Sejarah itu Indah- Kg Bukit Mentok




 SEJARAH KAMPUNG BUKIT MENTOK – Wan Mohd Iqbal

          Bukit Mentok dibuka pada tahun 1925 setelah perpindahan penduduk dari Kampung Nyiur ke Kampung Bukit Mentok. Bermakna asalnya yang meneroka Kampung Bukit Mentok ini ialah empat buah keluarga yang diketuai oleh Wan Jusoh dengan keluarga lain iaitu Keluarga Wan Muda,Wan Umar, Wan Abdullah dan Wan Ahmad. Orang yang membuka kampung ini adalah Wan Jusoh. Sebenarnya asal nama kampung ini bukan Bukit Mentok tetapi Bukit Bentuk . Mengikut cerita dahulu mengatakan bentuk bukit di kampung ini berbentuk seekor naga. Kepala naga di Bukit Ali dan ekor naga tersebut jatuhnya di Masjid Bukit Mentok1. Ada pendapat yang mengatakan bahawa nama Kampung Bukit Mentok diambil oleh pengasasnya Haji Wan Muda dimana sedang beliau menyusuri sungai menaiki perahu, beliau ternampak sebuah bukit yang berbentuk seekor naga. Kepalanya boleh dilihat di Bukit Ali dan ekornya di Bukit Mentok. Pada awalnya, Haji Wan Muda menamakannya Bukit Bentuk hingga diubah kepada Bukit Mentok2.
       Sejarah awal pembukaan Bukit Mentok bermula kira-kira awal tahun 1925. Pengasasnya Haji Wan Muda bersama dengan lima keluarga telah bekerjasama membuka tempat ini yang mana pada pendapatnya keluarga Haji Wan Muda dan beberapa buah keluarga tersebut mengajak keluarga di Kampung Nyiur atau lebih dikenali sebagai Teluk Nyiur untuk menetap di Kampung  Bukit Mentok sehingga sekarang. Jajahan Bukit Mentok bermula dari Sekolah Bukit Mentok sehingga ke hujung sungai2.

Perkembangan  Ekonomi
            Orang-orang kampung dahulu banyaknya bertani, sara hidup mereka ialah dengan hasil memotong getah3. Kegiatan yang dijalankan oleh penduduk pada waktu itu adalah bercucuk tanam. Bentuk muka bumi di kampung pada masa dahulu berbukit tetapi kebanyakannya lembah iaitu tanah yang dipanggil pinggir sungai kerana kampung ini dikelilingi oleh sungai4. Semua penduduk ketika itu bekerja sebagai petani. Oleh itu tanaman yang ditanam ketika itu ialah padi dan getah5. Kegiatan pertanian ini bermula sejak tahun 1925 apabila keluarga- keluarga tersebut meneroka kampung6. Pertanian dijalankan di seluruh kampung termasuk di hujung tanjung.  Ada juga yang menanam pokok buah-buahan seperti pokok durian. Kegiatan ini masih dijalankan sehingga sekarang7.
           Tanaman yang paling banyak diusahakan pada masa itu adalah padi8.  Kegiatan menanam padi merupakan satu kegiatan ekonomi yang tertua sekali diusahakan penduduk tempatan disamping kegiatan menangkap ikan. Semenejak kampung ini mula-mula dibuka, didapati bahawa penduduk-penduduk di kampung ini telah giat mencari kawasan-kawasan baru untuk bercucuk tanam pelbagai jenis tanaman makanan, terutamanya padi. Salah satu daripada motif utama berlakunya pembukaan terhadap beberapa penempatan baru di daerah tersebut  adalah disebabkan berkemungkinan berlakunya bekalan makanan yang tidak mencukupi disatu penempatan yang telah ada akibat dari penghijrahan beramai-ramai orang yang baru berhijrah ke satu-satu kawasan yang telah dibuka ketika itu dan akibatnya kawasan yang sesuai untuk dijadikan tapak pertanian disekitar kawasan tersebut tidak bertambah9.
          Selepas itu, ada di kalangan lelaki  akan bermudik ke hulu untuk tujuan menanam jagung dan menanam padi. Kawasan hulu itu terletak dari hujung sungai sehingga ke Cherul. Selepas  jagung mula berbuah dan padi mula menjadi, mereka akan meninggalkan isterinya untuk menjaga hasil tanaman mereka di hulu. Si suami akan membina pondok dan selepas meninggalkan si isteri untuk menjaga tanaman disana, si suami akan mencari kerja di kampung untuk mendapatkan duit untuk keperluan harian  sebelum menuai hasil tanaman mereka. Terdapat juga orang kampung yang melakukan kerja-kerja seperti mencari rotan , mencari batu kelikir, membuat atap, memarut sagu dan membuat tikar dari mengkuang. Terdapat juga orang kampung yang berniaga tetapi tidak banyak yang menceburinya iaitu terdapat dua orang yang membuka kedai runcit pada masa itu. Semua orang kampung mempunyai haiwan ternakan di rumah dan mereka menternak lembu dan ayam. Mereka tidak membela kambing kerana penjagaan kambing bagi mereka cerewet. Nilai pendapatan mereka pada masa itu tidak tinggi. Anggaran pendapatan penduduk kampung antara RM200 hingga RM30010.
  Tidak terdapat ramai orang yang menangkap udang kerana ia bukanlah pekerjaan utama dan terdapat sesetengah sahaja yang menjadikan penangkapan udang galah sebagai mata pencarian utama mereka.  Memang terdapat banyak udang galah di kampung ketika itu. Udang Galah di Kampung Bukit Mentok terkenal di Kemaman disebabkan isinya segar dan enak daripada tempat lain. Cara penangkapan udang pada masa itu ialah melalui jala, merawai menggunakan umpan isi kelapa, memancing menggunakan umpan udang gantung, menggunakan serampan dan memakai pukat belat. Anggaran tangkapan udang pada masa itu banyak tetapi harganya murah iaitu 80sen sekati menyebabkan penduduk kampung tidak menangkap udang dengan banyak. . Pada masa itu, udang galah tiada nilai komersial.  Ketiadaan peti sejuk untuk menyimpan udang galah  juga menjadi penyebab penduduk kampung tidak menangkap udang dengan banyak kerana takut udang galah tersebut burukPada masa itu bukan udang galah sahaja yang ditangkap tetapi ikan baung, ikan ubi , ikan tapah juga ditangkap. Mereka tidak  menjual ikan tersebut kerana harganya tidak berpatutan. Pada masa kini, harga ikan ubi RM75 sekilo tetapi pada masa dahulu ikan tersebut tidak laku. Ia kerana pada masa dahulu orang melayu  tidak menyukai ikan tersebut dan tidak mengetahui  khasiatnya10.
           Apabila semua penduduk sudah bertapak di  sini, masjid mula didirikan. Pada peringkat awal, dia menggunakan duit sendiri dengan sumbangan penduduk kampung semasa membina masjid pertama yang dibina dari seratus peratus kayu . Masjid pertama dibina adalah atas dasar usaha orang kampung. Masjid mula-mula dibina secara gotong royong dan ada yang memberi sumbangan kayu dan duit11. Mereka enggan menerima bantuan kerajaan untuk mendirikan sebuah masjid lain menggantikan masjid lama yang telah mereka dirikan secara bergotong royong dan pungutan derma dari rumah kerumah lebih sepuluh tahun yang lalu12.
          Sekarang ini masjid pertama yang dibina sudah tiada. Tapak masjid ketiga adalah masjid yang ada sekarang  iaitu bertapak di  masjid yang kedua. Masjid pertama tapaknya di rumah  Wan Jusoh. Tapak masjid terpaksa  dialih kerana berlaku banjir  dan tapak masjid sekarang ini selamat daripada banjir kerana dibina atas dataran bukit. Pada setiap tahun Kampung Bukit Mentok dilanda banjir12. Kemudian selepas itu barulah masjid berpindah ke tapak yang baru iaitu di tapak yang kedua, itupun masih lagi orang kampung yang mendirikan masjid daripada seratus peratus kayu13.
         Pada asalnya masjid pertama ini didirikan pada tahun 1936 daripada kayu dan pada tahun 1984 masjid baru dibina bagi menggantikan masjid yang lama. Kemudian akhir-akhir ini pada tahun 1988 barulah kerajaan mengambil alih tapak masjid dengan membina masjid ketiga daripada batu14.  Memang terdapat dua tapak masjid. Tapak masjid pertama didirikan adalah  sekarang di tapak rumah Wan Jusoh dan tapak yang kedua adalah masjid sekarang yang dahulunya  kayu15. Masjid di Bukit Mentok memang terkenal pada  suatu ketika dahulu di mana  terdapat ramai orang-orang yang beragama dan guru-guru agama16.

Perkembangan Seni Silat
      Di kampung, memang terdapat guru silat yang ramai. Guru silat yang paling terkenal di Kampung Bukit Mentok pada masa itu tinggal di hujung kampung .Orang Kampung memanggil beliau Haji Mat dan beliau mengajar seni silat gayung. Yang kedua pula orang yang aktif mengajar silat pada masa itu adalah Haji Manan dan beliau juga mengajar seni silat gayung. Haji Mat mempunyai ramai ramai pelajar kerana  dia terkenal di Kemaman disebabkan beliau    pandai bermain senjata dan selalu membuat persembahan di gelanggang.  Anak murid dia yang     paling     disayangi beliau bernama Saras dan masih lagi menetap di Kampung Bukit Mentok.  Manakala Haji Manan tidak mempunyai ramai anak murid.  Anak murid beliau yang aktif dalam persilatan  pada masa sekarang ialah bernama Umar. Terdapat dua jenis silat yang terkenal pada masa itu iaitu Silat Gayung dan Silat  Sendeng. Silat Sendeng diajar oleh Encik Umar pada masa ini16.

Banjir Di Kampung Bukit Mentok
            Banjir terburuk yang berlaku di Kampung Bukit Mentok ialah  pada tahun 1975. Banjir besar berlaku pada masa itu disebabkan jalan yang tidak tinggi. Pada masa itu kawasan yang ditenggelami banjir ialah dari Kampung Bukit Mentok hingga ke Caltex Kemaman. Pusat pemindahan mangsa banjir pada masa itu adalah di sekolah dan balai raya. Pada masa itu tempat pemindahan banjir tidak menyediakan kemudahan untuk memasak. Oleh itu orang kampung pada masa itu diminta untuk membawa dapur masak sendiri untuk setiap keluarga. Mereka hanya diberi bahan untuk memasak. Ada juga orang kampung yang berpindah ke rumah Ayah Wan untuk mendapat perlindungan .Semasa air banjir bertambah besar mereka berpindah ke rumah saudara mereka di Bandar Jalan Dato’16 .
Kemudahan bekalan  makanan dan pakaian pada masa itu hanya bergantung kepada bantuan kerajaan. Banjir yang besar mengakibatkan ramai penduduk hanya sempat menyelamatkan beberapa barang dan dokumen berharga sahaja sebelum air meningkat naik dengan cepat hingga ke paras dada dan menenggelamkan kampung mereka. Banjir itu surut kira-kira seminggu. Banyak kerugian telah ditanggung penduduk kampung 17.          

Tokoh Kampung Bukit Mentok
           Tokoh yang terkenal di Kampung Bukit Mentok pada tahun 70-an ialah Haji Wan Muda Bin Wan Jusoh. Beliau berasal  dari keturunan Patani.  Beliau berhijrah  ke Dungun dan  berkahwin dengan anak tokoh agama . Tokoh agama tersebut ialah Haji Jusoh atau digelar Haji Jusoh Keramat Kampung  Rajawali yang mengasas masjid Rajawali di Kampung  Pulau Serai. Beliau berkahwin dengan anak Haji Jusoh yang bernama  Che Teh . Selepas beliau mendapat  seorang anak yang bernama Wan Zainab, Che Teh iaitu isterinya pula meninggal dunia. Haji Wan Muda membawa anaknya mengembara balik ke Kemaman di kampung datuknya, Lebai Saras di Kampung Nyiur. Selepas itu dia berulang alik dari Kampung Nyiur ke Kampung  Bukit Mentok18.
           Beliau memajukan Kampung Bukit Mentok dengan cara pendekatan agama kerana beliau mempunyai pengetahuan agama yang tinggi . Aspek utama yang terkenal di kampung adalah di bidang keagamaan.  Pada zaman dahulu penduduk di luar memang segan untuk datang ke Kampung Bukit Mentok  untuk melakukan perbuatan buruk. Ada sesetengah  mengatakan jika mereka berniat melakukan perkara buruk sebelum datang ke Bukit Mentok, mereka tidak akan dapat masuk ke Kampung Bukit Mentok. Sebut kata Bukit Mentok, memang terkenal dengan                orang-orang yang beragama18.
            Beliau juga mendirikan masjid dan mengajar di masjid. Beliau mengajar pelbagai kitab dan mempunyai amalan ‘’tarikat’’ yang tinggi. Beliau merupakan tempat merujuk ilmu agama.  Antara orang yang selalu merujuk beliau ialah Aziz Wali, Pok Serebeh , Pok Loh Kelantan dan orang-orang bangsawan juga seperti  Menteri Besar Terengganu pada masa itu iaitu Haji Wan Mokhtar. Haji Wan Mokhtar adalah anak angkat Haji Wan Muda. Terdapat juga kalau ada kanak-kanak yang nakal yang dihantar berubat oleh ibu bapanya  akan menjadi ‘’juruh’’ atau baik apabila berjumpa beliau . Beliau juga selalu  pergi ke Bandar Cukai pada setiap hari dengan berjalan kaki, memakai kain pelekat, berbaju pagoda dan memakai kot untuk bertemu sahabatnya berbincang tentang agama. Bukan beliau sahaja  yang mengajar di masjid tetapi beliau juga memberi peluang kepada sesiapa yang alim untuk turut mengajar, die tidak mengira siapa asalkan pandai dalam agama islam, dia akan suruh mengajar agama dan tidak memiilih bulu. Orang-orang kampung yang pandai dalam bidang agama terutama dalam berkhutbah, disuruh berkhutbah dan  menjadi imam. Beliau mengajar  di masjid dan menjadi tempat rujuk dan kalau di rumahnya kalau orang mengajaknya  bercakap tentang  agama dia akan berminat . Pada masa itu tiada elektrik di kampung dan  hanya memakai pelita ayam tembaga di masjid18.
               Sumbangan beliau kepada kampung yang ketara dilihat ialah semasa zaman Jepun datang ke Kemaman. Jepun masuk menceroboh melalui Kelantan dan terus merebak ke sini melalui sungai sehingga beberapa buah kapal Jepun dibom  oleh Orang Putih di Kuala Bekah , Alur Mak Lagam, Alur Lik dan di Nipah Panjang semasa Jepun kalah. Komunis memang tidak berpengaruh di Kampung Bukit Mentok tetapi ketika itu  Jepun mempunyai pengaruh yang kuat. Jepun juga telah membina kubu mereka di sini. Kubu Jepun dibina di Tanjung Bukit.  Di Kampung sebelah, ramai orang terkorban kerana dibunuh oleh Jepun tetapi  ia tidak berlaku di Kampung  Bukit Mentok kerana beliau terlebih dahulu menyekat atau memagar kampung sehingga Jepun tidak masuk ke kampung untuk membuat sembarangan. Pada masa itu tiap-tiap bulan Safar hari  rabu terakhir,mereka akan berkumpul  di masjid untuk membuat air tawar. Beliau berzikir  dan orang-orang kampung ikut serta. Perkara itu dilakukan supaya keselamatan kampung terjaga18.
               Beliau tidak menyukai orang berbalah sesama sendiri dan dia suka orang kampung berbaik sesama sendiri. Jika seseorang  itu baik, beliau akan mengambil berat terhadap  individu tersebut. Terdapat dua jenis barangan lama yang diwarisi beliau dan diantaranya ialah Al Quran tulisan tangan dan pedang. Al quran itu sebenarnya dimiliki oleh Lebai Saras tetapi beliau sebagai pemegang amanah. Terdapat peninggalan barang lama  di Kampung Bukit Mentok seperti Al quran tulisan tangan yang dipamerkan di Masjid Bukit Mentok. Al Quran itu berusia lebih daripada 300 tahun. Al Quran itu dibawa oleh Lebai Saras dari Patani, Thailand. Sebuah Al Quran tulisan tangan yang indah kepunyaan Lebai saris masih tersimpan dengan baik di rumah keturunanya yang ketujuh iaitu Haji Wan Muda bin Wan Yusuf lebih dikenali sebagai Wan Muda Alim merupakan seorang alim yang dianggap keramat oleh penduduk-penduduk kampung itu18.
            Al Quran yang bertulisan tangan ini tersimpan dengan baiknya di surau Kampung Bukit Mentok di bawah jagaan Wan Muda Bin Yusuf. Al Quran  tersebut dibungkus baik-baik dan beliau tidak membenarkan sesiapa pun untuk memilikinya malah untuk melihat Al Quran itu sendiri. Jarang-jarang orang saja yang dibenarkan melihatnya. Dalam satu bahagian dalam pusaka suci itu terdapat kesan koyak ditembusi oleh senjata ta jam seperti tombak. Kejadian yang menyebabkan koyaknya muka surat itu berlaku ketika Lebai Saris sedang membaca Al Quran tersebut dimana tiba-tiba orang raja telah datang dari belakang hendak menikam Lebai Saris. Dia sempat mengelak lantas melompat kesebelah dan tombak itu terpacak diatas kuran yang terletak di atas rehal. Beliau juga sebagai penyimpan  amanah salah satu pedang Haji Abdul Rahman Limbong. Pedang Haji Abdul Rahman Limbong ada 3 bilah, salah satunya ada dengan keturunan Haji Wan Muda di Dungun18.
           Pesanan beliau yang pertama kepada keturunanya ialah jangan belajar sahaja tetapi kena menuntut.  Mula-mula dia akan bertanya, apakah makna ilmu yang menyebabkan    orang sangat memerlukan  ilmu. Ilmu menurut  beliau  bermakna tahu, sekadar belajar sahaja tidak mencukupi dan apa bezanya belajar dengan menuntut. Menuntut diibaratkan seperti seseorang yang dahaga di padang pasir, orang yang belajar menggali di kawasan  yang luas untuk mendapatkan air, tetapi tiada hasil dan mendapat lelah sahaja, tetapi orang yang menuntut, mereka menggali dikawasan yang sempit tetapi dalam dan mendapat hasil untuk menghilangkan dahaga. Orang yang menuntut menurutnya seseorang  itu sampai matlamat yang dicita-citakan berbanding orang yang belajar sahaja dan hanya mengetahui sekadar maklumat.    Pesanan terakhir  beliau  sebelum meninggal dunia pula,  yang pertama anak cucunya mesti belajar silat,  silat yang dikhaskan  untuk anak cucunya ialah Silat Pongok, silat ini digunakan semasa  masuk perang. Silat ini  diajar oleh tok guru yang pergi menolong kaum melayu semasa        peristiwa 13 mei iaitu perbalahan antara kaum Melayu dengan kaum Cina. Beliau digelar Poksu dan mempunyai ilmu boleh menghilangkan diri dengan hanya keris sahaja yang menyerang musuh18.
          Sebelum mati, semasa di klinik, Doktor Alias cuba untuk memasukkan air ubat ke tubuh beliau tetapi tubuhnya tidak  dapat menerimanya. Beliau melakukan satu senaman dan  selepas itu seorang cucunya bertanya kenapa perkara ini terjadi? Beliau menjawab bahawa dia tengah bersenam dan cucunya bertanya kembali kenapa tok bersenam? Beliau menjawab senaman ini untuk memudahkan keluar roh dari jasad Senaman itu dinamakan senaman sakaratul maut. Dua senaman yang disuruh belajar yang pertama ialah senaman bayi dalam kandungan dan yang kedua senaman sakaratul maut.Senaman sakaratul maut bertujuan untuk menyenangkan keluar roh dari jasad ketika mati18.
          Beliau tidak pernah menghadapi halangan semasa membuka kampung kerana beliau mempunyai kekuatan jiwa. Oleh itu, semua orang bersetuju dengan beliau walaupun yang tinggal di kampung itu ada di antara bomoh-bomoh  yang  mempelajari ilmu hitam. Bomoh-bomoh itu tidak melawan beliau  kerana segan dan menghormatinya dengan ketinggian ilmu beliau. Beliau meninggal dunia pada tahun 1989 semasa berumur 125 tahun dan pusaranya terletak di perkuburan Kampung Bukit Mentok18.

Kesimpulan
            Tuntasnya, kampung ini mempunyai asal usul dan nama yang unik dan mempunyai banyak versi. Nama kampung yang asalnya Kampung Bukit Bentuk bertukar kepada Kampung Bukit Mentok masih menjadi tanda tanya kerana tiada sesiapa pun yang tahu kenapa nama kampung ini ditukar. Kampung Bukit Mentok kaya dengan sejarah  dan menyimpan khazanah lama yang masih terjaga dengan rapi. Al Quran tulisan tangan yang berusia kira-kira 300 tahun dan pedang Haji Abdul Rahman Limbong masih lagi disimpan hingga ke hari ini dan diturunkan secara turun temurun kepada generasi hari ini. Tidak dapat dinafikan perkembangan dari segi agama yang dibawa oleh tokoh agama yang terkenal di Kemaman berkembang  pesat di kampung ini. Tokoh di kampung ini menjadi rujukan berkaitan masalah-masalah agama dari setia pelusuk nusantara. Majoriti penduduk di kampung ini ialah petani dan mengusahakan tanaman ruji seperti padi dan bahan mentah utama seperti getah.  Selain itu, seni silat merupakan kesenian yang masih kekal sehingga hari ini. Banjir besar yang berlaku menyebabkan banyak perubahan besar terutama peralihan tapak masjid ke tapak baru yang lebih tinggi.


Bibliografi
1)Penduduk kampung- Temu ramah bersama Encik Musa Bin Hamdan
2)Penduduk kampung- Temu ramah bersama Encik Wan Isa Bin Wan Muda
3) Alir Bin Muda ,  Sejarah Daerah Kemaman 1885-1950 , Jabatan Sejarah UKM 1977
4) Mariam Binti Yaakub,Lebai Saris Kemaman, Jabatan Sejarah UM 1974
8) Profil Kampung Bukit Mentok
9) Laman Sesawang -www.lebaisaras.blogspot.com
10) Majalah Utusan Kiblat 1976-Halaman 10 & 11
11) Berita Bernama 28 Disember 1975,Banjir di Daerah Kemaman

Komentar

Postingan populer dari blog ini

P2 bab 3

BEPANG DAN SEJARAH KULINARI

PULAU DUYUNG ADALAH LIDAH NEGERI TERENGGANU