KAMPUNG RAWAI DAN PERKEMBANGANNYA SEJAK 1896 HINGGA 1999  

            
Rawai adalah sejenis alat untuk menangkap ikan yang terdiri daripada bentuk kail yang digantungkan pada tali atau rotan yang terentang, merawai menangkap ikan dengan rawai.1 Kampung Rawai terletak dalam daerah Marang, Terengganu. Rawai mempunyai keluasan 770 hektar,2 namun jumlah penduduk pada masa itu tidak ramai kira-kira didiami oleh 40 buah keluarga sahaja. Terdapat beberapa buah kampung disekitar kampung Rawai. Antaranya adalah Kampung Padang Pak Wan, Kampung Alor Limbat, Kampung Bukit Damar, Kampung Tok Rasek, Kampung Tok Gelap, Kampung Seberang Alor dan Kampung Wakaf Paka. Kini ada  diantara kampung tersebut telah digabungkan dengan Kampung Rawai yang menjadikan jumlah keluasannya meningkat.3 Oleh itu, kerjasama antara penduduk kampung dalam hidup bermasyarakat telah ditunjukkan dari dahulu sehingga sekarang. Kampung Rawai adalah sebuah kampung yang aman dan harmoni. Namun, kampung tersebut menyimpan pelbagai kisah dan sejarahnya yang tersendiri.
                                                               
ASAL USUL NAMA KAMPUNG RAWAI
Nama “Rawai” berasal daripada sejenis alat menangkap ikan,  iaitu “rawai”. Pada zaman dahulu, seorang penduduk kampung  telah menahan rawai disebuah alor yang tidak jauh dari desa ini. Setelah umpan rawai tersebut dimakan oleh ikan, lalu datanglah seekor harimau dan memakan ikan bersama-sama dengan rawai tersebut. Ikan dan rawai itu  dibawa lari ke sebuah padang didesa ini dan didapati telah mati kerana tertelan rawai tersebut. Beberapa orang penduduk telah menjumpai bangkai harimau itu dan seterusnya bermulalah sebutan atau panggilan sebagai Padang Rawai. Lama-kelamaan nama tersebut telah bertukar menjadi Kampung Rawai sehingga kini.4
Sumber kedua mengatakan seorang penduduk menggunakan rawai tersebut di sebatang sungai yang mempunyai banyak ikan Limbat iaitu sejenis ikan Keli. Sungai tersebut terletak disebuah kampung iaitu kampung Alor Limbat berhampiran dengan kampung Rawai. Sejarah bermula apabila beliau yang menahan rawai tersebut mendapati rawai yang ditahannya telah hilang. Sejurus dengan itu, beliau terdengar ngauman harimau yang kuat dan ganas lalu melaporkan kepada orang ramai. Harimau yang dalam kesakitan kerana kakinya terkena rawai yang ditahan oleh seorang penduduk tadi melarikan diri agar tidak terserempak dengan manusia. Malangnya, harimau tersebut dijumpai oleh penduduk kampung dan berjaya dibunuh di sebuah padang yang terletak di Kampung Pak Wan. Rawai yang terkena kaki harimau itu telah tertanggal dan jatuh di kawasan sebuah kampung yang kemudiannya dikenali sebagai Kampung Rawai.5
Sejak dari sejarah itulah asal usul nama Kampung Rawai diperolehi, dan digunakan sehingga sekarang. Perkataan “rawai” itulah menjadi kekuatan kepada nama kampung kerana sejarahnya yang melibatkan seekor sang belang dimana telah tewas dengan rawai iaitu sejenis alat yang digunakan untuk menangkap ikan. Disebalik nama Kampung Rawai, terdapat pelbagai sejarah yang telah berlaku.
Secara rasminya Kampung Rawai dibuka pada tahun 1896.  Kampung tersebut didiami oleh bangsa melayu secara keseluruhannya. Rata-ratanya penduduk menganut agama Islam sejak dahulu lagi.6
PERKEMBANGAN KAMPUNG RAWAI
            Antara yang jelas dapat dilihat dari segi perkembangan Kampung Rawai yang menjurus kepada kesejahteraan penduduk kampung seperti penubuhan klinik desa yang menggantikan cara perubatan lama, masjid Kampung Rawai yang menjadi mercu tanda umat Islam, Sekolah Kebangsaan Simpang Rawai sebagai pusat pendidikan yang sangat penting kepada tunas modal insan negara, Dewan Sri Rawai, Perpustakaan Desa, dan padang permainan Kampung Rawai yeng telah melahirkan seorang anak jati kampung sebagai pemain bola bertaraf professional dalam negara.
Pada akhir abad ke-18 hingga pertengahan abad ke-19 telah menunjukkan keadaan kampung Rawai yang kurang kemajuan dimana penduduknya yang berada dalam keadaan susah. Pada masa itu dikatakan penduduk kampung dapat makan nasi hanya tiga hari sekali kerana kekurangan beras. Makanan yang menjadi makanan asasi pada masa itu ialah ubi kayu dan umbi sagu. Minyak kelapa digunakan sebagai bahan api untuk dijadikan damar yang menerangi gelap malam.7 Ubatan tradisional seperti dedaun pokok dan akar kayu dijadikan sebagai ubat-ubatan bagi menyembuh kecederaan dan penyakit. Ada ubatan tradisional yang digunakan sehingga sekarang. Antara kegunaannya untuk mengurut atau membetulkan bahagian tulang yang patah, membetulkan peredaran darah, dan sebagainya. Bidang memainkan peranan yang sangat penting kepada orang yang mengandung pada masa itu kerana ketiadaan khidmat doktor.8
            Pada penghujung tahun 90-an, sebuah klinik desa telah dibina dikampung tersebut bagi memudahkan penduduk kampung untuk menerima khidmat perubatan. Dengan adanya klinik tersebut, sedikit sebanyak telah mengubah landskap kampung dan telah manggantikan cara dan ubatan tradisional. Hal ini demikian membawa perubahan kepada penduduk kampung yang meningkatkan tahap kesihatan mereka dan perkembangan kampung. Walaupun klinik desa sudah ada, tetapi cara dan ubatan tradisional tidak dilupakan malah digunakan sehingga sekarang.9
Seterusnya, masjid Kampung Rawai yang menjadi mercu tanda umat Islam yang mula dibina pada tahun 1940.10 Keseluruhan penduduk berbangsa Melayu dan menganut agama Islam. Masjid menjadi tempat utama pada masa itu untuk penyampaian maklumat ataupun membuat sesuatu aktiviti. Pada asalnya dijadikan sebuah surau untuk penduduk kampung sama-sama mengerjakan ibadat. Selain mengerjakan ibadat, penduduk juga sering melakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan semua penduduk untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara mereka pada masa itu dan diamalkan sehingga sekarang.11
Keseluruhan struktur bangunan surau  pada masa itu diperbuat daripada kayu. Penduduk kampung saling menyumbangkan tenaga dan kemahiran masing-masing untuk membina surau tersebut. Akhirnya siap pada tahun 1940, dan telah berlaku pembaikan pada tahun 1950, 1964, 1984 dan seterusnya telah dinaik taraf menjadi sebuah masjid bagi menampung jumlah penduduk yang kian meningkat.12
Pada tahun 2011, masjid tersebut telah dirobohkan dan digantikan dengan sebuah masjid baru yang lebih besar dan selesa oleh kerajaan Negeri Terengganu bagi menampung jumlah jemaah yang ramai pada masa-masa tertentu. Sekarang, keluasan masjid sesuai dengan jemaah yang ramai yang juga datang dari kampung-kampung bersebelahan. Pelatih PLKN juga berjemaah di masjid tersebut pada hari jumaat. Ini bermakna jumlah keluasan masjid baru ini boleh menampung jemaah yang ramai pada satu-satu masa. Hal ini demikian dapat dilihat perkembagan dari sudut infrastruktur kampung semakin berkembang dan dengan adanya masjid yang telah menjadi kebanggaan kepada penduduk Kampung Rawai sebagai mercu tanda kekuatan umat Islam dikampung dan negara Malaysia ini.
Kini, pelbagai program dan majlis kerohanian telah dilakukan di masjid tersebut oleh masyarakat kampung mahupun masyarakat luar. Antara program yang dilakukan oleh masyarakat luar dari kampung tersebut seperti Kem Kerohanian yang disertai seramai 120 orang murid pendidikan khas bermasalah pembelajaran, masalah pendengaran & masalah penglihatan pada 21 hingga 23 Februari 2012.13
Seterusnya, Sekolah Kebangsaan Simpang Rawai juga menjadi faktor perkembangan Kampung Rawai. Sekolah tersebut telah banyak memberi kebaikan kepada tunas modal insan Kampung Rawai. Hal ini dapat dilihat apabila generasi muda kampung telah berjaya dengan kerjaya masing-masing yang dibentuk dan dididik sejak berada dibangku sekolah rendah lagi.
Sekolah merupakan tempat pendidikan yang utama. Sekolah juga adalah merupakan institusi yang akan melahirkan generasi insan yang berilmu serta berpengetahuan. Orang yang berilmu akan dimuliakan Allah serta dihormati dan disanjung oleh masyarakat. Sekolah memainkan peranan yang sangat penting untuk melahirkan generasi yang beriman dan bertaqwa disamping dapat membentuk sahsiah,  akhlak dan intelek seseorang. Sekolah juga adalah tempat yang mulia bagi membentuk masyarakat yang sejahtera.
Maka atas kesedaran itulah penduduk Kampung Rawai dan sekitarnya seperti Kampung Pak Madah, Kampung Alur Limbat, Kampung Padang Limau Nipis, Kampung Binjai Bongkok dan Kampung Bukit Damar telah bersepakat untuk mendirikan sebuah bangunan bagi membolehkan anak-anak mereka belajar dan menerima pendidikan yang sempurna di kampung sendiri.14
Sekolah Kebangsaan Simpang Rawai bermula sebagai sebuah sekolah rakyat dengan bangunan bangsal beratap nipah berukuran 60 kaki panjang. Sekolah ini telah didirikan atas usaha Allahayarham Encik Awang bin Mat Amin, Penghulu Besar Mukim Alur Limbat dengan kerjasama penduduk kampung yang lain pada 24 Februari 1951 di atas sebuah tanah seluas 6.819 ekar kepunyaan Allahyarham Encik Jusoh bin Said yang telah diambil oleh kerajaan dengan bayaran sebanyak RM 400 seekar.15
Pada masa sekolah ini dibuka, Pejabat Pendidikan Terengganu telah menghantar Guru Besar Encik Othman bin Awang dan lima orang guru yang kesemuanya terdiri daripada guru rakyat. Murid yang didaftarkan adalah seramai 50 orang. Encik Ismail bin Abdul Rahman yang dilantik sebagai Guru Besar pada 2 Ogos 1952 adalah guru kerajaan yang mula-mula sekali berkhidmat di sekolah ini.16
Pada 30 September 1956, bangunan bangsal lama telah dirobohkan dan diganti dengan sebuah bangunan kayu berlantaikan simen dan beratapkan asbestos yang mengandungi empat buah bilik darjah. Pada tahun 1976 pula bangunan dua tingkat dan sebuah bangunan kantin telah dibina. Kemudian, bermula dari tahun 1985 hingga 1987, sebanyak sembilan buah bilik darjah lagi telah dibina di bawah projek kilat dan pada tahun 1989 sebuah lagi bangunan kayu empat bilik darjah telah disiapkan hasil gotong-royong penduduk setempat.17
 Dari segi pentadbiran pula, pada 12 Ogos 1957 sebuah jawatankuasa sekolah dibentuk dengan dipengerusikan oleh Khatib Mamat bin Abdullah dan pada 1 Oktober 1958, Jawatankuasa Sekolah telah dibubarkan dan diganti dengan sebuah Jemaah Pengurus yang dipengerusikan oleh Encik Salleh bin Said. Pada tahun 1973 pula, Persatuan Ibu Bapa dan Guru telah ditubuhkan dan Tuan Haji Abdullah bin Mohammad dilantik sebagai pengerusi pertamanya.18
Sekolah ini telah mengalami pertumbuhan yang pesat dan memberangsangkan dari segi bilangan murid dan guru. Bermula dari seramai 50 orang murid yang didaftarkan pada tahun 1951, ia mula meningkat ke angka 377 orang pada awal tahun 1980 dan terus betambah kepada 572 orang menjelang akhir tahun tersebut. Guru-guru juga bertambah dari lima orang guru pada tahun permulaan iaitu tahun 1951 kepada 26 orang menjelang tahun pada 1980 an.19
Seterusnya pada tahun 2001, seramai 40 orang tenaga pengajar berkhidmat di sekolah ini dengan bilangan murid seramai 746 orang di bawah pentadbiran Guru Besar Puan Mahani binti Ismail sehingga pada tahun 2004.20
Pada tahun 2011, tersergam dua buah bangunan empat tingkat bagi memenuhi keperluan masa kini yang menempatkan bilik darjah, pejabat, bilik guru, bilik j-QAF, bilik kesihatan, bilik muzik, koperasi, perpustakaan, bilik mesyuarat, bilik bimbingan dan kaunseling, dan bilik sukan.21
Lanjutanya, Sekolah Kebangsaan Simpang Rawai yang telah mengalami pertumbuhan yang pesat membuktikan semakin ramai murid didaftarkan dari tahun ke tahun. Hal ini demikaian telah menunjukkan perkembangan kepada Kampung Rawai.
Seterusnya Dewan Sri Rawai dibangunkan pada tahun 90-an untuk memudahkan penduduk kampung melakukan aktiviti kemasyarakatan. Sebelum adanya dewan tersebut, penduduk kurang melakukan aktiviti bersama-sama ahli kampung kerana ketiadaan tempat yang khas dan sesuai untuk berkumpul beramai-ramai tetapi sudah ada secara kecil-kecilan. Dewan tersebut memudahkan lagi ahli kampung melakukan aktiviti bersama sejak penubuhannya sehingga sekarang. Antara aktiviti yang sering dilakukan didewan tersebut pada awal 90-an seperti kelas berzanji, dikir barat, kelas masakan, dan sebagainya.22 Hal ini demikian dapat berkenal-kenalan antara satu sama lain amnya dan dapat mengeratkan lagi hubungan antara penduduk kampung secara khasnya.
Antara  yang terbaru melibatkan Dewan Sri Rawai tersebut secara formal adalah Majlis Perasmian Pembukaan Kelas Jahitan Komuniti (Kjk). Pada tanggal 4 Julai 2008, hari Jumaat yang mulia maka rasmilah pembukaan kelas Jahitan Komuniti (KJK) Dun Alur Limbat bertempat di Dewan Sri Rawai Kampung Rawai. Kelas bagi sesi ke 5 ini adalah kesinambungan diatas usaha Unit Latihan, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu dengan kerjasama Pejabat Penyelaras Dun Alur Limbat dan JKKK Kampung Rawai untuk memberi sebanyak mungkin kemahiran jahitan kepada semua rakyat terutama golongan suri rumah.23
Majlis perasmian yang meriah ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Haji Alias bin Abdullah, Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Limbat. Majlis tersebut juga turut dihadiri oleh En.Mohd Ashri Bin Mohd Zain, Ketua Penolong Pengarah Sosio Ekonomi bagi mewakili Pengarah Yayasan Pembangunan Kuala Terengganu dan Yang Bahagia En. Mohd Shafaruddin bin Mustaffa.24
Majlis tersebut telah diatur susun dengan mengadakan Majlis Bacaan Yasin oleh kumpulan bacaan Yasin yang tediri daripada penduduk Kampung Rawai dan kampung sekitar seramai 200 orang yang berharap dapat memberikan keberkatan kepada semua terutama kepada peserta kelas jahitan supaya ilmu kemahiran yang diperolehi akan dapat dipraktikkan dan seterusnya dijadikan punca pendapatan. Majlis bacaan Yassin tersebut telah diketuai oleh Puan Hajjah Masnah Binti Awang yang merupakan salah seorang Qariah dari Kampung Rawai.25
Hal ini demikian menunjukkan perkembangan Kampung Rawai dengan wujudnya pelbagai kemajuan dan pembangunan bagi kemudahan dan keselesaan penduduk kampung.
Selain itu pusat sumber Kampung Rawai juga menyumbangkan kepada perkembangan kampung dan penduduknya. Tahap pendidikan terutamanya anak-anak kampung sebelum adanya pusat sumber tersubut kurang memuaskan kerana kurangnya bahan bacaan. Bagi memudahkan anak-anak kampung untuk mendapatkan bahan bacaan, sebuah Perpustakaan Desa telah dibina di Kampung Rawai pada tahun 1990 dengan jumlah bahan bacaan sebanyak 1500 buah buku.26 Perpustakaan tersebut dibuka setiap hari bagi memudahkan lagi pelajar sekolah rendah dan menengah mengunjunginya terutama pada hujung minggu untuk membuat rujukan dan menambahkan ilmu.
Disamping itu, padang permainan Kampung Rawai juga turut memainkan peranan yang penting bagi merapatkan ukhwah antara ahli kampung, medium kesihatan tubuh badan, dan mengembangkan bakat masing-masing. Padang tersebut digunakan oleh pelbagai peringkat umur yang tidak mengira jantina untuk melakukan aktiviti kesihatan dan kemasyarakatan.
Antara salah satunya aktiviti yang besar dilakukan di Padang Permainan Kampung Rawai tersebut seperti kejohanan bola sepak peringkat negeri yang dianjurkan oleh Majlis Belia Negeri Terengganu pada 12 April 2011. Sebanyak 54 pasukan dari seluruh negeri menyertai kejohanan bola sepak sembilan sebelah.27
Kejohanan tersebut mampu mencungkil lebih ramai bakat baru dalam bola sepak, khususnya dari kawasan Parlimen Marang, untuk diketengahkan ke peringkat negeri. Sekiranya pemain yang terpilih dapat bermain dengan baik, mereka akan diserap menyertai pasukan Terengganu atau T-team yang kini menduduki kedudukan agak baik dalam Liga Super. Kejohanan tersebut diadakan bukan saja untuk menyediakan wadah kepada golongan belia beriadah, tetapi juga membantu kerajaan menangani masalah gejala sosial di kalangan belia.28
Seorang anak muda Kampung Rawai telah berjaya menjadi pemain bola sepak bertaraf professional dalam negara ini iaitu Mohd Ashaari Bin Shamsuddin. Beliau dikenali sebagai Saha dalam kalangan penduduk kampung. Beliau telah menjadi ikon dalam kerjaya sebagai pemain bola sepak dalam kalangan penduduk kampung dan dalam negeri ini. 
Oleh itu, padang permainan tersebut telah memberi kebaikan kepada masyarakat kampung dan seterusnya kepada negara. Secara tidak langsung nama Kampung Rawai dikenali diperingkat negeri ini kerana sedikit sebanyak telah menyumbang kebaikan kepada perkembangan sukan dalam negeri Terengganu ini.
KEGIATAN PENDUDUK KAMPUNG
Pada awal abad ke-19, kegiatan penduduk dalam bidang ekonomi iaitu yang utama seperti pertanian sudah dijalankan. Dikatakan hampir 90 peratus dari jumlah penduduk kampung bergiat sebagai petani kerana nasi adalah sumber makanan utama.29
Pada masa itu tiada pengangkutan yang khas digunakan untuk bergerak melakukan aktiviti harian dan mencari sumber pendapatan. Basikal tidak digunakan secara meluas kerana penduduk kekurangan wang, tetapi ada juga yang menggunakannya bagi memudahkan untuk membawa barang-barang. Di Kampung Rawai tiada laluan melalui jalan sungai kerana ketiadaan sungai, hanya jalan darat sahaja digunakan. Bagi penduduk yang memiliki lembu atau kerbau, mereka menggunakan haiwan tersebut sebagai kenderaan untuk bergerak dan membawa barang. Haiwan tersebut amat penting pada masa itu untuk memudahkan kerja-kerja petani. Dikatakan harga seekor lembu pada masa itu dijual $7.00 hingga $8.00 sahaja.30
Sementara menantikan anak padi (semai) cukup tempoh matang, petani-petani akan terus menjalankan kerja-kerja membajak dan membersihkan petak-petak sawah. Kerja-kerja yang seringkali dilakukan oleh mereka ialah menggala (membajak) sawah, menyisir, menggiling tanah, dan memindahkan anak padi dari tapak semaian. Peralatan persawahan tradisional yang digunakan ialah tenggala. Biasanya tenggala tersebut dibuat daripada kayu-kayu terpilih yang senang di bentuk iaitu lazimnya kayu halban.31
Dalam menjalankan kerja-kerja ini selalunya tenaga kerbau digunakan tetapi ada ketikanya tenaga lembu digunakan. Biasanya kerja-kerja yang dijalankan dengan kuasa lembu memerlukan 2 ekor lembu kerana tenaga lembu tidak sekuat tenaga kerbau. Fungsi alat tenggala tersebut ialah untuk membalik-balikkan tanah sawah. Setelah selesai kerja-kerja menggala, ketulan-ketulan tanah semasa menggala akan dibiarkan selama beberapa hari berendam air, bertujuan untuk melembutkannya. Untuk menghalus, merata dan memecahkan ketulan-ketulan tanah serta membersihkannya dari rumput rampai, sejenis alat persawahan tradisional yang disebut sebagai penyisir atau sisir digunakan pada masa itu.32
Seterusnya menggiling tanah, kaedah ini merupakan peringkat terakhir dalam penyediaan petak-petak sawah. Alat yang digunakan ialah tenggiling. Ianya diperbuat daripada batang kayu yang dipotong mengikut perlu dan berbentuk seperti belimbing segi. Tenggiling ini dibahagi kepada dua jenis iaitu "tenggiling belangkas" dan "tenggiling belimbing". Cara penggunaannya sama seperti kerja-kerja menggala dan menyisir kerana kerbau digunakan untuk menariknya. Kegunaannya ialah untuk meratakan tanah sawah dan melembutkannya bagi memudahkan kerja-kerja penanaman padi dijalankan. Setelah selesai semua kerja-kerja seperti menggala, menyisir dan menggiling, air akan ditakung semula dalam petak-petak sawah untuk proses penanaman padi. Akhir, memindahkan anak padi dari tapak semaian.33
Anak padi yang sudah cukup umur akan dicabut dan dijadikan "cap" atau "unti" (ketul).  Biasanya kerja-kerja ini dilakukan oleh kaum wanita secara gotong-royong. Semai-semai yang telah siap dijadikan ketul akan dipindah ke petak-petak sawah oleh kaum lelaki dengan menggunakan pengadar / salang yang dibuat daripada buluh atau ditarik menggunakan palung iaitu sampan kecil. Ketul-ketul semai akan di atur di petak-petak sawah bagi memudahkan kerja-kerja menanam padi dijalankan.34
Oleh itu, melalui peringkat-peringkat tertentu tenaga lembu atau kerbau amatlah penting untuk digunakan. Seterusnya, melalui amalan bergotong-royong antara petani-petani memudahkan lagi kerja dijalankan. Amalan bergotong-royong dalam masyarakat pada masa itu dikekalkan hingga sekarang bagi mewujudkan masyarakat yang bersatu padu.
Dari tahun ke tahun landskap kampung mula berubah. Kegiatan penduduk setempat telah lama berlaku dan mula rancak bermula pada tahun 1990. Terdapat pelbagai aktiviti sosial masyarakat dilakukan. Kegiatan ekonomi juga turut berkembang apabila dikatakan setiap isi rumah mengusahakan tanah masing-masing. Pada akhir abad ke-19, bidang pertanian kurang diusahakan oleh penduduk malah tanah yang dahulunya digunakan untuk pertanian sudah ditukar kepada perusahaan yang lain.
Mereka mula menunjukkan kepelbagaian pengusahaan apabila penduduk kampung mula menceburi bidang lain selain bergantung kepada hasil pertanian. Antara kegiatan yang diusahakan penduduk pada akhir abad ke-19 ialah seperti penanaman kelapa sawit, getah, limau madu, ubi kayu, dan pisang. Ini telah menambahkan lagi pendapatan seisi keluarga yang mengusahakan tanaman tersebut.35
Dari segi kemahiran pula, tenunan dan jahitan yang diusahakan oleh kaum wanita secara kecil-kecilan. Kegiatan perniagaan makan dan runcit pada tahun 1980 diusahakan oleh beberapa orang sahaja. Seterusnya kegiatan perusahaan mula beroperasi pada tahun 1997. Antaranya adalah seperti perusahaan simen, tiang simen dan larik, perabot dan alatan rumah serta perusahaan kuih tempatan secara kecil-kecilan.36 Kegiatan tersebut diusahakan sehingga sekarang dan ada yang telah berkembang maju.
 
AKTIVITI PENDUDUK KAMPUNG RAWAI
            Aktiviti penduduk Kampung Rawai adalah menjadi teras kepada perpaduan antara ahli masyarakat. Kebanyakan aktiviti penduduk kampung sudah disusun dalam organisasi bagi memudahkan lagi sesuatu pergerakan dan dengan adanya organisasi tersebut dapat merapatkan lagi tali silaturrahim antara satu sama lain. Aktiviti penduduk mula bergiat aktif pada tahun 90an.
Antara yang terawal bagi aktiviti sosial seperti Persatuan Seni Silat pada tahun 1983 dan bergiat aktif sehingga sekarang. Pengasasnya yang bernama Encik Mat Rashid bin Abdullah yang juga dikenali sebagai Pak Rashid telah memberi sumbangan tunjuk ajar sejak dahulu sehingga sekarang yang berharap agar seni warisan Melayu tidak dilupakan begitu sahaja dalam arus pemodenan ini.  Persatuan tersebut membawa banyak kebaikan dan faedahnya kepada anak muda kampung dari segi ilmu pertahanan diri.  Persatuan tersebut juga dikenali ramai kerana menjadi tumpuan anak muda dalam dan luar kampung. Anggotanya pula silih berganti dari dahulu hingga sekarang yang berasal dari dalam dan luar Kampung Rawai. Jumlah ahlinya sekarang dikatakan seramai 160 orang dengan 32 daripadanya ahli baru.37
Kini, jumlah keahlian semakin bertambah sejurus dengan pertambahan jumlah tenaga pengajar dan tempat aktivitinya dikawasan yang lain. Dengan perkembangan tersebut, kini beliau juga turut menawarkan seni pertahanan diri boksing dengan beberapa orang tenaga pengajar di Kampung Rawai. Hal ini demikina dapat dilihat bahawa silat dan boksing masih lagi relevan dan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda dari dahulu sehingga sekarang.38
Selain itu, pasukan dikir barat juga menjadi tumpuan anak muda kampung. Pasukan tersebut mula ditubuhkan pada tahun 1995 sehingga 2007 dengan jumlah ahlinya seramai 40 orang. Antara tempat persembahan yang sering diadakan iaitu di Dewan Seri Rawai dan sebagainya.39
Seterusnya, aktiviti yang berkaitan dengan wanita seperti kelas berzanji yang ditubuhkan sejak tahun 1991 yang disertai seramai 30 orang. Tempatnya di Dewan Seri Rawai dan telah menyertai pertandingan berzanji pada setiap tahun. Kelas tersebut secara tidak langsung telah memberi banyak manfaat kepada kaum wanita Kampung Rawai.40
Kelas bimbingan al-Quran wanita juga bergiat aktif sejak 1992 sehingga sekarang yang pada mulanya seramai 15 orang peserta dan kini semakin ramai yang menyertainya. Pengajar bagi kelas bimbingan tersebut ialah Hajjah Masnah binti Haji Awang.41 Beliau juga ialah tokoh Kampung Rawai sebagai Qari’ah tilawah al-Quran. Beliau pernah mewakili negeri Terengganu dalam pertandingan tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan telah menjadi johan pada tahun 1999.42
Kelas masakan pula diadakan di Dewan Seri Rawai sejak tahun 1995 dengan jumlah peserta seramai 20 orang. Tenaga pengajarnya dari Jabatan Kemas. Kelas tersebut diadakan bagi memberi kebaikan dengan menambahkan ilmu masakan dalam kalangan wanita.43
Aktiviti yang berkaitan dengan kerohanian dan kebajikan yang melibatkan lelaki dan perempuan turut bergiat aktif. Antaranya kelas agama yang diadakan di masjid Rawai sejak 1991 sehingga sekarang yang disertai oleh penduduk kampung.44
Seterusnya amalan gotong-royong yang sering dilakukan oleh penduduk kampung. Antara aktiviti yang pernah dilakukan sejak dahulu sehingga sekarang seperti membersihkan jalan-jalan dan tempat awan, membersihkan tanah perkuburan Islam Nering di Kampung Rawai, kawasan masjid yang dilakukan pada pagi jumaat setiap minggu pertama setiap bulan, majlis tahlil setiap kali berlaku kematian selama 3 atau 7 malam dan kerja pengurusan pengebumian, serta memberi kerjasama di majlis perkahwinan dan kesyukuran.45
Aktiviti-aktiviti tersebut secara langsung dapat mengeratkan hubungan antara ahli kampung. Hal ini demikian adalah faktor yang mmewujudkan dan mengekalkan sikap hidup bermasyarakat antara penduduk Kampung Rawai sejak dahulu sehingga sekarang.
Kampung Rawai yang terdiri daripada masyarakat yang majmuk telah mengekalkan sikap bersatu padu sejak dahulu sehingga sekarang. Jelaslah bahawa masyarakat pada masa dahulu hidup dalam  keadaan serba kekurangan terutamanaya keperluan asasi seperti makanan. Kerjaya penduduk yang hampir 90 peratus sebagai petani sedikit sebanyak dapat menampung keperluan makanan masing-masing. Perbandingan antara masa dahulu dengan sekarang sangat ketara terutama dari segi ekonomi penduduk dan infrastruktur kampung.
Dari tahun ke tahun mula menampakkan kemajuan dalam kampung tersebut dengan penubuhan bangunan seperti masjid, sekolah, klinik dan sebagainya. Kehidupan penduduk juga bertambah baik apabila menceburi bidang selain menjadi petani dan seterusnya dapat menambah pendapatan masing-masing. Perkembangan Kampung Rawai kian meningkat dari tahun ke tahun sehingga sekarang.
Kini dengan searus perkembangan, Kampung Rawai mula dikenali kerana telah memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat dalam negeri Terengganu ini. Sejurus dengan perkembangan Kampung Rawai telah menunjukkan faktor-faktor yang mewujudkan dan mengekalkan sikap hidup bermasyarakat antara penduduk kampung. Sejak dahulu sehingga sekarang. Akhir sekali dapat dilihat perbandingan antara kehidupan pada tahun 1896 hingga 1999 dengan sekarang di Kampung Rawai yang kian meningkat maju dengan perkembangannya.

Komentar

Postingan populer dari blog ini

P2 bab 3

BEPANG DAN SEJARAH KULINARI

PULAU DUYUNG ADALAH LIDAH NEGERI TERENGGANU