SEJARAH AWAL FELDA KERTEH 3- SATU TINJAUAN

                                  FELDA KERTEH 3; TINJAUAN AWAL

PENDAHULUAN
             Felda Kerteh 3 adalah sebuah perkampungan Tanah Rancangan Felda yang terletak di Wilayah Ketengah. Felda ini bersebelahan dengan Perkampungan Felda Kerteh 2. Sekiranya kita masuk ke perkampungan Felda Kerteh 3 melalui Paka ke Kilang Sawit Felda, maka perkampungan ini berada di sebelah kiri jalan utama dan perkampungan Felda Kerteh 2 di sebelah kanan. Kedua-dua perkampungan ini hanya dipisahkan oleh sebatang jalanraya utama dari Dungun melalui Durian Mentangau ke Ketengah Jaya. Perkampungan Felda Kerteh 3 ini menjadi penyumbang kepada kemajuan Bandar Baru Ketengah Jaya dengan kapasiti penduduk seramai hampir lapan ribu orang (8,000) pada tahun 2013 ini. Sejarah perkampungan ini sewajarnya di selidiki dan dikaji supaya diketahui oleh generasi sekarang bagaimana ia boleh membangun seperti hari ini jika tidak hasil dari pengorbanan generasi pertama. Semoga hasil penulisan ini akan membuka ruang kepada generasi baru untuk terus memajukan lagi perkampungan ini menjadi Bandar yang terancang dengan pelbagai kemudahan untuk kebaikan anggota masyarakat setempat dan sekitarnya.

ASAL USUL NAMA
            Nama Felda Rasau Kerteh 3 berasal daripada dua nama yang berbeza. Rasau merupakan nama sebatang sungai yang terdapat dikampung ini, Sungai Rasau mendapat nama disebabkan daripada sejenis tumbuhan yang banyak tumbuh di sepanjang sungai. Tumbuhan ini yang dikenali sebagai ‘Pokok Rasau’. Pokok ini dikatakan tumbuh di sepanjang sungai tersebut.1 Manakala asal nama Kerteh wujud terdapat banyak pendapat. Pendapat pertama mengatakan dahulu kawasan tersebut dipenuhi dengan air. Sememangnya kawasan ini adalah kawasan paya. Selepas itu, kawasan paya ini kering dan bertukar menjadi daratan dan disebut 'kering kerotey' mengikut dialek Terengganu. Akhirnya disebut Kerotey, Kretay, dan sekarang disebut Kerteh. Pendapat kedua mengatakan asal daripada kisah seorang lelaki yang mempunyai isteri bernama Cik Teh. Ketika mereka membuat huma, Cik Teh terpandang seekor kera lalu bertanya kepada suaminya. Lalu dijawab ' Kera Teh'. Dialog itu berubah menjadi 'Kerteh'. Pendapat ketiga mengatakan bahawa perkampungan ini pada suatu masa dahulu banyak dihuni oleh Kera Puteh, jadi digabungkan dan dipendekkan menjadi ‘KERTEH’.2

SEJARAH AWAL PERKAMPUNGAN

           Pada tahun 1978, kawasan rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang pertama wujud di Bandar KETENGAH Jaya ialah Rancangan FELDA Kerteh 1 dengan keluasan 40 hektar. Oleh sebab kawasan penempatan ketika itu terlalu luas untuk 400 orang peneroka, kawasan tersebut kemudiannya dibahagikan kepada tiga buah rancangan lagi iaitu Rancangan FELDA Kerteh 6, Rancangan FELDA Kerteh 4 dan Rancangan FELDA Kerteh 5. Beberapa tahun seterusnya, dua buah lagi rancangan FELDA ditambah iaitu Rancangan FELDA Kerteh 2 dan Rancangan FELDA Kerteh 3 yang diletakkan secara kelompok, berbeza dari empat rancangan yang asal. Kini, penduduk di rancangan FELDA sudah pun memasuki generasi yang ketiga.3
Pembersihan tanah bagi penanaman Kelapa Sawit akan dijadikan ladang untuk tujuan penempatan peneroka baru telah di lakukan sejak dari tahun 1970-an lagi. Namun begitu pengambilan bagi penempatan pertama bermula dari tahun 1983 hingga 1984. Usaha ini dibuat oleh FELDA yang ditubuhkan pada tahun 1956 yang bermatlamat untuk mewujudkan tanah baru bagi dijadikan kawasan pertanian yang produktif melalui amalan pertanian yang berkesan. Selain itu juga ia berobjektif untuk mewujudkan kumpulan masyarakat yang maju, produktif dan berdisiplin untuk meningkatkan taraf hidup serta menjamin mutu kehidupan yang lebih sempurna.

              Pada tahun 1984 Perkampungan Felda Kerteh 3 hanya mempunyai bilangan rumah sebanyak 350 buah dan bilangan peneroka dan penerokawati seramai 700 orang. Para peneroka ini terdiri dari pelbagai latar belakang kehidupan dan pelbagai daerah. Semua peneroka Felda Kerteh 3 ini berasal dari mereka yang bertaraf hidup miskin, dengan pekerjaan asal mereka sebagai penanam padi, penoreh getah, nelayan, bekerja kampung seperti mengambil upah menebas hutan dan lain-lain. Mereka juga datang dari pelbagai daerah di Terengganu iaitu daerah Marang, Hulu Terengganu, Besut, Setiu, dan Kemaman. Kedatangan para peneroka ke perkampungan ini dengan satu matlamat iaitu untuk mengubah kehidupan yang miskin kepada kehidupan yang lebih baik dan selesa dengan adanya rumah milik sendiri walaupun melalui proses pembayaran yang lama hasil mengusahakan ladang kelapa sawit.4
               Para  Peneroka Felda Kerteh 3 ini diberikan sebuah rumah di atas tanah seluas suku ekar. Pada peringkat awal ini kebanyakan peneroka berusia lingkungan 25-35 tahun dengan kadar purata anak 2-4 orang yang masih kecil dalam umur 3 bulan hingga 15 tahun. Kebanyakan mereka hanya mempunyai sebuah motorsikal untuk kemudahan ketempat kerja di ladang kelapa sawit. Pada masa ini kemudahan elektrik masih tidak ada. Walaubagaimanapun, pihak felda telah  menggunakan generator untuk membekalkan elektrik pada waktu malam bermula jam 7 malam hingga 7 pagi.5

KEMUDAHAN ASAS
            Pada tahun 1984, Peneroka Felda Kerteh 3 ini hanya dibekalkan dengan sebuah rumah tanpa kemudahan air bersih. Sumber air pada masa ini sepenuhnya bergantung kepada air telaga yang digali sendiri. Selepas beberapa tahun kemudian barulah air bersih dari paip kerjaan di sediakan. Kemudahan elektrik pula hanya bermula dari 7.00 malam hingga jam 7 pagi dengan menggunakan generator yang terletak di kawasan Pejabat Felda. Minyak Petrol pula di bekalkan oleh Pejabat Felda yang diambil di Stesen Minyak di Paka. Kemudahan Masjid sebagai tempat ibadat telah disediakan iaitu Masjid Felda Kerteh 2. Sebuah sekolah rendah juga telah disediakan untuk pendidikan anak-anak. Klinik Kesihatan dan Pondok Polis juga telah ada di kawasan penempatan pekerja-pekerja FELDA. Perbadanan Niaga FELDA didirikan untuk kemudahan para peneroka untuk mendapatkan barangan keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak, bawang, dapur gas, minyak gas, lampu gaslin, periuk, kuali dan lain-lain. Dengan adanya pusat keperluan harian ini, para peneroka tidak perlu bimbang akan terputus bekalan walaupun jarak yang jauh antara rumah dengan kedai runcit di pekan kecil terdekat iaitu di Paka. Kemudahan perbankan hanya di dapati di Bandar Dungun sahaja dengan pengangkutan utama pada masa itu ialah motorsikal dan kereta sewa.

 KEGIATAN HARIAN PENDUDUK
            Awal penempatan ini mereka berada di bawah sistem cekrol normal kerana masih belum bersistem blok. Di bawah sistem ini pendapatan peneroka bergantung kepada upah kerja harian dan jaminan pinjaman tunai yang diberikan. Maksimum sarahidup yang dibayar kepada peneroka ialah sebanyak RM300.00 sebulan, atau RM12.00 sehari berdasarkan kepada maksimum 25 hari kerja sebulan. Peneroka Felda Kertah 3 ini bekerja di ladang kelapa sawit seperti merumput, membersihkan pelepah sawit, membaja, membuat jalan pertanian, pembersihan pokok dan lain-lain kerja yang perlu di ladang.6
          Barang-barang keperluan seharian seperti beras, gula, gandum, minyak masak dan lain-lain bergantung sepenuhnya kepada Perbadanan Niaga Felda yang dikenali juga dengan Felda Mart. Semua peneroka akan menggelarkan dengan nama ‘Kantin Felda’. Semua barangan dibeli secara hutang kemudian akan dibuat pemotongan pada akhir bulan dari pendapatan kerja-kerja Ladang.
Bagi menampung perbelanjaan anak-anak, pihak FELDA telah memberi galakan kepada peneroka untuk menjalankan projek ekonomi tambahan dan menggunakan ruang tanah yang ada sepenuhnya. Peneroka sentiasa digalakkan menjalankan kegiatan ekonomi tambahan  dalam bidang penternakan lembu, tanaman sayur-sayuran, ternakan ikan air tawar, berniaga kedai runcit dan lain-lain. Ada juga para peneroka yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, buruh dan menjadi nelayan di Paka. Demikian juga bagi penerokawati yang bekerja membaja di ladang kelapa sawit milik Ketengah.

KEGIATAN  EKONOMI
A)           PERTANIAN KELAPA SAWIT
Para Peneroka Felda Kerteh 3 menerima ladang sawit seluas 10 ekar setiap seorang dan sebuah rumah papan diatas tanah seluas suku ekar, apabila diterima masuk ke Felda. Ladang kelapa sawit ini telah berusia 3 tahun. Setiap peneroka akan bekerja secara cekrol sementara ditentukan sistem blok.
Apabila pokok kelapa sawit telah mulai mengeluarkan hasil, maka sistem blok diperkenalkan membolehkan setiap peneroka menguruskan ladang masing-masing seperti yang dilakukan semasa sistem cekrol dahulu secara mengikut blok. Pendapatan ladang juga dibahagi samarata antara ahli blok seramai 24 orang. Sistem ini walaupun terdapat kelemahan namun ia dapat membentuk sikap tolak ansur dan kerjasama antara para peneroka.
Proses membaja tetap diteruskan dengan mendapat bekalan baja dari Pejabat Felda secara hutang yang akan dimasukkan dalam paysheet peneroka pada setiap bulan. Jenis Perubahan taraf ekonomi telah berubah dari semasa ke semasa setelah kelapa sawit mengeluarkan hasil di mana setiap blok telah di bahagikan pendapatan secara samarata hasil penjualan buah sawit ke kilang felda. Pendapatan para peneroka juga semakin baik dengan perubahan dari sistem blok kepada system blok persendirian dengan pembahagian kawasan ladang yang baru di mana bagi peneroka yang membaja mengikut cara yang betul, pembersihan ladang yang teratur maka hasil kelapa sawit semakin bertambah. Pendapatan adalah hasil dari sebanyak mana pengeluaran yang diperolehi dari ladang mereka sebanyak 10 ekar tersebut. Jika hasil diperolehi sebanyak 5 atau 6 tan sebulan, ianya akan menghasilkan purata pendapatan sebanyak RM1800.00 sebulan sekiranya harga kelapa sawit pada harga yang baik. Pada masa ini juga rumah-rumah asal Felda telah mula berubah dengan membaikpulih rumah mengikut kemampuan mereka.
Sehingga tahun 2010 semua rumah asal Felda sudah tidak dapat dilihat lagi kerana telah didirikan rumah-rumah baru menggantikan rumah-rumah yang lama demi keselesaan tempat tinggal mereka dan ahli keluarga. Kedai-kedai mula tumbuh hasil dari perkembangan perniagaan sendiri dan juga dibina oleh Felda untuk kemudahan perniagaan disamping memberikan kemudahan kepada para peneroka untuk mendapatkan barang-barang keperluan  dan tidak perlu lagi bersusah payah untuk mendpatkannya di luar dari perkampungan Felda ini . Antara contoh perniagaan yang berkembang dikalangan para peneroka ialah Kedai Membaiki Motorsikal Hashim, Kedai Runcit  Jaafar bin Teh, Kedai Hardware Tani, Projek Sayuran Mustafa.  Kemudahan asas yang diusahakan oleh Koperasi Peneroka Felda ialah Stesen Minyak Caltex Koeperasi Peneroka-Peneroka Felda Kerteh 3. Kedai-kedai Makan pula ialah Kedai Makan Pok Teras, Kedai Makan Suhaila (Sup Tulang) Kedai roti Canai dan lain-lain lagi.

B)            Penternakan Lembu Dalam Ladang
Penternakan lembu di dalam ladang merupakan satu usaha yang sangat digalakkan oleh FELDA kepada para peneroka dalam usaha untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Para peneroka berpeluang menjana pendapatan yang baik kerana hasil dari penjualan lembu memberikan pulangan yang lumayan.
Proses penternakan lembu di ladang ini dilaksanakan dalam tiga cara iaitu secara lepas bebas, secara lepas dan berkandang  dan secara kandang sepenuhnya. Penternakan lembu secara lepas bebas melibatkan tuan punya lembu hanya mengawasi pergerakan lembu pada waktu pagi dan petang yang mana sebahagian dari keluasan ladang kelapa sawit milik mereka di pagar untuk mempastikan lembu yang di ternak tidak keluar dari kawasan tersebut ke ladang milik orang lain. Lembu-lembu yang diternak dibiarkan makan rumput dan pokok-pokok yang tumbuh di dalam ladang tersebut sahaja tanpa dibekalkan makanan tambahan yang lain. Penternakan cara ini lebih menjimatkan kos makanan namun terdedah kepada risiko kecurian dan kehilangan lembu sekiranya lembu tersebut keluar dari kawasan lingkungan. Apabila lembu ingin dijual atau disembelih, berlaku kesukaran untuk menangkapnya kerana lembu-lembu tersebut sedikit liar.
Kedua, penternakan lembu secara lepas dan berkandang dilaksanakan dengan cara lembu-lembu tersebut dipelihara secara lepas bebas di ladang untuk mendapatkan makanan dikawasan ladang. Pada waktu petang lembu-lembu tersebut di masukkan ke dalam kandang yang disediakan dan dilepaskan semula pada waktu pagi. Penternakan cara ini akan memudahkan pemilik lembu utnuk menjual atau meyembeli lembu-lembu tersebut. Kos penternakan juga sangat rendah kerana modal hanya dikeluarkan untuk pembinaan kandang sahaja di samping harga lembu. Penternak lembu juga boleh mendapat pendapatan  tambahan hasil penjualan baja tahi lembu yang mendapat permintaan yang tinggi dari pelanggan khususnya para penanam sayur dari kawasan berdekatan dan dikalangan peneroka sendiri untuk baja organik pokok kelapa sawit.
Ketiga, proses penternakan secara kandang pula diusahakan dengan cara mengurung lembu-lembu tersebut di dalam kandang yang dibina khusus di dalam ladang milik mereka sendiri.  Lembu-lembu tidak dibiarkan berkeliaran di kawasan ladang, sebaliknya berada di dalam kandang khas dan diberikan makanan lembu khusus. Penternakan cara ini memerlukan penjagaan yang rapi kerana lembu-lembu terpaksa di selia makanan, minuman dan pembersihan najis. Terdapat beberapa orang dikalangan peneroka Felda Kerteh 3 yang terlibat dengan aktiviti  sampingan ini. Mereka menyahut seruan FELDA  dalam usaha meningkatkan taraf hidup. Usaha ini telah mendapat kerjasama dengan Jabatan Haiwan Daerah untuk membekalkan lembu secara sistem ‘pawah’.
Sistem ini dilaksanakan bagi membantu para peneroka yang berminat menternak lembu untuk mendapatkan lembu tanpa mengeluarkan modal sendiri. Lembu yang dibekalkan oleh Jabatan Haiwan akan dipelihara sehingga melahirkan anak dan  selepas itu anak yang dilahirkan akan diserahkan kepada Jabatan Haiwan sebagai ganti. Manakala lembu betina yang dibekalkan akan menjadi milik penternak lembu.
Peneroka Felda Kerteh 3 yang terlibat dalam Penternakan Lembu di dalam ladang ini  ada yang tidak melalui system pawah dengan Jabatan Haiwan. Mereka membeli lembu secara individu dan menternak secara persendirian. Usaha ini telah dilakukan oleh En. Mustafa bin Abdullah dari blok 11.  Beliau telah memulakan penternakan lembu di dalam ladang ini sejak selepas 3 tahun menjadi peneroka. Modal lembu adalah hasil kerjasama seorang saudaranya yang tinggal di Paka.  Pada peringkat awal lembu yang dipelihara  sebanyak 5  ekor. Sehingga tahun 2000 lembunya telah meningkat sebanyak 50 Ekor. Purata pendapatan sebulan sebanyak  RM4000.7
Seorang lagi pengusaha penternakan lembu ini ialah En. Mohd Nor bin Jusoh dari blok 3. Beliau memulakan penternakan dalam ladang ini dengan 2 ekor lembu sahaja di ladang sawitnya. Sehingga tahun 2000 telah bertambah sebanyak 60 ekor.  Sekarang ini telah menjadi pembekal lembu akikah dan korban kepada penduduk setempat juga penduduk sekitar Paka dan Ketengah Jaya. Pendapatan bulanan telah mencapai sehingga RM6000.8
Seorang penternak lagi iaitu En. Zulkifli bin Mohammad telah menjadikan ladang kelapa sawit sebagai pusat penternakan lembu. Beliau menubuhkan ZM Livestock. Syarikat ini menjadi pembekal lembu untuk jualan di sekitar Perkampungan Felda kerteh 2 dan 3, Ketengah Jaya dan Paka. Selain itu juga ia menjadi pembekal lembu untuk ibadat Korban, akikah dan kenduri perkahwinan. Syarikat ini juga membekalkan makanan binatang ternak juga lembu baka.9
Dengan adanya perkhidmatan seperti yang disebutkan di atas, ia akan secara tidak langsung meningkatkan pendapatan peneroka sekaligus memperbaiki ekonomi keluarga. Selain itu ia akan memberikan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat disamping membantu memenuhi keperluan masyarakat tanpa perlu menghabiskan masa untuk mendapatkannya di pasar dengan jarak yang lebih jauh.
C)            Tanaman Sayuran
Tanaman sayuran juga merupakan salah satu usaha pihak FELDA untuk meningkatkan taraf hidup para peneroka termasuklah peneroka Felda Kerteh 3. Kerjasama FAMA dan KETENGAH telah disepakati dengan FELDA  sebagi satu langkah yang terbaik membantu peneroka dari segi khidmat nasihat berkaitan benih, baja dan pengurusan tanaman. Para peneroka yang berminat untuk mengusahakan tanaman sayuran boleh terus ke Pejabat FAMA berdekatan untuk mendapatkan khidmat nasihat. Para penanam sayur juga akan dikunjungi oleh  pegawai FAMA jika diperlukan khidmat mereka. Seorang pengusaha tanaman sayur yang berjaya ialah En. Sulaiman bin Mat dari blok 9 telah menanam sayuran di tanah rezab FELDA seluas suku ekar  di belakang rumahnya. Hasil usaha inilah telah membantu beliau menampung perbelanjaan anak-anaknya dalam pelajaran sehingga ke peringkat Universiti. Beliau mengembangkan lagi tanaman sayuran di Tanah Rizab FELDA berhampiran Ladang Sawit Felda kerteh 3 seluas suku ekar. Sayuran yang ditanam termasuklah sawi, kacang panjang, kangkung, bayam, petola dan timun batang. Dari segi pemasaran, En. Sulaiman telah menguruskan secara sendirian dalam memasarkan  sayuran melalui penjualan di pasar malam  di Pasar  Dungun.10
Demikian juga pengusaha tanaman sayuran yang kedua iaitu En. Mustafa bin Abdullah dari blok 11 dan En. Harun bin Abdul Rahman dari blok 6. Kedua-dua peneroka ini mengusahakan tanaman sayuran secara rakan kongsi. Selain di pasar malam dan pasar borong mereka berdua juga membekalkan sayur kepada peniaga di Felda kerteh 3 dan 2 juga kepada peniaga ikan dan sayur yang menggunakan van dan motorsikal. Pendapatan bulanan diperolehi sehingga maksimum RM4000 sebulan. Hasil pendapatan dari mengusahakan kebun sayur membolehkan mereka mengubah status kehidupan daripada menggunakan kemudahan motorsikal kepada kenderaan pengangkutan yang lebih besar untuk kemudahan mereka iaitu van atau lori kecil.11
D)           Kegiatan Lain.
Sumber ekonomi tambahan bagi peneroka Felda Kerteh 3 selain hasil ladang FELDA ialah bidang perniagaan runcit, kedai makan, kedai hardware, warung sarapan pagi, gerai buah dan sayuran dan kedai telekomunikasi.
Terdapat  5 kedai telekomunikas, 6 warung makanan, 2 buah kedai makan yang beroperasi pada waktu malam, 3 buah perniagaan hardware, 2 buah kedai buahan dan 4 buah kedai  keperluan ikan dan sayuran dan 4 buah kedai runcit  yang besar. Kebanyakan kedai-kedai yang diusahakan ini telah diuruskan oleh kumpulan generasi  kedua felda.
Perniagaan ini memberikan janaan ekonomi yang baik kepada para peneroka sekaligus menjadikan Felda Kerteh 3 semakin maju dari semasa ke semasa. Penduduk di sini tidak perlu lagi ke Bandar Dungun atu Pekan Paka untuk mendapatkan barangan keperluan yang telah disediakan di sini.
Secara keseluruhannya kehidupan peneroka Felda Kertah 3 ini telah mula meningkat dari semasa ke semasa. Sehingga tahun 2000 kebanyakan peneroka Felda Kerteh tiga mempunyai kenderaan kereta untuk kemudahan keluarga. Demikian juga rumah-rumah asal Felda telah berubah sepenuhnya dan digantikan dengan rumah-rumah yang lebih selesa. Pinjaman perumahan dari Felda telah menampakkan perubahan perumahan yang lebih ketara dengan pembinaan rumah-rumah yang cantik dalam pelbagai bentuk. Dari sinilah menampakkan bahawa hasil kegigihan menguruskan kehidupan membolehkan para peneroka ini membentuk kehidupan yang lebih baik dan selesa pada usia tua mereka.

KESIMPULAN
               Kehidupan manusia di dunia ini bermula dari sebuah sekelompok manusi terdiri dari beberapa keluarga yang akhirnya berkembang  menjadi sebuah perkampungan. Kadang-kadang ia ditempatkan  di satu-satu tempat oleh kumpulan tertentu menjadi satu perkampungan dengan kehidupan yang tersusun. Demikianlah dengan perkampungan yang telah dibincangkan di atas, sehingga ia membentuk sebuah kuantiti yang besar dan berkembang adalah hasil usaha pihak kerajaan yang berusah memberikan kehidupan yang lebih baik untuk rakyat mereka. Sejarah awalnya perlu di terokai dan di tulis  untuk menjadi pencerahan untuk generasi akan datang  agar mereka  sedar bahawa sebuah kehidupan yang segar dan berjaya hari ini sebenarnya dirintis dan diterokai oleh generasi terdahulu dengan jerit perih dan kepayahan. Sewajarnya usaha generasi terdahulu perlu disedari, dipelihara dan dimajukan agar ia tidak hilang dan tergadai kerana kesilapan kita generasi terkemudian.

Bibliografi
1.            Laman web Bandar Ketengah Jaya
2.            Laman web Kerteh
3.            Mohd Ghazali bin Mamat, Pengerusi JKK, wawancara, 16/2/2013
4.            Mustafa bin Abdullah, Pengusaha dan penternak, wawancara, 23/2/2013
5.            Harun bin Abdul Rahman, Pengusaha sayur, wawancara, 2/3/2013
6.            Sulaiman bin Mat, Pengusaha sayur, wawancara, 9/3/2013
7.            Zulkifli bin Mohammad, Penternak, wawacara, 16/3/2013
8.            Mohd Nor bin Jusoh, Penternak, wawancara, 23/3/2013



Komentar

  1. Izin promo ya Admin^^
    bosan tidak ada yang mau di kerjakan, mau di rumah saja suntuk,
    mau keluar tidak tahu mesti kemana, dari pada bingung
    mari bergabung dengan kami di ionqq^^com, permainan yang menarik dan menguras emosi
    ayo ditunggu apa lagi.. segera bergabung ya dengan kami...
    add Whatshapp : +85515373217 ^_~

    BalasHapus
  2. Izin promo ya Admin^^
    bosan tidak ada yang mau di kerjakan, mau di rumah saja suntuk,
    mau keluar tidak tahu mesti kemana, dari pada bingung
    mari bergabung dengan kami di ionqq^^com, permainan yang menarik dan menguras emosi
    ayo ditunggu apa lagi.. segera bergabung ya dengan kami...
    add Whatshapp : +85515373217 ^_~

    BalasHapus

Posting Komentar

Postingan populer dari blog ini

P2 bab 3

BEPANG DAN SEJARAH KULINARI

PULAU DUYUNG ADALAH LIDAH NEGERI TERENGGANU