Sejarah itu Indah - Wakaf Tapai



                          WAKAF TAPAI ( SEKITAR 1930 HINGGA 1970)

            Kampung Wakaf Tapai yang berada di bawah Mukim Bukit Payong terletak dalam Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan.Sejarah nama kampung ini agak pelik kerana dikaitkan dengan sejenis makanan tradisi masyarakat Pantai Timur iaitu Tapai. Wakaf Tapai ialah sebuah kampung terletak di km.26 jalan Kuala Terengganu ke Kuala Berang. Keluasannya lebih kurang 6.4 km persegi, mengandungi penduduk yang terdiri daripada tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India.
Kampung Wakaf Tapai mempunyai sejarahnya yang tersendiri dan mula mengalami perubahan dalam lingkungan tahun 1930 hingga 1970. Antaranya ialah, munculnya nama Wakaf Tapai yang sebelumnya dikenali sebagai Ara Mehid, pada asalnya Kampung Wakaf Tapai hanya didiami oleh orang Melayu. Selepas itu, orang Cina datang dan disusuli pula orang India.

Sejarah nama Kampung Wakaf Tapai
         Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Wakaf Tapai Kiri, Sulong Ismail,1 berkata bahawa pada zaman dahulu terdapat sepohon pokok setol di tengah-tengah pekan tersebut. Nama lain bagi pokok setol ialah pokok kecapi, santol, santoi (Filipina), wild mangosteendan lain-lain. Nama saintifiknya ialah Sandoricum koetjape (Burm.f) Merr.2 Pokok berkenaan dikatakan menjadi petunjuk arah kepada penduduk kerana lokasinya yang mudah dikenali, ditambah dengan adanya gerai jualan tapai yang dibuka di bawah pohon tersebut. Pada masa dahulu, seorang wanita yang dikenali sebagai Mak Mandak membuka gerai terbuka (tanpa atap) di bawah pokok itu. Namun penduduk lebih selesa merujuknya sebagai wakaf. Mak Mandak sangat dikenali memandangkan tapai yang dijualnya mendapat sambutan penduduk, khususnya tapai ubi. Sejak itu kawasan itu dinamakan Wakaf Tapai, yang merujuk kepada wakaf yang menjual tapai .3
         Menurut Jurnal Sejarah (1976), kajian yang telah ditulis oleh Ismail Ibrahim, nama Wakaf Tapai pada masa itu dikenali sebagai Ara Mehid oleh penduduk di situ dan orang-orang di sekitar Alur Limbat iaitu mukim lama Bukit Payong sekarang.4 Sebab itulah ramai dari penduduk Wakaf Tapai berasal dari Alur Limbat. Menurutnya ada beberapa sumber tentang kemunculan nama Wakaf Tapai. Mengikut Mandak bt.Busu, nama Wakaf Tapai mula disebut oleh Penghulu Mat Amin semasa menjalankan kerja gotong royong membuat jalan di kampung ini untuk menghubungkannya dengan Kuala Berang. Pekerja-pekerja gotong royong ini selalu singgah di sebuah wakaf tempat Mandak dan ibunya Siah menjual tapai. Akhirnya bila ramai orang yang datang ke tempat ini untuk membeli tapai lama-kelamaan namanya semakin popular dan disebut Wakaf Tapai.5 Ada juga satu sumber lagi yang mengatakan bahawa orang yang mula-mula menyebut nama Wakaf Tapai ialah orang dari Kampung Ibai iaitu sebuah kampung yang hampir dengan Kampung Atas Tol lebih kurang 16 km dari Wakaf Tapai. Mereka selalu berulang alik di antara tempat mereka dengan Wakaf Tapai. Dalam perjalanan, mereka selalu singgah di wakaf tempat Mandak dan ibunya menjual tapai. Maka lalu disebut namanya sebagai Wakaf Tapai.6

      Orang Melayu ke Wakaf Tapai
             Orang yang mula-mula tinggal di Wakaf Tapai ialah Tok Bidan Midah, Mandak bt.Busu dan Penghulu Man. Mereka datang ke sini sebelum banjir besar yang berlaku pada 1926. Mandak dilahirkan di Kampung Tanggul sementara Penghulu Man berasal dari Kampung Pulau Manis.7
Sebelum kemunculan Wakaf Tapai, terdapat beberapa buah kampung yang berasingan di dalamnya. Antaranya ialah, Kampung Kayu Arang, Kampung Batu Besar, Kampung Pak Bilis dan Kampung Lubuk Perah. Kampung-kampung ini merupakan petempatan yang terawal di kawasan ini.8

Sejarah Kedatangan Orang Cina Ke Wakaf Tapai
             Menurut jurnal sejarah (1976 ), kajian Ismail Ibrahim, menceritakan bahawa, ada seorang Cina yang bernama Saw Swee Bee.9 Dia ialah ibu kepada Tan Kuan Lim seorang peniaga runcit di Wakaf Tapai.  Saw Swee Bee berasal dari Kampung Batu Besar datang ke Wakaf Tapai dalam tahun 1934. Di sini beliau bekerja sebagai peniaga beras dan taukeh gambir. Gambir-gambir dibeli dari orang kampung dan dijual kepada orang luar daerah ini. Dalam tahun 1930-an, di antara penduduk Wakaf Tapai, keluarga beliaulah yang paling berada. Dalam tahun 1936, anaknya Tan Kuan  Lim datang pula untuk membantu ibunya menguruskan perniagaan.
              Kedatangan Orang Cina beramai-ramai berlaku kira-kira antara tahun 1935 hingga 1937.10 Dalam tahun 1937, satu keluarga Cina yang diketuai oleh Lik Koon Sui telah berpindah ke kampung ini. Beliau berasal dari Kampung Tiruk dan telah berpindah ke Kampung Batu Besar dalam tahun 1912. Lebih kurang dalam tahun 1917, mereka berpindah pula ke Kampung Pak Bilis. Dari kampung ini, mereka berpindah lagi ke Kampung Pengkalan Tanggul sehingga menetap di Wakaf Tapai pada tahun 1937.
Mengikut L.A.P Gosling,11 orang cina mula berpindah ke Kampung Pak Bilis dan Kampung Batu Besar di sekitar tahun 1890-an. Mereka berasal dari Kampung Tok Setol. Mereka meninggalkan kampung mereka kerana kemerosotan ekonomi di sekitar tahun-tahun itu. Di Kampung Pak Bilis, mereka hidup dengan menanam gambir. Pada tahun 1920 mereka telah meninggalkan Kampung Pak Bilis dan menjualkannya kepada orang Melayu. Akhirnya pada tahun 1935, mereka telah meninggalkan Kampung Batu Besar untuk berpindah ke Wakaf Tapai.12

Kedatangan Orang India Pertama
           Kedatangan orang India yang pertama ke Wakaf Tapai ialah pada tahun 1942. Beliau ialah Haji Mustaffa bin Said dan merupakan orang yang berada di kampung ini.13 Beliau ialah seorang ahli perniagaan yang memiliki petrol pump station di samping menjual beras dan roti. Beliau ialah seorang Indian Muslim berasal dari Assam Gark, New Delhi. Sebelum menetap di Wakaf Tapai, beliau telah tinggal di Kuala Terengganu semenjak tahun 1929 lagi.
Demikian kita lihat kedatangan tiga kaum ke Wakaf Tapai yang bermula dari orang Melayu kemudian Cina dan akhir sekali India.
 
 Pekerjaan Penduduk Setempat
          Selain dari menoreh getah dan menanam padi, pekerjaan membuat gambir adalah satu kerja yang banyak dilakukan oleh penduduk di sini.14 Kerja ini dilakukan oleh orang Cina dan Melayu. Hitung panjang seorang membuat gambir boleh berpendapatan dua ringgit sehari. Jumlah ini  membolehkan seseorang menyara keluarganya kerana pada masa itu nilai wang agak tinggi.
Bila Saw Swee Bee datang ke Wakaf Tapai pada tahun 1934, beliau telah bertindak sebagai orang tengah atau agen membeli gambir dari penduduk kampung dan mengeksportkannya ke luar dari Kampung Wakaf Tapai. Pasaran gambir sangat terjamin pada waktu itu kerana gambir Wakaf Tapai sangat terkenal di negeri Terengganu. Kegunaannya yang utama ialah untuk dimakan dengan sirih yang sangat digemari oleh orang Melayu dan India. Namun, perusahaan membuat gambir mula merosot pada awal tahun 1950-an apabila harga getah melambung. Ramai dari pembuatnya telah meninggalkan pekerjaan ini untuk menumpukan kepada penanaman getah.15 Kebanyakan ladang getah yang luas dimiliki oleh taukeh-taukeh Cina dari luar kampung ini terutama dari Kuala Terengganu. Boleh dikatakan, sumber ekonomi yang terpenting di kampung ini dibolot oleh 4 orang taukeh. Di bawah ini ditunjukkan senarai taukeh-taukeh yang berkenaan, jumlah keluasan milikannya dan tempat tinggal masing-masing.16

 
          NAMA
           LUAS MILIKAN
               TEMPAT TINGGAL
     Tan Gark Hwee
           2470 hektar
                 Kuala Terengganu
       Ah Boon
          1850 hektar
                     Kota Bharu
       Yong Hwa
          1235 hektar
                   Kuala Terengganu
        Pok Thye
          615 hektar
                 Kuala Terengganu

        Yang paling luas memiliki tanah getah di sini ialah Tan Gark Hwee,17 iaitu seorang jutawan yang terkenal di negeri Terengganu. Beliau telah dikurniakan gelaran Datuk Sang Segara oleh DYMM Sultan Terengganu pada 26 Oktober 1963 kerana jasanya terhadap rakyat dan negeri Terengganu. Diceritakan bahawa apabila Tan Gark Hwee mati, beliau ditanam di salah satu ladang getah kepunyaannya yang sekarang menjadi Tapak Semaian Risda. Namun, masyarakat tidak pasti jika mayatnya masih ada atau tidak di kawasan tersebut kerana keluarganya pernah berkata, mayat Tan Gark Hwee akan disemadikan dalam masa 10 tahun sahaja di ladang miliknya itu dan akan dikebumikan di negeri asalnya iaitu China.18


Jalan   Perhubungan
        Sehingga awal tahun 30-an, jalan perhubungan ke Wakaf Tapai hanya melalui jalan-jalan kecil yang cuma boleh dilalui dengan berjalan kaki. Basikal juga tidak boleh digunakan. Kebiasaanya untuk sampai ke Kuala Terengganu yang berjarak 25 KM, sekurang-kurangnya memakan masa satu hari bagi mereka yang cepat berjalan. Bagi mereka yang tidak berapa kuat berjalan, terpaksa singgah di Pasar Bukit Payung dan pagi besoknya barulah perjalanan diteruskan semula untuk sampai ke Kuala Terengganu.19
           Terdapat satu lagi jalan yang menghubungkan Wakaf Tapai dengan Kuala Terengganu iaitu melalui Kampung Kenanga, Tapu, Alur Limbat, Rawai, Pak Madah, Telemung dan Tiruk. Tetapi jalan ini amat sukar dilalui dan memakan masa yang lebih lama. Tambahan pula di musim tengkujuh, ia ditenggelami air. Bagi mereka yang tinggal di tepi sungai, seperti di Kampung Seberang Tanggul, perjalanan melalui sungai digunakan untuk pergi ke Kuala Terengganu.
Jalan kecil yang menghubungkan Wakaf Tapai dengan Kuala Terengganu telah diperbesarkan pada tahun 1938 dengan ditambun tanah merah. Jalan inilah yang menjadi asas kepada pembinaan jalan Kuala Berang ke Kuala Terengganu sekarang.20
            Motokar yang mula–mula sekali masuk ke Wakaf Tapai ialah pada tahun 1939 dipunyai oleh Saw Swee Bee.21 Motokar ini jenis Chervolet mempunyai 6 cylinder. Ia digunakan oleh Saw Swee Bee untuk mengangkut barang perniagaanya dari Kuala Terengganu. Selain daripada itu, kereta lembu juga digunakan. Pada tahun 1940 terdapat tiga buah kereta lembu yang selalu berulang alik di antara Wakaf Tapai dengan Kuala Terengganu juga Kuala Berang. Kegunaannya  penting untuk mengangkut barang-barang keperluan dari Kuala Terengganu dan membawa keluar hasil kampung ini.

Pentadbiran
          Wakaf Tapai adalah termasuk dalam Mukim Bukit Payong di bawah Penghulu Mat Amin. Untuk menyenangkan pentadbiran, beliau telah melantik seorang penghulu atau ketua kampung khas bagi kampung ini. Ketua kampung yang pertama ialah Abd.Rahman bin Samad atau lebih dikenali oleh penduduk di sini sebagai Penghulu Man.22 Beliau dilantik pada tahun 1936. Menurut beliau, perlantikannya disahkan oleh DYMM Sultan sendiri dan diberi tauliah. Antara tugas-tugas yang dijalankan selaku ketua kampung ialah menjaga keselamatan dan segala hal mengenai penduduknya. Beliau akan menjadi hakim jika ada perbalahan atau pertikaian terutama dalam hal tanah.23
            Untuk memohon sebidang tanah, pemohon-pemohon hendaklah memberitahu penghulu atau ketua kampung. Jadi penduduk Wakaf Tapai memadai dengan memberitahu Penghulu Man saja. Kemudian beliau akan memberitahu Pemungut Hasil Tanah Kuala Terengganu. Bila mendapat kelulusan dari Kuala Terengganu, barulah tanah ini boleh dimiliki. Pendeknya, ketua kampunglah yang mempunyai kuasa penuh dalam daerahnya.24 Penghulu Mukim hanya datang 2 atau 3 kali dalam setahun untuk mendengar masalah dari penduduk dan untuk menyampaikan pemberitahuan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Sumber Ekonomi Wakaf Tapai
    Selain daripada hasil getah dan gambir, Wakaf Tapai terkenal juga sebagai tempat pemeliharaan lembu dan kerbau. Menurut Halimah bt.Mohammed,25 beberapa orang yang terkenal di antara mereka ialah Bilal Mohamed. Beliau dikatakan mempunyai 70 ekor lembu dan kerbau.
            Pemeliharaan binatang ini tidaklah seperti yang dilakukan oleh Syarikat Maju Ternak sekarang. Lembu dan kerbau dilepas bebas di dalam hutan sekitar kampung. Binatang- binatang ini diletak tanda supaya senang dikenali. Bila ada orang yang hendak membelinya, binatang itu akan dijerat. Pekerjaan ini menjadi sukar kerana binatang-binatang itu liar.
Pemeliharaan binatang ini telah merosot semasa kedatangan Jepun.26 Jepun telah memerintahkan supaya binatang-binatang itu diserahkan kepada mereka untuk dibuat menarik balak, tanpa diberi ganti rugi yang sepatutnya.
         Selain itu, perusahaan kilang papan juga telah dibuka untuk membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.27  Bidang ini diceburi oleh golongan muda kampung tersebut.
Agama
       Pada keseluruhannya, orang Melayu beragama Islam dan Cina beragama Budhha. Masjid yang pertama didirikan dalam tahun 1935, 28 dibuat dari kayu cengal dan atap nipah. Tetapi atap ini telah digantikan kemudian dengan atap bata. Ia dibuat secara gotong royong dan belanjanya adalah hasil dari derma penduduk kampung itu. Pembinaan ini diketuai oleh Penghulu Man dan beliau sendiri telah mewakafkan tanahnya untuk tapak masjid itu. Imamnya yang pertama ialah Tok Cik Tok Rotan dan bilalnya Mohamed, suami kepada Tok Mandak.
Masjid ini juga digunakan untuk majlis sambutan Maulud Nabi. Dalam bulan puasa, ia digunakan sebagai tempat Tadarus Quran dan majlis khatam Quran. Semua umat Islam dijemput hadir.
      Bagi orang Cina yang kebanyakannya beragama Buddha biasanya menjalankan upacara agama mereka di rumah masing-masing. Mereka tidak membina satu tempat ibadat khas. Biasanya mereka akan pergi ke Kampung Tiruk atau Pulau Babi kerana di sana terdapat rumah ibadat untuk mereka. Dalam perkara agama, kedua-dua kaum ini menjalankan ibadat secara bersendirian, tidak seperti dalam majlis sosial yang lain. Ini ialah kerana terdapatnya pantang dan sekatan-sekatan tertentu dalam ajaran agama masing-masing. Walau bagaimanapun, bila tiba hari raya atau tahun baru Cina, mereka saling menghantar kueh mueh dan ziarah menziarahi rumah rakan-rakan mereka. Orang Melayu cukup mengenali kueh molong yang dihantar oleh rakan mereka orang Cina, sementara orang Melayu pula akan membalas dengan ketupat dan lemang. 29
Pendeknya, dalam soal agama, mereka sangat hormat menghormati antara satu sama lain. Tidak pernah berlaku sebarang penghinaan yang dilakukan oleh masing-masing kaum terhadap agama kaum yang lain. Satu hal yang menarik ialah orang Cina hampir sama dengan orang Melayu yang tinggal di sini.30 Sebab itulah di kampung ini assimilasi penduduk Cina sangat jelas kelihatan. Ini boleh dilihat dari segi kebudayaan orang Cina. Mereka memakai pakaian yang sama dengan orang Melayu terutama wanitanya. Wanita Cina berpakaian baju kebaya dan kain sarung seperti orang Melayu. Begitu juga dari segi makanan. Mereka makan belacan dan ulam sambal seperti orang Melayu. Dari segi bentuk percakapan, bentuk rumah, cara duduk dan hilai ketawa adalah seperti orang Melayu.

 Pelajaran
        Sekolah yang pertama dibuka di Wakaf Tapai ialah sekolah Cina.31 Ia didirikan pada tahun 1950, dianjurkan oleh masyarakat Cina di kampung tersebut. Guru besarnya yang pertama ialah Lau Ji yang berasal dari negeri China. Mengikut seorang bekas muridnya (Lim Chong Chong), tiap-tiap murid dikenakan bayaran $10.00 sebulan dan mata pelajaran yang diajarkan ialah bahasa Mandarin, Kira-Kira, Ilmu Alam dan Sejarah Negeri China. Bangunannya dibuat dari papan dan atap sagu.
Sekolah Melayu pula didirikan pada tahun 1953.32 Guru besarnya yang pertama ialah Cikgu Salleh bin Mamat. Kemudian beliau digantikan pula oleh Cikgu Wan Embung bin Ismail iaitu adik kepada Datuk Wan Kadir bin Ismail (Timbalan Menteri Perhubungan Malaysia pada 1975). Cikgu Wan Embunglah seorang tokoh pelajaran yang selalu diingati oleh setiap orang di Kampung Wakaf Tapai.

Wakaf Tapai Berkembang
   Wakaf Tapai mula berkembang maju pada awal tahun ’50 -an bila harga getah naik melambung.33 Pada masa inilah kedai-kedai banyak didirikan. Ramai penduduk dari kampung lain seperti Alur Limbat, Bukit Payong, Jerong dan lain-lain datang membuka tanah di Wakaf Tapai. Kemajuannya bertambah pesat lagi apabila jalan di antara Kuala Terengganu dengan Kuala Berang telah ditar. Kenderaan yang hendak ke Kuala Berang terpaksa melalui Wakaf Tapai. Bila perkhidmatan bas antara Kuala Terengganu dengan Kuala Berang diadakan pada awal tahun 1950, soal perhubungan tidak lagi menjadi masalah kepada penduduk-penduduk di sini.
        Pada tahun 1954, Penghulu Man telah bersara dari jawatannya dan tempatnya digantikan oleh Ibrahim Ismail (1959 – 1975). Pada tahun 1958, Kelab Belia Wakaf Tapai telah ditubuhkan. Mereka telah mengadakan pementasan 3 kali setahun di samping kegiatan lain seperti sukan dan kerja gotong royong. Tahun berikutnya, Kelab Sukan pula ditubuhkan tetapi kedua- dua kelab ini tidak berpanjangan usianya kerana dibubarkan pada tahun 1961.
            Dalam jangka masa kira-kira 30 tahun yang bermula dari awal 1930-an hingga ke tahun 1957, kita lihat Kampung Wakaf Tapai telah mengalami pelbagai perubahan ke arah perkembangan yang berbagai aneka. Pada ’30-an, kita lihat cara hidup penduduknya sangat kuat berpegang kepada tradisi. Ini mungkin disebabkan oleh pengaruh ekonomi wang yang belum begitu menjalar lagi dengan meluasnya. Semangat persaudaraan antara kaum adalah satu-satunya yang menjadi kebanggaan kepada penduduk di sini. Mereka tidak dipaksa untuk berbaik-baik tetapi kerana kesedaran kemanusiaan dalam diri masing-masing membuatkan mereka saling hidup dalam suasana yang harmonis. Kampung ini berbeza dengan kebanyakan kampung-kampung Melayu di Terengganu. Di kampung ini, orang Melayu dan Cina serta beberapa orang India sama-sama membuka penempatan dan perkampungan. Mereka yang menetap di sini mengenali antara satu sama lain sejak kecil dan perasaan muhibbah dari awal lagi sudah terjalin. Di sinilah istilah “Orang Cina Kampung” boleh dipakai kerana dari segi percakapan, pakaian dan lain-lain lagi, mereka sudah sukar hendak dibezakan dengan orang Melayu jati. Keadaan inilah yang membuat mereka hidup secara aman dan harmonis dengan orang Melayu.
           Walaupun keadaan telah berubah dengan masuknya unsur-unsur material yang begitu cepat ke dalam masyarakat di rantau ini, tetapi penduduk Wakaf Tapai masih lagi dapat memelihara identiti awalnya sampai sekarang. Tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa Kampung Wakaf Tapai boleh dijadikan satu model kepada pihak  yang berkenaan sekarang untuk membina satu bangsa yang bersatu yang benar-benar bercorak Malaysia.


Komentar

Posting Komentar

Postingan populer dari blog ini

P2 bab 3

BEPANG DAN SEJARAH KULINARI

PULAU DUYUNG ADALAH LIDAH NEGERI TERENGGANU