KAMPUNG MANISAN DAN DODOL, SUMBER EKONOMI UTAMA PENDUDUK KAMPUNG BATANGAN(1950
– 2000)
Marang
terletak di tepi Laut China Selatan. Banyak muka buminya adalah kawasan paya di
sebelah barat. Sungai Marang mengalir dari Bukit Kor dan Gunung Gajah
Terom(1206 m). Selain kawasan berpaya, terdapat juga kawasan berbukit yang
sederhana tinggi yang sejajar dengan pantai yang paling panjang di Semenanjung
ini. Daerah yang berhampiran Marang ialah Kuala Terengganu, Dungun dan Hulu
Terengganu.
Sejarah pentadbiran
Daerah Marang pula telah bermula sebelum daripada
pemerintahan Baginda Omar (1839 – 1876). Ia diketahui
oleh pembesar-pembesar daerah yang dilantik oleh Tuanku Al- Sultan. Pentadbiran oleh
pembesar daerah ini adalah berasaskan kepada pemerintahan
kawasan sungai (river districts). Semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III dari tahun 1881 hingga 1918 M, Yang Dipertuan Muda Tengku
Mohamad telah diberi kuasa menjaga kawasan Sungai Marang manakala Tengku Putra yang
diwakili isterinya iaitu Puteri kepada Tengku Long
dan Tengku Safiah diberi kuasa menjaga kawasan Sungai Merchang.Mereka bertanggungjawab menjalankan pentadbiran kutipan
cukai dan hasil. Penghulu-penghulu tidak mempunyai kuasa mentadbir. Kuasa mereka hanya
terhad kepada kampung-kampung tertentu sahaja.
Pada
tahun 1912, sistem pentadbiran daerah oleh pembesar-pembesar daerah telah digantikan oleh
Pegawai Daerah yang juga mentadbir berasaskan pemerintahan kawasan sungai (River District). Pegawai Daerah Marang yang
dilantik itu akan mentadbir kawasan River District yang
merangkumi di dalam Daerah Marang termasuk Merchang.
Bagi
memperkemaskan lagi pentadbiran daerah, bangunan Pejabat Daerah
Marang yang pertama telah dibina pada tahun 1915
berasaskan model Pejabat Daerah Johor.
Berdasarkan
maklumat lisan, bangunan Pejabat Daerah Marang yang pertama telah dibina di
tepi Muara Sungai Marang.
Keistimewaan Marang
Sememangnya tidak dinafikan
bahawa daerah Marang kaya dengan hasil perikanan yang banyak dan segar. Hal ini
disebabkan laut di daerah marang sangat bersih dan menjadi tempat pembiakan spesies
haiwan akuatik. Pelancong amat tertarik dengan keindahan pantai dan pulau yang
terdapat di daerah Marang. Antara nama pantai yang terkenal di Marang ialah
pantai Rhu Muda, pantai Rhusila dan pantai Jambu Bongkok. Pengunjung selalu
datang ke pantai untuk bermandi-manda, berkelah, memancing dan sebagainya.
Ramai orang datang ke pantai kerana pasirnya yang putih dan halus serta
ombaknya yang tenang.
Marang juga mempunyai dua
buah pulau iaitu Pulau Kapas dan Pulau Gemia yang menghadap bertentangan dengan
pantai Kelulut. Pelancong yang ingin ke sana perlu menaiki bot penumpang di
jeti muara sungai Marang. Perjalanannya juga tidak sampai 30 minit untuk tiba
di pulau Kapas. Selain pantai yang bersih, pulau Kapas juga menyediakan rumah
tumpangan yang selesa untuk pengunjung yang datang melawat. Pelbagai aktiviti
yang dijalankan kepada pelancong seperti menyelam, meredah hutan dan lain-lain
lagi.
Daerah Marang menyediakan
pelbagai aktiviti yang unik serta sukar untuk didapati di tempat lain. Antara
acara tahunan yang berjaya dilaksanakan ialah pertandingan mencandat sotong
pada pertengahan tahun. Ramai peserta yang mengambil bahagian ialah berasal
dari luar negeri untuk menimba pengalaman yang baru. Acara ini dijalankan pada
waktu malam kerana sotong sangat aktif pada waktu itu. Seterusnya aktiviti yang
lain ialah pertandingan renang antarabangsa merentasi perairan Laut China
Selatan atau lebih dikenali sebagai Swimathon. Pertandingan ini bermula
dari pantai Pulau Kapas sehingga ke Pantai Kelulut. Pelbagai bangsa yang
menyertai pertandingan ini baik dalam atau luar negara. Pengunjung yang datang
amat menggalakkan dan berasa teruja dengan acara dianjurkan.
Di samping itu, Kelulut
menjadi lokasi untuk menganjurkan Festival Pekan Budaya Marang
yang semestinya menjadi acara kewajipan. Pameran-pameran yang disediakan ialah makanan tradisional, sejarah
masyarakat, industri kecil sederhana dan sebagainya. Festival ini dianjurkan
selama seminggu pada bulan mac. Dengan adanya festival ini penduduk setempat
dapat menyebarkan produk ke serata negara dan menonjolkan hasil usaha mereka di
mata masyarakat selain menjana pendapatan.
Manisan Terengganu atau dodol juga merupakan satu lagi keistimewaan yang ada di Marang. Manisan
Terengganu sudah tidak asing bagi rakyat negeri ini yang memanggilnya sebagai
nis`san atau nis`san kerek. Kerek merujuk kepada bekas manisan tersebut.
Kegunaan manisan ini adalah sama dengan Gula Melaka, berbeza ketara antara
kedua-duanya adalah bentuk serta saiz. Manisan Terengganu berbentuk kepingan
bulat manakala Gula Melaka didalam bentuk silender. Bahan asas membuatnya
adalah air nira atau air tuak..
Di Terengganu, Perusahaan
membuat manisan ini banyak terdapat di kampung Batangan yang terletak didalam
daerah Marang. Kebanyakan proses membuatnya adalah masih bersifat tradisional dan
diusahakan secara berkeluarga. Beberapa perusahaan manisan di kampung ini
mendapat sokongan daripada Yayasan Pembangunan Ushawan Terengganu yang banyak
membantu mereka yang berminat didalam Industri Kecil dan Sederhana. Setiap
keluarga biasanya mempunyai seorang penyadat atau mereka yang arif dalam soal
memanjat pokok kelapa bagi menghasilkan air tuak.

ASAL-USUL KAMPUNG BATANGAN - KAMPUNG MANISAN
Kampung Batangan terletak di daerah Marang, Terengganu.
Sebahagian besar bentuk muka buminya ialah bertanah rata dan selebihnya
berbukit- bukau. Kampung ini terletak berhampiran dengan Sungai Marang. Jarak
antara Kampung Batangan dengan Bandar Marang ialah sejauh 8 km. Manakala
jaraknya dengan Bandaraya Kuala Terengganu ialah sejauh 22 km. Majoriti
penduduk disini ialah berbangsa melayu. Selain itu terdapat juga bangsa lain
seperti bangsa Burma dan Kemboja yang telah menetap disini sekitar 40 tahun
yang lalu
Kampung Batangan
dikatakan oleh penduduk kampung berasal daripada nama “Batang Larangan”.
Menurut kisah yang diceritakan oleh masyarakat asal tempatan peristiwa ini
bermula apabila penduduk Kampung Gong Beris, Kampung Tasik, Kampung Kubu dan
Kampung Pengkalan Berangan menaiki perahu jalur yang ingin menyusuri Sungai Ulu
Marang untuk ke pekan Marang. Tujuan mereka ke sana adalah untuk membeli
barang, berniaga dan menangkap ikan serta macam-macam perkara.
Pada ketika itu sungai ialah laluan utama bagi
penduduk kampung sebelum wujudnya perkhidmatan jalan raya. Ketika mereka sedang
dalam perjalanan terdapat beberapa
batang kayu yang menjadi larangan penduduk untuk melepasinya. Tempat itu
diawasi oleh beberapa orang penduduk tempatan. Tujuan mereka untuk berbuat
sedemikian adalah untuk memperketat keselamatan daripada dicerobohi oleh
penjahat-penjahat. Sesiapa yang didapati melanggar peraturan itu maka hukuman
akan dikenakan atau pergaduhan pasti akan berlaku Oleh itu,
penduduk terbabit perlu berhenti dan melaporkan diri kepada orang tempatan yang ditugaskan untuk menjaga kampung. Arahan seterusnya diberitahu sama ada
meneruskan perjalanan ataupun terpaksa berpatah balik. Lama- kelamaan nama
“Batang Larangan” digunakan secara meluas dan akhirnya disingkatkan menjadi
panggilan “Batangan” sehinggalah sekarang. Begitulah asal-usul nama Kampung
Batangan bersempena daripada panggilan “Batangan Larangan”.
Jumlah
penduduk yang menetap di Kampung Batangan ialah
seramai 1423 orang iaitu 760 lelaki dan 663 perempuan serta mempunyai
jumlah keluarga seramai 246 buah. Penghulu mukim bernama Ibrahim bin Adam serta
Pengerusi Jawatankuasa Kampung Batangan bernama Yusof bin Norbit.
Terdapat
banyak kemudahan yang disediakan di kawasan petempatan kampung Batangan. Semua
prasarana ini diwujudkan untuk memenuhi permintaan masyarakat bagi menjalankan
kehidupan seharian mereka. Kemudahan asas di kampung ini telah sekian lama
menjadi medium bagi menyatu-padukan hubungan sesama masyarakat. Antara
kemudahan infrastruktur yang utama bagi penduduk setempat ialah sebuah masjid,
jalan raya, 4 buah surau, sebuah
sekolah, sebuah balai raya, klinik dan lain- lain lagi.
Masjid merupakan prasarana yang terbesar di
kampung Batangan. Masjid kampung Batangan telah dibina pada tahun 1976 di atas
sebidang tanah berhampiran dengan persimpangan ke bandar Marang dan ke kampung
Gong Beris. Bahan-bahan asas untuk membina masjid berkenaan ialah kayu dan
sebahagian kecil daripada batu-bata. Keluasan masjid ketika itu ialah sepanjang
80 kaki dan lebarnya ialah 60 kaki. Pada awalnya masjid Batangan boleh
memuatkan jemaah seramai 800 orang dalam satu-satu masa.
Imam pertama yang ditugaskan pada
ketika itu ialah Jusoh bin Muhammad yang mula memegang jawatan sejak tahun 1976.
Diikuti pula imam kedua iaitu Abdurrahman bin Hassan dan imam ketiga pula ialah
zawawi bin Awang. Mereka masih lagi berperanan sebagai imam sehingga sekarang.
Bilal pula terdiri daripada dua orang iaitu Deraman bin Mamat dan Abdul Ghani
bin Abas.
kemudahan yang terdapat di dalam
masjid berkenaan ialah mimbar, kipas, lampu, tempat mengambil wuduk, bilik
mesyuarat, tandas dan sebagainya. Reka bentuk kubahnya juga unik yang
menyerupai seakan-akan Masjid Negara di Kuala Lumpur dan menggabungkan beberapa
ciri seni bina tradisional dan moden. Masjid ini juga mempunyai sebuah menara
terletak di bahagian belakang yang di bina bertujuan untuk meletakkan pembesar
suara bagi membolehkan seluruh penduduk kampung mendengar seruan azan. Selain
itu, terdapat juga kemudahan lain yang didapati diluar masjid seperti tempat
meletakkan kenderaan dan stor menyimpan peralatan memasak. Masjid ini juga
dihiasi oleh bunga-bungaan yang ditanam di sekeliling masjid Batangan.
Kini masjid ini diperkemaskan lagi dengan kemudahan asas yang lain demi
keselesaan jemaah untuk menunaikan ibadah . Disebabkan oleh pertambahan
penduduk di kampung ini dari masa ke semasa, maka pihak Jawatankuasa Kampung
mengambil inisiatif bagi memperbesarkan masjid sehinggalah pada tahun 2000
masjid ini mampu memuatkan seramai 1000 orang jemaah. Selain itu lantai masjid
telah diletakkan karpet yang ditempah khas untuk kegunaan solat jemaah. Bahan
bacaan seperti al-Quran dan kitab agama diperbanyakkan bagi membolehkan
masyarakat membaca pada waktu lapang. Kerusi juga disediakan bagi kegunaan
orang kurang upaya untuk solat. Jika dahulu masjid kekurangan kemudahan kipas
namun sekarang jemaah dapat menarik nafas lega dengan menambah lebih banyak
lagi kipas di setiap sudut masjid. Banyak kemudahan lain yang telah
dinaiktaraf bagi keperluan masyarakat
muslim.
Pelbagai aktiviti
yang di jalankan untuk mengimarahkan dan menghidupkan fungsi masjid sebagai
pusat perkembangan ilmu dan bukan hanya sekadar tempat untuk beribadat. Program
yang selalunya menjadi kewajipan bagi masjid ini ialah mengadakan kuliah pada
waktu selepas maghrib dan selepas subuh. Penceramah kebiasaannya dijemput khas
dari luar kawasan kampung Batangan. Topik yang dibicarakan adalah berdasarkan
daripada kitab-kitab agama. Oleh itu, masyarakat setempat mampu memanfaatkan
masa yang terluang dengan menimba ilmu. Selain itu, aktiviti gotong-royong juga
dijalankan secara berkala iaitu sebanyak dua kali setahun. Seluruh penduduk
kampung dengan sukarela dapat membantu membersihkan kawasan masjid disamping
menceriakan halaman masjid dengan menanam pokok-pokok perhiasan dan mengecat
dinding yang lama. Bagi kaum hawa mereka akan memasak makanan untuk dijadikan
sebagai juadah selepas melakukan gotong-royong.
Kawasan masjid juga dijadikan sebagai lokasi untuk
memasak bubur assyura. Makanan ini sememangnya menjadi tradisi bagi masyarakat
setempat pada setiap tahun. Bubur assyura dimasak secara beramai-ramai dan
memerlukan tempoh yang agak lama dalam menghasilkannya. Selepas siap mereka
akan membungkus bubur untuk diberikan kepada penduduk kampung. Aktiviti ini
telah lama diamalkan sejak puluhan tahun yang lalu dan masih lagi dijalankan
sehingga sekarang dengan mewarisi secara turun-temurun daripada generasi lama
kepada generasi yang baharu.
Pelbagai program masjid yang dapat disertai oleh setiap
lapisan masyarakat seperti mengadakan majlis tilawah al-Quran. Kali pertama
masjid ini menganjurkan majlis tilawah al-Quran pada beberapa tahun yang lepas
dan itu merupakan satu-satunya program yang dijalankan pada tahun tersebut.
Program itu dihadiri oleh beberapa tetamu istimewa dalam kalangan pegawai agama
daerah Marang dan masyarakat setempat. Pertandingan azan juga dijalankan di
masjid Batangan untuk mencari bakat yang terpendam dikalangan anak remaja
sekaligus bagi mengisi kekosongan jawatan bilal secara rasmi.
Selain masjid kemudahan utama yang lain ialah jalan raya.
Sebelum wujudnya perkhidmatan jalan raya penduduk setempat menggunakan jalan
air untuk ke tempat lain. Kenderaan yang digunakan dahulu ialah sampan, perahu
jalur, rakit, bot kecil dan sebagainya. Tiada jalan yang lain yang dapat
menghubungkan antara kampung Batangan dengan bandar Marang. Disebabkan sungai
Marang luas dan dalam maka tidak hairanlah bahawa dahulu sungai ini menjadi
laluan utama bagi masyarakat kampung Batangan. Tidak semua penduduk yang
mempunyai perahu sendiri. Kebanyakannya hanya orang yang berada sahaja
mempunyai pengangkutan sendiri. Mereka yang tidak berkemampuan hanya boleh
menumpang atau menyewa bot daripada sesiapapun. Tujuan mereka mengguna
pengangkutan ini ialah untuk berniaga, mencari pendapatan dan untuk mendapatkan
keperluan asas. Malahan untuk ke sekolah
pun mereka menggunakan jalan air sebagai laluan utama.
Pada perkembangan awal jalan darat kampung Batangan hanya
disediakan dengan jalan bertanah merah dimana ketika itu hanya terhad kepada
kawasan tertentu sahaja. Pengangkutan pada ketika itu ialah basikal, kereta
lembu dan terdapat sebilangan kecil sahaja yang menggunakan kenderaan bermotor.
Walaupun jalan darat telah diperkenalkan namun penduduk masih lagi menggunakan
Sungai Marang sebagai laluan utama kerana perjalanan lebih cepat dan waktu juga
amat singkat. Pembinaan jalan dahulu
hanya digunakan oleh masyarakat untuk ke kawasan sekitar kampung itu sahaja dan
tidak boleh keluar untuk ke bandar. Jalan itu juga terlalu sempit untuk
kenderaan melalui dua hala dalam waktu yang sama. Disamping itu apabila
berlakunya hujan lebat maka jalan akan berlumpur dan sukar untuk kenderaan
melaluinya.
Pada suatu ketika dahulu iaitu pada tahun 1980-an kampung
Batangan telah digemparkan dengan peristiwa banjir besar yan g menenggelamkan
seluruh kampung ini. Segala kegiatan kampung telah lumpuh dan jalan darat tidak
dapat digunakan. Satu-satunya jalan yang digunakan ialah dengan memindahkan
penduduk ke tempat yang selamat menggunakan perahu dan bot sediaada.
Jalan tar di bina di kampung Batangan buat kali
pertamanya pada tahun 1981 iaitu sebelum terjadi peristiwa banjir besar.
Pembinaan jalan baharu ini adalah untuk menghubungkan kampung Batangan dengan
dunia luar dan memudahkan masyarakat mencari rezeki di pekan Marang dan bandar
Kuala Terengganu. Dengan adanya jalan ini bahan-bahan untuk pembinaan
infrastruktur mampu dibawa masuk dengan mudah dan cepat. Selain itu kemudahan
ini merancakkan lagi pembangunan di sekitar kampung Batangan dengan menambahkan
penempatan masyarakat dari luar untuk menetap dikampung ini. Orang ramai yang
ingin ke Kuala Berang atau ke pekan Pengkalan Berangan menggunakan jalan
kampung Batangan sebagai jalan pintas kerana jaraknya lebih dekat dan tidak
sibuk dengan kenderaan yang banyak.
Kini jalan ke kampung Batangan diperluaskan selepas
siapnya projek perumahan kos rendah atau diberi nama Taman Desa Permai yang di
bina di kampung Darat Pak Chan pada tahun 1980-an dan penempatan di kampung
Gong tepah pada akhir tahun 1990-an. Jalan raya sekarang ini telah dilengkapi
dengan sistem pencahayaan di sisi jalan untuk memudahkan pengguna jalan raya
pada waktu malam. Penghadang jalan juga disediakan pada cerun bukit sebagai
keselamatan pengguna jalan raya. Papan tanda yang menunjukkan arah serta tanda
amaran juga diletakkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya pada bahagian tepi jalan
raya. Sekolah rendah kebangsaan kampung Batangan dibina pada
tahun 1952.
Kegiatan ekonomi utama penduduk tempatan
Setiap kampung pasti mempunyai kegiatan ekonomi yang
menjadi mata pencarian masyarakat bagi menyara hidup keluarga mereka. Di
kampung Batangan misalnya sektor pertanian yang menjadi tumpuan masyarakat
ialah menoreh getah, menanam padi, menternak ikan di dalam sangkar serta mengambil
nira kelapa. Tetapi yang menjadi keistimewaan bagi kampung Batangan ialah dalam
pembuatan manisan serta dodol.
Masyarakat Kampung
Batangan dengan pembuatan manisan dan dodol tidak dapat di pisahkan kerana
sudah sekian lama menjadi tumpuan warga kota untuk mendapatkan makanan di
kampung tersebut. Apabila disebutkan manisan dan dodol masyarakat mula berfikir
bahawa kampung Batangan adalah satu-satunya tempat yang mudah untuk
mendapatkannya. Selain daripada lokasi yang strategik makanan ini juga murah
jika di beli di kampung Batangan berbanding di tempat yang lain.
Perusahaan manisan telah dimulakan
sejak zaman-berzaman dan banyak perubahan yang berlaku dari segi peralatan dan bahan
yang di campur. Menurut daripada salah seorang informer yang telah di temubual
bernama Ramlah binti Othman, untuk menghasilkan manisan air nira amat
diperlukan kerana ia merupakan bahan yang utama dalam pembuatan manisan. Orang
yang menghasilkannya perlu mempunyai kepakaran yang sudah lama bukan dengan memilih
individu yang sewenang-wenangnya. Jika tiada asas dalam pembuatan makanan ini
maka akhirnya ia tidak akan menjadi dan segala usaha akan merugikan. Nama yang
di panggil oleh masyarakat kampung bagi orang yang mengambil air nira ialah
penyadat
Kampung Batangan amat terkenal dengan industri kampung
penghasilan hasilan pokok kelapa, antaranya adalah dodol daun palas. Malah terdapat lebih 30 bangsal pembuat dodol di kampung ini Selain itu terdapat juga industri pembuatan nisan nira kelapa di kampung Batangan ini. Nisan yang dihasilkan ini akan dibiarkan sejuk
dan mengeras sebelum di simpan dan di jual kepada peniaga-peniaga ataupun
penduduk kampung. Kebanyakannya dibekalkan ke Pasar Payang di mana ia banyak dijual di sekitar aras bawah. Permintaan
nisan akan
Cara-cara untuk mendapat air nira
adalah mula-mula sekali panjat pokok kelapa sehingga ke pangkal dahannya. Sebelum
itu, perkara pertama yang akan dilakukan potong dahulu bahagian kulit batang
pokok kelapa dengan menggunakan parang untuk memudahkan penyadat memanjat
hingga ke atas. Kaedah ini sama dengan membuat tangga untuk memudahkan kaki
memijak pada batang pokok. Ketika sampai
diatas, penyadat akan duduk di atas pelepah iaitu tempat tumbuh daun kelapa.
Kemudian lurut batang mayang sehingga ke hujung untuk membuang sisa-sisa dan
diikuti pula membalut mayang dengan pucuk kelapa yang muda.
Tunggu sehingga mayang menitiskan
air nira dalam masa dua hari. Jika mayang dipotong sebelum waktunya maka ia
akan membengkak dan air nira akan rosak. Selepas itu, tadahkan air tuak dengan tuke
iaitu sejenis bekas yang diperbuat daripada buluh yang di potong. Tetapi
sekarang air tuak diisi dengan botol yang terpakai. Air tuak mengambil masa
selama dua bulan untuk menitis sehingga kering dan pada waktu itu bekas
sentiasa di tukar selepas penuh.
Antara pokok kelapa yang sesuai
digunakan ialah daripada jenis Mawar, Pandan dan yang biasa. Sekarang
kebanyakan pokok kelapa yang digunakan ialah daripada jenis ringan yang cepat
berbuah seperti Mawar dan Pandan. Pokok jenis ini mampu berbuah dalam tempoh 3
tahun sahaja berbanding pohon kelapa daripada jenis berat iaitu kelapa yang
biasa didapati. Kelapa biasa akan berbuah dalam masa 5 hingga 6 tahun.
Salah seorang antara pengusaha pembuatan Manisan yang
terkenal dalam kalangan masyarakat kampung Batangan ialah Abdul Ghani bin Abas.
Beliau telah mula berkecimpung dalam kegiatan ini lebih 30 tahun dahulu bersama
dengan isterinya. Beliau adalah antara penduduk terawal dalam memasarkan
manisan ke luar kampung Batangan. Walaupun beliau menjual secara kecil-kecilan
namun perusahaannya dapat dikekalkan sehingga sekarang.
Menurut beliau
selepas nira dihasilkan rebus air nira tersebut dalam masa 2 jam sehingga
bertukar menjadi warna kemerah-merahan. Untuk membuat acuannya bahan yang
diperlukan ialah daun daripada pokok mengkuang. Daun tersebut perlu dipotong
nipis dengan anggaran ukuran selebar 1 inci. Seterusnya jadikan daun berbentuk
bulat dan nira yang telah masak akan dicurahkan kedalam acuan tersebut. Tunggu sehingga
Manisan menjadi keras dan siap untuk dijual. Perbezaan antara manisan dahulu
dengan sekarang ialah dari segi bahan
campurannya. Dahulu bahan yang digunakan hanyalah air nira asli sahaja manakala
sekarang kebanyakan Manisan dicampur dengan gula. Rasa juga amat berlainan.
Selain itu, pada masa dahulu manisan dijual dengan harga
serendah 8 sen sekeping berbanding sekarang harga dijual RM 4 sekeping.
Pelbagai masakan yang menggunakan Manisan sebagai penambah perisa. Contohnya
bagi memasak gulai daging dan sebagainya. Kebanyakan kuih-muih di Terengganu
menggunakan Manisan sebagai bahan asas. Manisan lazimnya di masak di dalam
sebuah tempat khas atau bangsal tersendiri. Antara peralatan yang digunakan
ialah sodek panjang dan sodek pendek, kawah besar, dapur kayu api dan segulung
tikar.
Proses membuat manisan ini
sememangnya memakan masa dan perlukan kesabaran. Kebiasaannya terdapat dua
jenis manisan di hasilkan iaitu manisan gula dan manisan asli. Manisan gula
mempunyai kandungan gula yang lebih tinggi dan manakala manisan asli mempunyai
kandungan air tuak sehingga 90 peratus dan 10 peratus campuran gula. Air tuak yang
siap di masak akan di tuang terus kedalam bekas yang di perbuat daripada
mengkuang dari spesis jakas. Sementara menunggu air tuak masak sepenuhnya, kaum
wanita akan membuat acuan manisan ini sebagai persediaan awal untuk
menghasilkan manisan.
Manisan akan dibiarkan
sejuk dan mengeras sebelum di simpan dan di jual kepada peniaga-peniaga ataupun
penduduk kampung. Jika anda berkunjung ke Pasar Payang pasti anda akan temui
manisan ini banyak dijual di sekitar aras bawah. Permintaan manisan akan meningkat
ketika musim bulan puasa kerana ianya banyak digunapakai dalam menghasilkan
pelbagai jenis kuih tradisional seperti lompat tikam, ondeh-ondeh dan
sebagainya
Salah seorang lagi orang kenamaan
dalam bidang perusahaan di kampung Batangan ialah Suri bin Abdul Ghani berumur
40 tahun. Syarikat Manis Sokmo Enterprise dimiliki Suri Abdul Ghani,. Pada asalnya
produk ini hanya dijual di kawasan
kampung sahaja. Namun sekarang, turut menjalankan perniagaannya secara talian
melalui laman webnya, www.manissokmo.com. my. Beliau
memulakan perniagaan membuat produk makanan Terengganu termasuk kandi kelapa,
manisan pulut dan dodol daun palas sejak enam tahun lalu. Ketika itu, beliau
masih bekerja kilang dan anak-anaknya tidak mahu tinggal dengan nenek mereka
dan meminta beliau untuk berhenti bekerja. Beliau mendapat idea apabila seorang
jiran yang sakit meminta untuk membuat manisan pulut untuknya. Ibu kepada lima
anak 4 hingga 19 tahun itu berkata, beliau bersama suaminya, Mohd Kahni Habsu
berumur 44 tahun, kemudian memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dahulu.
Beliau masih bekerja di sebuah kilang di Marang ketika
mula berniaga sendiri. Kemudian beliau menggunakan masa terluang untuk menimba
ilmu dalam bidang perniagaan dan keusahawanan melalui kursus-kursus yang
ditawarkan. Melalui kursus-kursus itu, beliau menerima banyak maklumat untuk
mengembangkan perniagaan termasuk cara memasarkan produk yang ingin dijualnya.
Beliau mendapat beberapa bantuan peralatan daripada Jabatan Pertanian dan
beberapa institusi untuk membantu meningkatkan produktiviti syarikat beliau.
Menurut beliau, perniagaannya kini semakin berkembang
berbanding ketika baru bermula dahulu. Kini beliau perlu menyediakan lebih 200
bungkus dodol daun palas, 1000 manisan kampung (gula melaka) dan 3000 kandi
kelapa sehari. Beliau mampu menjual semua produk ini kira-kira RM 1400
seminggu. Selain itu, beliau di bantu oleh lima orang tenaga kerja. Gula yang
digunakan adalah sebanyak 200 kilogram seminggu dan beliau tidak mengalami
sebarang kesukaran untuk mendapat bekalan itu.
Kebiasanya lebih
dari 3000 helai daun palas digunakan untuk membuat dodol pulut. Pada hari hari biasa,
mereka hanya bekerja tiga atau empat hari dalam seminggu sahaja. Bagaimanapun,
ketika musim cuti sekolah dan perayaan, mereka perlu bekerja tujuh hari
seminggu kerana permintaan yang meningkat. Produk-produknya kini telah
dipasarkan hampir ke seluruh negeri ini. Sekarang produknya mampu didapati
dengan mudah di kedai pemborong, kedai runcit dan pelbagai lagi premis-premis
perniagaan. Beliau merancang untuk memasarkan produknya ke seluruh negara jika
mendapat peluang perniagaan.


Kegiatan seterusnya ialah pembuatan keropok keping yang
diusahakan oleh Adabiah binti Mokhtar. Beliau masih baru lagi dalam menceburi
bidang ini sekitar beberapa tahun yang lalu. Tujuan beliau membuat keropok
keping bukan sekadar menampung kehidupan keluarga malah mengambil peluang ada
bagi memasarkan keropok di kampung yang mana beliau merupakan satu-satunya yang
memproses keropok keping. Usaha yang gigih dan kesabaran kental adalah rahsia
yang selalu dipegang olehnya dalam memperniagakan keropok keping. Buat masa
kini beliau mahu menjual secara kecil-kecilan sahaja dan dalam perbincangan
untuk meluaskan pemasaran ke seluruh negeri.
Beliau memulakan perniagaan dengan menggunakan wang
perbelanjaan sendiri. Modal dikeluarkan untuk membeli peralatan memproses
keropok keping dengan nilai sebanyak RM 1500. Bahan-bahan juga dibeli secara
borong di kedai sekitar Marang seperti kanji, sagu, garam dan perisa.
Manisan atau lebih di
kenali dengan gula melaka atau Nisan dalam bahasaTerengganu.......telah
lama kuih Tradisional ini bertapak kat Malaysia.Di negeri Melaka di panggil gula
melaka dengan acuan berasakan buluh.Tetapi di Negeri Terengganu lebih di kenali
dengan nama manisan sahaja dan tidak menggunakan acuan, ianya menggunakan bekas
dengan bahasa kampungnya "keret" yang dibuat berasaskan mengkuang.
Satu lagi produk Tradisional yang
terkenal di pantai timur ini terutama di Negeri Terengganu ialah dodol
yang dibungkus menggunakan daun palas yang begitu popular yang boleh dijadikan
gula-gula perkahwinan.
Komentar
Posting Komentar