KULIAH 15



KULIAH 15: Negara Kesatuan
Definisi Negara Kesatuan
1.       Negara Kesatuan ialah negara yang kerajaan pusatnya mempunyai kuasa dalam semua bidang pemerintahan.
2.        Kerajaan pusat boleh mengubah sempadan dan kuasa serta membatalkan perundangan yang telah diluluskan oleh peringkat negeri atau wilayah. Contoh negara kesatuan ialah Perancis dan Britain.
Negara Kesatuan Perancis pada Abad  ke-18 hingga Abad ke-19
1.       Perancis ialah sebuah negara kesatuan          ( unitary) yang mengamalkan pemerintahan republik. Pemerintahan republik Perancis diisytiharkan pada 21 September 1792 berikutan peristiwa Revolusi Perancis pada tahun 1789.
2.       Semasa pemerintahan beraja, wilayah-wilayah Perancis mempunyai undang-undang, adat resam, kebudayaan, cara berpakaian dan bahasa yang berlainan.
3.        Kerajaan baru telah melakukan usaha-usaha penyatuan dengan meluluskan satu undang-undang untuk seluruh Perancis bagi menggantikan undang-undang yang berbeza yang dijalankan di setiap wilayah.
4.       Satu langkah yang paling penting ialah dengan membatalkan semua keistimewaan yang dinikmati oleh golongan bangsawan dan paderi.
5.       Tanah-tanah kepunyaan mereka telah dibahagikan-bahagikan kepada golongan petani. Semua gereja telah diambil alih oleh kerajaan dan gaji paderi-paderi dibayar oleh kerajaan. Dengan itu, tamatlah penguasaan dan pengaruh golongan bangsawan dan Gereja dalam kerajaan Perancis.
6.       Dikri yang mengisytiharkan penghapusan dan pemansuhan seluruh pemerintahan feudal juga telah dikeluarkan pada tahun 1789. Kawasan-kawasan yang dikuasai oleh golongan feudal telah dapat disatukan di bawah satu pemerintahan pusat.
7.       Dewan Revolusi telah memansuhkan wilayah-wilayah lama dan membahagikan Perancis kepada 83 bahagian wilayah yang baru.
8.       Antara wilayah-wilayah itu ialah Ile-de-France, Berry, Orleanais, Normandy, Champagne, Burgundy, Brittany dan Corsica. Bahagian-bahagian ini dipecahkan pula kepada daerah atau arrondissement, kemudian kepada canton dan komun iaitu bahagian yang terkecil sekali.
9.       Ketua kerajaan tempatan tidak lagi dilantik oleh raja tetapi dipilih oleh rakyat sendiri dan ahli-ahli tempatan yang dipilih mempunyai kuasa yang luas.
Republik Perancis.
BIL
PEMERINTAH PERANCIS (REPUBLIK )
TAHUN PEMERINTAHAN
1.
Dewan Perhimpunan
1792 – 1795
2.
Badan Pengarah
1795-1799
3.
Konsul
1799-1804
Tahap Pemerintahan oleh Dewan Perhimpunan, Badan Pengarah dan Konsul dikenali sebagai Repulik Pertama.
4.
Maharaja Napoleon I
1804-1814
5.
Raja Louis XVII
1814-1724
6.
Raja Charles X
1824-1830
7.
Louis Philippe
1830-1848
8.
Republik Kedua
1848-1852
9.
Maharaja Napoleon III
1852-1870
10.
Republik Ketiga
1870 - sekarang

10.      Pada peringkat awal, pemerintah revolusioner masih mengekal raja sebagai kuasa tertinggi negara Perancis.
11.      Menurut perlembagaan baru yang dikuatkuasakan pada tahun 1791, Perancis masih mempunyai seorang raja, Raja Louis XVI dijadikan sebagai raja berperlembagaan, dan kuasa mutlaknya dikawal oleh perlembagaan (kebanyakan kuasanya telah diambil alih oleh Kerajaan Revolusi).
12.      Kuasa kerajaan telah dibahagi kepada tiga bahagian utama iaitu, Jawatankuasa Kerja, Majlis Perundangan dan Kehakiman.
13.      Pengurangan kuasa raja dan kawalan ke atas pihak Gereja telah menggemparkan pemerintah-pemerintah di Eropah yang lain.
14.      Mereka telah mengambil keputusan untuk membantu Raja Louis XVI memperolehi semula kuasa pemerintahan. Pada bulan Jun 1791, Raja Louis XVI dan permaisurinya Marie Antoinette cuba melarikan diri dari Perancis tetapi gagal dan akhirnya pada tahun 1793 kedua-duanya telah dijatuhi hukuman mati iaitu dengan dipancung dengan gilotin.
15.      Berikutan dengan pembunuhan tersebut, Perancis telah menjadi sebuah negara republik. Pada peringkat awal penubuhan negara republik, Perancis terpaksa menghadapi ancaman perang dari negara-negara seperti England, Prussia, Austria, Belanda, Sardinia dan Sepanyol.
16.      Selain itu, kerajaan republik juga menghadapi ancaman pemberontakan dalam negara seperti pemberontakan penduduk di kawasan La Vendee. Mereka bangun memberontak selepas peristiwa pembunuhan raja Louis XVI.
17.      Kerajaan republik telah menubuhkan angkatan tentera yang baru bagi menghadapi ancaman-ancaman tersebut. Tentera Perancis berjaya mengundurkan tentera Prusia mereka juga berjaya menduduki kawasan Belanda Austria.
18.      Untuk menghadapi pemberontakan pula, sebuah mahkamah Keadilan pemberontak dan Jawatankuasa Keselamatan Orang Ramai telah dibentuk. Orang ramai yang disyaki membuat rancangan sulit akan dihukum  oleh mahkamah keadilan ini.
19.       Jawatankuasa Keselamatan pula menghantar pengintip-pengintip untuk menangkap orang-orang yang cuba menggulingkan kerajaan.
20.      Pada bulan September 1793, satu undang-undang baru iaitu, Undang-Undang Bagi Orang-Orang Yang Disyaki telah diluluskan. Melalui undang-undang ini ramai rakyat yang telah ditangkap tanpa sebab dan dihukum mati dengan gilotin.
21.      Seramai 30,000 hingga 40,000 orang telah terkorban. Keadaan ini telah membentuk pemerintahan diktator yang dikenali sebagai “Zaman Pemerintahan Ganas”. Kumpulan politik yang berkuasa pada masa itu ialah kumpulan Jacobin yang diketuai oleh Maximilien Robespierre.
22.      Keganasan ini telah mengakibatkan rusuhan dan perang saudara di wilayah Lyons dan Toulon. Kerajaan republik telah menghantar tentera dibawah pimpinan Napoleon Bonaparte untuk menghapuskan pemberontakan dan menentang tentera laut British dan Sepanyol di pelabuhan Toulon. Napoleon berjaya mengusir tentera laut asing itu dan menewaskan pemberontak.
23.      Keamanan berjaya dipulihkan selepas Robespierre dihukum bunuh pada bulan Julai 1794 oleh golongan penyokong parlimen akibat pertelingkahannya dengan ahli-ahli parlimen. Kematian Robespierre telah mengakhiri Zaman Pemerintahan Ganas.
24.      Selepas berakhirnya Zaman Pemerintahan Ganas, parlimen telah meluluskan perlembagaan baru. Menurut perlembagaan baru, Perancis diperintah oleh satu Jabatan Pengarah yang dianggotai oleh lima orang ahli sebagai menggantikan Jawatankuasa Keselamatan Orang Ramai.
25.      Sebuah Dewan Perhimpunan ditubuhkan dengan dua pertiga daripada ahli-ahlinya diambil daripada ahli-ahli parlimen yang lama. Ini bermakna hanya satu pertiga sahaja daripada ahli-ahli tersebut akan dipilih oleh rakyat.
26.      Ketidakseimbangan ini telah menimbulkan kemarahan rakyat dan menimbulkan keadaan tidak stabil dalam negara Perancis.
27.      Mereka berpendapat ahli-ahli Dewan Perhimpunan yang dipilih tidak akan dapat melakukan perubahan dalam kerajaan baru ini, kerana ahli-ahli yang dipilih dengan senang dikalahkan oleh ahli-ahli lama sebanyak dua pertiga dalam sebarang undian. Keadaan ini berterusan sehinggalah Napoleon Bonarparte berkuasa di Perancis pada tahun 1799.
28.      Pada 9 November 1799, Napoleon telah menggulingkan Jabatan Pengarah dan menjadikan dirinya sebagai pemerintah tertinggi  Perancis dengan memakai gelaran Konsul Pertama.
29.      Beliau menggulingkan Jabatan Pengarah kerana menganggapnya lemah dan tidak layak memerintah Perancis. Sebagai gantinya, beliau telah menubuhkan Jabatan konsul yang dianggotai oleh tiga orang konsul. Ia dianggotai oleh Napoleon sebagai konsul pertama, dan dibantu oleh Roger Ducos dan Sieyes.
30.      Tugas Konsul Pertama ialah memerintah kerajaan. Mereka bertiga telah menggubal sebuah perlembagaan baru.
31.      Selain itu, Majlis Negeri, Senat, Majlis Kehakiman dan Dewan Perundangan telah ditubuhkan. Pada tahun 1802 Napoleon telah melantik dirinya sebagai konsul seumur hidup.
32.      Empat tahun kemudian Napoleon telah menjadikan dirinya sebagai Maharaja, Dengan itu tamatlah pemerintahan republik peringkat pertama di Perancis.

Komentar

Postingan populer dari blog ini

P2 bab 3

BEPANG DAN SEJARAH KULINARI

PULAU DUYUNG ADALAH LIDAH NEGERI TERENGGANU