Sejarah itu Indah - Kg Bukit Besi 1



       KAMPUNG BUKIT BESI - SHAFIQAH

            Bukit Besi ialah sebuah kampung yang dahulunya dikenali sebuah kota metropolitan kini semakin dilupakan oleh semua orang.  Dahulunya Bukit Besi ialah sebuah tapak perlombongan yang sangat terkenal dan maju di seluruh pelusuk dunia kerana pengeluaran bijih besinya yang diusahakan oleh Jepun dan British.  Berdasarkan cerita rakyat yang diperolehi, Bukit Besi dijumpai apabila beberapa orang  yang telah masuk ke dalam hutan untuk mencari rotan.  Ketika dalam perjalanan mereka telah berhenti sekejap dan menikmati bekalanyang telah dibawa.  Salah seorang daripada mereka telah ternampak seketul batu sederhana besar dan sesuai dijadikan lapik duduk.Beliau lalu mengambil keputusan untuk mengangkat batu tersebut.  Walau bagaimanapun, niatnya terpaksa dibatalkan apabila batu tersebut terlalu berat.  Ada yang mencuba banyak kali untuk mengangkat batu tersebut namun gagal.  Maka salah seorang daripada mereka mencadangkan menamakan tempat tersebut dengan nama Bukit Besi dan panggilan itu kekal sehingga hari ini. 1

PERKEMBANGAN PERLOMBONGAN BIJIH BESI DI KAMPUNG BUKIT BESI
            Bukit Besi terletak di daerah Dungun,Terengganu Darul Iman.Jarak dari Dungun ialah 33km dan dari Kuala Terengganu ialah 77km.Bukit Besi menjadi terkenal kerana pengeluaran bijih besi yang terbesar di Asia Tenggara.Ia bermula pada suku abad pertama abad ke-20.Perkembangan perusahaan perlombongan di Bukit Besi ini seiring dengan pertumbuhan keluli di Jepun.2
            Pada tahun 1916,seorang ahli kaji bumi Jepun,Mr.Kuhara telah datang ke Dungun membuat kajian konsesi Chemuak,Ulu Dungun.Beliau mendapati kawasan tersebut mengandungi bijih besi dalam jumlah yang banyak.Syarikat Kuhara Mining Ltd telah  menjalankan aktiviti perlombongan secara tidak rasmi semenjak 1927.Syarikat ini kemudian telah ditukarkan nama kepada Nippon Mining Company(NMC).Kerajaan Terengganu telah mengeluarkan ‘mining leaase’ secara rasmi kepada NMC pada 13 Januari 1929.Sebelum ini,Tengku Abu Bakar pernah memberi kebenaran kepada Wong Sin,seorang pengusaha lombong untuk membuka lombong bijih timah di situ,Wong Sin telah menjual hak melombong kepada NMC pada bulan Oktober 1917.3
            Pada tahun1930,laluan keretapi Dungun-Bukit Besi telah dapat disiapkan di stesen Che Lijah.’Stock Pile’ atau Tempat Memunggah Bijih yang pertama juga adalah di Kg.Che Ljah .Dari situ bijih-bijih besi dimuatkan ke dalam bot untuk dibawa ke Kuala Dungun.Tahun 1935,jumlah penduduk di Bukit Besi telah meningkat sehingga 6,000 orang (termasuk 3,000 pekerja).Pendapatan penduduk Bukit Besi pada waktu itu sangat mewah.Perkhidmatan awam seperti bekalan air dan elektrik serta kemudahan keretapi juga disediakan secara percuma kepada penduduk. 4
            Sebuah terowong yang dikenali sebagai Bukit Tebuk telah dapat disiapkan dalam tahun 1936.Perjalanan melalui Bukit Tebuk telah dapat menjimatkan masa untuk memunggah bijih besi.Oleh itu,tempat untuk memunggah bijih besi dari Che Lijah telah dipindahkan ke Nibong,dan akhirnya dipindahkan pula ke Sura.Pengeluaran bijih besi oleh NMC ini mencapai kemuncaknya antara tahun 1936-1940.Selepas itu,pengeluaran bijih mula menurun dan berakhir pada tahun 1945 akibat serangan British terhadap Jepun dalam Perang Dunia ke 2.Ekoran daripada serangan tersebut menyebabkan Jepun menyerah kalah kepada British pada15 September 1945.
Tiada lagi aktiviti perlombongan yang dijalankan sekitar 1946 sehingga 1949 kerana darurat dan tiada permintaan.Selepas Perang Dunia tersebut,lombong bijih tersebut yang dikategorikan oleh pihak berkuasa British sebagai harta musuh telah diambil alih oleh kerajaan British dan ditadbir dibawah kawalan sebuah badan pentadbir iaitu Penjaga Harta Musuh (Custodian Of Enemy Property).Seterusnya,kerajaan British telah menjual harta perlombongan Bukit Besi kepada Eastern Mining and Metal Company(EMMCO).5
            EMMCO telah memulakan kegiatannya secara besar-besaran di awal 1950an,kerana permintaan yang tinggi dari syarikat-syarikat di Jepun.Kegiatan melombong bijh besi dilakukan secara lombong terbuka(open cast mining).Untuk mendapatkan keuntungan besar dalam masa yang singkat,EMMCO telah menggandakan pengeluaran bijih.Aktiviti pengeluaran dijalankan 24 jam sehari tanpa henti,kecuali pada hari Jumaat.6Pekerja-pekerjanya meliputi kesemuanya lebih kurang antara enam hingga tujuh ribu orang terdiri dari berbagai bangsa,datang dari seluruh dunia,pekerja ini termasuk di cawangannya di Sura dan di Nibong Kuala Dungun.
Ketika itu penghuni di Bukit Besi sahaja lebih kurang empat ribu orang.7Jentera-jentera moden juga digunakan dalam proses pemecahan batu-batu bijih.Dengan ini,pihak syarikat telah berjaya meningkatkan pengeluaran dan menghasilkan bijih besi yang lebih bermutu,disamping berjaya mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda berbanding ketika di lombong oleh NMC dahulu.Kemuncak pengeluaran ialah antara tahun 1960 shingga 1964 dimana jumlah pengeluaran melebihi 2,000,00 tan setahun.8Pada 1930an cukai eksport bijih besi merupakan punca pendapatan utama negeri Terengganu,dan pada tahun 1937 cukai eksport bijih besi merupakan lebih kurang 17% daripada jumlah hasil yang diperolehi kerajaan negeri Terengganu.9
            Hasil eksport bijih besi merupakan 1/3 daripada jumlah hasil negeri Terengganu.Contohnya pada tahun1962 hasil daripada eksport bijih besi ialah $11854190.73,sementara itu pendapatan hasil keseluruhan negeri tidak termasuk cukai bijih besi pada tahun 1963 ialah $16093525.40.Dari tahun 1957 hingga 1961,bijih besi merupakan hasil negara yang ke empat selepas kayu balak,bijih timah dan getah.Bijih besi dari Bukit Besi  juga merupakan penyumbang kepada perusahaan besi dan keluli Jepun kerana lebih separuh import besi Jepun ialah dari Bukit Besi.10
          Dalam syarikat EMMCO di Bukit Besi,di waktu syarikatnya wujud,pihaknya telah menyediakan pelbagai jabatan-jabatan iaitu Ibu Pejabat Pentadbiran,Jabatan Kebajikan,Letrik,Mekanikal,Jabatan Keretapi,Jabatan Tukang Kayu,Jabatan Ukur Kesihatan Dan Perubatan, Hospital,Jabatan Buruh,General Stor,Provision Store,Jabatan Pos,Kaji Cuaca,Traffic Police,Jabatan Kenderaan Berat,Balai Polis,Kawalan Keselamatan,Pawagam,Padang Bola,Sekolah Melayu,Masjid dan sebagainya.Jabatan-jabatan ini semuanya memberi berbagai perkhidmatan kepada semua kakitangan di syarikat tersebut.11
            Dahulunya terdapat jajaran landasan keretapi untuk mengangkut keluar bijih besi.Dibina landasan keretapi sejauh lebih kurang dua puluh batu daripada Bukit Besi hingga ke Tanjung Sura Kuala Dungun.Bijh-bijih besi itu dimuatkan ke dalam wagon besi.Wagon-wagon itu ada dua jenis sukatannya,muatannya,pertama wagon beratnya lapan tan,keduanya tiap-tiap wagon ini beratnya enam tan.Apabila semua bijih-bijih tersebut penuh diisi ke dalam semua wagon-wagon itu,langsung wagon-wagon yang penuh berisikan bijih besi itu antara empat puluh hingga empat puluh lima buah wagon-wagon berisi itu dicampur sama ada beratnya lapan tan dan enam tan,serta ditarik oleh kepala enjin (Kepala Keretapi) seberat 26 tan.
             Diwaktu itu keretapi yang digunakan untuk membawa wagon itu menggunakan kuasawap(stem),memakai arang batu atau kayu api.Syarikat mengeksport bijih besi ke Jepun melalui Sura Gate,Kuala Dungun,Terengganu.Pengurusan dan penyelenggaraan menelan kos yang tinggi keran a curahan hujan yang lebat dan banjir semasa musim tengkujuh di Terengganu.Tiga orang pekerja dari South Manchurian Railway telah dibawa masuk untuk membina landasan keretapi di kawasan lombong bijih besi ini.Ia dikendalikan oleh Genichiro Watanabe.12
            Keretapi yang besar berat 26 tan itu ada 16 buah,yang dikhaskan untuk membawa turun bijih besi dari Bukit  Besi ke Nibong Stesen,iaitu lapan buah bertempat di Bukit Besi dan lapan buah bertempat di Nibong Stesen,Kuala Dungun.Daripada Bukit Besi hingga ke Nibong Stesen terdapat lapan buah Stesen Kecil di sepanjang perjalanan tersebut.Tiap-tiap 2 batu perjalanan terdapat satu stesen kecil iaitu Luit,Pinang,Padang Pulut,Kumpal,Kemudi,Serdang,Binjai,Che Lijah dan Nibong.13Pada setiap stesen kecil ditempatkan seorang yang dipanggil Stesen Master.Mereka bertugas dua puluh empat jam dengan shif bergilir-gilir.Tugas Stesen Master ialah melicinkan laluan dan perjalanan keretapi.Diantara nama-nama Stesen Master ialah Omar Shukri Bin Embong,Ismail Bin Yusof,R.Rajoo,Abdul Rahim Bin Maidin,Omar Bin Yusof,Hashim Bin Mohd Yassin,Vasu,Hamidon,Ganga dan lain-lainnya.14

PUNCA PERLOMBONGAN BIJIH BESI DI BUKIT BESI DITUTUP DAN ARTIFAK YANG DITINGGALKAN

Menjelang akhir tahun 1960an,pengeluaran bijih besi mula merosot sehingga Lembaga Pengarah EMMCO terpaksa mengambil keputusan untuk menutup lombong Bukit Besi pada 1 Oktober 1970.15Pelbagai faktor telah mempengaruhi penutupan lombong bijih besi seperti cukai yang telah dikenakan oleh kerajaan negeri Terengganu terlalu tinggi dan telah membebankan.Faktor yang kedua adalah dikatakan sumber bijih besi semakin berkurang dan telah menimbulkan banyak kerugian.Selain itu,pihak EMMCO juga telah menerima tekanan daripada kesatuan sekerja.Para pelombong mahukan gaji yang lebih mahal dan lumayan.
Seterusnya,penutupan lombong bijih besi ini juga dipengaruhi oleh faktor penemuan sumber bijih besi yang baru telah ditemui di Australia.Disana,bijih besi dikatakan lebih banyak dan membawa keuntungan.Penutupan lombong bijih besi ini telah mempengaruhi ekonomi dan kehidupan penduduk-penduduk Bukit Besi dan Dungun.Ramai daripada mereka telah berhijrah ke tempart lain untuk mendapatkan pekerjaan baru memandangkan tiada lagi peluang pekerjaan yang disediakan.16
            Antara artifak-artifak peninggalan sejarah yang terdapat di Bukit Besi adalah Chimney,Tin Plant,Terowong Belting,Crushing Plant,Rumah No 1,Setor Bahan Letupan dan kuarters,Stock Pile 1 dan Stock Pile 2.Chimney merupakan dapur tempat memasak.Di zaman NMC bijih besi dimasak dan dikeluarkan dalam bentuk jongkong sebelum dieksport ke Jepun.Chimney dibina untuk mengatasi masalah pengangkutan.Tin Plant atau washing plant telah dibina oleh pihak NMC dan digunakan sebagai tempat memerah dan memproses bijih besi.Pada zaman EMMCO ia digunakan sebagai tempat memproses dan membasuh bijih besi.Terowong Belting ialah sebuah terowong yang berada berdekatan dengan Tin Plant.Kegunaan terowong ini tidak begitu jelas,ia mungkin menghubungkan bangunan Tin Plant dengan Stock Pile.17
            Bijih-bijih besi dari Tint Plant dihantar ke Stock Pile dengan menggunakan sistem Belting(conveyor).Cushing Plant ialah sebuah bangunan yang dibina pada zaman EMMCO dan digunakan sebagai tempat pemecah besi.Bijih besi yang siap diproses dicurahkan ke dalam wagon yang me nunggu di dalam terowong untuk dihantar ke jeti Sura,Dungun.Rumah nombor 1 ialah rumah pengurus lombong dan pernah dijadikan tempat penginapan orang-orang kenamaan.Bahagian bawahnya dipercayai terdapat sebuah terowong yang tertimbus namun tidak dapatdibuktikan.
Stock Pile 1 ialah bangunan stor yang digunakan untuk penyimpanan sementara bijih sebelum dipindah ke dalam wagon.Bahagian bawah bangunan ini terdapat siling yang dibina dengan ketulan-ketulan batu dan kelihatan seperti dilekatkan antara satu sama lain.Hal ini berkemungkinan untuk pengudaraan semasa proses pengeringan bijih.Stock Pile 2 pula merupakan bangunan yang terletak berhampiran Stock Pile 1.Bangunan ini mempunyai lima terowong yang merupakan tempat wagon menunggu.Bijih-bijih  dari Stock Pile 1dihantar ke bangunan ini menggunakan sistem belting dan terus dicurahkan ke wagon menerusi lubang bersegi empat empat yang terdapat di atas terowong itu.
            Proses penghasilan bijih besi  juga dilakukan di Bukit Besi.Untuk menghasilkan besi,bijih-bijih besi perlu diproses dan melalui enam peringkat iaitu pemecahan, penyaringan,pengasingan,pemasangan, pengacuan dan penyejukan.Pada peringkat pertama,batuan yang besar dari lombong yang mengandungi bijih perlu dipecahkan kepada saiz yang  lebih kecil dengan menggunakan pemecah bergigi(jew crusher).
          Pada peringkat penyaringan,butiran kasar dan halus akan dipisahkan daripada bahan buangan dengan penyaringan.  Butiran kasar dan halus akan diasingkan daripada bahan buangan dengan menggunakan grizzly bar.Peringkat pengasingan pula adalah untuk mengasingkan bijih dari batuan asal dengan menggunakan alat yang dipanggil magnetic separator.Selepas itu,bijih besi,batu kapur dan arang kok panas akan dipanaskan pada suhu sekitar 1500 degree celcius dengan menggunakan alat relau bages(blest furnance).Apabila selesai,bijih-bijih besi ini akan melalui proses pengacauan dan penyejukan.Antara contoh produk yang berasaskan besi termasuklah keluli peralatan,keluli tahan,besi tuang,besi tempa dan keluli biasa.18
           
PERKEMBANGAN BUKIT BESI SETELAH DIAMBIL ALIH OLEH KETENGAH
      
Walaupun perlombongan bijih besi di Bukit Besi ditutup namun kerajaan negeri Terengganu tidak melupakan Bukit Besi.Sebagai langkah lanjutan selepas ditutup,kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan persekutuan telah menghidupkan kembali kampung ini.Pada tahun1973,Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah(KETENGAH) ditubuhkan dan diberi amanah untuk membangunkan bahagian Terengganu Tengah termasuklah Bukit Besi.Beberapa projek besar menelan berjuta-juta ringgit seperti projek pembangunan tanah,perindusrtian,pelancongan dan perumahan dipanggil,bandar baru Bukit Besi.
       Ia mula dibangunkan pada bulan Mac 1978 dengan keluasan perbandaran 1618 hektar manakala tarikh kemasukan penduduknya ialah Januari 1981 dengan penempatan awal seramai 1796 orang.Usaha yang dilakukan  oleh Ketengah ini berjaya mengubah kawasan Bukit Besi yang ditinggal selepas mengalami zaman kegelapan setelah lombong bijih besi ditutup.19Pelbagai projek untuk pembangunan semula bandar ini dengan infrastruktur fizikal iaitu bekalan air,bekalan elektrik,jalan,telefon dan pengangkutan awam disediakan.
            Kemudahan perumahan pula meliputi 523 rumah kos rendah ,tiga rumah kos sederhana,11 unit rumah kedai dan 12 gerai telah pun siap dibina ketika itu.Perkhidmatan institusi kerajaan pula meliputi pusat kesihatan beroperasi di rumah kos rendah,bomba,pejabat pos,sekolah kebangsaan,pondok polis,bekalan air,masjid,surau,padang permainan kanak-kanak dan lain-lain projek yang menelan kos berjuta-juta.Dari segi pelancongan,taman tasik Bukit Besi yang terletak dua meter dari bandar ini dibangunkan sebagai kawasan pelancongan.Tasik ini pada asalnya sebahagian daripada kawasan tadahan air untuk Sungai Talam yang turut terlibat dalam industri perlombongan bijih besi di Bukit Besi.Ia diusahakan pada tahun 1942 bagi tujuanmembersih bijih besi yang dikeluarkan oleh lombong tersebut.20
            Menurut perancangan asal,Ketengah menjangka penduduk di Bukit Besi menjelang tahun 1990 ialah seramai 7743 orang.Tetapi apakah harapan itu menjadi kenyataan atau sekadar mimpi di siang hari.Ini disebabkan sejak bandar itu dibangunkan hingga kini jumlah penduduk tetap tidak bertambah malah semakin berkurang.Ekoran daripada peluang pekerjaan yang lembap,bandar baru Bukit Besi sama seperti bandar lain gagal menarik penduduk menetap di situ.
Ini mungkin memberi kesan negatif  kepada pertumbuhan masa depan bandar itu sendiri.Sebagai contoh daripada 11 buah kedai dan 12 buah gerai hanya enam buah yang diduduki manakala yang lain tinggal kosong.Begitu juga rumah kos rendah kos sederhana mengalami kerosakan teruk dan tidak dibaiki manakala rumah diduduki penghuninya tidak dapat menjelaskan sewa bulanan kerana pendapatannya kecil.
            Matlamat Ketengah untuk menjadikan Bukit Besi sebuah tempat pelancongan kurang berkesan.Walaupun ada orang yang datang menikmati keindahan tetapi siapakah mereka?Bolehkah mereka yang datang dari Dungun atau pemandu lori balak atau van membawa barang juga dipanggil pelancong.Pihak berkuasa harus segera memulihkan semula keagungan Bukit Besi di satu kawasan yang luas dan diperlengkapkan dengan contoh rumah-rumah lama dengan kawasan bandarnya yang pernah wujud di kawasan itu.21
Kenderaan yang mengangkut besi yang disebut ‘Roka’,kawasan memasak bijih besi dan keretapi yang pernah mengadakan perkhidmatan antara Bukit Besi dan Dungun perlulah diwujudkan semula.Ini semua penting,sekurang-kurangnya para pelancong yang datang ke Bukit Besi dapat juga melihat wajah sejarah kehidupan Bukit Besi zaman dahulu yang terkenal.Inilah antara daya tarikan pelancong ,bukannya tasik sahaja.Tasik,walau bagaimana ia diperindahkan,tidak mungkin dapat memikat hati pelancong.
            Kegemilangan nama Bukit Besi sahaja rasanya berupaya ’overshadow’ keindahan yang hendak diwujudkan di tasik dan seelok-eloknya biarlah ada ‘variety’ bagi pelancong termasuk Miniature Bukit Besi.Adalah dirasakan Bukit Besi dengan miniaturenya,keindahan tasik yang dibina dan dicantumkan pula dengan safari di Dungun pasti akan memikat hati pelancong.Syaratnya hanya satu,pihak Ketengah perlulah mengadakan promosi selain daripada publisiti dan berunding dengan mana-mana pihak syarikat penerbangan untuk menjadikan Bukit Besi sebagai anak angkat sebagaimana syarikat penerbangan Belgium SABENA menjadikan Gua Niah di Sarawak sebagai anak angkatnya dan membawa ramai pelancong ke negeri itu.
Perkhidmatan keretapi Dungun-Bukit Besi perlulah dipulihkan setelah ramaipelancong kian berminat mengunjunginya.Pelancong dari luar tenttunya tidak pernah menaiki keretapi ala Bukit Besi zaman dahulu dan ini tentu memikat hati mereka seperti pelancong tertarik naik beca dan kereta lembu.Ini semua sesuatu yang baru dan menarik bagi mereka.Janganlah hendaknya Bukit Besi ditinggalkan begitu sahaja kerana di dalamnya banyak menyimpan khazanah kenangan dan khazanah sejarah yang perlu dipaparkan kepada generasi muda yang ada sekarang.22

KESIMPULAN
            Dalam jangka masa  kira-kira 40 tahunyang bermula dari awal 1930 sehingga 1970, dapat dilihat bahawa Bukit Besi mengalami perubahan ke arah kemajuan yang luar biasa dari pelbagai sehingga menjadikan ia sebuah tempat yang terkenal.  Pada ketika itu, penduduk Bukit Besi begitu menitik beratkan aspek ekonomi.  Ini mungkin disebabkan oleh pengaruh Jepun dan British yang sangat kuat terhadap ekonomi mereka dan menimbulkan kesungguhan dalam diri penduduk untuk meningkatkan ekonomi. 
            Memandangkan para penduduk begitu gigih dalam meningkatkan ekonomi, ia telah menimbulkan semangat bekerjasama dan semangat kekitaan dalam diri penduduk.  Semangat inilah yang menjadi kebanggaan dan menunjukkan perpaduan yang kukuh di Bukit Besi.  Walaupun keadaan telah banyak berubah dengan pelbagai pembaharuan yang begitu cepat di Bukit Besi, namun masih terdapat lagi khazanah-khazanah lama yang ditinggalkan oleh pelombong terdahulu. 
            Tidak keterlaluan jika dikatakan Bukit Besi perlu diberri pengiktirafan sebagai tanda penghargaan daripada negara diatas kejayaannya meningkat ekonomi negara  sekaligus memperkenalkan Malaysia ke mata dunia.


BIBLIOGRAFI
Awang  Abdullah & Haji Yusof  Abu Bakar, Bukit Besi Dungun-Terengganu :Tinggal Kenangan, Mac/April 1993/1995 : Akhbar Berita Darul Iman
Wan Baizura Hanim, Jun 1989, Artikel Bukit Besi Pekan Tinggalan : Dewan Budaya
Nordin Hussin, Mac 1992, Jurnal Ensaiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu : Dewan Bahasa
Kajian Lapangan di Bukit Besi, 10 Mac 2013
Laman Web, www.cvk media.my : 26 Febuari 2013
Laman Web, www.ketengah.gov.my : 26 Febuari 2013
Roslan Bin Taib, wawancara mengenai Kampung Bukit Besi, 23000, Dungun, Terengganu

Komentar

Postingan populer dari blog ini

P2 bab 3

BEPANG DAN SEJARAH KULINARI

PULAU DUYUNG ADALAH LIDAH NEGERI TERENGGANU