KAMPUNG PAK MADAH


KAMPUNG PAK MADAH; SATU TINJAUAN AWAL
  

PENGENALAN
Kampung Pak Madah telah ditubuhkan sekitar tahun 1970 oleh sekumpulan orang – orang Melayu yang berasal dari kampung itu sendiri. Pada tahun 1975, dikatakan terdapat sekitar 200 orang yang mendiami kampung ini dengan kehidupan secara tradisi, bermasyarakat dan berdikari. Pada ketika itu pertanian merupakan aktiviti ekonomi utama para penduduk. Terdapat juga ekonomi awal yang lain di antaranya ialah menternak binatang dan berniaga. Hal ini merupakan punca sumber rezeki yang utama bagi penduduk kampung ketika itu.
            Kampung Pak Madah mendapat namanya daripada pelbagai mitos dan cerita-cerita daripada masyarakat setempat. Menurut kajian, di kawasan ini terdapat seorang lelaki yang bernama Pak Midah dan ada juga mitos yang mengatakan nama Kampung Pak Madah ini berasal daripada nama seorang wanita yang bernama Mak Midah. Akhirnya, perkataan “Madah” sering menjadi sebutan penduduk kampung dan akhirnya menjadi nama Kampung Pak Madah. Banyak cerita yang membabitkan nama seperti seorang lelaki yang bernama Pak Madah dan ada juga yang mengatakan bahawa nama Kampung Pak Madah berasal daripada seorang wanita yang bernama Mak Midah. Sememangnya mereka ini merupakan sepasang suami isteri tetapi ianya hanya dianggap sebagai mitos sahaja kerana sentiasa menjadi perbualan dari mulut ke mulat di antara penduduk setempat di kampung itu sehingga sekarang.
Pada tahun 1980, penduduk kampung ini mendesak mahukan seorang Ketua Kampung yang berasingan dari kampung yang berdekatan di situ. Dengan itu, sekitar 80-an seorang ketua kampung yang pertama telah dilantik di kampung ini. Beliau ialah Tuan Hj Ngah bin Daud. Seterusnya, pembabitan dan pembangunan dari segi sosial,ekonomi, dan politik di Kampung Pak Madah terus menemui langkah yang drastik dan seiring seperti kampung-kampung maju yang lain sehingga pelantikan ketua Kampung Pak Madah terus diwarisi dan diteruskan sehingga sekarang. Pada masa kini, jawatan ketua kampung dipegang oleh seorang lelaki yang juga berasal daripada Kampung Pak Madah tersebut iaitu Mohd Zanuddin Mohd Arshad.           Sememangnya nama Kampung Pak Madah sering menjadi sebutan ramai dan nama itu terus dikekalkan sehingga kini. Pada sekitar 90-an, kawasan Kampung Pak Madah telah diwartakan dengan anggaran keluasan 1000 ekar dengan penduduknya pada ketika itu dianggarkan seramai 800 orang. Kemajuan dan pembangunan terus digapai  dan diusahakan dalam Kampung Pak Madah ini. Infrastruktur yang lengkap dan kemudahan yang sempurna terus menarik minat orang ramai untuk mengunjungi kampung ini. Kajian mendapati, terdapat 369 buah rumah yang terus membangun dan dibina sehingga tahun 2000. Pembinaan masjid juga yang dikenali sebagai Masjid Pak Madah juga dibina pada tahun 1990 hasil daripada derma penduduk Kampung Pak Madah itu sendiri. Pembinaan surau seperti Surau Hj. Awang dan Surau Hj. Abdul Rahman juga telah dimajukan di Tanjung Mengkudu yang bermukimkan Kampung Pak Madah.          Hal ini menunjukkan pelbagai infrastruktur dan kemudahan lengkap yang terdapat di Kampung Pak Madah ini.        
            Kini, Kampung Pak Madah semakin makmur dengan pelbagai kemudahan asas dan penduduknya semakin ramai. Sekitar tahun 1978, Kampung Pak Madah telah dibekalkan dengan kemudahan bekalan elektrik ke kampung itu disamping mempunyai jalan untuk penduduk setempat melakukan aktiviti harian mereka tetapi jalan tersebut masih tidak berturap. Tambahan pula, Kampung Pak Madah terletak begitu hampir dengan kawasan pertanian padi dan sebagainya. Kampung Pak Madah menjadi tumpuan bukan sahaja dikalangan penduduk tempatan tapi juga dikalangan penduduk luar dari Negeri Terengganu.Tidak terkecuali juga pendatang asing dari negara luar           
             Perkembangan dan kemajuan yang dialami oleh Kampung Pak Madah ini turut dikongsi bersama, seiring dengan pertambahan penduduk yang bermukim di kampung ini. Sejajar dengan kemajuan yang dibawa oleh Kerajaan Negeri Terengganu, Kampung Pak Madah kini turut mengalami perubahan yang membawa kepada peningkatan taraf hidup penduduknya. Pelbagai kemudahan dan infrastruktur yang disediakan dan kegiatan ekonomi yang terus berkembang di Kampung Pak Madah ini
. Kajian tentang Kampung Pak Madah ini amat penting sebagai asas kepada pembangunan kampung di Terengganu. Kampung ini juga telah meningkatkan prasaran dalam Negeri Terengganu. Malahan, perkembangan dalam Kampung Pak Madah di Terengganu telah membuktikan adanya perubahan yang wujud dalam Negeri Terengganu ini.

KEWUJUDAN KAMPUNG PAK MADAH DI MARANG TERENGGANU
 Kampung Pak Madah merupakan salah sebuah kampung yang terletak di daerah Marang Terengganu. Selain itu, jarak Kampung Pak Madah dari Bandar Kuala Terengganu ialah 14.8 km. Manakala keluasan di kawasan Kampung Pak Madah dianggarkan dalam 700mp. Di daerah Marang, kampung ini merupakan satu kampung yang agak terpencil dan tidak dikenali ramai. Namun, kampung ini merupakan satu kampung yang mempunyai jumlah kapasiti penduduk yang padat dan ramai. Penduduk majoriti yang menetap di kampung ini ialah kaum Melayu. Kebanyakan penduduk di sini merupakan ahli keluarga dan sanak saudara yang terdekat.1  Sebahagian besar daripada penduduk di kampung Pak Madah bekerja sebagai peniaga dan petani. Penduduk di sini melahirkan ramai tokoh-tokoh dan usahawan yang berjaya. Namun, sebahagian besar daripada printis tersebut tidak menetap di kampung tersebut sebaliknya mereka tinggal di luar kawasan sama ada dalam atau luar negara kerana faktor pekerjaan mereka itu sendiri. Kampung ini secara umumnya berada berhampiran dengan kawasan Kampung Padang Pak Wan, Kampung Padang Raja, dan Kampung Rawai. Lokasi Kampung Pak Madah tidak jauh dari jalan raya yang menghubungkan Kampung Rawai dan Kampung Bukit Payong. Kampung ini berada di kawasan tanah yang subur kerana penduduk di kampung ini aktif dalam bidang pertanian dan perniagaan. Bentuk permukaan tanah di kampung ini berupa tanah lapang dengan tanah yang dapat dikatakan subur untuk bercucuk tanam. Luas tanah Kampung Pak Madah dianggarkan dalam sekitar satu hektar. Majoriti penduduk di kampung pak madah ini ialah penganut agama Islam.2
Sejarah kewujudan Kampung Pak Madah di Marang Terengganu bermula sejak lebih kurang 30 tahun yang lalu. Peristiwa Kampung Pak Madah bermula selepas berlakunya banjir besar pada tahun 1972. Menurut kajian menyatakan, banjir yang terjadi ketika itu menyebabkan airnya berubah menjadi warna merah.3 Pada peringkat awalnya, berlakunya pernamaan Kampung Pak Madah ini ialah disebabkan oleh seorang perempuan tua yang bernama Mak Midah. Menurut orang sumber yang bernama Shaikh Ibrahim bin Ali atau lebih gemari dengan panggilan Tok Sheikh oleh penduduk Kampung Pak Madah ini menceritakan bahawa, pada awalnya sebelum pembentukan kampung yang bernama kampung Pak Madah itu hanya wujud sebuah pondok kecil di kawasan yang dipenuhi semak samun.4
              Selain itu, pada asalnya, Kampung Pak Madah hanyalah dipenuhi dengan semak samun dan hutan rimba sahaja sebelum didiami oleh penduduk yang berhijrah dan menetap di situ menyebabkan kawasan itu dibangunkan dan bilangan penduduknya yang semakin ramai. Menurut sumber yang diperoleh, terdapat sebuah pondok kecil di mana, hanya sepasang suami isteri yang tinggal di situ yang bernama Pak Madah dan Mak Midah. Menurut sumber lagi, pasangan suami isteri ini sangat dibenci dan dikecam hebat oleh ramai penduduk setempat. Dalam pada itu, pasangan ini sangat dibenci oleh penduduk setempat kerana cemburu dengan kebaikan dan rezeki yang diperoleh kepada keluarga ini.5 Sebahagian penduduk yang berhati busuk dan penuh dengan sifat dengki dalam diri mereka ini telah merancang sesuatu untuk menjatuhkan Pak Madah dan Mak Midah  sekaligus menyebabkan keluarga ini ditindas dan dikecam hebat oleh penduduk setempat.
            Menurut sumber lagi, dahulunya pasangan suami isteri ini sangat baik dan rajin bercucuk tanam. Selain itu juga, mereka ini juga suka sedekahkan sebahagian hasil tanaman mereka kepada penduduk setempat yang lain.6 Oleh itu, Pak Midah dan Mak Midah sangat disukai ramai dan seringkali memperoleh rezeki yang melimpah ruah daripada Allah s.w.t. Walaupun hanya hidup di sebuah pondok yang kecil dan usang, pasangan suami isteri ini tetap hidup bahagia. Walaupun begitu, sebahagian penduduk setempat agak berasa hairan dengan kehidupan pasangan ini yang mana, Pak Madah dan Mak Midah kekal bahagia walaupun jika dipandang dengan mata kasar, kehidupan keluarga ini dilihat serba kekurangan dan berada dalam kemiskinan. Dalam pada itu, sebahagian penduduk yang berhati busuk ini juga seringkali iri hati dengan rezeki yang diperoleh kepada keluarga ini.
            Menurut sumber yang diperolehi lagi, kematian Pak Madah telah dirancang oleh beberapa orang yang membenci keluarga tersebut. Namun hal ini tidak ketahui ramai dan adapun yang tahu tetapi hanya mampu berdiam diri sahaja kerana tidak mampu untuk berbuat apa-apa.7 Selepas beberapa tahun kematian Pak Madah, beberapa orang yang membenci keluarga itu telah merancang untuk membakar pondok kecil itu yang tinggal hanyalah Mak Midah seorang diri berikutan selepas kematian suaminya Pak Madah. Oleh kerana sifat busuk hati dalam diri penduduk di situ, beberapa orang yang merancang untuk membakar pondok tersebut telah memfitnah Mak Midah dengan menyatakan bahawa, Mak Midah cuba untuk menyihir semua penduduk yang ada kerana sedih dengan kematian suaminya.
             Fitnah dan khabar angin tersebut telah merebak kepada semua penduduk dan menyebabkan penduduk menjadi marah dan sakit hati. Hal ini lebih menambah kepercayaan penduduk lagi kerana selepas kematian Pak Madah, Mak Midah tidak keluar dari pondok kecilnya mahupun bercucuk tanam seperti dulu lagi.  Oleh itu, Mak Midah telah dibunuh oleh beberapa orang yang membencinya itu dengan membakar Mak Midah hidup-hidup di dalam pondoknya itu.8
            Menurut sumber lagi, selepas peristiwa itu datangnya seorang lelaki yang bernama Haji Isa yang telah berusaha untuk membuka sebuah perkampungan di kawasan itu. Setelah mengetahui peristiwa yang belaku, Haji Isa ingin meletakkan nama kampung itu dengan menggunakan gabungan nama Pak Madah dan Mak Midah.9. Haji Isa telah membuka perkampungan di situ dengan memberikan nama Kampung Pak Midah namun nama kampung tersebut telah ditukar semula dengan nama Kampung Pak Madah. Selepas itu, berlaku pelbagai perkembangan dan seterusnya Kampung Pak Madah telah mentransformasi sebagai sebuah kampung yang maju dan berdaya saing dengan kampong-kampung yang lain.
         Menurut orang sumber yang lain iaitu Zainuddin bin Arshad yang berumur lebih muda berbanding dengan orang sumber pertama iaitu Shaikh Ibrahim bin Ali berkata, asal usul yang diketahuinya agak berbeza dengan pendapat yang pertama. Menurut orang sumber yang kedua iaitu Zainuddin bin Arshad berkata, peristiwa penamaan Kampung Pak Madah bemula di suatu tempat yang masih tidak mempunyai nama. Di kawasan itu terdapat banyak buah rumah, kedai-kedai dan sawah padi yang berada di sana. Kawasan itu berupa tanah yang lapang dan merupakan tanah yang sesuai untuk bercucuk tanam.10 Ramai yang menjalankan aktiviti bercucuk tanam di kawasan tersebut ketika itu. Kemudiannya hasil-hasil tanaman tersebut akan dijual dengan cara berkunjung dari rumah ke rumah. Begitulah salah satu cara perniagaan yang dijalankan oleh penduduk ketika itu. Sehingga kini, kaedah perniagaan sebegitu masih dijalankan di kampung ini tetapi ia tidak sebanyak jumlah peniaga pada suatu masa dahulu.
              Menurut sumbernya lagi, ketika itu dalam kalangan penduduk di kawasan itu tinggalnya seorang perempuan tua yang sudah kematian suaminya sudah agak lama. Perempuan tua itu bernama Midah atau lebih dikenali dengan panggilan Mak Midah. Mak Midah ini merupakan orang yang paling terhormat di kalangan penduduk di situ kerana mempunyai harta yang banyak di samping hidup sebagai janda tua kerana telah kematian suami serta tidak mempunyai anak. Menurut sumber yang dikaji lagi, kediaman Mak Midah terletak di atas bukit dan hanya tinggal rumahnya sahaja yang berada di atas bukit tersebut.11
            Penduduk yang lain tidak dibenarkan untuk naik ke atas bukit itu tanpa kebenarannya. Peraturan itu sebenarnya telah dibuat oleh arwah suaminya iaitu Pak Madah. Namun begitu,  selepas kematian suaminya, Mak Midah tidak lagi menggunakan peraturan yang telah dibuat oleh arwah suaminya kepada penduduk-penduduk kampung di situ.12 Mak Midah sememangnya tidak suka dengan cara Pak Madah meletakkan peraturan sedemikian terhadap penduduk lain. Namun, pasangan suami-isteri ini tetap dihormati ramai.
           Walaubagaimanapun, Mak Midah telah mengambil keputusan untuk membenarkan penduduk-penduduk di situ untuk naik ke atas bukit bagi mengunjungi Mak Midah dimana terletaknya kawasan rumahnya itu. Para penduduk ketika itu tanpa segan silu naik ke atas bukit tersebut dengan pelbagai kerenah yang ada. Semua penduduk sangat berterima kasih kepada Mak Midah kerana mengizinkan mereka semua naik ke atas bukit tersebut.13 Menurut sumber, oleh kerana rasa hormat dan tanda berterima kasih kepada Mak Midah para penduduk telah bersetuju untuk meletakkan nama kampung tersebut dengan nama Mak Midah. Oleh kerana nama perempuan tidak sesuai untuk diletakkan sebagai nama kampung, nama kampung tersebut telah ditukar dengan menggantikan nama arwah suami Mak Midah iaitu Pak Madah. Setelah perbincangan dan mesyuarat diadakan oleh penduduk kampung tersebut, dengan rasminya nama kampung itu dinamakan dengan Kampung Pak Madah.14




PRASARANA DAN INFRASTRUKTUR YANG ADA DI KAMPUNG PAK MADAH
Infrastruktur asas merupakan satu bentuk sistem kemudahan yang memenuhi keperluan orang awam untuk melakukan aktiviti sosial harian dalam kehidupan seseorang.15  Terdapat beberapa prasarana dan infrastruktur yang wujud di Kampung Pak Madah di Marang Terengganu. Prasarana dan infrastruktur ini juga telah menunjukkan kemajuan yang berlaku di Kampung Pak Madah sejak tahun 1970 sehingga kini. Namun kemajuan tersebut bergerak seiring dengan peredaran zaman bermula zaman klasik sehingga kini yang dikenali sebagai zaman generasi moden (GEN-Y). Kajian ini berdasarkan skop kajian tentang prasarana dan infrastruktur yang wujud di Kampung Pak Madah yang bermula pada tahun 1970 hingga tahun 2000.
Antara prasarana dan infrastruktur yang wujud dalam sekitar tahun kajian tersebut ialah kemudahan dan perkhidmatan asas dari segi pengangkutan, pendidikan dan kesihatan seperti rumah, masjid, wakaf, balai raya, jalan raya, jambatan, bekalan elektrik dan air, sekolah, klinik dan banyak lagi. Menurut kajian yang telah dilakukan, terdapat sebanyak 369 buah rumah yang telah dibina di Kampung Pak Madah. Dalam erti umum, rumah adalah salah satu bangunan yang dijadikan tempat tinggal selama jangka waktu tertentu.16 Rumah boleh menjadi tempat tinggal manusia dan haiwan , tetapi untuk istilah tempat tinggal yang khusus bagi haiwan adalah sangkar, sarang, atau kandang. Dalam erti kata khusus, rumah merujuk pada konsep-konsep sosial-kemasyarakatan yang terjalin di dalam bangunan tempat tinggal, seperti keluarga , hidup, makan, tidur, bekerja, dan lain-lain.
            Selain itu, prasarana yang wujud di Kampung Pak Madah pada sekitar tahun kajian ialah Masjid. Masjid merupakan perkataan daripada bahasa Arab yang bermaksud tempat sujud. Masjid juga merupakan tempat ibadat yang khusus, seperti solat dan iktikaf dan aktiviti-aktiviti yang tertentu bagi orang Islam. Berdasarkan kajian, terdapat sebuah sahaja masjid yang wujud ketika itu di Kampung Pak Madah. Masjid tersebut dikenali sebagai Masjid Pak Madah. Menurut sumber kajian, masjid ini merupakan masjid yang pertama yang dibina di sekitar kawasan kampung tersebut. Menurut sumber lagi, masjid ini dibina pada sekitar tahun 1990 dan ianya dibina dengan hasil kutipan derma daripada penduduk sekitar Kampung Pak Madah itu sendiri.17
             Menurut sumber lagi, masjid ketika itu kerap digunakan untuk melakukan aktiviti dakwah serta aktiviti riadah juga dilaksanakan di sana. Kebiasaannya, di antara solat maghrib dan isyak akan diadakan aktiviti ceramah yang akan dikendalikan oleh penceramah jemputan yang terkenal. Selain itu, menurut sumber yang dikaji lagi, pada hari minggu akan diadakan aktiviti gotong royong dengan membersihkan kawasan masjid dan kampung.18 Aktiviti ini melibatkan semua penduduk Kampung Pak Madah. Melalui aktiviti-aktiviti sebegini akan mengeratkan lagi  hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk. Selain itu, prasarana yang seterusnya ialah wakaf. Wakaf adalah merupakan salah satu prasarana yang telah lama wujud di Kampung Pak Madah. Wakaf ketika itu bukan sahaja digunakan untuk menunggu pengangkutan awam tetapi ia juga digunakan sebagai tempat untuk berehat dan juga tempat untuk berhibur.19 Kebiasaannya pada waktu petang dan waktu malam pastinya akan dipenuhi orang ramai sekiranya ada persembahan yang diadakan.
                 Hal ini telah dibuktikan oleh orang sumber yang pertama iaitu Shaikh Ibrahim bin Ali yang sempat juga merasai detik dan suasana ketika itu. Hiburan ketika itu dinikmati oleh semua peringkat umur tidak kira tua mahupun muda sehingga sekalipun pada peringkat kanak-kanak. Antara hiburan yang biasa dijalankan di wakaf itu ialah nyanyian, silap mata dan lawak jenaka.20 Oleh itu, prasarana wakaf ini mencorak pelbagai fungsi yang dapat digunakan. Sehingga kini, wakaf itu masih wujud tetapi aktiviti yang pernah dijalankan di situ sudah lapuk ditelan zaman. Namun, wakaf tersebut sudah dibaik pulih menjadi lebih baharu dan cantik dari sebelumnya.
              Selain itu, prasarana seterusnya yang wujud di Kampung Pak Madah pada tahun kajian ialah sekolah. Dalam lingkungan tahun 1970 hingga tahun 2000, terdapat 4 buah sekolah yang telah siap dibina ketika itu. Menurut kajian, sekolah ketika itu dibahagikan kepada dua jenis iaitu Sekolah Melayu dan Sekolah Inggeris.21 Selain itu, terdapat juga sekolah yang dibina khas untuk orang-orang tua. Di awal pembinaan sekolah tersebut, terdapat sebuah sekolah yang tidak dapat digunakan kerana tidak mempunyai guru yang mencukupi untuk mengajar ketika itu.
 Selain itu, bilangan yang hadir mendaftar juga tidak mencukupi.22  Namun sekolah yang ada sudah cukup untuk menampung semua orang yang mendaftar tetapi jumlah guru yang mengajar masih tidak mencukupi. Kebanyakan penduduk lebih memilih untuk ke sekolah melayu namun kelengkapan yang ada di sekolah melayu tidak seperti yang ada di sekolah inggeris yang mempunyai kelengkapan yang lebih banyak. Syarat kemasukan ke sekolah melayu dan sekolah inggeris tersebut adalah berbeza. Antaranya ialah sekolah inggeris perlu menghadapi ujian peperiksaan berbeza dengan sekolah melayu yang tidak dikenakan ujian.Hal ini bertujuan untuk menguji tahap pemikiran dan pemahaman pelajar yang ingin belajar di sekolah tersebut. Menurut kajian lagi, kedudukan kawasan sekolah tersebut agak strategik dan tidak jauh dengan kawasan rumah penduduk. Oleh itu, penduduk tidak mengalami kesukaran untuk ke sekolah dan majoriti penduduk akan ke sekolah dengan berjalan kaki sahaja.23 Hanya sebahagian sahaja yang hadir ke sekolah dengan menaiki basikal.
               Seterusnya, prasarana yang wujud di Kampung Pak Madah pada tahun kajian ialah balai raya. Balai raya disebut juga balai desa atau dewan orang ramai. Balai Raya tersebut dijadikan tempat berhimpun untuk membuat perjumpaan, mengadakan mesyuarat, sokongan sosial atau aktiviti lain. Menurut sumber lagi, ada balai raya yang terbuka untuk semua masyarakat setempat, manakala ada juga yang khusus untuk kumpulan tertentu sahaja, misalnya pusat Islam atau Kelab Belia.24
KEGIATAN EKONOMI PENDUDUK KAMPUNG
            Seperti kampung-kampung yang lain, Kampung Pak Madah juga terdapat kegiatan ekonomi awal yang dijalankan. Dalam sekitar tahun kajian, pada peringkat awalnya kegiatan ekonomi di Kampung Pak Madah lebih tertumpu ke arah bidang perniagaan. Menurut sumber kajian, Kampung Pak Madah terkenal sebagai pusat perniagaan menjual ikan. Kebiasaannya, tempat untuk melakukan aktiviti menjual ikan ini lebih tertumpu di hadapan masjid kerana kawasannya yang strategik dan merupakan tempat kebiasaan orang lalu lalang di situ.25 Selain itu, pusat perniagaan untuk menjual ikan ini juga tertumpu di kawasan yang lapang untuk melakukan aktiviti perniagaan. Kawasan yang lapang tersebut akan memudahkan aktiviti untuk menjual dan membeli oleh penduduk Kampung Pak Madah. Selain itu juga, di kawasan jualan itu juga merupakan kawasan yang lapang untuk memudahkan meletakkan kenderaan di parkir.
              Seterusnya, dalam sekitar tahun kajian tersebut terkenal dengan perniagaan menjual hasil pertanian. Kebanyakan daripada penduduk menjalankan perniagaan menjual hasil pertanian mereka seperti buah-buahan dan sayur-sayuran. Menurut sumber kajian, hanya terdapat 2 buah kedai yang terkenal pada sekitar tahun tersebut. Di antaranya ialah kedai Minah binti Daud yang diusahakan olehnya sendiri.26 
            Selain itu, ekonomi awal yang dijalankan di Kampung Pak Madah dalam sekitar kajian ialah aktiviti pertanian. Sebahagian daripada penduduk di Kampung Pak Madah juga turut menjalankan aktiviti pertanian yang terbahagi kepada pelbagai jenis pertanian. Antaranya ialah penanamam padi, penanaman pokok limau dan juga penanaman ubi kayu. Menurut kajian sumber lagi, tanaman paling banyak yang diusahakan oleh penduduk kampung Pak Madah ialah tanaman padi. Pada sekitar tahun tersebut, banyak penanaman padi dijalankan ketika itu. Tanaman padi ini pula terbahagi kepada dua jenis iaitu padi huma dan padi cedung.27 Menurut sumber kajian lagi, penanaman padi ini hanyalah untuk dimakan dalam keluarga masing-masing dan bukannya untuk dijual.
             Akhir sekali, Kampung Pak Madah ini juga terkenal dengan aktiviti perubatan tradisional. Perubatan tradisional ini dijalankan oleh Hajah Kalsom dan adik beradiknya atau mereka ini lebih dikenali dengan panggilan bidan 7 beradik dalam kalangan penduduk di Kampung Pak Madah itu sendiri dan penduduk luar.28 Di Kampung Pak Madah juga turut terdapat seorang pakar bomoh yang terkenal iaitu Mohd Nor bin Mohd. Hanya beliau sahaja yang terkenal sebagai seorang bomoh yang ada dalam sekitar tahun tersebut.
KEGIATAN KESENIAN-KESENIAN
             Antara kesenian yang terdapat di Kampung Pak Madah pada sekitar tahun 1970 ialah Silat Gayong. Silat Gayong merupakan salah satu seni untuk mempertahankan diri daripada musuh. Pada asalnya silat gayong tersebut telah dicipta dan diasaskan oleh Mahaguru Dato’ Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd.Hashim.29  Beliau dilahirkan pada tahun 1915, dan berketurunan Bugis iaitu cicit kepada Daeng Kuning atau Panglima Hitam. Meor Abdul Rahman mula mempelajari ilmu persilatan ketika berusia 12 tahun daripada nenda sebelah bondanya, iaitu Tuan Syed Zainal bin Syed Idris Al-Attas. Syed Zainal merupakan salah seorang hulubalang Pahang yang turut sama berjuang menentang campur tangan Inggeris di negeri Pahang. Syed Zainal mewarisi ilmu Silat Seni Gayong daripada Daeng Ambok Solok, yang juga seorang pahlawan Bugis yang tinggal di Jambi, Sumatera.30
                Namun, menurut maklumat daripada orang sumber, Alias bin Ismail memberitahu bahawa Silat Gayong merupakan satu kesenian yang terkenal di Kampung Pak Madah ketika itu. Dan beliau sendiri juga sempat mempelajari silat gayong tersebut. Menurut maklumatnya lagi, Silat Gayong tersebut telah dibawa oleh Tokki Kasim ke Kampung Pak Madah pada sekitar tahun kajian.31
                 Selain itu, kesenian yang terdapat di Kampung Pak Madah pada sekitar tahun 1970 hingga tahun 2000 ialah Muzik Rodat. Muzik kesenian Rodat berasal dari Semenanjung Tanah Arab.32 Ini diperkukuhkan lagi dengan bukti perbendaharaan kata arab yang membawa maksud berulang-alik dan bersahut-sahutan yang diungkapkan dalam bahasa Arab yang mana isi dan petikan bait-bait lirik diambil daripada sebuah kitab yang bernama Hadrah.33 Rodat merupakan satu seni muzik tradisional yang terkenal di negeri Terengganu yang unik dari segi persembahan dan mesej yang ingin di sampaikan serta diperkukuhkan lagi dengan seni yang berunsur Islam dan sangat dihormati kerana merakamkan puji-pujian kepada tuhan dan sejarah hidup para Rasul.34
             Di Kampung Pak Madah, muzik rodat sememangnya terkenal dan disukai oleh semua golongan masyarakat tanpa mengira peringkat umur. Kebiasaannya muzik rodat ini akan dipersembahkan pada majlis-majlis yang tertentu seperti majlis kahwin, berkhatan dan pesta kebudayaan.35 Majlis persembahan muzik Rodat ini dipersembahkan dalam bentuk nyanyian dan tarian yang diiringi dengan paluan alat muzik rebana yang lebih dikenali sebagai Tar Rodat dalam kalangan pemuzik Rodat.36
               Akhir sekali, kesenian yang terdapat di Kampung Pak Madah pada sekitar tahun 1970 hingga tahun 2000 ialah Wayang Kulit. Wayang kulit adalah satu seni persembahan teater paling awal di negara Asia Tenggara.37  Ianya wujud di Kemboja lebih kurang seribu tahun dahulu di Laos dan Thailand.  Wayang kulit di Malaysia telah wujud semenjak 300 hingga 400 tahun yang lalu.38  Berdasarkan catatan sejarah, wayang kulit pernah dipersembahkan di perkarangan istana Raja Melayu yang pertama memerintah negeri Kelantan sejak 200 tahun dahulu. Perkataan wayang mengikut bahasa Jawa bermakna bayang-bayang atau bayangan.  Sementara Orang Kelantan pula menyebutnya woye atau ghoye.39 Terdapat pelbagai pendapat mengenai kedatangan wayang kulit ke Tanah Melayu.  
            Menurut sumber kajian yang dikaji, Wayang kulit dimainkan oleh seorang dalang yang juga menjadi narator dialog tokoh-tokoh wayang, dengan diiringi oleh muzik gamelan yang dimainkan sekelompok nayaga dan tembang yang dinyanyikan oleh para pesinden.40 Wayang kulit sangat diminati ramai tanpa mengira had umur. Kebiasaannya teater wayang kulit akan dipersembahkan pada waktu malam sahaja.41 Menurut sumber maklumat yang dikaji, persembahan wayang kulit ini akan dikaitkan dengan kisah-kisah zaman dahulu kala dan diceritakan semula samada jalan cerita yang sama ataupun jalan ceritanya diubahsuai sedikit.42 Dan kebiasaannya juga persembahan wayang kulit ini akan diadakan pada malam minggu sahaja.
            . Sejarah Kampung Pak Madah ini dilihat sebagai sesuatu yang sangat unik dan istimewa kerana bukan semua kampung mempunyai sejarah seperti apa yang terdapat di kampung Pak Madah tersebut. Kewujudan kampung ini telah meninggalkan sejarahnya yang tersendiri. Keunikan sejarah Kampung Pak Madah ini telah membezakan kampung ini dengan kampong-kampung lain yang  lebih maju.Oleh itu, kajian ini dapat mengupas dengan lebih lanjut tentang sejarah dan asal-usul dan mampu menjawab segala teka-teki yang sering bermain di kotak fikiran pengkaji.
            Pada zaman pascamoden ini, kita dapat teliti dengan jelas bahawa kebanyakan anak muda pada zaman ini tidak berminat untuk mengetahui sejarah yang berlaku pada zaman dahulu. Kajian ini sedikit sebanyak mampu memberi pencerahan kepada anak muda untuk megkaji bagaimana sesebuah kampung itu dapat dibangunkan dan dimajukan sehingga sekarang. Sejarah kampung ini juga dikekalkan sehingga hari ini untuk dijadikan tatapan buat generasi muda masa kini dan seterusnya kepada generasi-generasi pada masa akan datang.
            Pada keseluruhannya, kajian terhadap Kampung Pak Madah dapat diperolehi daripada penduduk kampung itu sendiri dengan lebih terperinci oleh penyelidik dan mengetahui sejarah perkembangan kampung itu sejak tahun 1970 hingga tahun 2000. Oleh itu, kajian ini diharapkan dapat memberi manfaat dan kebaikan serta ilmu pengetahuan kepada pelbagai peringkat masyarakat termasuklah para pelajar tidak kira pada peringkat rendah atau menengah mahupun peringkat universiti dan penduduk setempat serta berkemungkinan kepada kepada penyelidik yang ingin menyambung kajian ini dan dijadikan sebagai satu panduan kepada mereka pada masa yang akan datang.
NOTA KAKI
1.       Shaikh Ibrahim bin Ali, pada pukul 9:00 pagi
2.       Md Zainudin bin Md Arshad, pada pukul 5:00 petang
3.       Shaikh Ibrahim bin Ali, pada pukul 10:00 pagi
4.       Ramlah binti Salleh, pada pukul 5:30 petang
5.       ibid
6.       ibid
7.       Md Zainudin bin Md Arshad, pada pukul 4:30 petang
8.       Ramlah binti Salleh, pada pukul 3:30 petang
9.       ibid
10.    Alias bin Ismail, pada pukul 3:00 petang
11.    ibid
12.    Md Zainudin bin Md Arshad, pada pukul 4:30 malam
13.    ibid
14.    ibid
15.    ibid
16.    Shaikh Ibrahim bin Ali, 10:00 pagi
17.    Md Zainudin bin Md Arshad, pada pukul 5:00 petang              
18.    Md Zainudin bin Md Arshad, pada pukul 5:00 petang
19.    Ramlah binti Salleh, pada pukul 6:00 petang
20.    Md Zainudin bin Md Arshad, pada pukul 6:00 petang
21.    Alias bin Ismail, pada pukul 4:45 petang
22.    Md Zainudin bin Md Arshad, pada pukul 5:00 petang
23.    Shaikh Ibrahim bin Ali, pada pukul 4:00 petang
24.    Ramlah binti Salleh, pada pukul 5:30 petang
25.    ibid
26.    Shaikh Ibrahim bin Ali, pada pukul 4:00 petang
27.    Alias bin Ismail, pada pukul 5:00 petang
28.    Shaikh Ibrahim bin Ali, pada pukul 4:00 petang
29.    ibid
30.    Ramlah binti Salleh, pada pukul 5:30 petang
31.    Shaikh Ibrahim bin Ali, pada pukul 4:00 petang
32.    Md Zainudin bin Md Arshad, pada pukul 8:30 malam
33.    Shaikh Ibrahim bin Ali, pada pukul 8:30 pagi
34.    ibid
35.    Md Zainudin bin Md Arshad, pada pukul 4:45 petang
36.    ibid
37.    ibid
38.    Alias bin Ismail, pada pukul 3:00 petang
39.    ibid
40.    ibid
41.    ibid
42.    ibid

Komentar

Postingan populer dari blog ini

BEPANG DAN SEJARAH KULINARI

P2 bab 3

PULAU DUYUNG ADALAH LIDAH NEGERI TERENGGANU