KULIAH 5



KULIAH  5 : MASYARAKAT MARITIM
DEFINISI MASYARAKAT MARITIM
1.         Masyarakat yang kegiatan ekonominya berpusatkan kelautan dan pusat pemerintahannya bertapak di kawasan persisir.

2.         Pengertian lain: A society whose subsistence is primarily dependent upon overseas trade and commercial activity ( sebuah masyarakat yang  kehidupannya  terutama bergantung  kepada perdagangan luar negeri dan kegiatan komersial )

3.          Ciri – ciri ketara yang terdapat dalam masyarakat maritim ialah:
a)      Menjalankan aktiviti - aktiviti perdagangan secara langsung
b)      Bertindak sebagai orang tengah dalam aktiviti perdagangan
c)      Mempunyai kemahiran belayar
d)      Mempunyai kemahiran khususnya dalam  pembinaan kapal
MASYARAKAT MARITIM DI PORTUGAL
1.         Masyarakat Portugis mula menceburi aktiviti maritim apabila Putera Henry mengarahkan orang-orang Portugis supaya belayar dan meneroka pantai barat Afrika.

2.         Dalam pelayaran penerokaan tersebut, mereka telah menjumpai Maderais, Pulau Azores dan Tanjung Verde.

3.         Perkembangan ilmu di Eropah, telah menambah keinginan mereka untuk meneroka kawasan yang lebih jauh dan berazam untuk mencari jalan ke Timur.

4.         Secara beransur-ansur, kapal-kapal Portugis mulai belayar menuju ke lautan Atlantik sehingga berjaya menjumpai jalan laut ke Asia dan Amerika.

5.         Pada tahun 1499, Vasco da Gama telah pulang ke Portugal. Beliau telah berjaya membawa pulang rempah ratus dan barangan mewah dari Timur yang lain.
CIRI – CIRI MASYARAKAT MARITIM DI PORTUGAL
1.         Masyarakat maritim Portugis merupakan perintis kepada kepada aktiviti maritim bagi masyarakat Eropah terutama dalam bidang pelayaran jarak jauh dan membuka peluang perdagangan dengan kawasan di luar Eropah.

2.         Usaha-usaha pelayaran telah dilakukan sepanjang abad ke 15 hingga 16 untuk meneroka jalan laut ke Timur. Portugal berjaya menjadi kuasa Barat yang pertama menjelajah dunia yang belum diketahui kerana tiada persaingan dari negara-negara Eropah yang lain.

3.         Kejayaan bangsa Portugis menjadi inspirasi kepada bangsa-bangsa Eropah yang lain seperti Sepanyol, Belanda, British dan Perancis untuk melakukan aktiviti pelayaran ke timur dan dunia baru.

4.         Masyarakat maritim Portugal mendapat galakan dari pihak pemerintah sejak zaman Putera Henry (1394-1460) dan Raja Manuel 1 yang telah berusaha untuk menjadikan Portugal sebagai kuasa kelautan bagi tujuan memecahkan monopoli perdagangan pedagang Islam dan Itali.
5.         Putera Henry telah menubuhkan sebuah akademi maritim dengan tenaga pengajarnya terdiri daripada pelayar-pelayar bangsa Itali yang mahir dalam ilmu geografi dan pelayaran.
6.         Kejayaan Bartholomew Diaz dan Vasco da Gama dalam aktiviti pelayarannya telah mendorong penjelajahan dan penerokaan yang jauh dilakukan oleh tokoh – tokoh lain seperti Alfonso  de Albuquerque, Francisco di Almeida dan Pedro Cabral

7.         Masyarakat maritim telah menjalankan kegiatan perdagangan antarabangsa dengan kawasan Afrika, Asia dan Amerika. Pada permulaan abad ke-16, kapal-kapal Portugis sentiasa belayar ke Timur Jauh melalui Tanjung Pengharapan dan kembali semula dengan muatan rempah, sutera dan batu permata yang berharga.

8.         Saudagar – saudagar Portugal telah mendirikan pangkalan perdagangan di Ceylon, Maluku, Sumatera, Jawa, atau dikenali sebagai Kepulauan Rempah bagi memonopoli bahan – bahan mentah yang berharga khususnya rempah.  Pada tahun 1517 pula, pedagang Portugal telah berjaya sampai di pelabuhan Canton. Semantara pada tahun 1542, pedagang Portugis telah berjaya sampai di Jepun.

9.         Penguasaan perdagangan di Lautan Atlantik  bermula pada tahun 1500, kapal dagangan dari India telah sampai Brazil bagi membolehkan saudagar Portugal menguasai kayu – kayan, bahan pencelup, dan emas.  Malah di sana juga Portugal  telah membuka ladang tebu, penanaman tembakau, serta menternak lembu dan kuda.

10.     Kejayaan Portugal menguasai segala bahan mentah yang mendapat permintaan tinggi Eropah membolehkan saudagar Portugal mengambil alih peranan Venice dalam penjualan barangan dari Timur.

11.     Lisbon telah berperanan sebagai pelabuhan yang kini menjadi tumpuan pedagang – pedagang Eropah. Antwerp telah digunakan sebagai pusat pengeksportan  dan pengeluaran barang dagangan Portugal. Kesannya, dalam masa 30 tahun, Portugal berjaya menembusi pasaran rempah ratus yang dikuasai oleh Venice.

12.     Ringkasnya, masyarakat maritim di Portugal menjalankan dasar monopoli dalam aktiviti perdagangan terutama dalam perdagangan emas, gading dan hamba di Afrika, rempah di Asia Tenggara dan barangan mewah seperti tembikar dan sutera di Timur Jauh.

13.     Mereka turut membuka petempatan baru di kawasan pantai Hormuz, Goa, Melaka, Macau dan Brazil. bertujuan menjaga laluan perdagangan dan menguasai jalan perdagangan yang penting pada zaman itu,   menghadapi ancaman lanun, dan sebagai tempat persinggahan, mendapatkan bekalan dan membaiki kapal. Masyarakat Portugis yang tinggal di koloni-koloni itu tidak mempunyai hubungan yang baik dengan penduduk tempatan.

14.     Ciri seterusnya yang terdapat dalam masyarakat maritim di Portugal ialah masyarakat di sini mempunyai kepakaran membina kapal-kapal yang efektif dipanggil caravel hasil teknologi yang diambil daripada orang-orang Arab. Kapal tersebut dilengkapi dengan layar berbentuk segi tiga dan segi empat yang membolehkannya belayar dalam jarak yang jauh.

15.     Mereka juga mempunyai kemahiran membina kapal-kapal bersaiz besar yang dikenali sebagai carracks yang mampu mengangkut muatan yang lebih banyak.

16.     Kepakaran dalam ilmu pelayaran yang terdapat pada  pelaut dan pedagang Portugis ialah hasil daripada penubuhan Akademi Pelayaran di Sagres. Pelaut-pelaut Portugis juga pengalaman luas dalam bidang pelayaran dalam kalangan  Portugis terbukti kerana mereka  telah belayar di lautan sebelum abad ke-15 lagi.

17.     Mereka juga mempunyai kelengkapan pelayaran yang baik seperti peta, kompas magnetik, astralob untuk menentukan longitud, serta senjata api seperti senapang dan meriam bagi menghadapi ancaman lanun dan musuh-musuh di lautan yang membolehkan mereka belayar di lautan luas dengan selamat.

18.     Selain berdagang, memonopoli bahan – bahan mentah, di samping menjelajah dan meneroka sesebuah kawasan, masyarakat maritim di sini juga menyampaikan tanggungjawab agama dengan  bertindak menyebar agama Kristian di sepanjang jalan laut yang mereka terokai.

19.     Pelayar-pelayar Portugis didorong oleh semangat untuk menyaingi agama Islam di Timur. Mereka akan mendirikan salib di setiap pantai yang mereka singgah dan menyebarkan agama Kristian kepada penduduk tempatan sama ada secara aman mahupun secara paksaan. Mereka juga ingin menguasai jalan-jalan perdagangan orang Islam untuk mendapatkan barangan dari Timur.

Komentar

Postingan populer dari blog ini

P2 bab 3

BEPANG DAN SEJARAH KULINARI

PULAU DUYUNG ADALAH LIDAH NEGERI TERENGGANU