Sejarah itu Indah - Kg. Bukit Kuang



KAMPUNG BUKIT KUANG – Khalilul

            Kampung Bukit Kuang bukanlah satu nama asing di daerah Kemaman, Kampung ini bermula pembukaannya sekitar tahun 1700 lagi apabila seorang bangsawan Pahang iaitu Che Wan Teh membuka kawasan Kampung Bukit Kuang bersama pengikutnya kerana melarikan diri dari huru hara yang berlaku di Pahang pada masa itu. Tapi akibat ancaman lanun pada masa itu, Che Wan Teh membuka kampung yang jauh ke Tanjung Geliga. Kampung Bukit Kuang ditinggalkan kosong sehinggalah tahun 1940'an dimana datangnya penghijrah yang  merupakan para petani yang ingin tanah baharu bagi pertanian yang dikerjakan secara sara hidup mahupun berupa perniagaan. Dahulunya sebelum 1940'an Kampung Bukit Kuang belum lagi mempunyai penduduk, waktu itu hanyalah sekadar menempatkan satu jalan menghubungkan Kemaman dengan daerah-daerah lain. Asal-usul nama Bukit Kuang dikatakan diambil dari nama seekor burung yang bernama Kuang, menurut pendapat lain, perkataan Kuang diambil sempena pohon mengkuang yang tumbuh meliar dideretan bukit. Golongan pertama yang berhijrah ke Bukit Kuang adalah merupakan golongan petani, pada mulanya mereka tidak menetap di Bukit Kuang, tapi sekadar datang hanya untuk bercucuk tanam, tapi lama-kelamaan mereka membuat penempatan di situ. Selepas dari penghijrahan golongan petani, maka mula timbul minat nelayan untuk membina jeti-jeti hentian pendaratan ikan di Bukit Kuang. Pada tahun 1970'an berlaku sekali lagi penghijrahan beramai-beramai dari Kampung Teluk Kuang kerana Kampung itu terpaksa ditutup bagi pembinaan perlabuhan bekalan kemaman. Sehubungan dengan itu, kajian ini dihasilkan bagi mencari faktor pembukaan Kampung Bukit Kuang serta perkembangannya dari beberapa aspek seperti ekonomi.


FAKTOR-FAKTOR PEMBUKAAN KAMPUNG BUKIT KUANG
            Pembukaan kampung Bukit Kuang dimulai dengan kehadiran seorang tokoh bangsawan yang datang dari Pahang untuk membuka kawasan ini atas dasar melarikan diri dari suasana huru-hara yang berlaku pada masa itu di Kuala Pahang, beliau dikenali sebagai Che Wan Teh. Beliau berhijrah ke kampung ini sekitar tahun 1700’an dan telah disertai keluarga dan pengikutnya. Beliau merasakan kampung ini sesuai untuk dijadikan penempatan. Sebelum kehadiran beliau ke kampung, telah terdapat satu suku Sakai nomad di kawasan kampung ini. Beliau menetap di sini bertahun lamanya sehingga timbulah masalah di kampung ini yang dikatakan berpunca daripada ketidakjadian hasil pertanian, oleh sebab itu Che Wan Teh, telah berpindah ke satu kawasan baru yang tidak jauh dari kampung Bukit Kuang iaitu Kampung Tanjung Geliga. Kampung ini dibiarkan kosong tanpa penghuni sehinggalah sekitar tahun 1940’an.
            Pada tahun 1948, penduduk kampung Tebak dan Batu 16 telah membuka kembali kampung Bukit Kuang. Mereka dikerah mengosongkan kampung asal mereka kerana pada masa itu berlakunya keganasan pihak Komunis yang menyebabkan mereka terpaksa berpindah ke kawasan yang lebih selamat. Mereka menyelusuri sungai akhirnya menemui kawasan yang sesuai iaitu di Kampung Bukit Kuang. Sehubungan dengan itu, Imam Masjid pada ketika itu yang bernama Tun Umar bin Tun Ibrahim bersama dengan penduduk lain telah membuka perkampungan baru yang diberi nama Kampung Bukit Kuang. Dinamai Kampung ini sebagai Bukit Kuang adalah disebabkan Burung Kuang yang mendiami bukit itu. Pertambahan penduduk digalakkan lagi apabila Masjid Lama di Kampung Bukit Kuang menjadi pusat penyampaian ilmu oleh seorang tokoh Ilmuwan agama pada masa itu iaitu Tuan Guru Abdul Rahman Limbong. Ramai penuntut ilmu telah menetap disini. Penduduk disini mula menyukai kampung Bukit Kuang apabila tanah di kampung ini subur dan sesuai untuk pertanian seperti padi dan sayur-sayuran.
            Selain itu, pada tahun 1948’an juga, ada tiga orang yang juga dikatakan pengasas Kampung Bukit Kuang telah meneroka tanah bagi tujuan pertanian dan penempatan. Mereka bertiga ialah Wan Ibrahim, Habib Noh dan Mat. Wan Ibrahim yang mula membuka tanah berhampiran sungai untuk pertanian. Beliau berpendapat kawasan ini sesuai untuk pertanian dan beliau bertanggungjawab mempelawa penduduk Kampung Besut pada masa itu untuk membuka kawasan Bukit Kuang. Habib Noh pada ketika itu merupakan seorang yang berpelajaran telah memohon untuk membuka tanah dari kerajaan, Habib Noh telah membuka berekar-ekar tanah bertujuan  pertanian dan juga petempatan. Antara pertanian pada masa itu ialah padi, banyak sawah padi dibuka dan diusahakan. Kesannya, ramai penduduk di luar Bukit Kuang mula berminat menetap di sini. Kesan daripada ajakan Wan Ibrahim, maka ramai yang berminat tinggal menetap di kampung Bukit Kuang dan ada di antara para nelayan telah membina petempatan mereka sendiri di tebing-tebing sungai, mereka ini datangnya dari kampung Besut. Sedikit demi sedikit masyarakat disini terus berkembang.
            Seterusnya, menurut setiausaha Jawatankuasa keselamatan dan kawalan kampung, Yip Voon Toong, Kampung Bukit Kuang dibuka setelah pembukaan perlabuhan bekalan kemaman, penduduk yang menetap di tapak perlabuhan dipindahkan ke Kampung Bukit Kuang, dahulunya sebelum pembinaan perlabuhan bekalan Kemaman, di situ adanya satu kampung yang bernama Teluk Kuang, kebanyakan penduduk disitu merupakan nelayan. Setelah dipindahkan disini sekitar tahun 1970 mereka ada yang meneruskan kegiatan harian mereka seperti nelayan dan bercucuk tanam. Kawasan penduduk yang dipindahkan ini dikenali sebagai perumahan seratus. Mereka ada yang mengusahakan tanaman padi secara meluas tapi pada tahun 1980 tanah sawah padi terpaksa ditebus guna untuk dibina penempatan di sini.
            Selain itu, kawasan tebing-tebing sungai kampung Bukit Kuang merupakan kawasan strategi dan berhampiran dengan laut mendorong para nelayan dari luar membina jeti-jeti di kawasan tebing sungai. Mereka telah membuka kawasan sekitar sungai untuk dibina petempatan. Kawasan penempatan para nelayan ini juga dikenali sebagai Pangkalan Cicar. Kawasan ini mula menjadi tumpuan ramai nelayan dari luar untuk membuka petempatan baru.




PERKEMBANGAN KAMPUNG BUKIT KUANG PADA TAHUN 1700-2000

            Pembukaan Kampung Bukit Kuang seperti yang diperkatakan sebelum ini adalah dimulai oleh Che Wan Teh dan pengikutnya yang dikatakan lari dari huru-hara di Kuala Pahang, ini berlaku sekitar tahun 1700’an. Pada masa itu telah dibangunkan rumah-rumah kediaman dan bukan khemah pelarian, ini bermakna Che Wan Teh pada masa itu telah berniat tinggal di sini, akan tetapi setelah beberapa lama menetap disini kampung ini diserang penyakit tanaman, akhirnya Che Wan Teh mengambil keputusan untuk berpindah dari kampung ini.
            Kedua, Pada tahun 1940  kampung Bukit Kuang dikatakan telah dibuka kembali oleh Penduduk Kampung Batu 16 yang melarikan diri dari kampung mereka atas kerahan kerajaan kerana pada masa itu berlakunya darurat antara Komunis. Penduduk ini membuka kawasan perkampungan di Kampung Bukit Kuang, kerana pada masa itu kawasan ini dikatakan sesuai untuk tujuan pertanian.
            Ketiga, pada tahun yang sama iaitu pada tahun 1940 kampung Bukit Kuang dikatakan telah dibuka oleh oleh tiga sekawan iaitu Wan Ibrahim, Habib Noh dan Cik Mat. Mereka bertiga bertindak memajukan perkampungan ini disamping menggalakkan penduduk luar berpindah ke sini. Mereka membuka tanah-tanah baharu untuk dijadikan penempatan serta tanah bercucuk tanam. Atas usaha mereka, ramai yang membuka kawasan-kawasan baharu sebagai penempatan tidak juga sebagai tanah pertanian.
            Keempat, pada tahun 1980, Pembukaan perlabuhan bekalan kemaman atau lebih dikenali sebagai ‘Kemaman Supply Base” (KSB) telah menyebabkan sebuah kampung persisir pantai iaitu Kampung Teluk Kuang, terpaksa dipindahkan ke Kampung Bukit Kuang. Bagi memenuhi keperluan penduduk yang dipindahkan itu, pihak kerajaan telah membuka satu petempatan di Kampung Bukit Kuang yang dikenali sebagai perumahan murah 100. Pihak kerajaan telah membina rumah-rumah bagi menggantikan rumah dan tanah yang telah diambil bagi tujuan pembinaan perlabuhan.
            Selain itu, perkembangan kependudukan bertambah lagi apabila ada diantara nelayan dari luar membuka penempatan mereka disini.



PERKEMBANGAN KAMPUNG BUKIT KUANG DARI SEGI EKONOMI SEJAK TAHUN 1700- 2000
            Kampung Bukit Kuang merupakan sebuah kampung pinggir sungai pada masa dahulu iaitu sekitar tahun 1700, pada masa itu Che Wan Teh yang merupakan ketua kampung dikatakan telah menjalankan perdagangan antara penduduk dari luar terutamanya dari Kuala Pahang pada masa itu kerana Che Wan Teh merupakan orang yang dikenali di Kuala Pahang. Penduduk Kampung Bukit Kuang pada masa itu kebanyakkan merupakan petani-petani. Kegiatan pertanian mereka pada masa itu hanya berbentuk pertanian sara diri dan bukan bermaksud ekonomi berasaskan pertanian. Penduduk masa itu, rata-ratanya tidak berjual beli keperluan asas seperti padi, sayur-sayuran dan lain-lain kerana pada masa itu mereka sendiri yang menanam padi serta sayur-sayuran. Dapat disimpulkan bahawa pada masa itu, perkembangan dari segi ekonomi tidak menampakkan lagi.
            Pada tahun 1940, setelah berlakunya perpindahan beramai-ramai penduduk Kampung Batu 16 berlakunya perubahan ekonomi yang jelas. Di mana penduduk-penduduk yang berpindah ini merupakan mereka yang mahir dalam bertani, menternak serta bidang perubatan. Mereka ini telah melakukan urusan jual beli dalam kalangan mereka pada masa itu, akan tetapi urusan antara jual beli dengan pihak  luar masih lagi kurang. Ada dalam kalangan mereka telah berusaha memperniagakan hasil ternakan, pertanian, serta perikanan mereka ke Bandar Chukai pada masa itu. Mereka telah berusaha mengembangkan ekonomi masing-masing ke tahap yang membantu kehidupan mereka. Pada masa itu peluang pekerjaan masih lagi kurang. Bagi mereka yang ingin bekerja sebagai penjawat awam dan swasta terpaksa pergi ke bandar Chukai yang merupakan pusat utama kegiatan ekonomi daerah ini.
            Sekitar  tahun 1940 juga perkembangan ekonomi juga berlaku di Kampung ini setelah tiga sekawan iaitu Wan Ibrahim, Habib Noh, Cik Mat telah memaju dan membuka kawasan ini bagi menggalakan penduduk dari kampung lain berpindah di sini, ekonomi pada masa itu tidaklah bergitu berkembang tetapi pada masa itu telah berlaku sedikit perubahan dari segi perniagaan, kalau dahulunya penduduk hanya menjual barang-barang pertanian, tapi setelah berlaku pertambahan penduduk, telah munculnya beberapa buah kedai runcit yang menjual pelbagai keperluan. Di samping itu penduduk pada masa itu telah menanam padi serta nanas bagi tujuan perniagaan. Hasil ini dibawa ke pasar-pasar untuk dijual. Hal ini telah membantu mereka mengembangkan ekonomi pada masa itu. Peniaga runcit pada masa itu adalah mereka yang berbilang bangsa.
            Ekonomi sekitar tahun 1700 hingga 1940 tidak begitu memuaskan sehingga pada waktu berlakunya perpindahan penduduk kampung Teluk Kuang iaitu pada tahun 1982, dimana sebuah perlabuhan dibuka. Pembukaan perlabuhan ini telah membawa kepada perkembangan ekonomi yang agak pesat. Pembukaan perlabuhan ini telah membawa perubahan ekonomi penduduk apabila penduduk kampung Bukit Kuang ditawarkan pekerjaan dalam pelbagai bidang di pelabuhan yang baharu dibuka itu. Penduduk menikmati pelbagai manfaat setelah perlabuhan kemaman dibuka terutamanya penduduk Kampung Bukit Kuang yang merupakan kampung yang paling hampir dengan perlabuhan ini. Penduduk Kampung Bukit Kuang terutamanya penduduk yang dipindahkan dari Kampung Teluk Kuang diberikan keistimewaan dengan ditawarkan bekerja di perlabuhan Kemaman.
            Selain itu, sekitar tahun 1980 juga, sebuah kilang pemprosesan kelapa sawit telah dibuka di Kampung Bukit Kuang, Kilang ini terletak berhampiran dengan rumah penduduk. Pembukaan kilang membawa perkembangan ekonomi penduduk dimana apabila kilang ini memberi pekerjaan kepada penduduk kampung Bukit Kuang. Selain itu, pembukaan kilang ini membawa kepada perkembangan penduduk sekitar kampung Bukit Kuang. Kilang ini terletak dikawasan yang strategik, ia berhampiran dengan jalan yang menghubungkan daerah Kemaman dengan Kuala Terengganu. Sebagai bukti kilang ini membuka peluang pekerjaan yang banyak kepada penduduk kampung, Kilang ini memerlukan pekerja dalam pelbagai proses dalam bagi menghasilkan minyak kelapa sawit yang tak ditapis sama ada proses pengasingan, pemprosesan, pembersihan dan sebagainya sehinggalah kepada kerani pejabat.
            Seterusnya, kemajuan di perlabuhan bekalan Kemaman membawa minat pelabur tempatan dan luar negara. Sebuah syarikat gergasi iaitu Perwaja Steel telah membuka kilangnya di Teluk Kalung. Kilang memproses logam ini bermula pada tahun 1982. Kilang ini merupakan kilang yang terbesar dibuka disamping sebuah kilangnya lagi di Gurun, Kedah. Walaupun kilang ini terletak di Teluk Kalung, Kampung Bukit Kuang yang merupakan jirannya telah menerima manfaat yang besar oleh sebab pembukaan kampung ini. Kilang ini telah membuka ruang pekerjaan kepada penduduk di daerah Kemaman khususnya kampung Bukit Kuang. Pembukaan kilang ini, membawa kepada pertambahan penduduk di Kampung Bukit Kuang, para pemaju perumahan mula melihat kepentingan pembinaan perumahan di kampung Bukit Kuang, hal ini membawa kepada pembukaan kawasan perumahan yang diberi nama Taman Desa Darul Iman. Selain itu, Kilang ini telah mendorong penduduk tempatan membuka kedai-kedai kopi di sepanjang jalan menuju ke kilang terbabit. Hal ini membawa kepada peningkatan taraf ekonomi penduduk tempatan.
            Selain itu, sekitar 1980’an juga, sebuah kilang arang telah dibuka dipersisiran sungai kampung Bukit Kuang, kilang arang ini telah diusahakan oleh seorang usahawan berbangsa cina. Kerja-kerja menghasilkan arang memerlukan ramai pekerja, oleh sebab itu kilang ini telah membuka ruang kepada penduduk tempatan untuk bekerja di kilang ini. Hal ini sekali lagi telah memberi peluang pekerjaan kepada penduduk bagi mengubah taraf ekonomi masing-masing.
            Perkembangan Perlabuhan Pembekalan Kemaman telah membawa kepada penubuhan pelbagai syarikat baharu yang berkaitan dengan sektor di perlabuhan seperti pengurusan kapal, firma mekanikal kapal, serta urusan yang berkaitan. Pernubuhan syarikat-syarikat ini juga membawa kesan kepada ekonomi penduduk sekitar terutamanya penduduk Kampung Bukit Kuang kerana syarikat ini menawarkan pekerjaan kepada penduduk sekitar. Berdasarkan tinjauan dan perbualan bersama penduduk kampung, rata-ratanya, penduduk disini merupakan pekerja di perlabuhan dan firma-firma di situ.
            Setelah perkembangan ekonomi bermula, ramai dalam pemaju perumahan mula minat dengan Kampung Bukit Kuang, banyak perumahan baharu dibuka dan terus dimajukan. Penduduk kampung pada masa itu tidak lagi mengambil pertanian sebagai sumber ekonomi utama mereka, mereka lebih beralih kepada sektor kedua iaitu sektor kilang. Kesan  pembukaan perlabuhan Kemaman membawa impak yang besar kepada ekonomi penduduk kampung, selain itu hal ini juga membawa kepada perkembangan dalam pertambahan penduduk Bukit Kuang. Seterusnya, perkembangan ini bukan sahaj membawa impak kepada ekonomi tetapi juga memberi kesan kepada pertambahan infrastruktur Kampung Bukit Kuang.
            Pertambahan penduduk Kampung Bukit Kuang, membuka peluang kepada penduduk kampung Bukit Kuang untuk berniaga, dapat dilihat setelah berlakunya pembukaan perlabuhan kampung Bukit Kuang telah menyebabkan ramai daripada penduduk kampung Bukit Kuang telah menceburi bidang perniagaan dari perniagaan yang kecil sehinggalah yang besar. Contoh perniagaan yang diceburi oleh penduduk kampung ialah perniagaan kedai makan, kedai runcit, kedai barangan hardware. Mereka lebih tertumpu kepada perniagaan
            Kesimpulannya, Kampung Bukit Kuang telah menerima faedah yang banyak selepas pembukaan perlabuhan kampung Bukit Kuang. Perlabuhan kemaman telah memberi sumbangan yang besar kepada pertumbuhan ekonomi kampung ini sehinggalah sekarang. Kegiatan ekonomi berasaskan pertanian semakin hari semakin berkurang, walaupun pada masa pembukaan kampung Bukit Kuang, pertanian merupakan sumber ekonomi utama penduduk kampung. Walaupun begitu, pertanian juga tetap menjadi sumber ekonomi penduduk.



KEMUDAHAN INFRASTRUKTUR DI KAMPUNG BUKIT KUANG

            Setelah berkembangnya ekonomi kampung Bukit Kuang, maka banyaklah perubahan dalam infrastruktur. Pelbagai kemudahan telah disediakan bagi memudahkan kegiatan ekonomi penduduk. Kemudahan ini telah memudahkan urusan seharian penduduk kampung Bukit Kuang. Pelbagai kemudahan telah disediakan, antaranya;
            Jalan raya adalah merupakan keperluan yang amat diperlukan selepas berlakunya perkembangan ekonomi, dimana jalan raya yang diturap memudahkan lagi urusan pengangkutan di perlabuhan, selain itu jalan raya juga berfungsi menghubungkan penduduk kampung Bukit Kuang dengan daerah-daerah lain.
            Jambatan yang menghubungi antara kampung Bukit Kuang dengan Bandar Chukai telah dibina bagi memudahkan urusan seharian penduduk. Jambatan ini dibina bagi menggantikan perkhidmatan feri pengangkut yang dahulunya digunakan sebagai pengangkutan utama untuk ke Bandar Chukai. Jambatan ini mula dibina sekitar tahun 1980’an lagi.
            Sekolah telah mula dibina selepas beberapa tahun penduduk kampung Teluk Kuang dipindahkan di kampung Bukit Kuang atas sebab sebuah perlabuhan ingin dibuka. Sekolah yang dibina adalah dari jenis sekolah rendah kebangsaan sahaja. Sekolah ini telah memudahkan penduduk di sini mendapatkan pendidikan awal. Selain itu, sebuah pusat asuhan kanak-kanak Islam telah dibuka sekitar tahun 1990’an bagi mendidik penduduk di sini yang kebanyakannya merupakan penduduk yang beragama Islam.
            Masjid yang mula-mula dibina di kampung Bukit Kuang adalah sebuah masjid yang telah dipindah dari kampung Batu 16 yang penduduknya terpaksa dipindahkan ke kampung ini. Masjid ini telah menjadi pusat aktiviti masyarakat pada masa itu. Setelah berlakunya pertumbuhan penduduk yang padat pada masa itu menyebabkan berlaku kebanjiran penduduk yang menyebabkan sebuah masjid baharu perlu dibuka kerana masjid lama tidak dapat menampung kepadatan jemaah. Akhirnya sebuah lagi masjid dibuka bagi mengganti masjid lama.



TOKOH KAMPUNG BUKIT KUANG : SARJAN IDRIS BIN HUSSIEN.

            Kampung Bukit Kuang dibuka dan dimajukan oleh mereka yang berwibawa, antara mereka ini salah satunya adalah Sarjan Idris Bin Hussien. Nama beliau mungkin tidak dikenali oleh generasi baharu yang berpindah ke kampung Bukit Kuang. Secara ringkasnya beliau dilahirkan di sebuah kampung di Rembau. Beliau dibesarkan dalam keluarga Minangkabau yang sangat mementingkan disiplin dan hidup berdikari. Beliau amat mencintai pengalaman, oleh itu sejak bergelar remaja beliau telah merantau jauh ke singapura untuk bekerja, pekerjaan pertama beliau adalah menjadi seorang buruh. Setelah lama beliau menjadi buruh, beliau telah terpilih untuk menjadi seorang anggota polis hutan pada masa itu. Pengalaman dan kebolehan beliau dalam menjadi seorang anggota polis menyebabkan beliau telah menyandang pangkat Sarjan.
            Setelah lama menjadi seorang anggota polis, akhirnya beliau telah bersara dari jawatannya, semasa bertugas beliau telah merantau jauh ke semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak. Akhirnya beliau telah berkahwin dengan seorang anak watan terengganu iaitu Puteh Bin Ibrahim yang merupakan salah seorang penduduk kampung Bukit Kuang. Walaupun telah berkahwin, Sarjan Idris masih lagi komited dengan kerjanya sehinggalah beliau bersara.
            Semasa hari-hari persaraan beliau, beliau telah berpindah ke Kampung Bukit Kuang bersama isteri beliau. Kebetulan pada masa itu, sanak saudara isteri beliau telah lama menetap di Kampung Bukit Kuang , ditambah lagi isteri beliau merupakan anak kepada pengasas kampung Bukit Kuang. Hubungan beliau dengan pengasas Bukit Kuang amat rapat, tetapi tidak lama kemudian pengasas kampung Bukit Kuang yang bernama Wan Ibrahim telah meninggal dunia tidak lama setelah beliau berpindah ke sini.
            Setelah lama menetap di kampung Bukit Kuang, Sarjan Idris telah menyedari betapa pentingnya kemajuan kepada kampung Bukit Kuang. Setelah melihat kampung lain sudah membangun, beliau terbuka hati untuk berusaha memajukan kampung Bukit Kuang. Usaha beliau yang pertama adalah dengan memohon kepada pihak berkuasa untuk menyegerakan pemasangan bekalan elektrik dan air ke Kampung Bukit Kuang. Pada pandangan beliau, bekalan asas ini amat diperlukan.
            Selain itu, beliau telah berusaha meneruskan usaha mentuanya iaitu Wan Ibrahim membantu penduduk membuka tanah-tanah baharu bagi penempatan dan pertanian. Beliau membantu penduduk kampung Bukit Kuang mendapatkan kelulusan tanah. Pekerjaan beliau selepas bersara adalah menjadi seorang petani, begitulah beliau menghabis usianya. Atas kemahiran beliau bertani dan sistem pertanian beliau adalah baik, akhirnya beliau telah menjadi ikutan kepada penduduk yang bertani mengikuti cara beliau bertani. Selain itu, Sarjan Idris telah melontarkan idea tentang bagaimana rumah-rumah penduduk disusun.
            Seterusnya, beliau merupakan orang yang bertanggungjawab dalam pembinaan jambatan Bukit Kuang. Beliau adalah salah seorang yang berusaha dalam hal ini. Oleh sebab itu beliau telah dikenali penduduk kampung pada masa itu. Jasa beliau ini, telah dilupakan generasi masa hadapan.
            Kesimpulannya, beliau adalah merupakan anatara mereka yang bertanggungjawab dalam memajukan kampung Bukit Kuang. Walaupun jasa beliau adalah besar akan tetapi ramai lagi mereka-mereka yang masih belum mengenali beliau. Kajian ini bertujuan menjadikan jasa beliau kepada kampung ini ke dalam sebuah latihan ilmiah. Jasa-jasa yang beliau berikan kampung ini melangkaui pelbagai perkara.



PENUTUP
Kampung Bukit Kuang adalah dibuka oleh orang yang berjiwa besar dan berani untuk membuat perubahan. Penyelidikan tentang kampung ini dijalankan atas kesedaran betapa pentingnya sejarah Kampung Bukit Kuang dibukukan. Penyelidikan terhadap kampung Bukit Kuang memberi pelbagai manfaat kepada diri sendiri, masyarakat, dan juga termasuk negara. Kampung Bukit Kuang dibuka atas beberapa aspek, antaranya kerana perpindahan penduduk, kemajuan kampung, pembukaan perlabuhan. Kehidupan manusia di dunia ini bermula dari sebuah sekelompok manusia terdiri dari beberapa keluarga yang akhirnya berkembang  menjadi sebuah perkampungan. Kadang-kadang ia ditempatkan  di satu-satu tempat oleh kumpulan tertentu menjadi satu perkampungan dengan kehidupan yang tersusun. Demikianlah dengan perkampungan yang telah dibincangkan di atas, sehingga ia membentuk sebuah kuantiti yang besar dan berkembang adalah hasil usaha pihak kerajaan yang berusaha memberikan kehidupan yang lebih baik untuk rakyat mereka. Sejarah awalnya perlu di terokai dan di tulis  untuk menjadi pencerahan untuk generasi akan datang  agar mereka  sedar bahawa sebuah kehidupan yang segar dan berjaya hari ini sebenarnya dirintis dan diterokai oleh generasi terdahulu dengan jerit perih dan kepayahan. Sewajarnya usaha generasi terdahulu perlu disedari, dipelihara dan dimajukan agar ia tidak hilang dan tergadai kerana kesilapan kita generasi terkemudian

           

Komentar

Postingan populer dari blog ini

P2 bab 3

BEPANG DAN SEJARAH KULINARI

PULAU DUYUNG ADALAH LIDAH NEGERI TERENGGANU