih terperinci lagi dan pada yang sama dapat menjelaskan kepada penduduk Kampung Pasir Simpul mengenai sejarah kampung terutamanya kepada generasi-generasi yang akan datang. Pengkaji juga dapat mengambil pengajaran daripada sejarah yang lalu untuk diambil sebagai panduan kepada kita.


     





Bibliografi
1. Ahmad bin Yaakob,temu bual,22 Februari 2016,Kampung Pasir Simpul
2. Profil Kampung Pasir Simpul
3. Rosli bin Mustaffa,temu bual,23 Januari 2016,Kampung Pasir Simpul
4. Sulaiman bin Ismail,temu bual,22 Januari 2016,Kampung Pasir Simpul
5. Fatimah binti Abdul Kadir,temu bual,23 Januari 2016,Kampung Pasir Simpul
6. Zakiah binti Mohd Amin,temu bual,2 Februari 2016,Kampung Pasir Simpul






Komentar

  1. Numpang promo ya Admin^^
    ayo segera bergabung dengan kami di ionqq^^com
    dengan minimal deposit hanya 20.000
    add Whatshapp : +85515373217 ^_~

    BalasHapus

Posting Komentar

Postingan populer dari blog ini

P2 bab 3

BEPANG DAN SEJARAH KULINARI

PULAU DUYUNG ADALAH LIDAH NEGERI TERENGGANU