Sejarah itu Indah - Kg Tebakang



Aisyah Auni - Kampung  Tebakang ( sekiar 70an hingga tahun 2000)

                 Dalam kajian tentang sejarah tempatan, asal-usul perkembangan Kampung Tebakang telah dipilih iaitu pada tahun 1970 hingga tahun 2000. Hal ini bagi mengenalpasti asal-usul kampung dan untuk mengkaji perkembangan serta kemajuan yang berlaku di kawasan kampung ini. Selain itu bagi mengetahui kegiatan ekonomi dan sosial masyarakat kampung ini serta membuat perbandingan dengan Profil Kampung.  Kampung Tebakang adalah sebuah kampung tradisional yang terletak di mukim Alor Limbat,Marang,Terengganu. Jarak dari bandar Kuala Terengganu lebih kurang 14 km dan dari bandar Marang lebih kurang 19.2 km. Dari pekan Bukit Payong iaitu pekan terdekat jaraknya lebih kurang 4 km. Luas kampung ini lebih kurang 5 km persegi atau 499.997 hektar 1. Boleh dikatakan hampir keseluruhan kampung ini dipenuhi dengan tanaman buah-buahan dan selebihnya diusahakan untuk pertanian jangka masa pendek dan panjang. Pada tahun 1993 dianggarkan kampung ini mempunyai 1683 orang penduduk iaitu terdiri daripada 313 keluarga dan 294 buah rumah.2

Asal-usul Kampung Tebakang      
Sejarah pembukaan kampung ini tidak dapat direkodkan dengan tepat kerana kekurangan maklumat dari generasi terdahulu. Namun demikian, di sini dapat saya gariskan serba sedikit  maklumat yang dapat dicari. Kampung Tebakang diberi nama sempena dengan sejenis ikan air tawar yang dikenali sebagai ikan tembakang yang banyak terdapat di kampung ini pada masa dahulu dan ianya dibuka lebih kurang 350 yang lampau oleh dua buah keluarga yang diketuai oleh Penghulu Dol yang berasal dari Kampung Pulau Manis, Kuala Terengganu. Beliau dibantu oleh seorang Syed yang nama sebenarnya tidak diketahui.      
Kepimpinan bertukar ganti dari masa beliau hingga hari ini dengan beberapa pemimpin seperti Penghulu Dohman,Penghulu Salleh,Penghulu Mat,Penghulu Embong(Tok Mbong),Pak Da,Tuan Hj. A Rahman M.Zin dan seterusnya kepada En.Md Ali bin Tahar sehingga kini.Pada masa pentadbiran Md. Ali bin Tahar,wujud Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung. Dengan adanya JKKK ini, dapatlah penduduk Kampung Tebakang mengecapi arus pembangunan dan keselesaan jalan raya dan banyak lagi kemudahan yang ada.3  Ikan air tawar ini banyak terdapat di lubuk-lubuk di kampung ini. Sebagai contoh di Lubuk Binjai.4  Lubuk Binjai ialah kawasan yang mempunyai sungai yang digunakan sebagai saliran untuk petani-petani.

Perkembangan dan kemajuan Kampung Tebakang
             Pada mulanya,jalan untuk ke kampung ini hanyalah tanah merah sahaja.5  Penduduk kampung  ini dapat mengecapi arus pembangunan dan keselesaan jalanraya pada tahun 1980 6. Malah kemudahan elektrik telah disalurkan pada tahun 1978 sehari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.7  Punca bekalan elektrik disalurkan oleh Tenaga Letrik Nasional selama 24 jam dan kadar penggunaannya di kampung ini adalah seratus peratus 8. Sebuah masjid juga telah dibina di kampung ini pada tahun 1964, malah dua buah surau telah dibina pada tahun 1985.9  Kampung ini juga mempunyai sebuah balairaya yang digunakan untuk aktiviti kemasyarakatan yang telah dibina pada tahun 1970 10. Kemudahan jambatan kayu telah dibina untuk kegunaan orang ramai pada tahun 1989 11. Hal ini memudahkan penduduk untuk menyeberangi sungai untuk ke kebun-kebun . Manakala gelanggang badminton dan padang bola sepak disediakan untuk belia melakukan aktiviti untuk mengisi masa lapang. Bengkel jahitan (SLSB) telah dibina bagi golongan wanita yang tidak bekerja untuk menambah pengalaman serta mendapatkan pendapatan daripada hasil tempahan jahitan. Bengkel ini telah dibina pada tahun 1990.12
             Terdapat empat buah kandang lembu kelompok yang dibina pada tahun 1989 hingga 1991.13 Sebuah Kelas Tadika telah dibina bagi membina generasi yang celik dan berjaya pada masa akan hadapan. Kelas Tabika telah dibina pada tahun 1980. Majoriti murid tadika ialah berumur antara 4 hingga 6 tahun. Terdapat beberapa orang murid yang dapat membaca dan menulis dengan baik  pada usia 4 hingga 5 tahun. Kira-kira separuh daripada murid dapat mengenal huruf.14  Dikampung ini terdapat seorang pengusaha bas sekolah yang memainkan peranan bagi membantu murid sekolah berulang-alik kesekolah masing-masing dan secara tidak langsung membantu masyarakat setempat dalam masalah pengangkutan berkenaan15. Sebelum disediakan kemudahan bas,pelajar-pelajar hanya berjalan kaki untuk ke sekolah  sejauh 5km dari kampung ini. Ada sebahagian ibubapa yang menghantar anaknya ke asrama bagi menjamin keputusan yang lebih baik untuk anak-anak.16   Dua buah teksi juga terdapat di kampong ini dan ianya diusahakan oleh dua orang pengusaha. Ianya berperanan dalam menyelesaikan masalah pengangkutan awam. Kampung ini juga mempunyai kemudahan tali air   atau dikenali sebagai parit buangan air. Dalam erti kata yang sebenarnya, parit buangan air ini adalah satu longkang besar yang dapat mengalirkan air yang berlebihan di kawasan pertanian tok kolam yang selama ini di takungi air. Panjang laluan air ini adalah 290 rantai yang urusan penggaliannya diuruskan oleh Jabatan Saliran dan Pengaliran Negeri Terengganu pada tahun 1990.17 Kampung Tebakang juga tidak ketinggalan dalam bekalan air yang bersih dari jabatan bekalan air negeri.18  Sebanyak 30 buah rumah telah menggunakan paip kerajaan manakala yang bakinya menggunakan air paip jabatan kesihatan dan telaga. Kemudahan air di kampung ini mendapat kemajuan kerana dahulunya, rata-rata penduduk hanya mendapatkan bekalan air dati telaga dan sungai yang berdekatan.Bekalan tandas curah dari jabatn kesihatan bagi kepentingan para penduduk kampong ini adalah lebih kurang 65 %. 35 % lagi adalah tandas pembinaan sendiri.19
             Pada tahun 1990 yang telah lalu, atas daya usaha pihak jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung, 3 buah rumah baru dibina serta 10 buah rumah lagi dibaiki. Hal ini demikian kerana bagi membantu penduduk termiskin.20 Sebuah pondok telefon telah disediakan bagi memudahkan perhubungan iaitu dibina pada tahun 1985. Balai serbaguna untuk para petani telah dibina pada tahun 1990.
 
Kegiatan Ekonomi penduduk Kampung Tebakang
            Kegiatan ekonomi penduduk Kampung Tebakang ialah pertanian, penternakan, dan lain-lain. Dari jumlah keluasan tersebut penggunaan tanah boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian. 30 % daripada keluasan tanah adalah terdiri daripada dusun dan tempat tinggal,manakala 40 % sayur-sayuran,28% padi,2% kelapa,8% tanah terbiar dan 22% tanaman getah. 21   Proses penggalian parit telah dilakukan oleh seorang yang sangat berjasa yang bernama Cik Nduk. Beliau merupakan seorang penyadat kelapa. Hal ini demikian kerana,sumbangan beliau dengan menggali parit memberi kemudahan saliran kepada petani-petani di kampung ini. Pada mulanya, kerana kejahilan penduduk terhadap ilmu pengetahuan, Cik Nduk dianggap gila oleh penduduk kampung kerana melakukan kerja penggalian parit secara berseorangan. Penduduk kampung menanggap kerja yang dilakukan oleh Cik Nduk tidak mendatangkan hasil, malah hanya kerja yang sia-sia. Panjang parit tersebut ialah kira-kira 1.5 km dan sedalam 5 hingga 6 kaki. Pelbagai tohmahan dilemparkan kepada cik nduk akan tetapi,Cik Nduk tetap berjiwa kental. Beliau ialah salah seorang yang menuntut ilmu agama dengan seorang guru yang tidak dapat dikenalpasti namanya yang tinggal di Kampung Kedai Buluh. Hasil daripada sumbangan Cik Nduk memudahkan penduduk kampung untuk bercucuk tanam. Penduduk mula menyedari kebijaksanaan Cik Nduk dalam mengatur strategi dalam bidang pertanian.21  Sehingga hari ini parit tersebut diberikan nama parit Cik Nduk.
Sebuah bengkel motorsikal telah diusahakan oleh Salleh bin Syafie yang pada mulanya hanya mengeluarkan modal sebanyak RM19.00. Lokasi kedai ini terletak di hadapan Masjid Kampung Tebakang yang  beroperasi pada tahun 1988 dengan dibantu oleh seorang pembantu 22. Seterusnya ialah bengkel songket. Bengkel-bengkel songket terdapat lebih kurang 10 hingga 15 tempat di seluruh Kampung Tebakang . Bagi mengembangkan lagi projek berkenaan  pihak  JKKK dengan kerjasama para penduduk serta badan-badan kerajaan berusaha untuk membangunkan usaha ini secara komersil 23. Pengangkutan bas sekolah diusahakan oleh Nordin bin Sulong. Beliau mempunyai 5 buah bas dan 10 orang pembantu. Pihak JKKK dan persatuan belia serta penduduk selalu menyewa kenderaan beliau bagi tujuan lawatan sambil belajar dan sebagainya dengan kadar tambang yang istimewa. Kemudahan ini dapat membantu pelajar-pelajar mempertingkat kehadiran mereka kedestinasi masing-masing dalam menimba ilmu.24
             Industri perabot juga bergiat aktif di kampung ini. Industri perabot telah diusahakan oleh Salleh bin Abdullah.Beliau dibantu oleh seorang pembantu. Beliau mengusahakan projek ini di Tebelur. Nilai projek adalah sebanyak RM 2000. Projek ini mengeluarkan hasil keluaran yang boleh dikatakan bermutu dan perabot yang dihasilkan oleh beliau mendapat tempahan daripada penduduk luar dan penduduk setempat.25
              Kedai runcit yang diusahakan oleh Mek Ngoh bermula pada tahun 1975. Pelbagai barang keperluan diperoleh daripada kedai ini. Hal ini memudahkan penduduk untuk membeli barangan-barangan keperluan. Sebagai contoh,penduduk membeli beras,ikan masin,dan lain-lain. Pada tahun sekitar 1980,kampong ini mempunyai 2 buah kedai runcit dan 4 buah kedai kopi. Malah, terdapat 2 orang yang menjadi peruncit ikan dan 2 orang peruncit sayur. Perkhidmatan van kecil dilakukan oleh Yusof Seman pada sekitar tahun 1980.26  Kehadiran beliau telah membantu penduduk yang tidak mempunyai kenderaan untuk mendapatkan barang-barang keperluan mereka.
          Industri makanan ringan diusahakan oleh Persatuan Belia dan Sepakat.Modal permulaan ialah sebanyak RM 80.00. Projek ini adalah sebagai perintis kearah peningkatan industri berasaskan bahan-bahan pilihan utama ialah kerepek pisang dan ubi kayu dengan mengusahakannya dalam pelbagai citarasa. Sehingga kini, pengeluaran dan permintaan adalah membanggakan . Justeru itu, JKKK Kampung Tebakang merasakan agar pihak jabatan yang boleh dalam memberi peralatan yang diperlukan adalah wajib. Projek ini mendapat keuntungan sebanyak RM 500.27
         Kemajuan dalam bidang pertanian juga tidak dilupakan. Sebagai contoh tanaman limau langkap yang diusahakan oleh Tuan Haji A.Rahman bin Ismail. Pada mulanya beliau merupakan peladang kecil.                Pertanian ini bermula pada tahun 1981. Beliau hanya mengusahakan tanah 1 ekar yang ditanam dengan limau langkap serta sayur-sayuran seperti bendi,kacang,lada dan lain-lain. Hasil ketekunan beliau membolehkan beliau meluaskan usahanya dalam menanam limau langkap seluas 19 ekar. Hasil projek ialah sebanyak  RM 190 00.00. Hasil jualan bagi limau langkap adalah amat baik dan ianya mendatangkan hasil yang lumayan dengan pengalaman dan penggunaan baja-baja yang baik,usaha beliau dikatakan setanding dengan projek-projek yang diusahakan oleh petani-petani jaya yang lain. Beliau telah dipilih sebagai salah seorang peladang jaya peringkat negeri Terengganu. Beliau telah dipilih oleh jabatan pertanian negeri Terengganu menyertai misi latihan dan teknikal tanaman limau ke Australia bagi mengembangkan lagi pengetahuan.28
        Penduduk di kampung ini juga menjalankan aktiviti pertanian seperti menanam padi,buah-buahan,kelapa,getah,sayur-sayuran dan lain-lain lagi. Padi ditanam di Padang Muring yang kini dijadikan sebagai kawasan lebuhraya srta di Lembah Tok Kolam yang diusahakan pada tahun 1991. Penduduk menggunakan cara mengetam padi. Menurut orang lama,padi dahulu adalah setinggi satu meter. Penduduk di kampung ini juga menternak lembu,kerbau,ayam kampung dan lain-lain.
              Tanaman pisang biasa diusahakan pada tahun 1987. Pada  November tahun 1990,tanaman pisang tisu culture telah diusahakan dengan keluasan projek 11 ekar. Lokasi tanaman pisang tisu culture ialah di Bukit Buluh. Ianya adalah projek yang jarang ditanam di negeri Terengganu dengan mendapat bimbingan dan bantuan daripada pihak RISDA. Projek ini dijalankan dengan sempurna dan ianya telah mengeluarkan hasil. Susulan dengan kejayaan projek ini,beberapa peserta lagi sedang berusaha mempelbagaikan tanaman pisang tisu culture ini mengikut citarasa masing-masing.29
            Projek penternakan arnab telah dimulakan oleh Jaya Affandi bin Salleh pada 6 Mac 1990 yang lalu dengan projek mula yang berjumlah 5 ekor arnab.Setelah diperkembangkan,jumlah arnab bertambah menjadi 30 ekor. Projek ini sedikit demi sedikit mengalami peningkatan. Beliau telah memohon pinjaman bagi memperbesar projek ini. Lokasi projek ini di Lidah Tanah Tebelur Tebakang yang menghasilkan keuntungan sebanyak RM 26000. Hasil keluaran iaitu daging,kulit,najis,dan lain-lain. Bilangan arnab yang diternak mencecah 170 ekor arnab dari induk pembiak baik baka dan 130 ekor arnab pedaging.30
                Projek tanaman padi hanya berjalan pada Nov 1990 dan tamat pada Mac 1991.Ianya diusahakan oleh 24 orang di tanah yang berkeluasan 30 ekar. Padi ini ditanam di Lembah Tok Kolam . Kini,Lembah Tok Kolam ditanam dengan kelapa sawit,getah dan tanaman buah-buahan. Hasil daripada usaha tersebut,penduduk memperoleh pendapatan antara 200 hingga 1000 gantang. Manakala tanaman getah diusahakan sekitar tahun 1978. Ianya diusahakan oleh 19 orang pengusaha. Proses penanaman semula dilakukan pada tahun 1990 dibawah bantuan RISDA Daerah Marang.31
              Tanaman koko dilakukan pada tahun 1987. Tanaman ini dihasilkan oleh 11 orang pengusaha. Keluasan tanah bagi penanaman koko ini adalah seluas antara 1 hingga 6 ekar. Penanaman lada tidak dapat bertahan lama kerana dijangkiti penyakit. Tanaman ini hanya berjalan tidak sampai setahun iaitu pada tahun 1990.32 Begitu juga dengan tanaman tembikai yang diusahakan pada tahun 1990. Ianya tidak dapat bertahan lama kerana kedaan cuaca yang panas terik dan ancaman daripada binatang33. Tembakau telah ditanam pada tahun sekitar tahun 1990 oleh 5 orang pengusaha34. Manakala tanaman nanas diusahakan pada tahun 1989 oleh Ibrahim bin Abdullah.35
               Penternakan lembu daging diusahakan oleh Isa bin Ismail pada tahun 1976 manakala penternakan kerbau bermula pada tahun 1979 sehingga kini.36
      
Kegiatan sosial di Kampung Tebakang
              Kegiatan sosial yang aktif di kampung ini menyebabkan ukhuwah yang dibina semakin erat.Hal ini disebabkan kampung ini mempunyai pertubuhan sukarela. Antaranya ialah RELA telah ditubuhkan pada tahun 1988 untuk menjadi mata dan telinga pihak keselamatan. Selain itu,untuk mengawasi keselamatan kampung dan masyarakat serta untuk memupuk perpaduan di samping menjalankan aktiviti gotong- royong. Malah,RELA juga ditubuhkan uttuk mempertingkatkan kemahiran dalam menggunakan senjata api.Selain itu, badan sukarela yang ditubuhkan ialah Persatuan Belia SEPAKAT yang ditubuhkan pada tahun 1988. Masjid Kampung Tebakang sangat aktif dengan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan. Masjid ini dibina  pada tahun 1964. Sebagai contoh masjid ini sering mengadakan ceramah kesedaran agama,gotong-royong kebersihan kawasan masjid,majlis berbuka puasa,dan lain-lain.
               Pertubuhan biro-biro dapat melestarikan lagi kemajuan   di kampung ini. Sebagai contoh dengan kewujudan biro pembangunan,biro ekonomi pertanian,biro agama pendidikan,biro kebajikan sosial dan lain-lain. Antara objektif biro pendidikan ialah bagi melahirkan masyarakat yang intelek. Selain itu,untuk membina masyarakat pengasih,penyayang,dan bertaqwa serta mempertingkat pencapaian akademik. Malah untuk melahirkan budaya membaca dalam masyarakat. Antara aktiviti kerohanian yang diadakan ialah kelas-kelas agama di masjid ,kelas tajwid,dan kelas Al-Quran bagi kanak-kanak. Bagi aktiviti untuk meningkatkan pencapaian,turut diadakan kelas bimbingan UPSR,SRP,SPM,dan aktiviti berkumpulan antara pelajar. Kelas fardhu ain juga disediakan kepada anak-anak bagi mempertingkat pengajaran agama islam.  Dalam aspek pendidikan ,kebanyakan murid-murid sekolah rendah mendapat pendidikan dari Sekolah Kebangsaan Tasek yang terletak berhampiran dengan Kampung Tebakang. Dalam aspek pendidikan sekolah menengah pula ,pelajar-pelajar mendapat pendidikan dari sekolah Menengah Kebangsaan Tun Telanai,Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin,Sekolah Menengah Ugama Sultan Zainal Abidin Batu Buruk,Sekolah Menengah Ugama Durian Guling,Sekolah Menengah Ugama Syeikh Abdul Malik,Sekolah Menengah dan Ugama Berakan,Sekolah Grammar dan Pusat Pendidikan Yayasan Islam Terengganu.37
             Pendidikan bukan setakat sekolah menengah sahaja. Malah ada penduduk yang melanjutkan pelajaran mereka di university-universiti terkemuka seperti Universiti Sains Malaysia,Universiti Utara Malaysia,Universiti Malaya,Institut Teknologi Mara,Institut Teknologi Makmal Perubatan,Politeknik,KUSZA,dan Maktab Perguruan. Malah ada yang menyambung persekolahan sehingga ke peringkat Sijil Tinggi Persekolahan. Bermula dari tahun 1988 hingga tahun 1991, beberapa orang penduduk yang  membuat latihan seperti di Pusat Latihan Belia Dusun Tua,Pusat Latihan Belia Pertak,Pusat Belia Negeri,Pusat Latihan Kraftangan,Pusat Latihan Giat Mara dan lain-lain. Penduduk di kampung ini mendapat pendedahan berkursus dari segi kepimpinan,sivik,pertanian,kebeliaan,motivasi,dan sebagainya.38
               Biro Kebajikan dan Sosial ditubuhkan untuk memupuk semangat muhibbah dan gotong-royong. Selain itu,untuk mengenalpasti dan menyelesaikan masalah kebajikan masyarakat. Seterusya untuk meningkatkan taraf kebersihan,keindahan kampung  dan kesihatan penduduk kampong. Biro ini bergiat aktif dalam mengenal pasti penduduk termiskin,serta membantu memohon bantuan untuk penduduk termiskin. Biro juga menyalurkan maklumat-maklumat yang perlu kepada masyarakat di kampung ini. Kampung ini sering melakukan aktivi gotong-royong seperti membersih jalan utama,membuat pagar ditepi jalan,membelah buluh,membersih kawasan perkuburan,menanam pokok bunga ,menebas semak ,dan lain-lain. Hasil daripada kerjasama penduduk kampung dalam memastikan keindahan dan kebersihan kampung,kampung ini telah menjadi johan dalam Pertandingan Kebersihan dan Keindahan Kampung peringkat Negeri Terengganu dan tempat ketiga di peringkat kebangsaan serta menjadi johan aspek peringkat kebangsaan. Satu majlis kesyukuran telah diadakan bagi meraikan kejayaan Kampung Tebakang yang turut dihadiri oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amar Diraja Tan Sri Haji Wan Mokhtar  Menteri Besar Terengganu. Pada peringkat kebangsaan,kampung ini menerima hadiah berupa projek bernilai RM650 000 berserta wang tunai RM 10 000 dan peringkat negeri pula nilai projek RM 30 000 dan wang tunai sebanyak RM 3000 serta RM 5000 untuk johan aspek.39
              Beberapa projek telah dikenalpasti termasuklah ternakan lembu ‘makan kurung’ dengan pembelanjaan RM 300 000,industri batik RM 200 000,perusahaan beasaskan kayu RM 150 000 dan sebanyak RM 30 000 diperuntukkan bagi membaik pulih dusun buah-buahan.Kaum wanita tidak pernah diketepikan dalam menikmati arus pembangunan, disamping kerja harian bertenu songket turut bersama-sama mengusahakan tanaman sayur-sayuran dan sebagainya. Sebuah bengkel jahitan dengan kerjasama pihak RISDA melatih anak-anak gadis dalam bidang jahitan dan memasarkan baju batik.40
   
                Biro Keselamatan telah ditubuhkan demi mewujudkan masyarakat yang bermoral,berkualiti dan bertanggungjawab. Selain itu,untuk mengekalkan keselamatan,kedamaian,dan keharmonian masyarakat. Seterusnya perihatin terhadap gejala-gejala negatif.
              Sebagai sebuah kampung tradisional yang turut sama berkembang dalam arus pembangunan,penduduk kampung perlu berganding bahu dalam mencapai segala perancangan. Antara perancangan yang dirancang pada masa dahulu ialah bagi menjadikan kampong ini sebagai sebuah pusat pertumbuhan pembangunan. Selain itu,bagi mewujudkan satu kawasan pertanian berkelompok bagi pengeluaran pertanian secara komersil. Cadangan ini terbahagi kepada 3 iaitu pertukangan kayu,pemprosesan makanan,dan industri batik serta songket. Seterusnya harapan untuk mewujudkan sebuah klinik desa telah terlaksana. Hal ini bagi memudahkan penduduk di kampung ini serta kampung berdekatan untuk mendapat rawatan kesihatan bagi memastikan kesihatan terjamin.
       Kesimpulannya, bagi mewujudkan sebuah generasi baru yang berilmu,berakhlak mulia dan berdaya usaha tinggi bagi menyahut cabaran wawasan 2020 dengan mencipta generasi baru yang cemerlang, masyarakat perlulah berganding bahu dalam memastikan matlamat yang diingini dapat dicapai agar kemajuan kampung turut berkembang sejajar dengan pembangunan Negara.Malah,masyarakat akan memperoleh pelbagai manfaat daripadanya. Sebagai contoh,melakukan perkembangan sosial dan ekonomi menurut Islam.
 


BIBLIOGRAFI

Esah Abdullah,Meninjau Kampung Tebakang Johan Kebersihan Dan Keindahan Kampung, Berita Darul Iman,Julai/Ogos 1993.
JKKK Kampung Tebakang , tahun 1991, Profil Kampung Tebakang,halaman 98
Laman Web Wikipedia Ensiklopedia bebas, http://ms.wikipedia.org/wiki/Laman_Utama.
Orang sumber,Hj.Abdul Rahman bin Ismail,bekas ahli JKKK Kampung Tebakang.
Orang sumber,Md Ali bin Tahar,Pengerusi JKKK Kampung Tebakang.


Komentar

  1. KABAR BAIK

    Saya telah berpikir bahwa semua perusahaan pinjaman online curang sampai saya bertemu dengan perusahaan pinjaman Suzan yang meminjamkan uang tanpa membayar lebih dulu.

    Nama saya Zara, saya ingin menggunakan media ini untuk memperingatkan orang-orang yang mencari pinjaman internet di Asia dan di seluruh dunia untuk berhati-hati, karena mereka menipu dan meminjamkan pinjaman palsu di internet.

    Saya ingin membagikan kesaksian saya tentang bagaimana seorang teman membawa saya ke pemberi pinjaman asli, setelah itu saya scammed oleh beberapa kreditor di internet. Saya hampir kehilangan harapan sampai saya bertemu kreditur terpercaya ini bernama perusahaan Suzan investment. Perusahaan suzan meminjamkan pinjaman tanpa jaminan sebesar 400 juta rupiah (Rp400.000.000) dalam waktu kurang dari 48 jam tanpa tekanan.

    Saya sangat terkejut dan senang menerima pinjaman saya. Saya berjanji bahwa saya akan berbagi kabar baik sehingga orang bisa mendapatkan pinjaman mudah tanpa stres. Jadi jika Anda memerlukan pinjaman, hubungi mereka melalui email: (suzaninvestment@gmail.com) Anda tidak akan kecewa mendapatkan pinjaman jika memenuhi persyaratan.

    Anda juga bisa menghubungi saya: (Zaradam@yahoo.com) jika Anda memerlukan bantuan atau informasi lebih lanjut

    BalasHapus

Posting Komentar

Postingan populer dari blog ini

P2 bab 3

BEPANG DAN SEJARAH KULINARI

PULAU DUYUNG ADALAH LIDAH NEGERI TERENGGANU