Apa Sejarah


APA ITU KAJIAN SEJARAH

Sejarah itu teori.
Tapi belajar sejarah itu belajar cara membuktikan teori itu benar atau salah. Melalui banyak cara


Fenomena kemunculan pelbagai kumpulan, organisasi, dan individu yang berjuang untuk memartabatkan bidang pensejarahan bangsa dan negara belakangan ini merupakan suatu perkembangan yang sangat positif kepada masa hadapan bidang pensejarahan negara. Walau bagaimanapun, akhir telah muncul secebis sisi negatif rentetan kemunculan pelbagai kumplan, organisasi, dan individu yang bergerak atas nama sejarah tanpa matlamat, visi, dan misi yang jelas. Siapa mereka ini? Adakah mereka ini seperti Srikandi dan kumpulannya?. Masing-masing mula mendakwa diri mereka sebagai “ahli sejarah”, “pakar sejarah”, ataupun “pengkaji sejarah” dan mula mendendangkan penemuan serta fakta sejarah mengikut versi kefahaman masing-masing sehingga munculnya pelbagai polemik dan teori yang diragu keabsahannya. Di sini, penulis akan cuba mengelaskan individu-individu yang muncul di dalam dunia pensejarahan mengikut peranan dan fungsinya secara ringkas dan padat.

PELAJAR SEJARAH
Mereka yang dikelaskan sebagai para pelajar Sejarah ini terdiri daripada individu-individu yang memperoleh pendidikan dalam bidang dan disiplin  Sejarah dan Pensejarahan secara formal. Kebiasaannya pengajian dalam bidang dan disiplin Sejarah dan Pensejarahan secara mendalam bermula pada peringkat pengajian Sarjana Muda. Antara bidang pengajian yang secara umumnya boleh diletakan di bawah bidang pengajian Sejarah termasuklah Sejarah, Arkeologi, Permuziuman, dan Pengajian Warisan.
Para pelajar sejarah ini telah dilatih dan dibentuk gaya pemikirannya sesuai dengan Pensejarahan Moden versi Ranke. Ranke ataupun Leopold Von Ranke merupakan seorang sejarawan Jerman era abad ke-19. Prinsip pensejarahannya yang bersifat moden dan fleksibel mengikut zaman telah dijadikan sebagai garis panduan buat para sejarawan moden sebelum menulis atau mengemukakan suatu teori baru yang bakal dijadikan sebagai fakta sejarah.
Antara prinsip utama Pensejarahan Moden Ranke adalah sejarah perlu bersifat benar seperti yang sebenarnya telah berlaku. Kedua, sejarah perlu bersifat objektif iaitu tidak bias atau dipengaruhi pengadilan, penerimaan, dan pengakuan sosial atau politik kecuali oleh apa yang dibekalkan proses sejarah itu sendiri. Ketiga, ketika melakukan kajian sejarah, penggunaan kaedah saintifik juga diperlukan dengan membandingkan sumber-sumber yang ditemui melalui kaedah mencari, menilai dan mengkritik sumber-sumber utama.
Keempat adalah penggunaan prinsip Quellenkritik dan seminar. Seminar perlu diadakan agar sejarawan dapat mencari, menilai dan mengkritik sumber-sumber utama sejarah.  Idea yang baharu juga dapat ditemui melalui kritikan sejarah dan secara tidak langsung sesuatu akan meningkatkan kesahihan fakta dan penulisan sejarah. Quellenkritik ialah usaha-usaha dalam menilai dan mengkritik sumber-sumber. Antara sumber-sumber yang penting bagi ranke ialah buku kenangan, catatan harian, surat menyurat, laporan diplomatik serta gambaran saksi.  Pemilihan terhadap dokumen sangat penting bagi menentukan keaslianya.
Kelima, sejarah perlu berdiri dengan sendiri tanpa terikat dengan ilmu-ilmu lain seperti filologi, undang-undang dan teologi tetapi penggunaan disiplin lain seperti Sains Forensik boleh digunakan bagi mengesahkan keabsahan dan keaslian bukti yang ditemui dalam sejarah. Terakhir adalah sejarah bersifat sejagat iaitu sejarah merupakan warisan manusia. Ia bukanlah milik hak ekslusif untuk sesuatu bangsa sahaja. Sejarah bukanlah hanya sebagai salah satu bidang akademik sahaja tetapi ia merupakan ilmu pengetahuan yang perlu dimiliki oleh semua lapisan dan golongan masyarakat. Antara IPTA negara yang menawarkan bidang pengajian dalam disiplin Sejarah ialah Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, dan Universiti Perguruan Sultan Idris (dalam bidang pendidikan Sejarah).
Keenam-enam Prinsip Pensejarahan Moden Ranke inilah yang menjadi tunjang utama dan amalan para pelajar sejarah dalam melakukan kajian dan penulisan ilmiah. Seseorang pelajar sejarah dianggap sebagai gagal sekiranya ia tidak mengaplikasikan keenam-enam prinsip ini dalam kajiannya dan hasil penulisannya boleh dianggap sekadar polemik sahaja.
AHLI SEJARAH/SEJARAWAN
Ahli sejarah ataupun sejarawan merupakan suatu pengiktirafan yang diberikan oleh dunia akademik, kerajaan, ataupun badan-badan yang berkelayakan ke atas seseorang individu yang diakui dan ketahui umum berkenaan jasanya dalam dunia pensejarahan dan tahap latar belakang pendidikan dalam bidang Sejarah yang dimilikinya. Mereka ini kebiasaannya merupakan para pelajar sejarah yang terus fokus dalam melakukan pelbagai kajian ilmiah dan menyumbangkan pelbagai karya penulisan Sejarah dalam bentuk artikel, jurnal, buku, dan seminar. Kajian-kajian yang disumbangkan pula adalah tulen tanpa diplagiat daripada hasil kajian sedia ada. Perlu diingatkan, tidak semua pelajar sejarah layak menjadi sejarawan tetapi semua sejarawan asalnya bermula sebagai pelajar sejarah.
Para sejarawan ini majoritinya memiliki tahap pendidikan Sarjana dan memiliki kerjaya yang sesuai dengan bidang Sejarah agar memudahkan mereka menyebarkan kepakaran dan ilmu yang dimiliki di samping kekal dengan rutin mereka dalam melakukan pelbagai penyelidikan dan kajian sejarah. Mereka memiliki kepakaran dalam sub-bidang disiplin Sejarah yang tertentu seperti Sejarah Politik, Sejarah Asia Tenggara, Histografi Melayu, dan sebagainya serta sering menjadi tempat rujukan para pelajar dan peminat sejarah. Antara nama-nama sejarawan terkenal negara ialah Khoo Kay Kim, Abdullah Zakaria Ghazali, Ramlah Adam, Ahmat Adam, Sivachandralinggam Sundara Raja, Ho Hui Ling, Sufian Sabtu, Yusoff Hashim, dan ramai lagi.

PEMINAT SEJARAH
Golongan ini merupakan golongan terbesar dalam dunia pensejarahan negara. Kemunculan golongan ini kian bercambah saban tahun di atas sikap kesedaran dan minat membaca dan mengkaji yang mulai tumbuh dalam kalangan rakyat negara ini setelah berlakunya ledakan teknologi media sosial seperti Facebook yang memudahkan golongan ini berkumpul secara maya sambil menulis dan membincangkan berkenaan topik-topik sejarah yang menarik minat mereka. Keadaan ini sedikit sebanyak telah memberi nafas baru kepada bidang pensejarahan negara yang dilihat agak layu dan suram sebelum ini.
Walau bagaimanapun, muncul pula beberapa sisi negatif hasil kemunculan golongan ini yang terlampau ramai. Antaranya ialah munculnya “pakar sejarah segera/sejarawan tangkap muat”. Pakar sejarah segera atau sejarawan tangkap muat ini seringkali mengemukakan polemik demi polemik tanpa sebarang fakta, bukti, atau sumber rujukan yang kukuh dalam membincangkan sesuatu topik sejarah terutamanya sejarah yang berkaitan era Kesultanan Melayu dan zaman feudal. Mereka ini memiliki keberanian dalam mempersoalkan dan membantah hasil-hasil kajian yang diutarakan oleh sejarawan negara tanpa memberi sebarang bukti atau penemuan baru yang memiliki keabsahan dan ketulenan sejarah.
Malangnya, para ahli sejarah segera ini tetap memiliki puluhan malah ratusan pengikut hasil penyebaran dapatan sejarah palsu versi “kajian” mereka di media-media sosial. Tanpa memiliki pengetahuan dalam bidang pensejarahan yang sebenar, mereka berani menulis buku-buku dan artikel di media sosial sehingga menyelewengkan fakta sejarah yang sebenar sesuai mengikut cita rasa mereka sahaja.
Walaupun memiliki latar belakang pengajian dalam disiplin bukan Sejarah dan tidak pernah belajar mengenai Prinsip Pensejarahan Moden Ranke yang menjadi panduan para pelajar dan sejarawan sebenar, golongan ahli sejarah segera ini tetap tanpa rasa malu medabik dada kononnya mereka adalah pencetus kepada pelbagai penemuan sejarah di negara ini. Tidak dapat dipastikan apakah motif dan tujuan sebenar kemnculan golongan ahli sejarah segera ini? Adakah bermotifkan kepentingan peribadi untuk mengangkat taraf keturunan masing-masing? Ataupun bermotifkan politik dan wang ringgit? 


Bagaimana Mahu Fasih Ilmu Sejarah?
OLEH: Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin


Ramai orang pernah bertanya kepada saya - dengan muka yang senget-senget dan kelat-, baik mahasiswa mahupun publik, bagaimana mahu menguasai ilmu Sejarah?

Jawapan saya. Tidak ada pilihan lain kecuali membaca. Membaca sejarah bermula dengan inkuiri. Kalau membaca bahan sejarah sekadar untuk menjawab peperiksaan, maka setakat peperiksaan sahajalah kekal ilmunya. Usai periksa, shift+delete automatik.

Bagaimana caranya membaca dengan inkuiri? Pertama, timbulkan persoalan tentang hal yang ingin diketahui. Contoh: Saya mahu tentang kewujudan masyarakat majmuk. Di Malaysia asalnya hanya orang Melayu, lalu bagaimana ada pelbagai rupa kaum kini? Cari jawapannya melalui bahan Sejarah. Contoh lain, saya tertanya-tanya mengapa politik negara ini susunannya demikian rupa? Ada Agong, ada PM. Ada sembilan raja pula. Mengapa dan bagaimana? Jawapannya, dapatkan buku dan bahan yang berkaitan.
Kedua, kaitkan bahan yang dibaca dengan keadaan semasa atau jangkakan masa hadapan daripada hasil bacaan sejarah tersebut. Jika kita membaca berkaitan DEB, nilaikan kejayaannya hari ini. Dan fikirkan kemungkinan jika dasar seperti DEB diperlukan pada masa hadapan. Jika tiada DEB apakah yang mungkin berlaku?

Ketiga, timbulkan minat sebelum membaca. Baca untuk ilmu bukan untuk periksa. Jangan paksa diri untuk membaca kerana otak kita tidak akan menyimpan memori tersebut untuk jangka panjang.

Keempat, kongsikan ilmu. Bawa berbincang dengan kawan. Ceritakan kepada kawan-kawan isi yang dibaca. Cuba tarik minat mereka untuk mengetahui sesuatu yang tak pernah diketahui. Saat ada kawan yang mengatakan "Oh, begitu rupanya. Aku baru tahu harini." Saat itu akan akan ada lonjakan perasaan bahawa kita sudah menguasai ilmu baharu. Dan ia pula bermanfaat untuk dikongsi. Fikirkan, semakin banyak yang dibaca, semakin banyak ilmu, semakin banyak bahan kita untuk dikongsi. Ia meningkatkan 'social skill' kita. Saham pun naik.

Kelima, baca untuk mencari jawapan bagi persoalan, bukan hanya baca bahan yang menepati andaian jawapan yang kita mahukan. Ini melatih sifat adil dalam diri kita. Jangan baca hanya apa yang kita mahu idea kita disokong tetapi baca juga sesuatu idea yang bertentangan dengan pandangan kita supaya ia dapat mencabar akal kita. Lebih dicabar lebih tajam dan perseptif jadinya.

Begitulah sedikit perkongsian daripada saya. Moga bermanfaat. Terima kasih.

Komentar

  1. Numpang promo ya Admin^^
    ingin mendapatkan uang banyak dengan cara cepat
    ayo segera bergabung dengan kami di ionpk.club ^_$
    add Whatshapp : +85515373217 || ditunggu ya^^

    BalasHapus

Posting Komentar

Postingan populer dari blog ini

P2 bab 3

BEPANG DAN SEJARAH KULINARI

PULAU DUYUNG ADALAH LIDAH NEGERI TERENGGANU