Sejarah itu Indah - Kg Tok Kah



                                Kampung Tok Kah, DUNGUN – usop..


         Tok Kah mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Nama Tok Kah sendiri ada sejarahnya iaitu berasal dari nama seorang penduduk yang berasal dari Siam. Sekitar tahun 1960-an, beliau telah berhijrah ke kawasan ini dan membuka penempatan. Beliau ialah Tok Kah dan merupakan orang pertama yang membuka kawasan hutan menjadi sebuah penempatan dan diberi nama Kampung Tok Kah iaitu sempena dengan nama beliau. Selepas itu, pada awal tahun 1960-an segelintir penduduk dari Kelantan juga turut berhijrah ke Terengganu untuk mencari kawasan penempatan baru kerana penempatan mereka sering dilanda banjir. Mereka telah menjumpai perkampungan Tok Kah. Oleh kerana kawasan penempatan Tok Kah masih belum dipenuhi penduduk, maka orang-orang dari Kelantan mengambil keputusan untuk menetap di perkampungan ini. Mereka bersama-sama menguasakan tanah-tanah hutan untuk didiami. Mereka menebas pokok-pokok dan meratakan tanah-tanah untuk membina rumah untuk berteduh. Selain itu, tanah yang luas di kawasan ini memberi peluang kepada penduduk di sini menjalankan aktiviti pertanian sebagai sumber pendapatan mereka.Demi memperingati jasa Tok Kah yang membuka penempatan tersebut, penduduk awal kawasan ini sepakat menamakan penempatan ini sebagai Kampung Tok Kah. Selepas berpuluh-puluh tahun, banyak perubahan yang berlaku di sini sejak perkampungan ini dibuka hingga ke hari ini. Pelbagai kemudahan-kemudahan awam disediakan oleh kerajaan. Mentaliti penduduk juga semakin berkembang. Selain itu, minat mengusahakan perniagaan dan mementingkan pendidikan untuk anak-anak turut meningkat dalam diri setiap penduduk di sini.
      Berdasarkan kajian, sejarah Kampung Tok Kah terbahagi kepada dua fasal1.  Fasal pertama ialah sejarah nama Kampung Tok Kah. Namun,  cerita lanjutnya tidak banyak diketahui. Menurut cerita orang tua-tua, asal nama Tok Kah adalah sempena nama seorang lelaki bernama Tok Kah. Beliau berasal dari Siam, merupakan peneroka awal di Kampung Tok Kah. Tidak diketahui, mengapa dan bagaimana Tok Kah datang membuka Kampung Tok Kah. Yang pastinya, petempatan awalnya ialah di sekitar anak Sungai Dungun. Di kawasan ini terdapat banyak pokok buah-buahan seperti pelbagai jenis durian, rambutan, langsat, rambai, manggis, binjai, dan sebagainya. Tempatnya itu di kawasan pendalaman yang kini dikenali sebagai Kampung Mahsuri. Kampung tersebut pada mulanya tidak ramai didiami oleh penduduk kampung kerana disana hutan-hutan yang terlalu tebal. Mereka takut akan binatang buas seperti harimau. Sehingga kini, kebun buah-buahan itu masih ada. Namun, orang-orang kampung tidak lagi pergi memetiknya. Ia terbiar untuk makanan binatang hutan. Namun, sepanjang saya ke kebun yang terletak jauh di dalam hutan, saya tidak menemui sisa-sisa perumahan dan peralatan. Gua juga tidak saya temui.
            Fasal kedua, pembukaan Kampung Tok Kah berlaku sekitar tahun 1962. Sekumpulan rakyat Kelantan dari Daerah Bachok, dan Pasir Puteh, telah datang membuka petempatan. Tidak diketahui bilangan sebenar yang datang. Mereka diketuai oleh Awang bin Jusuh. Beliau menjadi orang tengah antara kerajaan negeri Terengganu dengan peneroka. Mereka datang membersihkan kawasan hutan, belukar dan balak, dengan menggunakan kapak dan gergasi sorong. Sejak itu, petempatan Kampung Tok Kah terus berkembang. Kini, Kampung Tok Kah telah dihuni oleh tiga generasi. Peneroka asal telah ramai yang meninggal atau pulang ke Kelantan. Antara yang masih ada ialah Tok Lebai Mat (Imam Haji Mat), Che Din, Pak Him Pak Da Kadir, Jusuh, Paksu Zahari, Mat Nor, Paksu Mat, Adik Awang, Pakcik Junuh, Pak Da (Imam), Pak Nuh dan lain-lain.


PERKEMBANGAN KAMPUNG TOK KAH DARI SEGI EKONOMI
           Pada awal penubuhan Kampung Tok Kah, kebanyakkan penduduk setempat hanya melakukan aktiviti sara diri. Penduduk Kampung Tok Kah ketika itu kebanyakannya petani.Antara tanaman yang ditanam oleh penduduk setempat adalah getah,padi,dan sayur-sayuran. Tanaman yang ditanam oleh penduduk setempat hanya untuk keperluan hidup sahaja. Mereka tidak mampu untuk menjalankan aktiviti perniagaan kerana penduduk setempat yang tidak ramai dan dianggarkan sebanyak 20 rumah sahaja ketika itu dan kehidupan mereka juga agak miskin hanya cukup makan sahaja seperti ‘kais pagi makan pagi,kais petang makan petang’. Pertambahan warga Kampung Tok Kah kepada seramai 929 orang. Bilangan lelaki seramai 500 orang dan bilangan wanita seramai 429 orang dan bilangan keluarga(rumah) sebanyak 388 buah. Selain itu, antaranya projek pembangunan ekonomi kategori perniagaan.         Kebanyakan peniaga dan perusahaan kecil hanya berkelulusan SPM, SRP dan ramai juga yang tidak mempunyai kelulusan dalam pembelajaran. Antara kegiatan ekonomi yang terdapat di Kampung Tok Kah ialah seperti kedai runcit dan kedai kopi. Antara kedai runcit ialah kedai yang dipanggil Kedai Kak Ma yang mula beroperasi pada tahun 1970 dan masih beroperasi sehingga sekarang.Kedai tersebut merupakan kedai yang menjadi tumpuan pada masa dahulu kerana penduduk setempat tidak ramai yang mempunyai kenderaan untuk keluar ke Bandar Dungun.
          Di Kampung Tok Kah juga terdapat  kedai kopi antaranya kedai yang menjadi tempat berkumpul penduduk setempat ialah Kedai Mak Su Minah dan Kedai Jali. Kedai tersebut menjadi tumpuan terutamanya pada waktu pagi kerana sebelum  penduduk kampung pergi bekerja, mereka akan bersarapan dahulu di kedai-kedai tersebut. Kedai Mak Su Minah mula beroperasi pada tahun 1965 dan kedai tersebut merupakan kedai kopi yang terawal di Kampung Tok Kah. Kedai Jali pula mula beroperasi pada tahun 1972. Kedai itu juga menawarkan khidmat mesin jentolak untuk disewakan kepada penduduk setempat dan pengusaha-pengusaha projek yang digunakan untuk kerja-kerja meratakan tanah dan penggondolan bukit-bukit mula beroperasi pada tahun 1980. Kedai-kedai makan tersebut menyediakan menu sarapan pagi antaranya nasi lemak, nasi minyak, nasi dagang, nasi berlauk, kuih muih dan banyak lagi.
Seterusnya,projek pembangunan ekonomi ketegori pertanian dan ternakan. Antara kegiatan pertanian dan ternakan yang paling awal diwujudkan di Kampung Tok Kah adalah Projek Pertanian Ladang Getah. Ladang Getah ini di bantu oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah. Projek ini dijalankan pada tahun 1970. Keluasan tanah kampung yang diusahakan seluas 537.8389 hektar dan tanah yang tidak diusahakan seluas 111.6957 hektar. Daripada 537.8389 hektar tanah yang diusahakan, ianya dibahagikan pula kepada 4 bahagian iaitu perumahan (56.6572 hektar), premis awam (10.1174 hektar), tanaman (408.3367 hektar) dan ternakan (62.7276 hektar). Risda mempunyai motto iaitu keusahawanan menjana pendapatan2 dan visi iaitu menerapkan budaya perniagaan dan keusahawanan dalam diri pekebun kecil melalui penjanaan pelbagai sumber kearah pembentukan pekebun kecil berpendapatan tinggi3.
           Risda juga mempunyai misi iaitu untuk mewujudkan pekebun kecil yang dinamik, produktif, progresif, berdikari dan bermotivasi dalam menjana pendapatan tinggi yang mapan dari pelbagai sumber berasaskan kebun selaras kehendak Model Ekonomi Baru dalam mencapai wawasan 20204. Dengan adanya Kampung Tok Kah, Risda dapat merealisasikan matlamatnya iaitu untuk melahirkan 10,000 orang usahawan pekebun kecil yang berdaya maju, berdaya saing dan berdaya tahan menjelang 20155. Risda juga mewujudkan enam Kampung Teknologi diseluruh negeri antaranya Kampung Tok Kah6. Dengan kos pembinaan RM5,000 bagi setiap kampung, 25 jenis teknologi berkaitan tanaman getah diperkenalkan bagi memberi peluang kepada mereka untuk mendapat input berguna dari pusat itu.
           Melalui pusat ini juga, pekebun kecil telah didedah dan dibimbing bagi memastikan mereka dapat mengamalkan teknologi yang bersesuaian dengan jenis tanah, umur dan baka tanaman mereka. Mereka juga mengajarkan cara Pembajaan Pokok Getah MUDA7, cara Pembajaan Pokok Getah Matang8, dan Risda juga menggalakkan untuk menggunakan VITEX9.
  
PERKEMBANGAN KAMPUNG TOK KAH DARI SEGI SOSIAL
       Pada awal 1960, kebanyakkan penduduk di Kampung Tok Kah  tiada pekerjaan yang tetap. Mereka hanya bercucuk tanam seperti getah,padi sawah,sayur-sayuran yang bertujuan untuk kegunaan harian bukan untuk dijual. Disebabkan oleh itu,bagi makanan harian mereka sangat jauh berbeza dengan sekarang. Jika sekarang kita makan-makanan yang enak dan lazat,tetapi dahulu mereka hanya makan umbi sagu atau ketupat ubi yang mudah dijumpai. Bagi menerangi malam mereka yang gelap gelita mereka mengguna damar, minyak kelapa, dan menggunakan lampu minyak tanah sahaja. Selain itu,penduduk Kampung Tok Kah  kebanyakannya berjalan kaki untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Bagi penduduk yang berkemampuan,mereka mempunyai basikal itu pun hanya jarang-jarang sahaja dapat dilihat.              Setiap kampung pasti mempunyai seorang atau lebih orang kaya atau lebih dikenali sebagai saudagar oleh penduduk setempat. Pada masa itu juga, jalan yang mereka gunakan hanyalah jalan yang dibuat secara beramai-ramai pada tahun 1969. Jalan mereka hanyalah tanah merah10. Mereka bergotong-royong untuk menghasilkan jalan tersebut. Mereka meratakan tanah dengan hanya menggunakan cangkul, penyodok, sabit dan parang. Pada mulanya tanah diratakan dan letakkan papan untuk memudahkan perjalanan mereka. Jalan tersebut dibuat di kaki bukit. Sekitar tahun 1972 barulah kerajaan berusaha untuk membuat jalan menggunakan tar11.
           Dari segi pendidikan pula, Pendidikan menjadi asas kepada sesebuah kejayaan. Walaupun cuma terdapat dua buah sekolah di Kampung Tok Kah iaitu Sekolah Kebangsaan Tok Kah dan Taman Bimbingan Kanak-Kanak, penduduk kampung ini tidak menjadikan itu sebagai satu halangan bagi menghantar anak-anak mereka untuk mendapatkan ilmu di peringkat lebih tinggi. Hal ini dijadikan satu cabaran bagi mendidik anak-anak mereka supaya menjadi seorang manusia yang berjaya. Kebanyakan penduduk di sini menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Kebangsaan Tok Kah. Sekolah yang menampung kira-kira 200 orang pelajar ini menyediakan sukatan pelajaran yang sama dengan sekolah-sekolah lain di seluruh Malaysia. Sekolah ini juga disediakan untuk kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun. Setelah menamatkan sekolah rendah, penduduk kampung akan menghantar anak-anak mereka ke sekolah menengah berdekatan kerana sekolah menengah belum dibuka di perkampungan ini12.
         Pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pihak sekolah sering bekerjasama untuk memastikan pelajar mendapat bantuan pendidikan yang secukupnya melalui program kelas tambahan pada sebelah petang bagi murid-murid yang akan menduduki peperiksaan besar seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Selain daripada itu, murid-murid didedahkan dengan aktiviti perkhemahan dan gotong-royong bagi mendekatkan pelajar dengan masyarakat luar dan memupuk budaya menjaga kebersihan. JKKK Tok Kah juga sering memberi peransang kepada pelajar-pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan pelajaran. Antaranya, memberikan insentif kepada pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran13.

       Pada tahun 1960-an lagi, Che Din telah berusaha mendapatkan sebuah sekolah untuk generasi Kampung Tok Kah. Mulanya, pihak kerajaan tidak bersetuju kerana beranggapan tiada murid. Setelah diyakinkan, dengan menunjukkan bukti nama-nama bakal murid, baharulah pihak kerajaan bersetuju, sekiranya dapat memenuhi syarat kedua, tapak.  Atas usaha Che Din, tapak juga dapat disediakan. Maka, sekitar akhir 1960-an, dimulakan pembinaan sekolah, yang dinamakan Sekolah Kebangsaan Tok Kah. Tapak sekolah itu dibina di atas bukit. Sekolah ini terdiri daripada dua bangunan. Satu bangunan kelas yang terdiri daripada enam bilik. Dan, satu lagi bangunan, bersebelahan, ialah kantin. Di belakang kantin dibina beberapa tandas secara berasingan. Di sebelah kantin terdapat tanah lapang, kini dibina bangunan kelas, tempat perhimpunan. Sekolah asal diperbuat daripada kayu bertiang gantung dan berlantai kayu.Ada satu tangki air besar dan sebuah telaga di sebelahnya. Di tepi telaga itu dibina paip pam. Di bawah bukit, ada pokok setor besar. Di bawah pokok ini tempat guru-guru parking kereta dan basikal. Di hadapannya pula padang permainan
        Kini tempat-tempat itu, tempat parkir motor guru dan bersebelahan dengannya dibina satu bangunan kelas.  Kantin juga telah diubahsuai dan dijadikan bangunan kelas. Sekarang ini terdapat sekitar lima bangunan. Semua bangunan baharu diperbuat dengan simen. Malah, terdapat juga rumah guru yang dibina sekitar tahun 1990-an. Terdapat satu bangunan makmal komputer.Sebenarnya, jumlah murid, dari tahun 1971 hingga tahun 1976, tidak sampai pun seratus orang. Cikgu membahagikan satu bilik kepada dua kelas, yang saling membelakangkan dan dihadang dengan dengan papan. Di Sekolah Kampung Tok Kah juga ada bilik perpustakaan.
       Ada enam orang guru mengajar pada masa itu. Pertama guru besar yang juga guru bahasa Inggeris. Namanya, Mustaffa Mohamad atau Mohammad Mustaffa. Kedua, ustaz Salim. Beliau satu-satunya guru yang naik basikal dari Kuala Dungun ke sekolah. Ketiga, guru kelas dan subjek biasa. Lazimnya, satu orang guru memegang dua kelas14.


      Kampung Tok Kah juga menjalinkan hubungan yang erat dengan kampung sekitar, kampung sekitar memainkan peranan penting dalam pembangunan kawasan sekitarnya. Begitu juga halnya dengan penduduk Kampung Tok Kah dan kampung sekitarnya. Berlaku persaingan yang sihat dalam membangunkan kampung masing-masing supaya lebih cemerlang daripada kampung sekitar. Antara kampung-kampung yang terdapat di sekitar kampung ini ialah Kampung Pulau Serai, Kampung Bemban dan Kampung Alor Rekam.
       Walaupun terdapat persaingan antara kampung-kampung di sini, namun hubungan erat antara penduduk masih terpelihara. Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berperanan dalam memastikan hubungan baik ini berterusan. Pelbagai aktiviti dilakukan oleh JKKK untuk mengekalkan hubungan baik ini sesama masyarakat. Antaranya mengadakan pertandingan bola sepak dan bola jaring. Kampung ini ada juga pasukan dikir barat dan sering mendapat jemputan kampung sekitar bagi mengadakan persembahan dalam majlis-majlis rasmi.
Kebanyakan penduduk di kampung-kampung ini menjana ekonomi mereka dengan menjalankan pertanian getah dan kelapa sawit. Selain itu, penduduk di sini juga bekerja dalam sektor awam dan swasta di Bandar Dungun. Aktiviti perikanan juga amat aktif di sini kerana kedudukannya yang berdekatan dengan kawasan sungai.

                   Kampung Tok Kah merupakan antara kampung yang bertuah kerana mempunyai Jawatankuasa
           Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang sentiasa mencari peluang untuk membangunkan
           kawasan tersebut. JKKK juga adalah medium kerajaan bagi memastikan kebajikan penduduk desa
           terpelihara. Sistem organisasi JKKK Kampung Tok Kah membariskan empat biro yang berperanan
           membantu dalam melicinkan pentadbiran kampung ini. Antara biro-biro yang bertanggungjawab ialah    Biro Keselamatan, Biro Ekonomi, Biro Kebajikan dan Sosial serta Biro Agama.
       Setiap biro-biro ini mempunyai skop tugasan tersendiri mengikut jabatan bironya. Antaranya, skop Biro Agama akan menjalankan aktiviti keagamaan seperti menguruskan aktiviti ceramah keagamaan, menjalankan aktiviti pada bulan Ramadhan dan sebagainya.
       Aspek keselamatan kampung bukan satu tanggungjawab yang hanya digalas oleh pihak polis. Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) turut memainkan peranan penting dalam menjaga keamanan dan keselamatan penduduk kampung dengan menubuhkan Ikatan Relawan Malaysia (RELA). Terdapat 3 platun RELA di sini dan setiap platun mempunyai kira-kira 30 orang ahli. RELA mempunyai jadual yang telah disusun supaya dapat menjaga keamanan kampung. Setiap kali bertugas, 6 orang ahli akan menjaga kawasan kampung.Selain itu, Kesatuan Rukun Tetangga (KRT) ditubuhkan di perkampungan ini. KRT ini bertujuan untuk membantu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung untuk bersama-sama menjaga keselamatan kampung.                                                                                                                                                Kawasan persekolahan juga memerlukan pengawal keselamatan. Pengawal keselamatan ini diperlukan bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku kepada pelajar-pelajar sekolah dan kakitangan di sekolah Kebangsaan Kampung Tok Kah.

TOKOH KAMPUNG TOK KAH
          Tuan Haji Zakaria bin Salleh merupakan salah seorang tokoh yang banyak menyumbang dalam menaikkan Kampung Tok Kah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Padang Keta, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1951 sehingga tahun 1957. Kemudian beliau dimasukkan ke Martad Sultan Ismail Kota Bharu dalam ‘Remove Class’ selama tiga bulan dimana bahasa pengantarnya adalah bahasa Inggeris, kemudian beliau ditukarkan kepada bahasa pengantar dalam bahasa Melayu (Melayu Moden).
           Pada tahun 1958, beliau telah menduduki peperiksaan SRP dan telah mendapat gred satu dan mendapat   tawaran untuk meneruskan pengajian ke menengah empat pada tahun 1963. Di situ beliau telah menduduki peperiksaan SPM tetapi gagal. Disebabkan beliau dari keluarga yang kurang kemampuan dan tinggal bersama abangnya kerana kematian ayahnya. Oleh itu, beliau tidak dapat meneruskan persekolahan.
           Pada tahun 1969, ketika beliau berusia 23 tahun, beliau telah membuat keputusan bersama rakan-rakannya berhijrah dan menerokai tanah di Kampung Tok Kah bersama-sama.Pada tahun 1974, beliau telah dipilih sebagai ketua kampung tersebut bagi menggantikan arwah ketua kampung yang kedua dan sehingga tahun 2009.
            Antara tugas sukarelawan yangt telah beliau sertai iaitu Ketua Kampung Tok Kah (Pengerusi JKKK), Pengerusi PIBG Sekolah Kebangsaan Tok Kah, Ketua UMNO Cawangan Tok Kah, Ketua Unit RELA dan Naib Pengerusi RELA Mukim Kuala Dungun 11, Pengerusi Mini Estet Kampung Tok Kah, AJK persatuan Ketua-Ketua Kampung Daerah Dungun, Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Pekebun Kecil Daerah Dungun dan AJK Masjid15.
KESIMPULAN
            Dalam jangka masa kira-kira 40 tahun bermula tahun 1960 hingga tahun 2000, kita lihat bahawa Kampung Tok Kah telah banyak mengalami perubahan dari semasa ke semasa. Pada tahun 1960-an, Kampung Tok Kah pada awalnya di penuhi oleh hutan rimba (kawasan balak didiami oleh hidupan liar seperti gajah, harimau, dan sebagainnya). Setelah itu, datanglah keluarga-keluarga dari kelantan untuk mencari pekerjaan. Usaha-usaha menebas dilakukan dan menerokai tanah dimulakan. Mereka mendirikan pondok-pondok kecil sebagai tempat tinggal sementara yang diperbuat daripada kayu-kayu hutan serta atap daripada daun mengkuang. Semakin hari semakin ramai ahli-ahli keluarga yang datang dari Kelantan untuk sama-sama memajukan kampung tersebut.
           Dari sinilah telah banyak mengalami perubahan ke arah kemajuan dan pembangunan kampung. Ini dapat dilihat dengan terbinanya jalan raya, surau dan lain-lain hasil daripada kerja-kerja gotong-royong penduduk kampung dengan mendapat bantuan dari Pejabat Daerah pada masa itu.
           Setelah berusia menjangkau 40 tahun kampung ini sentiasa bergerak ke arah pembangunan dan mengalami pembaharuan dengan usaha gigih para pemimpin di peringkat kampung dan tidak ketinggalan bantuan-bantuan yang sentiasa diperolehi dari agensi-agensi dan jabatan-jabatan tertentu.
           Kalungan budi dan setinggi terima kasih diucapkan semua pihak yang bertungkus lumus memajukan Kampung Tok Kah yang kami cintai.
                        

NOTA KAKI
Laman Web Sejarah Kampung Tok Kah
BIBLIOGRAFI
Laman Web, Utusan Malaysia, 24/05/2011
Blog NASSURY IBRAHIM, Sejarah Kampung Tok Kah
Laman Web KTAK, Kampung Tok Kah
Yunus, Zahari Wawancara Mengenai Kampung Tok Kah
 Profil Kampung Tok Kah
Risalah Pembajaan Pokok Getah MUDA
Risalah Pembajaan Pokok Getah Matang
Risalah Vitex
Risalah Kelab Usahawan Risda (RISEC)


Komentar

Postingan populer dari blog ini

P2 bab 3

BEPANG DAN SEJARAH KULINARI

PULAU DUYUNG ADALAH LIDAH NEGERI TERENGGANU