KULIAH PENGGAL 1



KULIAH 1:   MASYARAKAT FEUDAL
DEFINISI MASYARAKAT FEUDAL

1.            Masyarakat berhierarki; Kedudukan, kuasa, dan status setiap lapisan ditentukan melalui penguasaan ke atas tanah.

2.            Pengertian feudal:
a)            The social system that developed in Europe in the 8th century; vassals were protected by lords who they had to serve in war   (  wordnet30 )
b)            The feudal system; a system by which the holding of estates in land is made dependent upon an obligation to render military service to the kind or feudal superior; feudal principles and usages.  ( Webster:1913 )

3.            Perkataan feudal  berasal dari perkataan fief atau feud yang bererti sebidang tanah yang dmiliki oleh seseorang tuan tanah ( vassal ). Ia juga diertikan sebagai milik tanah dengan syarat berkhidmat; dengan lain perkataan feudalisme dapat diertikan sebagai satu cara hidup berasaskan sistem tanah.

4.            Feudalisme adalah satu bentuk kerajaan yang terbentuk di Eropah Barat  pada abad ke-9 M, selepas perpecahan Empayar Charlemangne dan berlanjutan sehingga abad ke-13 Masihi. Sistem pemerintahan ini wujud apabila kuasa kerajaan jatuh ke tangan orang persendirian (Sivachandralingam, 1996: 66).

5.            Ringkasnya,  sistem feudal  bolehlah didefinisikan sebagai satu bentuk   kerajaan, yang kuasa politiknya dikuatkuasakan secara tempatan oleh individu persendirian tetapi  bukan oleh kerajaan pusat.

CIRI – CIRI MASYARAKAT FEUDAL ( secara umum )

1.            Dari segi strukturnya, sistem feudal memaparkan satu bentuk piramid. Di bahagian atas sekali ialah raja manakala di bahagian bawah sekali ialah golongan rakyat atau petani.

2.            Bahagian tengah pula ialah golongan pembesar yang bertanggungjawab menjadi ‘tali penghubung’ antara raja dengan rakyat dan secara praktikalnya turut bertindak sebagai tuan tanah.

3.            Sistem feudal berasaskan prinsip bahawa raja memiliki semua tanah dalam kerajaannya; sebagai pemilik mutlak, raja menganugerahkan tanah itu kepada lord ( pembesar ). Lord pula akan menyewakan tanah itu kepada golongan vassal ( tuan – tuan tanah ) yang kemudiannya membahagikan pula kepada golongan serf ( petani ).

4.            Hubungan antara pemerintah dengan golongan yang diperintah  adalah berbentuk timbal balas; raja memberikan tanah dan perlindungan kepada golongan bangsawan, manakala golongan bangsawan pula bertanggungjawab memberikan khidmat dan kesetiaan kepada raja termasuk perkhidmatan ketenteraan    ( dianugerahkan gelaran tertentu )

5.            Tugasan utama lord terhadap vassalnya ialah memberikan vassal kuasa pentadbiran yang cukup untuk mentadbir fief, menjamin perlindungan dan memastikan vassal mendapat keadilan. Sementara vassal pula mempunyai tanggungjawab terhadap lordnya dengan memberikan perkhidmatan tentera, membantu lord melaksanakan keadilan, membuat pembayaran khas dan melayan lord apabila lord mengadakan lawatan ke fief vassalnya.

6.            Bagi golongan rakyat biasa pula bertanggungjawab memberikan sumbangan sama ada sebagai petani, buruh, tentera, sumber kewangan  dan menurut segala perintah golongan bangsawan ( vassal / tuan tanahnya )

MASYARAKAT FEUDAL DI JEPUN ABAD KE- 16 DAN KE-17 MASIHI

1.            Berbentuk piramid; terbahagi kepada golongan pemerintah dan golongan yang diperintah. Pada zaman kekuasaan kerajaan Kesyogunan Tokugawa, golongan pemerintah terdiri daripada maharaja, daimyo        ( bangsawan ) dan samurai                      ( pahlawan ).

2.            Manakala golongan yang diperintah terdiri daripada golongan petani            ( nomin ) diikuti kelas tukang mahir      ( artis ) dan kelas pedagang.
3.            Meskipun raja / maharaja menduduki hierarki tertinggi dalam masyarakat dan berperanan sebagai ketua negara, namun kekuasaan pada era ini  berada di tangan Syogun. Maharaja hanya berfungsi sebagai simbol atau lambang perpaduan dalam kalangan masyarakat Jepun.

4.            Kuasa maharaja hanya terhad di istana sahaja yang terletak di kawasan terpencil di Kyoto dengan dikelilingi atau diawasi oleh pegawai istana           ( kuge ); tidak ada sesiapa pun yang dibenarkan menemui maharaja kecuali dengan kebenaran syogun

5.            Syogun merupakan penguasa atau pemerintah sebenar Jepun pada era ini sehingga tahun 1867. Syogun menjalankan pemerintahan atas nama maharaja dengan memperkenalkan corak pemerintahan bakufu serta dasar pecah dan perintah dengan menjadikan Edo sebagai pusat pentadbirannya.

6.            Pentadbiran Tokugawa dibantu oleh tiga buah jabatan utama bagi mengawal seluruh negara Jepun iaitu Tairo ( Majlis Penasihat Agung ) yang menjadi penasihat kepada syogun. Roju ( Majlis Tertua ) yang bertanggungjawab menguruskan istana, golongan bangsawan, dan daimyo, menyelia hal ehwal dalam negeri serta mengawal biara atau tempat suci.

7.            Jabatan Hyojosho pula ( Majlis Kehakiman ) bertanggungjawab menguruskan hal ehwal pentadbiran dan kehakiman / perundangan di Jepun. Ia dianggotai oleh Roju dan Pesuruhjaya Bandar, Biara, Kewangan, Hal Ehwal Dalam Negeri dan Ketua Pengawas.

8.            Dasar pecah dan perintah yang dipraktikkan membolehkan syogun mengagihkan kuasa pemerintahannya kepada pembesar yang dikenali sebagai daimyo  berdasarkan ikatan kekeluargaan  dan kesetiaan sesorang daimyo terhadap syogun. Hal ini menjamin kedudukan dan kekuasaan syogun tidak tercabar.

9.            Daimyo yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan syogun akan danugerahkan tanah dan kuasa pentadbiran tanah berkenaan, manakala daimyo yang tidak terikat dengan status kekeluargaan dan menentangnya ditenpatkan di kawasan yang dikawal selia oleh syogun.

10.        Daimyo pula merupakan golongan pembesar yang menduduki lapisan ketiga dalam susun lapis masyarakat feudal di Jepun. Golongan ini merupakan kelas bangsawan yang mempunyai peranan penting dalam pemerintaha era Tokugawa. Golongan ini terdiri daripada tiga kumpulan utama iaitu Daimyo  Fudai, Daimyo Shimpan dan Daimyo Tozama.

11.        Daimyo Fudai merupakan sekutu Tokugawa dan terdiri daripada kaum kerabat dan keluarganya. Golongan ini diberikan tanah  dan kuasa mentadbir di bahagian tengah dan utara Honshu dan merupakan paling berpengaruh dalam pemerintahan dan pentadbiran serta  bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan pertahanan dan ketenteraan.

12.        Daimyo Shimpan pula merupakan cabang keluarga atau keturunan Tokugawa; dikenali sebagai rumah – rumah bersaudara  dan keluarga utama yang dikenali sebagai go-sanke. Golongan ini mempunyai tanggungjawab yang sama sebagaimana Daimyo Fudai serta berkuasa di daerah Owari, Kii dan Mito

13.        Daimyo Tozama pula merupakan ‘bangsawan luar’; terdiri daripada puak Satsuma, Choshu, Tosa dan Hizen. Golongan ini sentiasa diawasi , dilarang memasuki istana maharaja, tidak dibenar mengumpul kekayaan malah diberikan tugasan yang membebankan bagi melemahkan kewangan mereka seperti membaiki istana, membekalkan buruh dan bahan untuk kerja pembaikan istana dengan diberikan bayaran yang amat rendah


14.        Melalui Ordinan Untuk Perumahan Ketenteraan, Daimyo Tozama dikenakan peraturan mengehadkan saiz istana ( kediaman ), tidak membenarkan urusan pembaikan istana dan kota serta kubu istana sentiasa dipantau/ diawasi.

15.        Bagi memastikan para daimyo tidak mengancam kedudukan syogun, Sistem Sankin Kotai telah diperkenalkan; setiap daimyo dipaksa menukar tempat kediaman mereka selang setahun di antara Edo dan tanah sendiri. Apabila daimyo kembali ke tanah, anak dan isteri mereka mesti ditinggalkan di Edo bagi menjamin kesetiaan.

16.        Samurai pula merupakan kelas panglima atau pahlawan yang mempunyai kedudukan istimewa dalam masyarakat. Selain menjaga kepentingan dan taat setia kepada para daimyonya, golongan ini dipertanggungjawabkan menjaga keamanan negara dan meluaskan wilayah kekuasaan dan pengaruh.

17.        Golongan ini tidak dibenarkan melakukan apa – apa pekerjaan lain walaupun negara berada dalam aman.  Hal ini bermakna tidak berlaku mobiliti sosial  dalam kalangan samurai dalam masyarakat feudal Jepun. Pada situasi aman tersebut, golongan samurai akan ditanggung oleh golongan petani.

18.        Suasana yang aman  juga telah meninggalkan impak negatif kepada golongan samurai; oleh sebab pendapatan syogun dan daimyo terjejas,  gaji golongan ini turut berkurangan menyebabkan samurai terpaksa berhutang dengan dengan peminjam wang dan broker – broker beras

19.        Krisis kewangan tersebut mengundang kepada hilangnya kesetiaan  samurai terhadap syogun  dan daimyo sehingga ada dalam kalangan mereka yang memutuskan hubungan dengan tuan – tuannya dan menjadi samurai  bebas dan melibatkan diri dengan aktiviti tidak sihat seperti merompak, merusuh dan menggadai pedang mereka kepada para saudagar.

20.        Petani merupakan golongan yang menduduki hierarki tertinggi dalam kelas golongan yang diperintah. Oleh sebab ukuran kekayaan golongan bangsawan berdasarkan jumlah beras yang dimiliki,  keupayaan mengeluarkan beras kepada negara dan golongan bangsawan menyebabkan golongan ini dipandang mulia.

21.        Sebagai balasan golongan ini mengeluarkan beras, mereka diberikan bekalan beras secukup makan. Selain itu, masyarakat petani juga diberikan pendidikan ; sekolah – sekolah kampung ( terakoya )  dibina bertujuan memberikan kemahiran asas iaitu 3M kepada anak – anak petani.
22.        Pun begitu, para petani juga terpaksa menghadapi sistem kerah  yang dijalankan dan dikehendaki membayar sejumlah cukai yang  dianggap membebankan mereka ( 40% – 50% keluaran kepada daimyo )

23.        Golongan seterusnya ialah tukang – tukang mahir yang mempunyai kemahiran membuat pedang dan  peralatan – peralatan yang  berguna. Golongan ini diberikan penghargaan dan penghormatan dengan kemahiran yang ada, dibayar dengan gaji yang lumayan serta mendiami kediaman yang selesa.

24.        Tukang kayu juga diberikan layanan yang baik  dan menerima gaji yang sama sebagaimana tukang – tukang mahir; serta dibenarkan menggunakan sebilah pedang.

25.        Bagi tukang – tukang yang tidak berkemahiran, mereka tidak mendapatkan layanan baik dan terpaksa bekerja dengan golongan daimyo.

26.        Kelas sosial paling bawah ialah para pedagang atau saudagar yang dikenali sebagai chonin. Mereka dipandang rendah disebabkan Jepun tidak menggalakkan aktiviti perdagangan dengan kuasa – kuasa Barat selaras dengan dasar isolasi yang dipraktikkan.


27.        Ekoran suasana politik negara yang aman dan ekonomi negara yang kian berkembang, telah muncul bandar – bandar seperti Osaka, Edo, Nagoya dan Sendai. Perkembangan ini menyebabkan pendapatan berasaskan beras digantikan dengan pendapatan berasaskan wang.

28.        Impaknya juga menyebabkan golongan pedagang mula memperdagangkan beras, arang batu, garam, pakaianm tekstil dan sebagainya yang telah meningkatkan status golongan pedagang.

29.        Menjelang abad ke-17, banyak muncul pedagang yang berpengalaman dan peminjam wang di bandar – bandar yang menawarkan pinjaman kewangan yang mengakibatkan golongan atasan kini berhutang dengan golongan pedagang.

30.        Keupayaan mengumpul wang dan harta telah membolehkan golongan pedagang ‘mengikat’ golongan bangsawan melalui hutang sekaligus menggambarkan kebergantungan golongan bangsawan untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam era baru.
                                                                                                                             
                                                                                                             Jaljmatjali2016 

 


Komentar

Postingan populer dari blog ini

P2 bab 3

BEPANG DAN SEJARAH KULINARI

PULAU DUYUNG ADALAH LIDAH NEGERI TERENGGANU