HAJI YUNUS HASSAN - IKON ISLAMIK




HAJI  YUNUS HASSAN  -    IKON ISLAMIK  ;                    
(SEBUAH KAJIAN AWAL TENTANG SUMBANGAN BELIAU DALAM    PENDIDIKAN  TERENGGANU ) TAHUN 2000-2014.

PENGENALAN
      Haji Yunus bin Hassan merupakan seorang tokoh berjaya dalam dunia pendidikan di  Terengganu. Beliau merupakan salah seorang anak kelahiran Kampung Tok Lawit yang  berjaya. Haji Yunus bin Hassan dilahirkan pada 31 Disember 1950 di Kampung Tok Lawit. Sejak usia 3 tahun lagi beliau berminat dalam mendalami ilmu agama dengan mengikuti  bapanya, Hassan bin Abdullah menghadiri majlis-majlis di sekitar Kampung Tok Lawit antaranya  Kampung Pasir Simpul dan Kuala Ping.1
        Pada tahun 1957 hingga 1962, Haji Yunus bin Hassan telah mendapat pendidikan awal  di Sekolah Kebangsaan Kuala Ping selama 6 tahun. Sepanjang berada di sekolah rendah, beliau banyak menyertai pertandingan pidato, syarahan, dan perdebatan. Pada tahun 1962  beliau telah memenangi pertandingan debat antara sekolah-sekolah kebangsaan di Hulu  Terengganu. Beliau juga berminat dalam mata pelajaran Pendidikan Islam dan pernah  menjadi mentor untuk subjek Pendidikan Islam.2
        Pada tahun 1963 hingga 1968, beliau telah menyambung ke Madrasah Darul Ulum di  Kampung Durian Guling atau sekarang lebih dikenali Sekolah Menengah Kebangsaan  Agama Durian Guling. Sepanjang di alam sekolah menengah beliau masih bergiat aktif  dalam pertandingan syarahan Bahasa Arab dan mewakili sekolah dalam beberapa  pertandingan. Beliau juga berminat memberi ceramah di surau sekolah  beliau selepas waktu  magrib ketika tinggal di asrama.  Menurut beliau, kawan-kawan gemar  memanggil beliau dengan  panggilan ‘’ulama muda’’.3
       Selepas tamat alam menengah pada tahun 1968-1972 beliau telah meneruskan  pengajian  beliau di Darul Ulum Deoband, India dalam pengajian syariah. Walaupun terpaksa  meninggalkan kedua-dua ibu bapa, beliau tetap bersemangat untuk menutut ilmu sehingga ke  luar negara. Bagi Haji Yunus bin Hassan peluang yang diberi oleh Allah perlu kita ceburi  lebih-lebih lagi peluang dalam menuntut ilmu. Ketika di India, banyak ilmu yang telah beliau  kuasai dan telah bertemu ramai kawan-kawan dari pelbagai negara.  Pada tahun 1973-1975  beliau menyambung dalam pengajian syariah di Universiti Al-Azhar, Mesir kerana minat  yang mendalam dalam ilmu syariah.4
        Mula berjinak dalam pendidikan sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan  Bentong, Pahang bermula tahun 1976 hingga 1983. Mengajar dalam mata pelajaran  Pendidikan Islam bagi pelajar tingkatan satu hingga tingkatan tiga. Pernah memenggang  jawatan guru ketua bidang Pendidikan Islam.  Pada tahun 1983 hingga 2006 beliau telah  dinaikkan pangkat ke Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu sebagai Ketua Sektor Pendidikan Islam dan Moral.5
     Pada tahun 2007 beliau telah bersara dalam Perkhidmatan Awam.  Walaupun telah  bersara dalam dunia pendidikan, beliau tetap menyumbang bakti  kepada masyarakat dengan  mengadakan ceramah bebas, menjadi Imam di Masjid As syakirin, Kampung  Kuala  Ping.6   


LATAR BELAKANG
            Haji Yunus bin Hassan merupakan tokoh pendidikan yang disengani dalam kalangan  penduduk Kampung Tok Lawit, Hulu Terengganu. Beliau merupakan seorang pendidik yang sangat menekankan ilmu agama dan kini menawarkan dirinya sebagai penceramah bebas yang sangat profesional sama ada memberi ceramah dalam kalangan masyarakat kampung di  masjid-masjid atau di kalangan pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah. HajiYunus  bin  Hassan merupakan ikon islamik dalam kalangan penduduk Kampung Tok Lawit.7
            Tokoh Haji Yunus bin Hassan dilahirkan pada 31 Disember 1950 di Kampung Tok Lawit, Hulu Terengganu.  Beliau merupakan anak sulung daripada tiga orang adik beradik.  Ayahanda beliau, Haji Hassan bin Abdullah merupakan seorang pesawah padi.  Manakala bonda beliau, Maznah binti Mahmud merupakan seorang suri rumah yang sangat bermotivasi. Kesusahan dalam menjalani liku-liku kehidupan menyuntik semangat ingin berjaya dalam diri Haji Yunus bin Hassan sejak dari kecil lagi.  Tambahan pula beliau merupakan anak sulung lelaki yang menjadi role model bagi dua orang adik perempuan beliau. Kata tokoh, setiap kali selepas waktu solat magrib, bonda beliau selalu memberi kata-kata semangat dengan menyatakan ‘’dunia yang Allah beri hari ini adalah pinjaman semata-mata, apakah bakti yang kita ingin tanamkan di dunia ini melainkan ilmu sahaja’’ Kata-kata ini menjadi perangsang kepada Haji Yunus bin Hassan sehingga beliau berjaya hari ini.8
                Rentetan kehidupan Haji Yunus bin Hassan diteruskan ke alam sekolah rendah pada tahun 1957 hingga 1962.  Awal persekolahan beliau bermula darjah satu hingga darjah enam di Sekolah Kebangsaan Kuala Ping, Hulu Terengganu.  Sepanjang berada di sekolah rendah, beliau banyak menyertai dalam pertandingan sama ada pada pada peringkat sekolah, peringkat daerah dan peringkat negeri.  Semasa di sekolah rendah, beliau telah menlibatkan diri dalam Kelab Bahasa Melayu dan bagi badan beruniform pula ialah pengakap.  Beliau  memengang jawatan sebagai pengerusi dalam persatuan dan sebagai setiausaha dalam badan beruniform.  Haji Yunus bin Hassan turut memengang jawatan sebagai ketua pengawas pada tahun 1962.  Sikap kepimpinan sudah terpancar sejak beliau di alam sekolah rendah lagi.  Sikap berani bercakap di khalayak ramai mendorong beliau ingin menjadi seorang pendidik.  Tokoh ini telah menanam cita-cita ingin menjadi seorang guru agama dan penceramah sejak darjah satu lagi.9
             Selepas tamat alam sekolah rendah, beliau meneruskan pendidikan beliau di Madrasah Darul Ulum di Kampung Durian Guling.  Bermula tahun 1963 hingga 1968 menuntut ilmu di Madrasah Darul Ulum atau lebih dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Durian Guling.  Sejak beliau mula menadah ilmu di madrasah membuat Haji Yunus bin Hassan mula meminati subjek agama seperti Bahasa Arab, Syariah dan Ilmu Tauhid.  Sepanjang di alam menengah beliau bergiat aktif dalam pertandingan syarahan Bahasa Arab dan banyak melibatkan diri dalam pertandingan yang dianjurkan di sekolah.  Kelebihan petah berkata-kata yang wujud dalam diri beliau digunakan serta dimanfaatkan sepuhnya kepada sekolah dan pelajar-pelajar yang lain.  Beliau juga berminat memberi ceramah dan tazkirah di surau sekolah beliau sama ada selepas solat magrib, sebelum solat zohor dan setiap masa lapang yang ada. Ustaz di madrasah beliau memberi kepercayaan kepada Haji Yunus bin Hassan menyampaikan ceramah sempena bulan  Ramadhan sewaktu beliau di tingkatan lima bertempat di Surau Padang Midin. Beliau sangat terharu dan bangga dengan sikap berani beliau dalam menyampaikan ceramah, Ustaz  Syafie guru mata pelajaran syariah sentiasa memberi semangat kepada beliau dan selalu meminta beliau untuk menyampaikan ceramah. Sejak dari peristiwa kali pertama beliau memyampaikan  ceramah, beliau mula berminat untuk menjadi penceramah bebas. Kawan- kawan beliau menggelar Haji Yunus bin Hassan ‘’Ulama Muda’’.10
            Selepas tamat dalam dunia pendidikan di alam menengah, pada tahun 1968 Haji Yunus bin Hassan telah mendapat tawaran dari Darul Ulum Deoaband, India dalam pengajian syariah.  Walaupun terpaksa meninggalkan kedua-dua ibu bapa, beliau tetap bersemangat untuk menuntut ilmu sehingga ke luar negara.  Saat beliau ingin terbang ke Negara India, ayahanda beliau telah jatuh sakit menyebabkan hati beliau semakin berat untuk meninggalkan keluarga. Tambahan pula mempunyai masalah kewangan, namun masalah itu dapat di atasi dengan bantuan ahli keluarga terdekat yang menghulurkan sejumlah wang untuk membantu Haji Yunus bin Hassan untuk melanjutkan pelajaran.  Kos perbelanjaan untuk satu bulan memerlukan RM50.00. Dunia India banyak mengubah hidup beliau untuk sentiasa mencari ilmu.  Bagi Haji Yunus bin Hassan peluang yang telah diberikan oleh Allah perlu kita ceburi sebaiknya lebih-lebih lagi peluang dalam menuntut ilmu.  Ketika di India, banyak ilmu yang telah beliau kuasai dan telah bertemu ramai kawan-kawan dari pelbagai negara seperti Indonesia, Arab Saudi dan sebagainya.11
                    Pada tahun 1973 hingga 1975, Haji Yunus bin Hassan telah melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian syariah di Universiti Al-Azhar, Mesir kerana minat yang mendalam dalam ilmu syariah.  Mula berjinak dalam pendidikan sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Bentong, Pahang bermula tahun 1976 hingga 1983.  Pihak sekolah tersebut telah Memberi amanah kepada Haji Yunus bin Hassan untuk mengajar dalam mata pelajaran Pendidikan Islam bagi pelajar tinggkatan satu hingga tinggkatan tiga. Di sekolah tersebut, beliau juga memenggang jawatan ketua bidang mata pelajaran Pendidikan Islam bagi menengah rendah. Haji Yunus bin Hassan juga bergiat aktif memberi motivasi kepada para pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam sama ada bagi sekolah beliau atau mendapat jemputan dari sekolah-sekolah terdekat.  Para pelajar sekolah tersebut pernah mendapat tahap maksimum A dalam mata pelajaran Pendidikan Islam dan pernah dinobatkan sekolah terbaik Negeri Pahang pada tahun 1980.  Haji Yunus bin Hassan amat berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukan oleh anak didiknya yang sentiasa memberi perangsang positif dalam setiap peperiksaan. Pada tahun 1982 beliau telah diiktirafkan guru cemerlang.12
                   Pada tahun 1983, Haji Yunus bin Hassan telah dinaikan pangkat ke Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu sebagai Ketua Sektor Pendidikan Islam dan Moral. Walaupun beliau terasa sukar untuk  menerima jawatan tersebut kerana sudah lali dalam dunia pendidikan.  Namun beliau dengan ikhlas menerima tawaran tersebut bagi keperluan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu. Beliau telah bersedia untuk menabur bakti kepada negeri kelahiran beliau setelah lapan tahun mencari pengalaman sebagai pendidik di negeri orang.  Bak kata pepatah ‘’hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri.  Beliau telah menanam seribu hasrat untuk membaiki sistem pendidikan negeri Terengganu ke arah yang  lebih baik.  Sepanjang berkhidmat Haji Yunus bin Hassan telah banyak mengadakan program keagamaan di sekolah-sekolah sama ada sekolah rendah mahupun sekolah rendah.  Pada 18 hingga 21 April 2002 beliau telah menyumbangkan jasa dalam menjayakan mesyuarat dan bengkel proses membuat keputusan Pegawai-pegawai Pendidikan Islam JAPIM, JPN dan Pengetua SMKA yang dijalankan di Hotel City Bayview Langkawi.13
 


                  
             Manakala pada tahun 2004, Haji Yunus bin Hassan telah menerima anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pelajaran Malaysia.  Dimaklumkan bahawa pada 11 Julai 2005 Panel Pembangunan Sumber Manusia telah memilih Haji Yunus bin Hassan sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2004 kerana telah menunjukan perkhidmatan yang cemerlang.  Tepat tahun 2006 bertarikh 31 Disember 2006 Haji Yunus bin Hassan telah mengambil persaraan daripada perkhidmatan kerajaan.  Majlis persaraan telah diadakan pada Januari 2007 dengan mengadakan majlis perpisahan sempena persaraan beliau dalam perkhidmatan di Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu yang berlangsung di Hotel Primula, Kuala Terengganu.  Beliau berasa bangga dan bersyukur kerana telah menceburi bidang yang beliau minati dan dapat memberi manfaat kepada para pelajar Negeri Terengganu.  Beliau sentiasa berdoa akan agar pendidikan di Negeri Terengganu sentiasa mandapat tempat di Malaysia.  Tambahan pula Negeri Terengganu telah terkenal sebuah negeri yang amat mementingkan kecemerlangan para pelajar di negeri tersebut.  Haji Yunus bin Hassan juga meluahkan hasrat beliau dengan menyatakan agar pengganti tempat beliau selepas ini dapat memberi kerjasama yang baik dan membaiki kelemahan beliau sepanjang beliau berkhidmat. 14          


CABARAN YANG DIHADAPI OLEH HAJI YUNUS BIN HASSAN
             Dalam setiap perkara yang kita lakukan mempunyai cabaran dan halangan. Begitu juga dengan Haji Yunus bin Hassan mempunyai cabaran sepanjang hidup beliau sejak di alam persekolahan hingga ke alam pekerjaan.  Bagi Haji Yunus bin Hassan cabaran sewaktu beliau masih dalam dunia pelajaran ialah mempunyai sedikit masalah kewangan.  Pekerjaan ayahanda beliau hanya dapat menampung makan minun untuk mereka sekeluarga.  Namun semua itu langsung tidak dijadikan sebagai alasan untuk berjaya dalam hidup beliau.  Kata Haji Yunus bin Hassan hanya dengan pelajaran sahaja mampu mengubah nasib keluarganya ke arah yang lebih baik.  Pernah sewaktu beliau belajar di Darul Ulum Deoband, India beliau menahan lapar untuk menyimpan wang bagi membeli buku-buku yang diperlukan sewaktu beliau belajar.  Haji Yunus bin Hassan tidak pernah menelefon ibu bapa beliau untuk meminta wang sewaktu belajar di India dan Mesir kerana bimbang kedua ibu bapa beliau risau akan diri beliau.  Beliau pernah bekerja sambilan di India sebagai pembantu peniaga di pasar-pasar.  Waktu hujung minggu beliau terpaksa membuat jadual dengan membahagi masa dengan bijak untuk bekerja dan belajar.  Kesusahan yang beliau alami selama beliau belajar membuat beliau menjadi seorang yang tabah, yang lebih berdikari dan lebih bertanggungjawab.15
              Cabaran dalam dunia pekerjaan pula, ketika berkhidmat sebagai seorang pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bentong, Pahang. Beliau mempunyai anak didik yang datang dari pelbagai latar belakang keuarganya.  Pada tahun pertama beliau mengajar di sekolah tersebut, terdapat segelintir pelajarnya yang tidak tahu solat, membaca al-quran, dan mempunyai disiplin yang agak berat.  Bagi Haji Yunus bin Hassan cabaran tersebut perlu dihadapi dengan bijak untuk memberi pendidikan yang terbaik kepada anak-anak pelajar beliau.  Beliau cuba membimbing pelajar-pelajar tersebut dengan mengadakan kelas tambahan fardhu ain yang diadakan di rumah Haji Yunus bin Hassan pada hujung minggu.  Dalam masa dua bulan seramai 12 orang anak didik beliau dapat mengusai bacaan al-quran  dengan baik.  Ada di antara pelajar beliau yang mengikuti kelas yang di adakan oleh beliau kini menjadi Imam besar di masjid-masjid.  Bagi beliau dapat mengubah seseorang ke arah yang lebih baik dengan hasil usaha kita sendiri merupakan satu perkara yang sangat manis dirasakan dalam hidup.  Beliau amat berharap anak didik beliau juga dapat mengikuti jejak beliau, bukan kerana nama tetapi untuk memberi manfaat kepada orang lain. Ilmu yang ada pada diri kita apabila dikongsi akan berkembang dan semakin bertambah.  Beliau berpesan kepada para pelajar janganlah lokek dalam berkongsi ilmu keran ilmu yang kita miliki adalah hak mutlak milik Allah.  Ilmu yang Allah pinjamkan kepada kita hanya sedikit berbanding dengan ilmu Allah yang amat luas.  Tiada guna apabila dalam diri kita mempunyai sikap kedekut ilmu kepada orang lain malah apabila kita berkongsi ilmu menjadi ilmu kita semakin berkembang.16
          Seterusnya, cabaran yang dihadapi ketika beliau mula berkhidmat di Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu sebagai Ketua Sektor Pendidikan Islam dan Moral.  Sepanjang berkhidmat di jabatan pelajaran, cabaran yang beliau tempuhi daripada kesuntukkan masa untuk menguruskan sesuatu perkara. Kadang kala beliau terpaksa mengambil waktu-waktu cuti untuk menyiapkan sesuatu tugas.  Puan Fatimah ada juga merungut dengan kesibukan yang dialami oleh Haji Yunus bin Hassan sehingga tiada masa untuk bersama keluarga untuk menjalankan aktiviti-aktiviti keluarga.  Isteri dan anak-anak beliau faham dengan situasi yang dijalankan oleh Haji Yunus bin Hassan.  Selain itu, cabaran yang beliau hadapi ialah kurang mendapat  kerjasama yang sepenuhnya daripada staf-staf yang lain.  Antaranya terdapat staf yang suka membuat kerja bertangguh, membuat kerja di saat-saat akhir sehingga kadang kala terdapat kerja yang tidak sepatutnya dilakukan oleh beliau terpaksa menyiapkan kerja tersebut.  Prinsip kerja Haji Yunus bin Hassan tidak suka melihat dan membiarkan sahaja orang yang berada di bawah beliau melakukan kesilapan, beliau akan sedaya upaya memberi nasihat yang terbaik agar pekerjaan yang dilakukan oleh seseorang berkualiti.17
                  Cabaran yang dihadapi oleh Haji Yunus bin Hassan setelah bersara, apabila beliau mula tinggal dalam masyarakat kampung beliau sepenuh masa dengan menghadiri gotong-royong, mesyuarat bersama penduduk kampung dan solat secara berjemaah di surau Kampung Tok Lawit.  Setelah beberapa bulan memerhati tingkah laku penduduk kampung, baru beliau sedar bahawa masih ramai lagi masyarakat kampung yang masih belum mendapat pendidikan secara menyeluruh.  Beliau juga agak terkilan kerana masih ada ibu bapa yang berfikiran kolot membiarkan anak-anak berhenti sekolah ada juga membiarkan anak mereka langsung tidak dihantar ke sekolah.  Haji Yunus bin Hassan mula berfikir langkah untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh masyarakat kampung tersebut.  Baru beliau sedar selama ini beliau terlalu sibuk dengan urusan di pejabat sehingga sedikit terabai masalah yang dihadapi oleh para pelajar di Kampung Tok Lawit.  Haji Yunus bin Hassan mencari inisiatif untuk mengubah corak pemikiran ibu bapa yang membiarkan anak-anak mereka berhenti sekolah dengan menyelitkan isu tersebut dalam mesyuarat bulanan yang sentiasa di anjurkan oleh ahli jawatankuasa kampung tersebut.18  
                     
SUMBANGAN HAJI YUNUS BIN HASSAN SEMASA BERKHIDMAT
           Haji Yunus bin Hassan banyak menyumbang bakti semasa berkhidmat di Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, antaranya ialah beliau telah memberi khidmat dan sumbangan yang terbaik bagi menjayakan mesyuarat pengurusan pendidikan KPPM BIL 1/2002 di Sutera Beach Resort Terengganu.  Beliau telah mengendalikan program tersebut selama tiga bulan bermula pada 27 Februari hingga 1 Mac 2002.  Mesyuarat ini melibatkan 10 orang guru setiap mata pelajaran bagi sekolah-sekolah agama di Terengganu seperti guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Durian Guling, Sekolah Menengah Agama Mahmudiah, Sekolah Menengah Agama Khairiah dan beberapa buah sekolah agama yang lain.  Sepanjang mesyuarat ini berlangsung, Haji Yunus bin Hassan telah menyampaikan ceramah dalam beberapa slot tentang pengurusan pendidikan yang akan dilaksanakan oleh guru-guru di sekolah nanti.  Jabatan Pendidikan Terengganu telah merakamkan setinggi-tinggi terima kasih dan menganugerahkan sijil penghargaan kepada beliau atas sumbangan yang telah dilakukan oleh tokoh.19
                 Seterusnya sumbangan tokoh telah memberi sumbangan untuk menjayakan Nadwah Kepimpinan Islam sekolah menengah peringkat kebangsaan pada tahun 2004.  Program ini melibatkan wakil pelajar setiap negeri iaitu bakal ketua pelajar dan bakal penolong pengawas akan mengikuti kem Nadwah Kepimpinan Islam.  Pada tahun 2004 kem ini telah diadakan di Pusat Kokurikulum Perak, Pangkor.  Kem ini telah berlangsung bermula 1 hingga 5 September 2004.  Sepanjang kem ini berlangsung para pelajar telah diterapkan nilai kepimpinan yang teguh agar dapat memimpin para pelajar yang lain di sekolah nanti.  Kem Nadwah Kepimpinan Islam ini banyak memberi impak positif kepada peserta yang mengikuti kem tersebut dan dapat membaiki sistem kepimpinan sekolah ke arah yang lebih baik.  Haji Yunus bin Hassan menyumbang bakti dalam kem terakhir ini kerana selepas itu beliau telah bertukar ke sektor Dakwah dan Moral.  Di mana sebelum ini beliau memengang jawatan Ketua Sektor Pendidikan Islam.  Walaubagaimanapun, kem tersebut tetap diteruskan setiap tahun dan perkara yang mengembirakan kepada beliau ialah semakin ramai pelajar yang melibatkan diri.  Pada tahun 2006,  kem ini telah melibatkan peserta para pelajar dari Sabah dan Sarawak. Haji Yunus bin Hassan berharap agar sumbangan yang telah beliau curahkan memberi manfaat kepada orang ramai.20 
             Di samping itu, beliau juga telah menyumbang bakti dalam menjayakan Majlis Ihtifal Sekolah Menengah Kebangsaan Agama kali ke 5 di Sabah.  Majlis ini bermula pada 19 hingga 24 Februari 1997. Dalam majlis tersebut terdapat beberapa pertandingan seperti tilawah al-quran, nasyid, syarahan, tafsir dan kuiz. Beberapa buah sekolah agama kebangsaan telah berjaya ke peringkat akhir akan memasuki pertandingan akhir di Sabah pada waktu tersebut.  Secara tidak langsung, Haji Yunus bin Hassan telah merasmikan Majlis Ihtifal tersebut dan juga menyampaikan hadiah kepada para pemenang pada majlis penutup.  Beliau merasa amat kagum dengan kebolehan para peserta yang melibatkan diri dalam pertandingan.  Bakat-bakat yang wujud dalam diri para pelajar perlu diasah melalui kaedah pertandingan, Majlis Ihtifal ini telah banyak melahirkan anak-anak pelajar sekolah agama yang hebat dalam tilawah al-quran, selepas sahaja mereka tamat sekolah mereka boleh meneruskan lagi bakat yang ada ke peringkat yang lebih tinggi.  Lantaran itu, Jabatan Pendidikan Terengganu selalu mengadakan Majlis Ihtifal setiap tahun bagi melahirkan para pelajar yang mempunyai bakat dalam nasyid, syarahan dan lain-lain lagi.  Bakat-bakat seperti inilah yang kita cari untuk mengembangkan medan dakwah di negara kita.  Kata Haji Yunus bin Hassan pelajar sekolah agama menjadi ikon kepada remaja-remaja di luar sana.  Oleh itu,  pelajar-pelajar sekolah agama perlu mengetahui ilmu yang lebih mendalam dan mempunyai kelebihan yang lebih daripada orang lain seperti kebolehan bersyarah di khalayak ramai, tilawah al-quran dan pelbagai lagi.  Justeru itulah Jabatan Pendidikan Negeri bertungkus lumus mengadakan Majlis Ihtifal pada setiap tahun atas matlamat yang satu iaitu melahirkan para pelajar yang serba boleh dalam pelbagai bidang.21 
          Pada tahun 2001, Haji Yunus bin Hassan telah memberi sumbangan dan perkhidmatan cemerlang sebagai pensyarah sambilan di Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.  Beliau dilantik sebagai pensyarah sambilan dalam jurusan syariah selama enam bulan bermula pada Februari hingga Ogos pada tahun 2001.  Walaupun itu merupakan satu fenomena baru bagi beliau kerana mengajar para pelajar di institusi tinggi yang datang daripada pelajar-pelajar yang hebat dalam ilmu syariah.  Sedikit perbezaan bagi beliau sepanjang mengajar di university tersebut dengan sekolah yang beliau pernah berkhidmat.  Satu semester beliau telah berkhidmat sebagai pensyarah syariah bagi pelajra tahun satu.  Dengan hasil gigih beliau mendidik para pelajar pada semester tersebut telah melahirkan pelajar-pelajar yang lulus penuh bagi kertas syariah.  Beliau agak bangga kerana usaha beliau mendidik para pelajar telah membuahkan hasil yang memberangsangkan.22 
  SUMBANGAN HAJI YUNUS BIN HASSAN SELEPAS BERSARA  
         Walaupun beliau telah bersara dalam perkhidmatan kerajaan, beliau tetap memikul tanggungjawab  sebagai Pengerusi PIBG bagi Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Jeneris, 21700 Kuala Berang bermula pada tahun 2008 hingga sekarang.  Pada tahun 2010/2012 Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Jeneris merakam setinggi-tinggi terima kasih dan menganugerahkan sijil penghargaan kepada Haji Yunus bin Hassan kerana telah berkhidmat dengan jayanya sebagai Yang Dipertua BIPG.  Sepanjang memikul amanah tersebut, beliau selalu mengadakan mesyuarat tentang pemasalahan yang dihadapi oleh para pelajar, guru dan ibu bapa.  Beliau akan berbincang masalah-masalah tersebut dengan ahli jawatankuasa yang lain untuk mengatasi maslah tersebut dengan konsisten.  Kata beliau setiap tahun pasti pihak PIBG dapat mengesan pelajar-pelajar yang mempunyai keluarga yang agak daif yang memerlukan bantuan lebih-lebih lagi perbelnjaan untuk meneruskaan sekolah.  Haji Yunus bin Hassan serta pihak sekolah akan sedaya upaya membantu golongan seperti ini.  Kebiasaan bantuan yang sering dihulurkan melalui bantuan pakaian sekolah, bayaran yuran persekolahan dan sedikit duit perbelanjaan.  Haji Yunus bin Hassan selalu peka dengan keadaan semasa para pelajar sekolah tersebut.  Pada tahun 2013, sepasang kembar dari Kampung Basung telah kehilangan kedua ibu bapa yang terlibat dalam kemalangan pada hari raya aidilfitri pada tahun tersebut dan mereka hanya tinggal dengan nenek yang telah uzur.  Disebabkan hanya memperoleh 1A dalam UPSR, sepasang kembar ini telah memilih untuk menyambug tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Jeneris kerana jarak rumah nenek mereka dekat dengan sekolah.  Dengan belas ehsan, Haji Yunus bin Hassan telah mengambil sepasang kembar ini sebagai anak angkat memandang anak-anak beliau sudah besar dan sibuk dengan kerja-kerja masing-masing.  Semua perbelanjaan sekolah pelajar tersebut ditanggung oleh Haji Yunus bin Hassan.  Beliau berharap setiap perkara yang beliau lakukan di dunia ini akan membuahkan hasil di akhirat kelak.  Kata beliau kekayaan dunia hari ini satu sen sekalipun tidak dapat membantu kita di akhirat malah membuat kita sengsara di akhirat kelak kerana setiap kekayaan yang kita ada juga hak kepada orang lain, beliau amat menengaskan kepada diri beliau agar dapat memanfaatkan jasa dan ilmu yang beliau miliki untuk masyarakat lain lebih-lebih lagi bagi masyarakat Islam.23
              Seterusnya,  sumbangan terbesar bagi Haji Yunus bin Hassan ialah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu telah melantik Haji Yunus bin Hassan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al Syakirin, Kuala Ping.  Sejak beliau kecil lagi, arwah ayahanda beliau menginginkan beliau menjadi imam di masjid.  Beliau sangat terharu kerana pihak Jabatan Hal Ehwal Agama memberi kepercayaan kepada beliau untuk memimpin jemaah makmum Kampung Kuala Ping selepas beliau bersara.  Beliau selalu ada setiap waktu solat di masjid tersebut melainkan apabila ada kekengan luar yang tidak dapat dielakan walaupun jadual bertugas beliau bukan setiap waktu solat.  Ini kerana beliau ingin menjadi contoh yang terbaik kepada masyarakat dan dapat merapatkan ukhwah antara jemaah kampung tersebut.  Beliau sedikit terkilan kerana yang sentiasa memenuhi saf-saf di masjid adalah warga emas yang dalam lingkungan 60 tahun ke atas.  Beliau juga ada merancang untuk menarik minat anak-anak muda kampung tersebut untuk sama-sama mengimarahkan masjid.  Antara program yang beliau telah adakan untuk anak-anak muda kampung tersebut ialah pertandingan azan, pertandingan khutbah dan bermacam-macam lagi. Beliau menawarkan hadiah yang agak lumayan untuk menarik anak-anak muda kampung tersebut. Namun usaha beliau untuk semua ini hanya mendapat sebahagian penglibatan sahaja dari golongan anak-anak muda.  Beliau berusaha untuk mencari inisiatif yang lebih sistematik untuk digunakan kepada para remaja hari ini.  Beliau juga mengadakan program bagi warga emas terutamanya yang selalu datang ke masjid, misalnya beliau adakan program usrah, tayangan tentang isu semasa dan adakan kelas tajwid.  Manakala pada hujung minggu seperti hari Jumaat kebiasaannya beliau akan adakan khursus untuk menguruskan jenazah, khusus mengenai haji dan umrah.  Penglibatan program-program seperti ini bukan sahaja penduduk kampung tersebut sahaja malah melibatkan penduduk kampung di sekitar kawasan tersebut.  Misalnya Kampung Tengkawang, Kampung Tok Lawit dan Kampung Paya Rapat.  Program penting ini akan dipimpin oleh pakar-pakar dalam hukum hakam Islam dan kadang kala menjemput para pelajar daripada Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.  Ini akan mendorong masyarakat kampung untuk mengetahui soal ibadat dengan lebih terperinci kerana tidak semua penduduk kampung tersebut mendapat pendidikan agama yang secukupnya.  Haji Yunus bin Hassan berharap program yang beliau jayakan dapat memberi satu pencerahan kepada masyarakat untuk memahami Islam dengan lebih mendalam.24
            Haji Yunus bin Hassan ada mewakafkan sebidang tanah beliau yang seluas dua hektar kepada penduduk Kampung Tok Lawit untuk menjalankan aktiviti bercucuk tanam.  Tanah tersebut berhampiran sungai Kampung Tok Lawit.  Antara tanaman yang di usahakan ialah penanaman pokok jagung, lada, kacang pajang dan bermacam-macam lagi.  Tanah tersebut diusahakan oleh ibu-ibu tunggal kampung tersebut yang tidak mempunyai pekerjaan.  Seramai tujuh orang ibu tunggal yang berusaha keras untuk membuahkan hasil tanaman mereka.  Mereka masih mempunyai anak-anak yang kecil untuk disara dan tidak ada pekerjaan untuk dilakukan lebih-lebih lagi kampung mereka agak jauh dari Bandar untuk mencari pekerjaan selepas kematian para suami mereka.  Apabila ada pihak menyuarakan masalah sebegitu, Haji Yunus bin Hassan dengan tulus ikhlasnya mewakafkan tanah milik arwah ayahanda beliau untuk kegunaan penduduk kampung tersebut untuk bercucuk tanam.  Hasil tanaman mereka akan di jualkan di Pasar Tani Kampung Kuala Ping setiap pagi hari Jumaat.  Wang yang mereka perolehi agak banyak dan cukup  untuk membeli keperluan dapur dan makan minum.  Bagi kaum ibu tunggal, jasa yang ditaburkan oleh Haji Yunus bin Hassan amat mereka hargai dan mendoakan agar Allah memberkati hidup beliau.   Hampir dua tahun kaum ibu tunggal ini menguruskan tanaman tersebut.  Kadang kala apabila musim yang baik membuahkan hasil yang banyak, Haji Yunus bin Hassan akan membantu mereka untuk menghantar jualan mereka ke Bandar Kuala Berang pada setiap pagi Sabtu kerana mereka tidak mempunyai kenderaan untuk memasarkan hasil pertanian mereka.  Haji Yunus bin Hassan akan membekalkan baja dan racun serangga kepada kaum ibu tunggal tersebut.  Perkara yang menyebakan beliau sangat bersemangat untuk membantu para ibu tunggal apabila beliau teringat akan arwah bonda beliau yang terpaksa membakar keringat menoreh getah selepas kematian arwah ayahanda beliau.  Sewaktu itu, beliau masih mentelaah ilmu di Mesir, tiada kudrat yang dapat membantu arwah bondanya pada waktu itu kerana jarak yang jauh menjadi penghalang. Kata beliau dengan sebak hanya doa agar Allah melindungi dan memberi kekuatan kepada bonda beliau untuk terus berjuang hidup selepas insan tersayang yang selama ini mencari rezeki untuk sesuap nasi telah di jemput oleh Ilahi.  Hal ini mendorong beliau membantu ibu-ibu tunggal agar mereka tidak merasakan kepahitan hidup selepas tiang utama dalam hidup mereka telah pergi bertemu Ilahi.25     
       Beliau juga menyumbangkan jasa dan bakti dengan mengadakan kem-kem motivasi kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga ( PT3), Sijil Peperiksaan Malaysia ( SPM ), dan Sijil Peperiksaaan Tinggi Malaysia ( STPM ). Setiap tahun Haji Yunus bin Hassan mengadakan kem motivasi kepada para pelajar pada bulan Disember iaitu pada musim cuti persekolahan.  Kem ini melibatkan kepada para pelajar yang berminat sahaja kerana terdapat sedikit bayaran untuk membayar penginapan dan makan minum pelajar sepanjang kem.  Kem ini kebiasaanya diadakan di Pusat Kecermelangan Kokurikulum di Setiu pada setiap tahun.  Sepanjang kem akan ada pelbagai slot untuk memberi semangat kepada para pelajar agar mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan nanti.26
                 Akhir kalam, Haji Yunus bin Hassan amat berharap agar ada genersi baru yang dapat membantu masyarakat luar dengan ilmu yang mereka miliki.  Beliau mahu ada generasi muda yang dapat menyambung karier seperti beliau di Kampung Tok Lawit memandangkan beliau juga sudah meningkat usia dan agak menyukarkan untuk melakukan kerja-kerja yang berat.  Moga Allah merahmati kehidupan Haji Yunus bin Hassan dengan jasa dan bakti beliau.27        



KESIMPULAN
     Akhirnya pengkaji telah berjaya menyiapkan kajian sejarah yang memakan masa dua bulan dengan menghasilkan kerja projek dengan jayanya.  Pengkaji mengetahui mengenai tokoh Haji Yunus bin Hassan dengan lebih dekat dengan mengadakan sesi temu bual.  Tokoh banyak mengajar pengkaji tentang kepentingan ilmu terutamanya ilmu agama.  Hanya dengan ilmu sahaja kita mampu meningkatkan iman agar diri kita sentiasa berada di landasan betul.  Tokoh juga telah menanam kata-kata motivasi yang sangat membakar kepada diri pengkaji untuk sentiasa bersungguh-sungguh dalam pelajaran.  Pengkaji merasakan Haji Yunus bin Hassan memang banyak berjasa kepada masyarakat di luar sana membuatkan pengkaji ingin menjadi seorang yang dapat menyumbang jasa kepada keluarga, masyarakat, negara dan agama.  Kajian ini telah mendidik pengkaji untuk mengetahui dunia luar dengan mengadakan temu bual dengan isteri tokoh dan beberapa kawan tokoh untuk di jadikan orang sumber dalam kajian.  Selain itu, kajian sejarah ini telah mengajar erti tanggungjawab terhadap masyarakat luar yang telah  ditonjolkan oleh tokoh yang selalu memainkan peranan yang hebat dalam masyarakat.  Pengkaji banyak belajar dengan tokoh tentang kepentingan hidup bermasyarakat di mana selama ini pengkaji seperti enau dalm belunkar melepaskan pucuk masing-masing.  Di samping itu, pengkaji juga banyak memperolehi cara-cara untuk berjaya dalam hidup dengan mendalami kisah hidup tokoh bermula tahun pertama di darjah satu hingga sekarang.  Natijahnya, pengkaji juga berharap kajian yang beliau lakukan dengan sehabis daya memberi manfaat kepada orang lain dan menjadi menyuntik semangat untuk menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat. 


Haji  Yunus  bin  Hassan, wawancara  pada  23  Januari  2015, Kampung  Tok      Lawit,Terengganu 
 Htpp:// pandu  arah  blogspot.com./ sumbangan  Tokoh  Amiruddin  Baki, 27  Januari  2015, Sekolah  Menengah  Kebangsaan  Agama  Durian  Guling
Isteri  tokoh, Puan  Fatimah  binti  Abdullah, wawancara  pada  23  Januari  2015, Kampung  Tok  Lawit
Rekod-rekod  lama  Haji  Yunus  bin  Hassan, pada  23  Januari  2015,Kampung  Tok  Lawit    
 



Komentar

Posting Komentar

Postingan populer dari blog ini

P2 bab 3

BEPANG DAN SEJARAH KULINARI

PULAU DUYUNG ADALAH LIDAH NEGERI TERENGGANU