KULIAH 6



KULIAH 6: MASYARAKAT MARITIM DI JEPUN
LATAR BELAKANG MASYARAKAT MARITIM DI JEPUN
1.         Sebagaimana masyarakat maritim di tempat lain, kegiatan utama masyarakat ini di Jepun juga berfokus kepada kegiatan perdagangan.

2.         Faktor yang mendorong penglibatan masyarakat dalam aktiviti ini disebabkan kedudukan bentuk muka bumi yang berpulau menggalakkan aktiviti pelayaran dilakukan.

3.         Selain itu, ia juga didorong keperluan mendapatkan barangan / komoditi yang tidak terdapat di Jepun; dengan kata lain menjalankan kegiatan import – eksport.

4.         Dalam tempoh abad ke-16 dan ke-17, Jepun dikuasai oleh Kesyogunan Ashigaka dan Kesyogunan Tokugawa, dan kedua – dua buah kerajaan ini sememangnya memberikan fokus kepada kegiatan perdagangan.

CIRI – CIRI MASYARAKAT MARITIM JEPUN ABAD KE- 16 DAN ABAD KE- 17
1.         Lokasi petempatan masyarakat terletak  di persisir pantai. Hal ini disebabkan lebih kurang 97% wilayah daratan Jepun berada di keempat-empat pulau terbesarnya iaitu Hokkaido, Honshu (pulau terbesar), Shikoku, dan Kyushu. Sebanyak 72% pulau-pulau di Jepun bergunung-gunung, dan sebahagian di antaranya merupakan gunung berapi. Masyarakat maritim Jepun tinggal di pesisir pantai seperti di perkampungan nelayan di Yokohama dan menetap di kawasan-kawasan bandar-bandar pelabuhan seperti di Nagasaki, Nagoya, Hiroshima dan lain-lain bandar pelabuhan.

2.         Selain terlibat dengan aktiviti perdagangan, masyarakat maritim di Jepun juga terlibat dengan aktiviti perikanan. Perikanan merupakan pekerjaan utama penduduk Jepun kerana makanan kedua selepas nasi bagi masyarakat Jepun ialah ikan. Kedudukan geografi Jepun ditempat pertemuan arus panas dan arus sejuk, maka Jepun mempunyai sumber laut yang banyak. Nelayan-nelayan Jepun hanya menjalankan kegiatan menangkap ikan di kawasan pesisir pantai serta hanya menggunakan kaedah tradisional seperti menjala dan memukat.

3.         Pada abad ke-16, masyarakat maritim di Jepun telah mula menjalankan hubungan dagang dengan kuasa Barat khasnya Portugal. Hubungan yang terjalin telah membawa masuk teknologi barat seperti teknologi kapal, teknik perang, persenjataan, kesenian dan berlaku penyebaran agama Kristian.  Pengasas Kesyogunan Tokugawa iaitu Ieyasu (1603-1616), menyambut baik kedatangan para pedagang Portugis dan Belanda. Orang Belanda mula berdagang dengan Jepun pada 1609 dan orang Inggeris pada tahun 1613.

4.         Pada tahun 1570, Shogun Ashikaga telah menanda tangani satu perjanjian perdagangan dengan pedagang Portugal. Melalui perjanjian ini, pedagang Portugal dibenarkan berdagang di pelabuhan Nagasaki dan perkara ini telah mendorong berlaku peningkatan perdagangan dengan dunia luar dan menjadi pintu keluar bagi pedagang Jepun untuk ke luar negara.

5.         Perkembangan ekonomi perdagangan yang rancak pada zaman Kesyogunan Ashikaga ini telah membawa kepada timbulnya amalan pengkhususan  dan berlakunya pertambahan bilangan tukang, saudagar yang membawa kepada pembentukan persatuan ( za ) atau guilds yang memonopoli pengeluaran dan pemasaran sebarang barangan.

6.         Pertumbuhan ekonomi ini juga menggalakkan kemunculan persatuan – persatuan kewangan  dan pertumbuhan ekonomi wang. Hal ini pastinya meningkatkan lagi hubungan peerdagangan di peringkat tempatan dan luar negeri.

7.         Pada era Sengoku Jidai ( zaman huru – hara ), kemunculan Oda Nobunaga bukan sahaja telah merealisasikan penyatuan Jepun malah  menggalakkan hubungan dengan negara – negara Eropah.

8.         Para pedagang memperluaskan lagi perniagaan di seluruh Jepun yang membawa kepada monopoli za / guilds berjaya dipecahkan.

9.         Walaupun Jepun mengadakan hubungan perdagangan dengan negara barat,  tetapi hubungan yang terjalin adalah secara terhad. Perkembangan perdagangan di Jepun dengan negara luar seperti dengan Portugal, British, Belanda dan Sepanyol pada abad ke-16 dan ke-17 telah menggalakkan penggunaan mata wang perak bagi mengantikan penggunaan beras dan kain sebagai tukaran di Jepun. Penggunaaan mata wang perak ini telah menggalakkan lagi aktiviti perlombongan perak, perak dan emas.

10.      Perkembangan ekonomi wang           telah mempercepatkan kemajuan perdagangan tempatan dan luar negara terutamanya dengan China. Namun hubungan perdagangan antara Jepun dengan China terputus akibat serangan lanun Jepun ke atas China.

11.     Oleh sebab Jepun mahukan barangan sutera dan mewah China manakala China pula memerlukan barangan perak Jepun maka mereka menjadikan pedagang Portugal di Macau sebagai orang tengah dalam hubungan perdagangan.

12.     Pada zaman era Kesyogunan Tokugawa, penglibatan masyarakat maritim dalam aktiviti perdagangan dengan pedagang asing terus berlanjutan sehingga selepas tahun 1630-an, apabila  kerajaan ini mengisytiharkan mengamalkan dasar pemencilan kuasa ( dasar tutup pintu kepada kuasa asing ).

13.      Jalinan perhubungan  serta aktiviti perdagangan dengan masyarakat antarabangsa telah menyebabkan masyarakat Jepun menerima pelbagai pengaruh budaya luar seperti pengaruh agama Kristian yang dibawa oleh mubaligh-mubaligh Kristian Portugis, agama Buddha dan Confucius dari China serta Shinto yang merupakan kepercayaan tempatan.

14.     Di bandar-bandar pelabuhan pula terdapat pedagang-pedagang Portugis, Sepanyol dan China. Sebelum pengamalan dasar tutup pintu, mubaligh Kristian dibenarkan menjalankan aktiviti penyebaran agama Kristian dan mendirikan gereja bagi menjalankan kegiatan agama mereka.

15.     Masyarakat maritim di Jepun menerima agama baru. Perkembangan perdagangan dengan pedagang asing menyaksikan kemasukan agama Kristian ke Jepun. Kapal-kapal pedagang Portugis dan Belanda biasanya membawa bersama mubaligh-mubaligh Kristian. Oleh sebab itu, agama kristian mula berkembang di kawasan pelabuhan dan perdagangan.

16.     Masyarakat maritim  di Jepun juga menguasai ilmu kelautan dan pelayaran. Pelayar – pelayar Jepun telah belayar hingga ke Australia, Asia Tenggara, Amerika Selatan, Korea dan China. Mereka mampu membina kapal besar meredah lautan.

17.     Kapal mohor merah (Shuinsen) adalah kapal layar bersenjata pedagang Jepun yang berlayar dalam perdagangannya ke pelabuhan-pelabuhan Asia Tenggara, di awal pemerintahan Kesyogunan Tokugawa. Antara 1600 dan 1635, lebih dari 350 kapal Jepun melakukan pelayaran dagang ke luar negeri.

18.     Masyarakat maritim  Jepun juga telah mengendalikan perdagangan secara entrepot melalui pelabuhan seperti Kyushu, Shimoda, Hokodate dan Nagasaki. Para pedagang Jepun pada abad ke-16, telah mengeksport perak, berlian, tembaga, pedang, dan barang-barang lainnya. Jepun juga telah mengimport sutera Cina dan produk-produk Asia Tenggara (seperti gula dan kulit rusa).

19.     Lada dan rempah-rempah jarang diimport oleh Jepun kerana masyarakatnya tidak banyak makan daging. Pelabuhan-pelabuhan Asia Tenggara menjadi tempat pertemuan antara kapal-kapal Jepun dan China.

20.     Selepas pemerintahan Kesyogunan Tokugawa mengisytiharkan dasar tutup pintu, perdagangan dengan dunia luar dihadkan di Pulau Deshima yang terletak di pelabuhan Nagasaki. Hanya pedagang-pedagang Belanda dan beberapa orang pedagang China sahaja yang dibenarkan berdagang dengan Jepun.

21.     Kemasukan kapal Belanda diawasi dengan ketatnya. Pedagang Belanda menerima peraturan-peraturan yang ketat itu, kerana aktiviti perdagangan dengan Jepun mendapat keuntungan yang banyak.

22.     Melalui aktiviti di pulau Deshima, para pedagang Belanda memperoleh bahan-bahan berharga dari Jepun seperti perak, besi, tembaga dan beras. Mereka membawa masuk dan menjual sutera, kapas, minyak wangi dan gula kepada orang Jepun. Kesemua barangan ini menjadi popular dan mendapat permintaan yang tinggi daripada golongan atasan Jepun.

23.      Manakala pedagang-pedagang China kurang  menjalankan aktiviti perdagangan dengan Jepun kerana negara China kaya dengan bahan-bahan mentahnya sendiri.



Komentar

Postingan populer dari blog ini

P2 bab 3

BEPANG DAN SEJARAH KULINARI

PULAU DUYUNG ADALAH LIDAH NEGERI TERENGGANU